Thursday, July 22, 2010

PERPADUAN PERLU DIPERKASAKAN

Terima kasih kerana sudi membaca di blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Malaysia merupakan sebuah negara yang kaya dengan kepelbagaian kaum, budaya dan agama. Setiap individu memainkan peranan agar perpaduan antara kaum dapat dipupuk secara mapan. Peristiwa 13 Mei 1969 menjadi titik tolak ke arah pembinaan perpaduan kaum yang lebih kukuh seiring dengan kemajuan negara. Melalui Dasar Ekonomi Baru (DEB), kerajaan berjaya merapatkan jurang perbezaan masyarakat luar bandar dan bandar, khususnya dalam kegiatan berorientasikan ekonomi.
Beberapa tindakan perlu dilaksanakan dalam usaha memupuk persefahaman rakyat pelbagai keturunan agar lebih memahami aspirasi negara. Kerajaan telah mewujudkan Program Latihan Khidmat Negara atau PLKN bermula pada tahun 2003, yang antara lain bertujuan membentuk jati diri remaja yang berwibawa dan terampil. Melalui program ini, khidmat masyarakat, malam kebudayaan dan aktiviti berkumpulan akan memupuk perpaduan, di samping mengeratkan hubungan remaja yang menyertai kem ini. Malam kebudayaan misalnya, dapat member ruang kepada peserta memahami keunikan budaya kaum lain.
Selain itu, sambutan rumah terbuka pada musim perayaan juga dapat mewujudkan suasana harmoni dan muhibah antara ahli masyarakat. Malah, rakyat dapat meraikan bersama perayaan seperti Hari Raya. Tahun Baru Cina dan Deepavali tanpa prasangka atau prejudis terhadap kaum yang berbeza budaya. Ini sekaligus mengukuhkan ikatan hidup berjiran antara satu sama lain.
Antara faktor lain yang boleh diberi penekanan ialah aktiviti sukan. Kewujudan sukan seperti Liga Malaysia untuk sukan bola sepak, hoki dan bola keranjang dapat merapatkan jurang antara kaum. Sukan tidak seharusnya menjadi milik kaum tertentu. Contohnya, bola sepak dan sepak takraw sering dikaitkan dengan masyarakat Melayu, manakala remaja Cina lebih berminat dengan sukan bola tampar dan bola keranjang. Tembok perbezaan ini harus diruntuhkan supaya penglibatan masyarakat dalam bidang sukan tidak dikelaskan mengikut entiti kaum semata-mata. Natijahnya, kita harus bekerjasama menaikkan nama negara dalam bidang sukan seperti kata pepatah,”sepakat membawa berkat”. Dengan kata lain, sukan mampu menjadi medium untuk merapatkan hubungan rakyat pelbagai keturunan dan budaya.
Kerjasama masyarakat juga boleh dipupuk melalui aktiviti kejiranan seperti bergotong royong atau ‘berderau’. Masyarakat Malaysia terkenal dengan sifat peramah dan mudah membantu. Ini dapat menjadi kunci dalam memupuk semangat kejiranan sama ada di bandar mahupun luar bandar. Kita haruslah membantu mereka yang memerlukan pertolongan, tidak kira warna kulit dan keturunan kerana hakikatnya kita adalah rakyat Malaysia. Oleh yang demikian, setiap ahli masyarakat perlu bersatu padu untuk memastikan kedaulatan negara terpelihara.
Konklusinya, setiap individu memainkan peranan yang penting dalam menjayakan hasrat dan gagasan 1Malaysia, seperti yang dicanangkan oleh Perdana Menteri. Melalui perpaduan yang kukuh, kita akan dapat membina negara bangsa yang cemerlang, gemilang dan terbilang bak kata pepatah, “perpaduan asas kejayaan.”

Friday, July 16, 2010

Remaja Wajar Menghargai Kasih Sayang Ibu Bapa

Terima kasih kerana sudi membaca di blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Peristiwa seorang pelajar cemerlang dalam UPSR di Kedah lari dari rumah untuk berkahwin dengan teman lelakinya baru-baru ini, amat mengecewakan kita. Lebih malang lagi, apabila pelajar berusia 15 tahun tersebut membuat keputusan terburu-buru sehingga sanggup mengetepikan pandangan ibu yang mengasuhnya sejak kecil lagi.
Hakikatnya, ibu bapa memainkan peranan penting dalam membentuk kesejahteraan institusi keluarga. Tanpa ibu bapa, kita tidak lahir ke dunia ini. Lantaran itu, setiap anak remaja, sepatutnya menghargai jasa dan pengorbanan ibu bapa. Ibu bapa adalah orang yang patut disanjung kerana mereka banyak berkorban untuk membesarkan dan mengasuh anak-anak menjadi manusia. Oleh yang demikian, setiap anak remaja, berperanan untuk membalas pengorbanan ibu bapa mereka.
Al-Quran menganjurkan umat Islam melakukan kebaikan dan menghormati ibu bapa, termasuklah merendah diri ketika bertutur di hadapan mereka. Dari sudut penghormatan, ibu mendapat pengiktirafan yang lebih tinggi kerana mengandung dan melahirkan anak. Jasa ayah pula adalah menyediakan perlindungan dan mencari sumber rezeki untuk menyara keluarga.
Antara perkara yang boleh dilakukan remaja untuk membalas jasa ibu bapa adalah dengan menjaga kebajikan dan prihatin terhadap keperluan mereka. Anak yang telah berjaya misalnya, hendaklah memastikan ibu bapa sebagai orang pertama dalam apa juga urusan. Kejayaan yang dikongsi bersama ibu bapa akan lebih manis dan lebih berkat. Inilah tatacara yang sepatutnya menjadi pegangan anak-anak yang tahu membalas budi orang tua mereka.
Bagi mengenang jasa dan pengorbanan ibu bapa, remaja tidak sepatutnya mengengkari nasihat dan teguran ibu bapa. Barangkali, kisah dongeng tragis Si Tanggang, wajar dijadikan panduan hidup. Tanggang menjadi batu setelah terkena sumpahan ibu yang terlalu hiba dek perbuatan derhakanya. Kisah ini harus menjadi teladan kepada remaja dalam mengharungi kehidupan yang penuh pancaroba kini.
Segala tunjuk ajar daripada ibu bapa, harus dipatuhi kerana mereka lebih dahulu makan garam daripada kita yang bergelar anak. Berdasarkan pelbagai peristiwa yang berlaku kini, sewajarnya kita mengangkat kembali martabat ibu bapa ke tempat yang sepatutnya.
Remaja yang masih belajar, haruslah menggunakan peluang untuk mencapai kejayaan dalam pelajaran dan peperiksaan. Keputusan yang cemerlang sudah tentu menjadi satu cara membalas jasa ibu bapa. Selagi berkesempatan, kita harus memberi penghargaan agar mereka berbangga melihat anak-anak menjadi insan yang berguna untuk bangsa dan negara.
Oleh itu, remaja harus mengenang dan menghargai jasa ibu bapa selama mereka hidup atau selepas mereka tiada di dunia ini. Sesungguhnya, nilai diri ibu bapa tidak dapat ditukar ganti biarpun dengan segunung intan. Pepatah syurga di bawah telapak kaki ibu harus disemat di dalam jiwa agar kita kekal tidak dianggap anak derhaka.

Tuesday, July 13, 2010

Mencabul Perbuatan Hina.

Terima kasih kerana sudi membaca di blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Tabiat meraba tubuh badan orang lain boleh dikelaskan sebagai mencabul kehormatan. Cabul, atau perbuatan tidak senonoh, sering dilakukan oleh orang yang tidak bertanggungjawab terhadap orang lain, khususnya wanita. Bagaimanapun, ia tidak terhad kepada wanita muda sahaja. Ada juga mangsa cabul terdiri daripada budak lelaki, wanita tua dan seumpamanya.

Apakah yang menyebabkan tabiat buruk ini berlaku? Sebenarnya, banyak sebab dan faktor berlakunya perbuatan mencabul kehormatan. Antaranya ialah latar belakang pencabul yang kebiasaannya menghadapi masalah psikologi. Selain itu, pendidikan yang diterima daripada ibu bapa, di samping kurang pegangan agama menyebabkan seseorang itu akan terdorong melakukan perbuatan buruk ini.

Saturday, July 10, 2010

Keburukan Penggunaan Telefon Bimbit Dalam Kalangan Pelajar Sekolah

Marcapada ini, telefon bimbit menjadi satu daripada alat komunikasi yang menguasai dunia tanpa memilih usia, status dan kedudukan ekonomi seseorang. Tidak hairanlah telefon bimbit menjadi medium penting untuk masyarakat berinteraksi dalam dan luar negara. Namun begitu, penggunaan telefon bimbit mendatangkan pelbagai kesan buruk terhadap pengguna, khususnya pelajar sekolah. Dalam kalangan pelajar sekolah hari ini, telefon bimbit sinonim dengan mereka. Malah, ada ibu bapa yang berkemampuan menyediakan telefon bimbit untuk kegunaan anak-anak.

Malangnya, ada pelajar yang menyalahgunakan teknologi ini demi keseronokan dan kepuasan jiwa. Mereka gemar berbual dengan rakan sebaya sehingga lewat malam. Ini menyebabkan masa untuk mengulangkaji pelajaran terbuang begitu sahaja. Apabila lewat tidur, tentulah masa tidur tidak mencukupi. Ini pasti menjejaskan prestasi mereka semasa di dalam kelas. Akibatnya, mereka tidak mampu memberikan tumpuan yang sepenuhnya semasa guru sedang mengajar.

Lebih membimbangkan, telefon bimbit menjadi alat menyebarkan bahan lucah. Dengan kemampuan telefon bimbit menghantar dan menerima mesej SMS dan MMS, segelintir pelajar sanggup merakam dan memuat turun klip video, menyimpan dan mengedarkan foto lucah dan seumpamanya. Menurut statistik PDRM, jenayah rogol dan cabul meningkat akibat salah guna telefon bimbit. Lebih buruk lagi, remaja sekolah mudah terdorong dengan ‘cinta monyet’ yang boleh mendatangkan keburukan kepada diri mereka, terutama bagi remaja perempuan. Sesetengah mesej lucah yang disebarkan boleh menjatuhkan maruah dan harga diri seseorang remaja. Ia juga menggalakkan pergaulan yang tidak sihat seperti hubungan seks bebas dan perzinaan. Inilah punca yang mengakibatkan kes pembuangan bayi persis zaman Jahiliah di Tanah Arab dahulu.

Selain itu, telefon bimbit turut mendatangkan masalah terhadap keputusan akademik pelajar kerana mereka teruja untuk menggunakan perkakasan tersebut berbanding mentelaah buku pelajaran. Sikap suka bertangguh akan mula bertapak di dalam jiwa kerana terlalu obses dengan telefon bimbit. Ini sekaligus menyebabkan prestasi mereka merudum, apatah lagi jika mereka diberi ruang menggunakannya pada usia yang masih belasan tahun.

Penggunaan telefon bimbit juga menyebabkan masalah kewangan. Ada pelajar sekolah yang sanggup mengikat perut semata-mata untuk memastikan telefon mereka mempunyai baki kredit prabayar. Selain itu, ada pelajar yang sanggup berbohong terhadap ibu bapa semata-mata untuk mendapatkan duit poket yang lebih. Secara purata, seorang pelajar sekolah memerlukan antara RM20 hingga RM30 sebulan untuk membiayai nilai tambah kad prabayar mereka. Ini tentulah dianggap suatu pembaziran kerana pesanan SMS dan perbualan berkenaan tidak penting dan hanya celoteh kosong sahaja.

Ada segelintir pelajar menganggap telefon bimbit lambang kekayaan. Bagi sesetengah ibu bapa yang berkemampuan, mereka membeli telefon bimbit yang canggih kepada anak-anak. Sikap suka menunjuk-nunjuk dan menayangkan kepada rakan-rakan sebaya membuka ruang kepada persaingan yang tidak sihat. Alangkah baiknya jika wang menukar beli telefon tersebut digunakan untuk tujuan lain yang lebih berfaedah.

Telefon bimbit juga menyebabkan segelintir pelajar menipu dengan membuat panggilan palsu kepada agensi tertentu. Antaranya, nombor talian 999 untuk kecemasan sering disalahgunakan demi keseronokan yang menyusahkan pihak lain. Mereka harus sedar bahawa penggunaan telefon bimbit yang berterusan dalam tempoh yang lama juga, boleh mendatangkan kesan kepada otak seperti peningkatan sel-sel barah.

Konklusinya, teknologi komunikasi seperti telefon bimbit bergantung kepada niat penggunanya. Sebagai pelajar, kita harus bijak menggunakan peranti teknologi maklumat ini dan tidak menyalahgunakannya untuk tujuan yang sia-sia.

Monday, July 5, 2010

Pendidikan Seks

Terima kasih kerana sudi membaca di blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Akhir-akhir ini, kebejatan sosial remaja semakin membimbangkan. Pelbagai pihak tampil memberi pandangan dan cadangan untuk mengatasi masalah ini, khususnya pembuangan daripada perzinaan dan persundalan.
Hakikat yang perlu kita telan adalah longgarnya hubungan kemanusiaan yang wujud dalam kalangan masyarakat hari ini. Ini menjadi punca mengapa gejala seks bebas dan persundalan menjadi-jadi. Hubungan antara ibu bapa yang longgar dan rapuh turut menjadi sebab anak-anak remaja hilang punca dan menjadikan rakan sebaya sebagai tempat mencurahkan masalah.

Selain itu, longgarnya hubungan dengan Allah juga menjadi sebab mengapa anak remaja hari ini tidak betah dengan hukum agama. Mereka tidak takut, malah berani melakukan perbuatan yang dianggap dosa besar tanpa memikirkan akibatnya. Mereka juga hilang rasa malu melakukan adegan tidak senonoh di khalayak ramai. Masyarakat pula lebih selesa membiarkan ia berlalu, sebab 'ia bukan anak saya', menyebabkan persundalan sebegini semakin diterima sebagai satu norma dalam masyarakat.

Hidup bertunjangkan nafsu dan berpaksikan hedonisme, menjadikan anak-anak remaja kita dibuai dalam suasana yang menakutkan. Takut bagi kita, tapi bagi mereka, ia suatu kenikmatan hidup. Kita sering menyalahkan anak-anak remaja ini, tetapi sejauh manakah kita berusaha membantu mereka? 

Ibu bapa sibuk dengan tugas dan kerjaya, manakala guru bergegas menghabiskan silibus dan kehendak KPM yang kadangkala tidak masuk akal. Nilai murni dalam masyarakat juga semakin terhakis dek kemajuan yang tidak diiringi kemantapan rohani.

Jadilah anak-anak remaja ini elok di luar, tapi buruk di dalam. Ramai dalam kalangan anak remaja kita hari ini kosong jiwanya, dan lemah imannya. Apakah usaha kita? Cukupkah dengan menubuhkan 'Baby Hatch' dan Pendidikan Seks semata-mata?

Pendidikan Seks ibarat mengajar mereka berzina dengan lebih terancang. Nauzubillah..


Thursday, July 1, 2010

Menabung Atau Melabur?

Terima kasih kerana sudi membaca di blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Mempunyai wang adalah sesuatu yang amat didambakan oleh hampir semua manusia. Ada manusia sanggup berbunuh dan menggadai maruah diri hanya disebabkan wang. Hakikatnya, jika mempunyai wang, manusia perlu mengawal perbelanjaan agar tidak menggunakan wang secara boros.

Ada dua cara mengelakkan pembaziran yang melampau, iaitu melalui menabung dan melabur. Kedua-duanya mempunyai kelebihan dan kekurangan. Menabung iaitu menyimpan sejumlah wang di dalam akaun tertentu untuk kecemasan. Ada juga kaedah menyimpan secara konservatif, iaitu menyimpan wang di bawah bantal dan tilam. Kaedah ini tidak membantu ekonomi berkembang sebab wang tidak 'bergerak dalam pasaran'.

Jika melabur, pastikan institusi pelaburan yang disertai adalah dijamin oleh kerajaan. Jika tidak, meloponglah anda sekiranya ditipu hidup-hidup oleh golongan yang pandai memanipulasi kata-kata dan gaya.

MENJALA TALAPIA

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini. Agak lama juga saya tidak menjala ik...