Sunday, April 29, 2012

RUSUHAN BERSIH 3.0 MENGAJAR PESERTA JADI BIADAB

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.


Seluruh negara dikejutkan dengan berita rusuhan BERSIH 3.0 yang diadakan di Kuala Lumpur pada Sabtu lalu. Bagi majoriti rakyat yang cintakan keamanan dan ketenteraman, berita seperti ini adalah satu malapetaka yang wajar diambil iktibar. Tunjuk perasaan tersebut disertai lebih 30 ribu orang dengan alasan untuk menuntut ketelusan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) mengendalikan pilihanraya. Ironinya, mereka juga melakukan tindakan sama melalui BERSIH 2.0 yang diadakan tahun lalu dengan menuntut pelbagai perkara, termasuk penggunaan dakwat kekal semasa pengundian. Tuntutan berkenaan diperhalusi oleh Jawatankuasa Khas Penambahbaikan PRU. Wakil pembangkang turut dijemput menyertai jawatankuasa ini, tetapi malangnya ia tidak dipedulikan oleh gabungan Pakatan Rakyat. Kebanyakan tuntutan tersebut dipenuhi dan dipertimbangkan oleh SPR setelah mengambil kira keputusan jawatankuasa berkenaan. 

Sepanjang rusuhan dan tunjuk perasaan berlaku, Kuala Lumpur berada dalam suasana tegang dan tidak selesa untuk dikunjungi. Apabila rusuhan terjadi, tentulah penganjur BERSIH patut memikul tanggungjawab terhadap perilaku ‘hooligans’ BERSIH 3.0 yang tampak bagai tidak bertamadun dan beradab apabila merosakkan kenderaan polis dan mencederakan penjawat awam.
            Ironinya juga, Pengerusi penganjur, Datuk S. Ambiga meminta pihak polis melakukan siasatan dan sedia membantu penyiasatan terhadap pihak yang melanggar undang-undang negara. Bagaimana Ambiga ingin membantu, sedangkan dia sendiri berada dalam kelompok rakyat yang tidak menghormati undang-undang? Untuk mendengar permintaan maaf daripadanya jauh sekali. Umum menyedari, jumlah peserta BERSIH yang ramai, bukanlah sesuatu yang mudah untuk dikawal, baik oleh penganjur, mahupun pihak polis.  

            Sebelum ini, Dewan Bandar Raya Kuala Lumpur (DBKL) menolak permintaan penganjur untuk mengadakan tunjuk perasaan secara aman di Dataran Merdeka, sebaliknya menawarkan beberapa lokasi yang lebih sesuai demi keselamatan orang ramai. Ini tidak dipatuhi oleh Ambiga dan konco-konconya, sehingga menyebabkan apa yang dibimbangi, telah berlaku pada siang Sabtu 28 April lalu. Bukankah ini jelas menunjukkan Ambiga dan pengajur BERSIH 3.0 sebenarnya obses dengan tindakan rusuhan ini? Sudah terang lagi bersuluh, niat mereka sebenarnya bukan ditujukan kepada SPR, sebaliknya cuba menyampaikan mesej kepada majoriti rakyat, bahawa mereka sanggup melanggar undang-undang dan memperjudikan imej negara di mata dunia luar semata-mata untuk mengambil alih pemerintahan negara melalui tindakan kekerasan.
           

Tuesday, April 17, 2012

Teluk Rubiah: Antara Realiti Dan Sejarah

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Teluk Rubiah, terletak di Manjung, Perak merupakan sebuah kawasan yang amat 'dekat' di hati saya, sebagaimana dekatnya jarak kampung saya dengannya. Kawasan pantai bersih dan kaya dengan nilai sejarah dan dongeng yang unik serta penuh dengan tarikan tersendiri. 

Semasa kecil, kami berbasikal untuk mandi-manda di pantainya. Ada bukit yang agak tinggi dengan kesan tinggalan lombong yang pernah diteroka pada zaman penjajah, tetapi kini hanya tinggal puing-puing yang bersemadi di sebalik lipatan sejarah. Di bukit itu, saya pernah jatuh basikal, kerana lerengnya agak curam dan lutut saya berdarah. Hingga kini, parutnya masih ada. 

Pantainya kaya dengan 'remis', sejenis hidupan seperti kerang berkulit licin dan hampir sama bentuknya dengan 'gayam'. Bagaimanapun remis lebih kecil dan hidup di gigi air. Apabila musim cuti, kami anak-anak kampung dari sekitar Kg. DSK, Permatang dan pasir Panjang Laut akan ke sini mencari remis. 

Teluk Rubiah juga, kaya dengan mitos dan dongeng masyarakat setempat. Kononnya, seorang anak pembesar dari Pulau Sumatera, membawa diri ke sini setelah ditunangkan dengan seorang jejaka keturunan bangsawan juga. Malang bagi si gadis, yang namanya Rubiah, dia mengalami kecacatan sejak kecil iaitu hanya mempunyai satu payu dara. Rasa malu dan rendah diri, takut kecacatannya menjejaskan kebahagiaan suami isteri, Rubiah nekad membawa diri ke sebuah teluk. Setibanya di teluk tersebut, Rubiah mengikat sampannya di rumpun buluh, dan menjejakkan kaki buat pertama kalinya di tempat yang asing dari keluarganya. Rubiah membina periginya, berdekatan batu dan tinggal di gua dekat dengan tanjung.

Hingga kini, tapak kaki Rubiah, masih boleh dilihat di batu berdekatan tanjung. Sebelah tapak kakinya ada di sekitar perigi, manakal sebelah lagi di sebalik tanjung. Guanya masih ada. Begitu juga dengan rumpun buluh tempat perahunya diikat. Malah, periginya juga kelihatan jelas terutama ketika air surut. 

Teluk Rubiah pernah menjadi kawasan perkelahan eksklusif dengan padang golf 36 lubang, dikenali sebagai Teluk Rubiah Country Club. Kelab Guru SMK Batu Sepuluh, Lekir pernah mengadakan majlis Hari Keluarga pada tahun 2008. 

Hari ini, Teluk Rubiah tidak lagi dikenali sebagai pantai peranginan, sebaliknya ia menjadi pusat pengedaran bijih besi syarikat Vale, dari Brazil. Dengan komitmen padu syarikat tersebut terhadap alam sekitar, saya percaya Teluk Rubiah akan kekal sebagai kawasan unik dan bersejarah.

Foto semasa majlis dialog wakil Majlis Belia Daerah Manjung dan pengurusan Vale
Kawalan dibuat untuk memastikan keselamatan kawasan terjamin

Secara peribadi, saya berasakan satu 'kehilangan' apabila Teluk Rubiah dijadikan Pusat Pengedaran Bijih Besi syarikat Vale. Bagaimanapun, melalui majlis dialog wakil Majlis Belia Daerah Manjung dan pengurusan Vale yang diterajui oleh En. Williams, dan eksekutif seperti Rafidah Mansor, mereka meyakinkan kami bahawa pihak Vale komited menjaga persekitaran Teluk Rubiah dan mengekalkan nilai sejarah yang ada padanya.

Saya berharap, selepas kilang ini beroperasi nanti, ia masih mengekalkan keindahan pantai dan tempat-tempat sejarahnya, seperti yang dijanjikan kepada masyarakat Manjung. 

Saturday, April 14, 2012

Pandanglah Pada Nasihat, Bukan Pada Pemberi Nasihat

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Seorang guru masuk ke kelas lalu meminta pelajarnya mengikut apa yang disuruh, sambil dia sendiri melakukannya.

"Baiklah, hari ini cikgu mahu kamu ikut apa yang cikgu suruh, boleh?" Dia bertanya kepada para pelajarnya.

Semua pelajarnya teruja dan menurut apa yang disuruhnya.

"Angkat tangan kanan kamu.." Kata guru tersebut, lalu dia mengangkat tangan bagi memudahkan pelajar mengikut pergerakannya. Semua mata pelajar tertumpu kepadanya sambil menurut gerakan yang dibuatnya.

"Sekarang, letak tangan kanan di dada, dan dengar degup jantung kamu."

Semua pelajar melakukannya sambil mata mereka masih terpaku kepada guru yang berada di hadapan.

"Sentuhkan jari telunjuk tangan kiri kamu pada dahi.." Kata guru itu, sambil meneyentuh tangan kirinya pada dagu, bukannya dahi seperti yang dia arahkan.

Ketika itu, ada pelajar yang melakukan gerakan menyentuh dahi, dan ada juga yang menyentuh dagu. Sesetengahnya keliru dan kemudiannya ketawa kecil. 

"Cikgu salah!" Kata seorang pelajarnya.  Mereka kemudian ketawa dan kelas pun menjadi riuh rendah. 

Apabila keadaan kembali tenang, guru itu pun berkata kepada muridnya, "Saya minta kamu ikut arahan saya, bukan?"

Semua mengangguk. 

"Tapi kamu lakukan apa yang saya buat... Bukannya apa yang saya suruh." Guru itu menjelaskan maksud tersirat dalam 'induksi set' sebentar tadi.

"Moralnya, dengar dan ikutlah apa yang dikata, bukan apa yang dibuat."Kata guru itu lagi.

Pengajaran: Kita harus menerima nasihat yang diberikan, bukan melihat siapa yang memberi nasihat. Sebagai contoh, jika penagih dadah memberi nasihat, kita harus menerimanya sebagai satu teladan. Jika kita mempertikaikan kelayakannya orang seperti itu untuk memberi nasihat, kita sebenarnya adalah manusia sombong dan ego dengan diri sendiri.

MENJADI TUA ADALAH FITRAH, BUKAN SEMUA INSAN MENIKMATINYA

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini. Pagi Rabu 11 .12.2024, menjadi tarik...