Monday, January 30, 2023

HEBATNYA ALLAH MENCIPTA SUKUR IBRAHIM

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.
Saya dan Kapten Nizam (Timbalan YDP PIBG) 
mendengar celoteh Sukur Ibrahim

Sukur Ibrahim bukanlah nama kecil dalam dunia motivasi di Malaysia. Orangnya lahir tanpa fizikal yang lengkap. Dengan ketinggian tidak sampai 1 meter, anak tentera ini membesar tanpa kaki dan tangan sempurna sejak lahir.   

Hari ini nama Sukur Ibrahim mekar mewangi dikenali sebagai individu berhati waja, yang memberikan motivasi di mana mana, dan mengusahakan syarikat pemasangan karpet serata Malaysia.

Saya berpeluang mengikuti sesi motivasi yang disampaikannya di Dewan Sidek, Pangkalan TLDM Lumut sempena program keibubapaan anjuran SMKPTLDM Pada Sabtu 28 Januari 2023. Program tersebut ditaja oleh Yayasan LTAT untuk sekolah dalam kem, dan SMKPTLDM adalah satu-satunya sekolah menengah di daerah Manjung yang menerima peruntukan tersebut.  

Semasa kecil Sukur seorang pemalu dan tiada keyakinan diri, kerana kekurangan dirinya. Malah dia pernah mahu berhenti sekolah kerana tidak tahan dilayan dan dihina oleh rakan rakan sekolah kerana fizikalnya tidak serupa orang lain. 

Sokongan ibu bapanya menjadikan Sukur tidak patah semangat dan akhirnya berjaya menamatkan pengajian peringkat ijazah di UKM. Untuk membina keyakinan diri, ia bukan proses mudah dan cepat. Prinsipnya KEJAYAAN DICIPTA OLEH INSAN BIASA YANG BERUSAHA SECARA LUAR BIASA membuktikan sesiapa sahaja boleh mencapai impian asalkan tidak putus asa. 

Semoga sesi motivasi oleh Sukur Ibrahim dapat menyuntik semangat kepada kita semua.


Sesi bergambar dengan Sukur Ibrahim selepas program






Thursday, January 26, 2023

MENANGANI TEKANAN PERASAAN (STRES)

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Pada 2018, satu kajian oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) terhadap lebih 48,000 orang guru seluruh negara, mendapati 4.4% atau 2123 orang pendidik mengalami stres tahap sederhana tinggi.

Antara faktor tekanan perasaan yang dihadapi oleh guru adalah masalah keluarga, kewangan, bebanan kerja dan kesihatan. 

Tanda tanda stres pada peringkat awal menyebabkan individu kerap lupa dan hilang fokus untuk sesuatu perkara. Perubahan mood secara tiba-tiba daripada gembira kepada sedih, atau sebaliknya. Pesakit akan kerap bersendirian dan mula mengalami halusinasi, bercakap sendirian dan kemurungan. Emosi pesakit juga sensitif dan mudah terasa dengan sindiran atau teguran. 

Kesannya adalah guru berkenaan tidak dapat memberi fokus kepada pekerjaan, dan boleh bertindak di luar jangkaan normal. 

Kesimpulannya, kesihatan mental perlu diuruskan secara baik dan tidak boleh dibiarkan berterusan. 

Monday, January 9, 2023

Pemuda Yang Baharu Melihat Dunia

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.


Saya suka membaca atau menonton kisah kisah yang memberikan inspirasi. Sebelum ini, ada beberapa posting saya mengisahkan kisah benar dalam masyarakat dunia yang menarik untuk dikongsikan di sini. 

Kisah inspirasi, biasanya menggambarkan perjalanan hidup seseorang dan memiliki mesej moral yang kuat sehingga mempengaruhi orang lain. Dengan adanya kisah inspirasi, secara tidak langsung pembaca juga menjadi bermotivasi, dan mempengaruhi tindakan mereka  kerana rasa semangat dan percaya diri yang kuat.

Ada satu kisah yang menarik tentang perjalanan dalam sebuah kereta api. Seorang remaja lelaki berusia 20-an melihat keluar dari jendela kereta api berteriak, "Ayah, lihat pokok-pokok di belakang! Ia mengejar kita."

Ayah tersenyum, sambil memintanya bertenang. 

Ada pasangan muda yang duduk berhampirannya, melihat sikap keanak-anakan pemuda tersebut dengan kasihan. Mereka berbisik sesama sendiri sambil memandang pemuda tadi dengan pandangan sinis. 

Tiba-tiba dia menjerit lagi, "Ayah, lihat awan berlari bersama kita!" Dia menunjuk-nunjuk ke langit.

Wajah pemuda itu kelihatan sangat ceria dan memandang ke serata alam, sejenak ke atas, sekejap ke hadapan sambil mengomel sendirian. Matanya tidak lepas daripada memandang kecantikan dan keindahan sepanjang laluan kereta api tersebut. 

Pasangan penumpang yang daripada tadi melihat obsesi pemuda itu, beranggapan dia seorang pemuda yang tidak sempurna akalnya. Lalu si lelaki pun memberanikan diri berkata kepada lelaki tua itu, "Maafkan saya, sepatutnya tuan bawa anak tuan ini bertemu doktor untuk mendapatkan rawatan. Kasihan, kerana dia seolah olah baharu melihat dunia. Tidakkah anda rasa bersalah membiarkan dia terus menerus obses dengan alam sekeliling?"

"Bayangkan apa terjadi jika dia terus bersikap begini, pasti orang lain pelik dengan sikapnya." Kata lelaki itu lagi.

Lelaki tua tersebut hanya diam dan memandang wajahnya dengan sambil tersenyum.

"Apakah tuan tidak membawanya untuk rawatan sebelum ini?" Dia bertanya lagi. 

Orang tua itu senyum dan berkata dengan perlahan, "Tuan yang budiman, kami baharu saja pulang dari hospital mata." 

Dia menyambung lagi, "Anak saya buta sejak lahir, dan kami menanti selama 20 tahun, kalau kalau ada orang yang sudi menderma mata untuknya. Baru baru ini ada penderma mata yang baik hati mendermakan sepasang mata yang sesuai untuknya."

"Pihak hospital telah berjaya menggantikan matanya yang buta dengan mata penderma tersebut. Hari ini, balutan matanya dibuka dan dia baharu saja mendapatkan penglihatannya hari ini.” Kata lelaki tua tersebut, menyebabkan pasangan penumpang tersebut terkesima dan terdiam. 

Kesimpulannya, setiap manusia, memiliki jalan cerita dalam kehidupan masing - masing. Jangan kita menilai orang sebelum anda benar-benar mengenali mereka. Bersyukurlah dengan nikmat penglihatan yang Allah berikan, kerana ia percuma dan sangat bernilai. 

MENJALA TALAPIA

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini. Agak lama juga saya tidak menjala ik...