Tuesday, March 30, 2010

Ilmu Khayal Lillah

Terima kasih kerana sudi membaca di blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Kisahnya, Tun Jana Khatib, seorang lelaki yang mempunyai ilmu khayal lillah, telah menunjukkan bakatnya di tempat yang salah, pada masa yang salah. Dia menggunakan kuasa batinnya sehingga menyebabkan pokok berhampiran istana raja telah terbelah. Perbuatannya disaksikan oleh permaisuri secara tidak sengaja, lalu mendapat pujian daripada baginda.
Akibat tindakannya yang dianggap menunjuk-nunjuk, Tun Jana Khatib telah dihukum bunuh. Badan dan kepalanya dipisahkan; satu di Singgora manakala satu lagi di Langkawi.

Tindakan zalim pemerintah Singapura bagaimanapun mendapat balasan, apabila Singapura dilanggar todak. Dipendekkan cerita, akal seorang budak yang mencadangkan agar batang pisang disusun sepanjang pantai untuk menghalang serangan todak telah diterima. 

Ironinya, idea budak itu membawa akibat buruk kepada dirinya apabila raja menghukumnya kerana dibimbangi akan merampas kuasa jika dewasa kelak.

Moralnya ialah, pemerintah seharusnya melihat kebijaksanaan dan keistimewaan yang dimiliki oleh rakyat sebagai satu aset, bukannya mencemburui apa yang mereka miliki.

Begitulah juga, sikap terbuka guru amat diperlukan apabila berdepan dengan pelajar pintar. Kadangkala, pandangan pelajar lebih kritis dan kreatif. Tetapi jika menyimpang sedikit daripada norma biasa, di situlah peranan guru mendidik dan mengasuh untuk memastikan mereka kekal dapat menyumbang sesuatu untuk kebaikan masyarakat.

p/s: Saya tidak rasa yakin dengan ilmu khayal lillah "Dr." Azizan Osman, yang melihat tarikh lahir untuk merungkai masa depan manusia... Anda bagaimana?

Friday, March 26, 2010

Kesejahteraan Berasaskan Syariah Di Brunei

Terima kasih kerana sudi membaca di blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

 Perasaan saya bercampur baur apabila membaca kenyataan tegas Menteri Hal Ehwal Agama Brunei dalam Harian Metro dua hari lalu. Beliau dengan jelas menjawab soalan ahli parlimen  bukan Islam tentang premis arak yang dilarang beroperasi di Brunei.

"Yang paling kami takut ialah laknat Allah. Laknat-Nya bukan pada mereka yang melakukannya sahaja, tetapi (juga) kepada mereka yang berada di negara ini.

Pelancong yang ingin minum arak, boleh minum di negara mereka. Malah mereka boleh mandi arak (di negara mereka)."

Beliau turut menegaskan bahawa sekiranya hari ini, diberi kebenaran pembukaan premis arak untuk kemudahan pelancong, akan ada permintaan untuk rumah urut, pelacuran dan kasino atas alasan yang sama pada masa hadapan.

Brunei memang dikenali sebagai sebuah negara yang tegas dan menjaga kebajikan rakyatnya. Bilalah Malaysia akan mendapat suasana seperti ini?

Adalah malang kepada ummah, apabila segala pintu maksiat dibuka hanya kerana alasan untuk menjaga hati rakyat bukan Islam. Misalnya, orang bukan Islam boleh membuka premis judi dan arak, asalkan ada papan tanda "DILARANG KEPADA ORANG ISLAM". 

Akibatnya, negara kita kehilangan berkat dan maksiat semakin menjadi-jadi. Tidakkah pihak berkuasa terfikir, azab Allah yang bakal tiba akan menghancurkan negara yang kita sayang ini?

Wednesday, March 24, 2010

Hebatnya Ulama Kita..

Terima kasih kerana sudi membaca di blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

 Kisah ini dipetik dalam Forum Halaqah

Lelaki India berbadan tegap itu menghempaskan dirinya ke atas sofa di ruang tamu rumahnya di Petaling Jaya. Hari ini, dia rasa terlalu letih. Pelanggan yang datang ke bank tempatnya bekerja hari ini, luar biasa ramainya. Dia cuma sempat berhenti rehat sewaktu makan tengah hari sahaja. Selepas itu, dia kembali sibuk melayan pelanggan sehinggalah habis waktu pejabat.

Dia lalu menghidupkan TV 29 inci yang baru dibelinya tidak sampai dua bulan dengan remote yang berada di tangannya. Ditukarnya satu per satu siaran televisyen, TV3, TV2, semuanya sama. Tidak ada apa yang menarik. Bosan!. Dia menukar pula kepada siaran TV1 .

Kebetulan ketika itu, rancangan Forum Perdana Ehwal Islam sedang berlangsung. Salah seorang ahli panelnya ialah ulama terkenal, Dato' Dr. Haron Din.

Biarpun dia bukan seorang Muslim, rancangan Forum Perdana Ehwal Islam bukanlah asing baginya. Selalu juga dia menonton rancangan tersebut. Malah, dia juga tahu sedikit sebanyak tentang ajaran Islam melalui rancangan tersebut. Lagipun, dia suka melihat kepetahan ahli panel itu memberi ceramah dalam bahasa Melayu, secara tidak langsung, dia boleh belajar bertutur dalam bahasa Melayu dengan lebih baik.

Sedang asyik mengikuti perbincang-an itu, tiba-tiba, lelaki tersebut tersentak apabila mendengar Haron Din mengatakan: "Bandingan segala kebaikan amal dan usaha orang-orang yang kufur ingkar terhadap Tuhannya ialah seperti abu yang diterbangkan angin pada hari ribut yang kencang, mereka tidak memperoleh sesuatu faedah pun daripada apa yang mereka telah usahakan itu. Amalan itu menjadi sia-sia akibat mereka sebenarnya berada dalam kesesatan yang jauh daripada kebenaran."

Mendengar kata-kata Haron Din, darah lelaki India itu menyirap. Perasaan marah menyelinap masuk ke dalam hatinya. Mana boleh! Itu tidak adil! Takkan Tuhan hanya menerima kebaikan orang Islam sahaja? Bagaimana dengan kebaikan yang dilakukan oleh orang bukan Islam?

Bahkan, sepanjang hidupnya, dia melihat banyak kebaikan yang dilakukan oleh orang bukan Islam, dan ada kalanya, melebihi daripada kebaikan yang pernah dilakukan oleh orang Islam itu sendiri. Apakah segala kebaikan itu tidak diterima? Dia mula menganggap, ajaran Islam mengamalkan sikap kasta. Jika begitu ajaran Islam, bermakna ia double standard.

Rasa tidak puas hati terus menyelubungi fikiran lelaki tersebut. Lelaki India itu akhirnya bertekad untuk bersemuka dengan Haron Din. Dia ingin berdebat dengan ulama tersebut. Pada fikirannya, mana boleh seorang ulama mengeluarkan kenyataan yang tidak adil seperti itu, dan boleh menyentuh perasaan orang bukan Islam di negara ini seperti dirinya. Apatah lagi ia dilakukan secara terbuka di kaca TV.

Lelaki itu tahu, Haron Din bukanlah calang-calang orang, tetapi dia tidak peduli. Dia tetap mahu berjumpa dengan ulama tersebut dan mesti mencari jalan bagaimana untuk bertemu dengannya.Setelah beberapa bulan memendam niat untuk bertemu Haron Din akhirnya hasrat itu tercapai. Melalui seorang pelanggan yang dikenali ketika berurusan di bank tempatnya bekerja, lelaki itu dibawa bertemu dengan Haron Din di sebuah rumah seorang ahli perniagaan di Petaling Jaya. Haron Din mengadakan usrah di rumah ahli perniagaan tersebut pada hari Khamis malam Jumaat, seminggu sekali.

Ketika sampai di rumah ahli perniagaan tersebut, kuliah baru saja bermula. Di hadapan lebih 20 orang jemaah, kelihatan Haron Din duduk bersila sambil memegang sebuah kitab. Kebetulan pada malam itu, Haron Din mengajar tentang bab syirik. Bila ternampak muka Haron Din, hatinya menjadi panas.

Lelaki itu membulatkan tekad, selepas tamat kuliah, dia mahu berjumpa dengan Haron Din. Dia mahu mengajak Haron Din berdebat. Lelaki itu memang betul-betul tidak berpuas hati dengan kenyataan Haron Din di dalam Forum Perdana. Ia masih terngiang-ngiang di telinganya biarpun sudah beberapa bulan berlalu.

Namun, tidak disangka-sangka, segala yang dirancangnya tidak menjadi. Perasaan marah dan bengang yang bersarang dalam dirinya selama beberapa bulan itu mula surut apabila dia duduk mendengar kuliah yang disampaikan oleh ulama tersebut.


Setelah tamat kuliah yang diberikan Haron Din, lebih kurang dua jam selepas itu, semangatnya yang tadi berkobar-kobar mahu berdebat dengan ulama tersebut, kian kendur. Rupa-rupanya, dalam diam, dia mengakui, cara penyampaian, serta kupasan Haron Din yang begitu terperinci dalam bab-bab syirik, membuatkan dia rasa amat terpegun.

Sebelum ini, lelaki India itu tidak pernah mendengar penjelasan mengenai Islam dan ketuhanan seperti yang didengarnya pada malam itu. Biarpun hati lelaki berkenaan sudah mula mahu akur pada kebenaran Islam, namun egonya masih menebal. Lelaki ini memperingatkan dirinya, kedatangannya pada malam itu bukan untuk terpengaruh dengan kata-kata Haron Din, tetapi untuk mengajak ulama itu berdebat dengannya.

Akhirnya dia memutuskan untuk menangguhkan hasrat berdebat dengan Haron Din. Bukan tidak berani, tetapi sebenarnya pada malam itu segala persepsi buruknya terhadap Haron Din dan Islam telah mula berubah.

Pun demikian, lelaki itu tidak mahu mengalah dengan perasaannya. Ego yang ada dalam dirinya mengaburi kewarasan akalnya. Misinya berjumpa dengan Haron Din  untuk menyatakan apa yang dikatakan oleh ulama tersebut dalam Forum Perdana adalah tidak adil. Tidak lebih daripada itu.

Lebih penting lagi, tujuan dia bertemu ulama tersebut bukanlah untuk mengakui kebenaran Islam. Lelaki itu membuat perancangan sendiri. Dia akan terus mengikuti kuliah Haron Din di situ, agar dia lebih faham tentang Islam dan senang nanti untuk dia berhujah dengan ulama tersebut kelak.

Selepas itu, pada setiap malam Jumaat, lelaki berkenaan menghadiri kuliah Haron Din. Kali ini dia pergi seorang diri. Tetapi 'masalahnya' semakin lama mengikuti usrah Haron Din, semakin jelas dilihatnya kebenaran Islam. Lama-kelamaan, tujuan asal lelaki ini untuk berdebat dengan Haron Din dan mengatakan bahawa Islam agama yang tidak adil, bertukar menjadi sebaliknya. Setiap kali dia mengikuti usrah Haron Din, semakin hampir hatinya pada Islam. Islam itu dilihatnya tulus, lurus tanpa simpang-siur.

Niat asalnya untuk berdebat dengan Haron Din akhirnya terpadam begitu sahaja. Sebaliknya, hatinya menjadi semakin lembut dan lelaki itu tambah berminat untuk mengetahui tentang ajaran Islam dengan lebih mendalam.

Suatu hari ketika mengikuti usrah Haron Din di rumah ahli perniagaan tersebut, lelaki India itu mengambil peluang bertanyakan bermacam-macam soalan tentang Islam. Dia bertanya, mengapa perlu meninggalkan agamanya dan memeluk Islam? Bukankah semua agama itu sama. Bukankah Islam itu juga sama seperti agama lain, menyuruh membuat kebalkan dan meninggalkan kejahatan?

Dan yang paling penting, dia mahu tahu, kenapa Haron Din mengatakan hanya amalan orang Islam sahaja yang diterima Allah, dan amalan orang bukan Islam tidak diterima-Nya seperti yang disebut di dalam Forum Perdana Ehwal Islam tidak berapa lama dulu.

Haron Din tersenyum dan secara berkias beliau menjawab; " Untuk memudahkan saudara memahaminya, biar saya berikan contoh begini: kita adalah seorang hamba dan tuan kita memberikan kita sebidang tanah, cangkul, benih, baja dan segala kelengkapan yang lain untuk kita mengusahakan tanah tersebut.

"Tuan kita suruh kita usahakan tanah itu tetapi kita tidak berbuat seperti mana yang disuruh, sebaliknya kita mengusahakan tanah orang lain. Kemudian bila tiba di hujung bulan, kita datang kepada tuan kita untuk meminta upah. Saudara rasa, adakah tuan kita akan bagi upah sedangkan kita tidak lakukan apa yang disuruh, sebaliknya kita melakukan kerja untuk orang lain?

"Begitu jugalah simboliknya di dalam Islam. Jika kita melakukan kebajikan dan kebaikan, bukan kerana Allah, tetapi kerana sesuatu yang lain, contohnya kerana manusia, pangkat atau harta, apakah di akhirat nanti, Allah akan memberi balasan di atas amal perbuatan kita sedangkan semua amalan yang kita lakukan bukan untuk Dia?"

Ternyata segala jawapan dan hujah yang diberikan oleh Haron Din atas pertanyaannya itu, membuatkan dia mati akal. Begitu juga dengan setiap hujah dan persoalan yang cuba ditimbulkan lelaki itu dengan mudah dipatahkan oleh Haron Din dengan cara yang lembut dan bijaksana, tanpa sedikit pun menyinggung perasaannya sebagai orang bukan Islam.

Setelah empat minggu berturut-turut mengikuti kuliah yang diberikan oleh Haron Din, ego yang ada di dalam dirinya hancur dengan kebenaran Islam. Akhirnya hati lelaki itu terbuka untuk memeluk Islam. Enam bulan selepas itu, secara rasmi lelaki India tersebut memeluk Islam.

Dalam satu pertemuan empat mata dengan Haron Din setelah lelaki itu memeluk Islam, dia sempat bertanya mengapakah ulama tersebut mengeluarkan kenyataan seperti itu di kaca TV, sedangkan kenyataan itu boleh mengundang rasa tidak puas hati di kalangan bukan Islam, seperti apa yang dirasakannya.

Haron Din menjelaskan kepada lelaki India tersebut: "Memang kenyataan itu saya tujukan khusus untuk orang bukan Islam. Saya mahu orang bukan Islam berfikir tentang kehidupan, asal usul manusia dan kebenaran agama. Saya mendapat maklum balas, ramai di kalangan bukan Islam yang menonton rancangan itu. Jadi, sengaja saya bacakan ayat al-Quran itu agar mereka berfikir."

"Saya adalah di antara mereka yang terkena provokasi Haron Din itu. Biarpun pada peringkat awalnya saya bertemu beliau atas sebab tidak puas hati dengan kenyataannya, namun akhirnya, saya bersyukur, kerana ia menjadi penyebab yang membuatkan saya akhirnya menerima cahaya kebenaran Islam," jelas Mohammad Fitri Abdullah, 43, lelaki India yang dimaksudkan dalam cerita di atas.

Ketika Mastika menemuinya di pejabat Perkim bahagian Shah Alam di Masjid Negeri Shah Alam, Fitri berulang kali menyatakan betapa syukurnya dia mendapat hidayah biarpun pada mulanya dia langsung tidak terfikir untuk memeluk Islam.

"Seperti yang saya katakan, pada awalnya niat saya adalah untuk berdebat dan berbalah dengan Haron Din akibat rasa tidak puas hati terhadap kenyataannya itu. Tetapi, apabila saya mendengar penjelasan beliau, ego saya jatuh dan dalam diam-diam saya mengakui, saya bukanlah orang yang layak untuk berdebat dengan beliau," jelasnya.

Sebenarnya sebelum memeluk Islam, Fitri memang seorang yang taat terhadap agamanya. Dia bukan sekadar seorang pengikut yang taat, tetapi juga bergerak aktif dalam beberapa persatuan yang berteraskan agama yang dianutinya. Selain itu, dia turut mengajar di beberapa rumah ibadat di sekitar ibu kota. Biarpun kuat terhadap agamanya, namun jauh disudut hati, lelaki itu sering merasakan ada sesuatu yang tidak kena dengan agama yang dianutinya.

"Sebenarnya, agama tersebut juga mengajar pengikutnya untuk menyembah Tuhan yang satu. Di dalam kitab-kitab lama, itulah ajarannya. Tapi masalahnya, apa yang dilakukan oleh penganut agama tersebut berlainan daripada apa yang diajar di dalam kitab.

"Mereka tidak menyembah Tuhan yang satu, sebaliknya menyembah bermacam-macam Tuhan, selain dari Tuhan yang satu," tegas lelaki yang berasal dan Banting, Selangor ini. Lantaran itulah kata Fitri, hatinya sering berasa ragu dengan agama sendiri. Perasaan ini bukannya baru, malah timbul sejak dia berusia belasan tahun lagi. Dia melihat apa yang diajar di dalam kitab, dengan apa yang dipraktikkan oleh penganut agama lamanya, termasuk dirinya sendiri, ternyata bercanggah sama sekali.

"Tetapi apabila saya mendengar kuliah Haron Din, diam-diam saya mula sedar, saya memang berada dalam kesesatan yang nyata. Pertama kali mendengar ceramah beliau, sudah cukup untuk memberi kesedaran pada diri saya sekali gus berjaya mengubah pandangan saya terhadap Islam selama ini. Mungkin itulah kelebihan yang Allah berikan pada Haron Din," kata Fitri lagi.

Kejadian itu sebenarnya telah pun berlalu hampir 15 tahun, namun cahaya iman yang menyerap ke dalam hatinya masih lagi sesegar dulu. Malah, dari hari ke hari semakin kukuh bertapak di dalam dirinya.

Jika dahulu Fitri seorang mubaligh yang aktif menyebarkan agama lamanya, kini Fitri masih tetap begitu. "Cuma bezanya, hari ini saya bergerak di atas landasan agama yang benar iaitu Islam. Saya cukup sedih bila mendengar ada saudara seagama saya, terutamanya di kalangan orang Melayu yang sanggup keluar dari Islam. Murtad.

"Hari ini, menjadi tanggungjawab saya untuk membantu mereka, memulihkan iman mereka, dengan pelbagai usaha dan cara, termasuk berkongsi pengalaman yang saya lalui sebelum ini.

"Ini adalah tuntutan wajib buat diri saya. Dengan kelebihan yang Allah anugerahkan kepada saya, saya perlu laksanakan amanah ini biarpun berat, sebagai usaha saya membantu menyemarakkan agama Allah di muka bumi yang bertuah ini," ujarnya bersungguh-sungguh mengakhiri pertemuan kami pada petang itu.

catitan :

Benarlah bahawa Hidayah Allah hanya untuk hamba yang dikehendaki-NYA sahaja. Selagi hayat dikandung badan, kita mesti hapuskan gerakan mengkristiankan umat Islam di Malaysia. Semakin lambat kita bertindak, ditakuti bilangan orang murtad ini akan bertambah. Bertindaklah, walau dengan apa jua sekalipun, paling tidak kita doakan kesejahteraan dan keselamatan umat Islam dari fitnah Kristian ini selepas solat fardhu. Apa yang paling saya kesalkan bahawa isu ini dipandang sepi oleh sesetengah pihak dan kita tidak boleh lagi menuding jari serta mengharapkan kepada kerajaan, JAKIM Jabatan Agama Negeri dan sebagainya, Syiar Islam itu diamanahkan kepada setiap individu Islam dan bukannya kepada kerajaan atau mana-mana pertubuhan sekalipun.

Ustaz Harun Din adalah ulama yang amat disegani dan saya sungguh sedih melihat ulama seperti beliau seolah-olah tiada tempat dalam masyarakat kita. Sukar untuk kita lihat wajah beliau di kaca televisyen sedangkan ilmu yang beliau miliki amat penting untuk kita sama-sama kongsi,pelajari dan amalkan. Rancangan Forum Perdana kini gagal menarik minat penonton Islam termasuk bukan Islam kerana kita kehilangan ulama-ulama seperti Ishak Baharom, Badrul Amin, Harun Din, dan ramai lagi. Sayang mereka yang berbakat dan mempunyai aura diketepikan begitu sahaja kerana perbezaan ideologi politik.

Sunday, March 21, 2010

Tak Ada Kesudahannya...

Terima kasih kerana sudi membaca di blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Bayi Dijumpai Di Tempat Buang Sampah
KESIAN... Bayi perempuan yang dijumpai ditinggalkan di tempat pembuangan sampah oleh orang ramai yang lalu lalang di Jalan Medan Ipoh 1, petang semalam. Bayi yang dilahirkan cukup sifat itu kini menerima rawatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB). - Foto BERNAMA
IPOH: Seorang bayi perempuan yang berbalut dengan sehelai kain dijumpai ditinggalkan di tempat pembuangan sampah di sebuah pusat membeli belah di sini semalam.
Bayi yang baru dilahirkan itu dijumpai oleh orang ramai yang lalu lalang di kawasan itu dan telah dikejarkan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini.
Timbalan Pengarah HRPB, Dr Raimi Goon berkata bayi yang cukup sifat itu telah dikejarkan ke hospital berkenaan selepas dijumpai oleh orang awam pada kira-kira 6 petang.
Beliau berkata bayi tersebut sihat dan tidak mengalami sebarang kecederaan.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner (ACP) Azisman Alias berkata polis telah menerima laporan mengenai penemuan bayi berkenaan dan sedang menyiasat.
Beliau meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat diminta menghubungi mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan. - BERNAMA

Friday, March 19, 2010

Cerita Menarik Dua Pelajar Cemerlang SMKBS.

Terima kasih kerana sudi membaca di blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Belum terlewat untuk saya  bercerita kisah dua orang pelajar yang cemerlang baru-baru ini. Saya tidak berminat mengetengahkan kisah pelajar perempuan dari Sarawak, sebab latar belakang keluarganya agak membanggakan.

Cerita saya berkisar tentang kejayaan pelajar sekolah luar bandar tempat saya bertugas. Kedua-duanya lelaki, dari latar belakang yang hampir sama. Bukan daripada keluarga kaya, dan hanya lebih pada semangat dan kekuatan jiwa.  

Azmer (kiri) dan Abdullah telah membuktikan mereka 
berjaya biarpun menghadapi dugaan perit dalam hidup

Muhammad Azmer Reza, mendapat keputusan 9A1B. Dia anak sulung yang terpisah daripada adik beradik lantaran perceraian ibu bapa. Awal tahun 2009, tahun yang sama dia mengambil SPM, adik-adiknya yang tinggal bersama ayahnya di Negeri Sembilan, telah terlibat dalam satu kemalangan jalan raya. Tiga orang adiknya itu meninggal dunia. Tetapi Azmer berjaya membuktikan bahawa tragedi tersebut tidak menghalangnya mencapai keputusan cemerlang dalam SPM.
Abdullah Sulaiman, mendapat 9A1C. Anak pekerja am Pusat Pertanian Lekir,  manakala ibunya lumpuh dan tidak mampu berjalan. Rumahnya buruk dan kehidupannya sederhana. Dia bukan berasal daripada pelajar cemerlang. Keputusan UPSRnya hanya 2A, tetapi berkat ilmu yang dipelajari, dia berjaya membuktikan kemiskinan dan penderitaan ibunya bukan penghalang untuknya berjaya.

Kedua-dua pelajar ini hanya mendapat sentuhan guru yang bersemangat dan kelas Yayasan Al-Bukhari. Sekalung penghargaan kepada Tan Seri Mokhtar Al-Bukhari, yang menyumbangkan wang untuk membantu anak-anak luar bandar mendapatkan tuisyen percuma. 

Di sebalik kejayaan ini, beberapa nama yang sekolah letakkan sebagai sasaran dalam kumpulan cemerlang, tercicir apabila keputusan diumumkan. Rupa-rupanya, mereka kehilangan haluan semasa menghampiri SPM. Ada yang 'bercinta monyet', menyebabkan hilang fokus dan pedoman. Apabila keputusan sudah keluar, mereka hanya mampu menyatakan kekesalan.
Tahniah kepada yang berjaya. Kepada yang kurang berjaya, binalah kembali keyakinan diri. Jangan anggap kegagalan sebagai penamat. Ingatlah kata HAMKA, "Jangan ketawa melihat orang lain jatuh. Daripada kejatuhan, orang bisa bangun kembali. Tapi yang ruginya, apabila jatuh, kita tidak bisa bangun semula.."

Tuesday, March 9, 2010

Kahwin Terlalu Muda, Banyak Mudaratnya..

Terima kasih kerana sudi membaca di blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Apabila membaca berita perkahwinan seorang gadis sunti yang sebaya anak kedua saya, membuatkan saya terpana, kelu tidak berkata apa-apa, melainkan beristighfar sebanyak mungkin.

Pada pandangan saya, gadis 11 tahun yang berkahwin itu tidaklah boleh disamakan dengan suasana datuk nenek moyang kita dahulu.

Pertama, dalam era masyarakat yang semakin mengejar ilmu sebagai bekalan hidup, gadis tersebut perlu juga ilmu di samping menempatkan diri di bangku sekolah.

Kedua, zaman datuk nenek kita dahulu, mereka matang lebih cepat daripada usia, sebab keadaan masyarakat ketika itu menuntut perkahwinan usia awal. Ia sama sekali tidak boleh disandarkan dengan situasi kini. Gadis 11 tahun masa kini masih berhingus dan memerlukan bimbingan ibu bapa berbanding suami.

Ketiga, bukanlah menidakkan jodoh pertemuan, tetapi perkahwinan semuda ini dibimbangi mencetuskan tempoh rumah tangga yang tidak lama, apatah lagi si suami sangat berusia.

Dalam hal ini, saya menyesali tindakan bapa gadis berkenaan, yang pada hemat saya, membuat keputusan yang tergesa-gesa.

Saya mendoakan perkahwinan isteri muda (yang difahamkan isteri keempat suaminya) dapat bertahan sehingga ke akhir hayat.


Monday, March 8, 2010

Orang Mati Bangunkan Orang Hidup

Terima kasih kerana sudi membaca di blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Saban pagi, radio IKIM sering mengalunkan zikir dan tasbih yang disampaikan oleh suara lunak Ustaz Asri. Meskipun jasadnya sudah tiada, tetapi alunan suaranya yang bertenaga amat menyenangkan, malah menjadi halwa telinga  pendengar stesen radio berkenaan.

"Bangun,..bangun..orang mati dah gerak(bangunkan) orang tidur," kata isteri kepada anak-anak yang masih diulit mimpi.

Sekali dengar, bunyinya macam tidak logil, tetapi hakikatnya, suara arwah Ustaz Asri sememangnya mampu membangunkan anak-anak saya untuk menyiapkan diri dan solat sebelum ke sekolah.

Biarpun Ustaz Asri sudah meninggalkan kita, legasinya tetap berterusan melalui sumbangan suaranya dalam bentuk lagu nasyid dan zikir-zikir.

Sayangnya, lagu dan zikir mengingati Allah hanya dimainkan di beberapa buah stesen radio, termasuk IKIM.FM, manakala yang lainnya bagaikan tidak memberi peluang kepada lagu seumpama ini diperdengarkan di stesen radio mereka.

Monday, March 1, 2010

Orang Semakin Berani Berzina Secara Terbuka?

Terima kasih kerana sudi membaca di blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Sedih sungguh saya dengan apa yang berlaku terhadap seorang kanak-kanak yang seusia dengan si bongsu saya, sehingga tidak sedar air mata bergenang membaca kisahnya diperlakukan dengan kejam oleh seorang lelaki.

Setelah beberapa hari, kita semakin jelas dengan apa yang berlaku. Rupanya, lelaki pembunuh itu adalah teman lelaki, dan bukan muhrim ibunya yang masih lagi isteri kepada seorang banduan di penjara.

Apa yang lebih membingungkan, masyarakat sekitar ditipu hidup-hidup dengan lakonan kedua-duanya termasuk ayah wanita berkenaan. Apa yang pasti, masyarakat kita berdepan dengan golongan yang berani berzina secara terang-terangan, tanpa rasa bersalah pada agama dan undang-undang.

Penduduk marah, dakwa ditipu (UTUSANONLINE)

Oleh ZAINAL AZHAR MOHAMED

HULU SELANGOR 28 Feb. – Beberapa hari selepas insiden yang meragut nyawa Allahyarham Syafiah Humairah Sahari, penduduk di Taman Batu 30 di sini melahirkan rasa marah dan kecewa kerana ditipu oleh ibu dan teman lelaki kanak-kanak malang tersebut.

Rata-rata penduduk yang tinggal di kawasan perumahan itu mendakwa, mereka selama ini ditipu pasangan tersebut yang mengatakan kononnya mereka suami-isteri.

Namun, insiden yang menimpa Allahyarham Syafiah Humairah pada Khamis lalu akhirnya membongkar rahsia pasangan itu apabila mereka sebenarnya masih belum mempunyai ikatan.

Berikutan rasa marah terhadap pasangan tersebut, beberapa individu bertindak menconteng dinding hadapan rumah suspek menggunakan cat hitam dengan perkataan ‘pembunuh’.

Menurut penduduk, dalam ‘sandiwara’ itu, teman lelaki wanita tersebut yang merupakan pemandu teksi tidak berasa segan untuk memperkenalkan anak lelaki berusia setahun enam bulan sebagai anak mereka.

Ahli jawatankuasa surau taman itu, Khalid Abdul Hamid, 43, berkata, sejak mengenali pasangan tersebut awal tahun lalu, penduduk pernah bertanya kepada bapa suspek mengenai status hubungan mereka.

“Ketika ditanya, bapa suspek yang tinggal sekali di rumah itu berkata, dia mengaku telah menikahkan mereka.

“Selepas itu, kami cuba meminta bukti hubungan mereka, namun keluarga terbabit tidak memberi kerjasama dan hanya cuba meyakinkan penduduk melalui percakapan,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Allahyarham Syafiah Humairah mati akibat didera oleh teman lelaki ibunya di padang bola berhampiran rumah mereka di Kampung Batu 30, Ulu Yam Lama dekat Batang Kali pada Khamis lalu.

Kanak-kanak malang terbabit sebelum itu dihantar ke wad kecemasan Hospital Kuala Kubu Bharu oleh suspek yang mendakwa mangsa terbabit dalam kemalangan jalan raya.

Namun, pihak hospital yang curiga dengan tingkah laku lelaki itu menghubungi polis kira-kira pukul 11 malam untuk memaklumkan mengenai kemungkinan kematian kanak-kanak itu akibat didera.

Berikutan itu, suspek yang berusia 28 tahun kemudian ditahan bagi membantu siasatan.

Khalid menambah, berikutan tiada gangguan daripada penduduk, pasangan tersebut tinggal seperti suami isteri meskipun pada hari-hari tertentu.

Seorang lagi penduduk, Muhd. Halilur Rahman, 32, memberitahu, sebagai penduduk, mereka berasa terkilan dengan penipuan itu dan berasa bersalah terhadap insiden yang menimpa mangsa.

“Akibat mempercayai penipuan itu, nyawa seorang kanak-kanak telah melayang dan tragedi itu tidak akan kami lupakan.

“Kami juga meminta maaf kepada orang ramai dan keluarga mangsa kerana tidak membantu Syafiah Humairah ketika dia dipukul oleh konon bapanya di tepi padang pada hari kejadian,” ujarnya.

Jiran suspek, Rafani Osman, 56, pula memberitahu, dia tinggal berjiran dengan keluarga terbabit yang berpindah dari Melaka kira-kira 15 tahun lalu namun tidak pernah melihat Syafiah Humairah menangis.

“Saya hanya melihat ibu mangsa sahaja yang selalu memandu teksi Mat (suspek) meronda di kawasan taman bersama anak mereka berusia setahun enam bulan.

“Walaupun tidak rapat dengan keluarga mereka tetapi saya dan semua orang tahu Mat adalah seorang yang bermasalah,” ujarnya yang tinggal selang empat buah rumah dengan keluarga suspek.

Tambahnya, penduduk taman itu bagaimanapun ternyata terkejut apabila mengetahui kanak-kanak malang itu mati selepas didera suspek dan pasangan terbabit juga tidak pernah bernikah sebelum ini.


MENJALA TALAPIA

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini. Agak lama juga saya tidak menjala ik...