Friday, October 30, 2009

Toman bunga bercorak kalimah "Allah"

Terima kasih kerana sudi singgah di blog ini. Saya amat menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

 
 KEAJAIBAN MAHA PENCIPTA ... Seorang peneroka di Rancangan Tanah Felda Aring Satu, Gua Musang, Mustapha Zakaria menunjukkan ikan toman bunga peliharaannya yang tertera kalimah Allah pada badan ikan itu. Mustapa memelihara ikan itu lebih setahun lalu apabila rakannya memberi ikan tersebut yang dipancing di Sungai Kampung Rasa, Pasir Puteh. Kalimah Allah itu kelihatan lebih jelas menjelang malam ekoran badan ikan yang lebih bercahaya. -Foto BERNAMA

SEORANG peneroka di Rancangan Tanah Felda Aring Satu, Gua Musang, Mustapha Zakaria, 53, tidak sangka ikan toman bunga yang dipelihara lebih setahun lalu ada tulisan kalimah Allah di kedua-dua belah badannya.
Semasa ditemui di rumahnya baru-baru ini, beliau menyedari mengenai perkara itu apabila diberitahu oleh imam rancangan tanah berkenaan, Nordin Ariffin, yang mengunjungi rumahnya ternampak tulisan itu.
"Saya pada mulanya tidak percaya ada tulisan kalimah Allah tetapi selepas saya amati ikan yang saya pelihara di dalam akuarium itu, ternyata ia adalah benar.
"Mungkin ada hikmah di sebalik kejadian itu dan saya tidak bercadang untuk menjualnya walaupun ada peneroka menawarkan harga RM300," katanya.
Mustapha berkata dia memperolehi ikan toman itu daripada rakannya di Kampung Rasa, Pasir Puteh, selepas rakannya memancing di sungai kampung terbabit.
Beliau berkata semasa membawa balik ikan toman itu lebih setahun lalu saiznya lebih kecil dalam sekitar setengah kilogram sahaja tetapi sekarang bertambah besar hingga mencapai lebih satu kilogram.
"Memang pada mulanya saya tidak berniat untuk memelihara lebih lama kerana sebelum ini saya pernah memelihara ikan jenis serupa dan menjualnya kepada orang lain," katanya.
Namun, tambah beliau kali ini dia akan terus menjaga dengan baik ikan toman berkenaan yang semakin bercahaya dan semakin ramai peneroka rancangan tanah terbabit datang melihatnya setiap hari.
"Menjadi hobi saya memelihara ikan dalam akuarium sejak usia remaja lagi tetapi ini adalah pertama kali ikan yang saya pelihara ditemui ada tulisan kalimah Allah.
"Ikan toman ini lebih bercahaya pada waktu malam hingga tulisan kalimah jelas kelihatan," katanya. BERNAMA

NOTA:
Selepas ini, berduyun-duyunlah orang ramai ke FELDA Aring 1, Gua Musang untuk melihat sendiri keajaiban ciptaan Allah. Sebenarnya, tak perlu dihairankan sebab memang Allah berkuasa di atas segala-galanya. 

Sebelum ini, seorang bayi di Rusia menjadi tumpuan media antarabangsa apabila hampir seluruh tubuhnya tertulis dengan ayat-ayat Quran yang silih berganti. 

Jangan jadi kemaruk tengok sejadah berdiri, sudahlah. 

Wednesday, October 28, 2009

Hapah Tak Dikisahnya..

Terima kasih kerana sudi singgah di blog ini. Saya amat menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Pengalaman mendidik pelajar tahap sederhana amat besar cabarannya. Pelajar kelas sederhana, disebut juga kelas hujung, merupakan mereka yang berprestasi rendah, kurang motivasi dan sering menimbulkan masalah disiplin. Selalunya ramai guru mengelak daripada diberikan amanah mengajar di kelas ini, tetapi bagi saya, ia satu anugerah. Lagipun, kalau semua guru tidak mahu mengajar kelas begini, apa pula nasib mereka.



Dalam kalangan pelajar kelas hujung, antara mereka termasuklah dua orang pelajar saya yang bakal menduduki SPM 2009. 



Mereka memang 'pemalu' orangnya. (Foto selepas kantoi ponteng)
 

Pelajar ini saya namakan sebagai "A" dan "F", kedua-duanya lelaki, dan rakan baik. Ke mana sahaja, selalunya mereka bersama. Ponteng kelas sudah seakan biasa. Merokok di tandas pun pernah 'kantoi' tetapi tak serik-serik. 

A berwatak ceria, lebih gelap kulitnya, rendah dan suka tersenyum. Manakala F pula tinggi, tetapi pendiam dan agak 'lembut' aksinya. 


Dari segi akademik, usahlah berharap mereka cemerlang, asal lulus pun sudah memadai. Mereka bukan jenis biadab terhadap guru. Ambillah apa juga tindakan, mereka terima.


Kertas awal yang perlu dijawab adalah Bahasa Melayu iaitu pada 18 November nanti. Maknanya, hanya tinggal 23 hari lagi. Dalam tempoh minggu-minggu terakhir sebelum SPM, kebiasaannya guru akan memberi latih tubi dan latihan pengukuhan berterusan. 

Begitulah rutin kami pada minggu-minggu terakhir sebelum peperiksaan utama. 

Untuk pelajar kelas hujung, mereka perlu 'dikepung' supaya tiada yang bolos ponteng sekolah atau kelas.



Hari ini, A  dan F sempat lagi ponteng kelas saya. Sebelumnya, saya sudah berpesan kepada semua pelajar kelas tersebut, bahawa kelas berjalan seperti biasa. A dan F sempat 'melarikan diri' bersama pelajar tingkatan 4 yang balik awal kerana terlibat dalam peperiksaan akhir tahun.


Saya dapat 'menangkap' mereka  yang hampir melepasi pintu pagar utama. Biarpun sudah dihukum, A dan F tersenyum dan tersengih.

Bagai tiada rasa insaf di hati mereka. Agaknya, mereka berasa selesa melanggar peraturan. Mungkin juga mereka tiada rasa tanggungjawab untuk lulus dalam SPM 2009.


Kata orang Perak, hapah tak dikesahnye...

Tuesday, October 27, 2009

Doktor Kasut (Sajak)

Terima kasih kerana sudi singgah di blog ini. Saya amat menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

(Sajak ini khusus untuk Doktor Kasut seluruh Malaysia)



Doktor kasut itu

Kedut tua memamah wajahnya
Melangkah longlai 
menuju pejabat tanpa hawa dingin
di lalu lalang sibuk 
berbekal benang kasar dan jarum besi
dia menahan pedih mata 
asap dan bunyi kereta warga kota


Seorang gadis melecet kakinya
Dengan senyuman tak lekang
Dia menanti setia
Sepatu tingginya sudah uzur
Biar saja doktor kasut merawatnya
hingga sepatunya kembali dapat berjasa



Doktor kasut itu

Tidak akan kaya harta
Manusia hari ini sudah tidak bisa
merawat kasut mereka
buang saja yang lama
kerana poket dan saku mereka
sentiasa berisi
untuk membeli sepatu baru

Sunday, October 25, 2009

Risiko Rumah Di Tepi Jalan





Terima kasih kerana sudi singgah di blog ini. Saya amat menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.


Tengah hari tadi, sebuah lori kecil membawa peralatan sembahyang Cina terlanggar sebuah rumah., betul-betul di hadapan Warung Selera Kampung, yang menjadi tumpuan masyarakat di sini.

 Kejadian tersebut berlaku terlalu pantas. Mengikut ceritanya, pemandu Cina itu gagal mengawal kenderaan setelah bergesel dengan sebuah lori lain. Akibatnya, dia terbabas sehingga melanggar bahagian tepi rumah tersebut.


Bukan itu sahaja, sebuah Iswara sedan milik tuan rumah yang malang itu turut rosak teruk. Mujurlah tiada kemalangan jiwa. Hanya melibatkan kerosakan rumah dan kenderaan.




Pelik juga jika berumah di tepi jalan. Kemalangan yang tak sepatutnya berlaku, boleh menyebabkan kerugian yang bukan sedikit.

Saturday, October 24, 2009

Kami Berjaya Mengemas Bilik Guru


Terima kasih kerana sudi singgah di blog ini. Saya amat menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Sekalung penghargaan kepada semua yang menjayakan Gotong Royong Mengemas Bilik Guru.


Keterangan foto : Latar-Ustazah Faridah dibantu pelajar asrama memindahkan barang. 
(Ikut arah jam)-Keadaan bilik guru yang bagai diserang garuda ketika operasi pemunggahan; Pelajar asrama turut membantu memasang langsir;Senyuman Cikgu Shamsul, kaunselor kami yang ringan tulang.
 

Program Gotong Royong berjaya mengubah keadaan Bilik Guru. Bagaimanapun, pelan asal terpaksa diubah untuk disesuaikan dengan saiz dan ruang yang terhad.

Kesuntukan masa menyebabkan urusan mengubah suai kedudukan meja guru ditunda pada minggu hadapan. Biarpun penat, ia sesuatu yang berbaloi.  Yang pasti, aktiviti KGKT kali ini berjaya menyusun bilik guru yang kali terakhir disusun pada 2001.




Keterangan foto (Ikut arah jam): Latar- Sebahagian daripada pekerja dan pelajar yang turut sama membantu gotong royong kali ini. Pengerusi Kelab guru, Cikgu Nazeem tersenyum lebar kerana program berjaya mencapai sasaran. Guru-guru lelaki sedang menikmati jamuan tengah hari. Sebahagian daripada guru wanita yang hadir menyumbang tenaga.

Kesimpulannya, Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing. Seikat bagai lidi, serumpun bagai serai.  Jika bersatu, semua yang dirancang boleh dijayakan.


Kepada rakan yang tidak hadir, pasti mereka akan terkejut melihat perubahan yang berlaku. Tapi jika ada barang anda yang 'hilang', ia mungkin tersalah letak..

Friday, October 23, 2009

Gotong Royong Bilik Guru

Terima kasih kerana sudi singgah di blog ini. Saya amat menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Esok, Sabtu 24 Oktober 2009, Kelab Guru akan mengadakan gotong royong membersihkan bilik guru, bilik solat dan seumpamanya. Ia sebenarnya adalah sebahagian daripada program LADAP, selain satu taklimat "Menabung Cara Islam" akan diadakan di Pusat Sumber pada hari berkenaan.

Menurut Pengerusi Kelab Guru, En. Nazeem Elmy, gotong royong tersebut bertujuan mengemaskan bilik guru agar lebih selesa untuk para pendidik.

"Kami telah menyediakan pelan kedudukan meja guru yang lebih sesuai. Di samping itu, kami akan memunggah bahan lama yang tidak perlu." katanya .

Beliau berharap semua guru yang tidak terlibat dengan program lain, hadir ke aktiviti berkenaan. Pihak KGKT dilaporkan turut menyediakan jamuan untuk sambutan Hari Raya dan Deepavali selepas gotong royong.

Pengetua, Pn. Hajah Che Saliha bt Che A. Rahman turut menyokong aktiviti ini. Beliau berharap para guru dapat mengeratkan hubungan dengan rakan sejawat demi pembangunan sekolah.

"Saya akan semak guru yang tidak hadir. Jika tiada sebab yang munasabah, cikgu perlu beri surat tunjuk sebab." katanya mengakhiri taklimat, menyebabkan dua tiga orang guru yang bercadang ponteng, mencebikkan muka...

Hehehe..

Thursday, October 22, 2009

Pandangan Khoo Kay Kim Ada Asasnya..

Terima kasih kerana sudi singgah di blog ini. Saya amat menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.




PROF EMERITUS TAN SRI KHOO KAY KIM
 
Sebagai seorang sejarahwan, beliau menyatakan pendapatnya bahawa sekolah satu aliran boleh capai matlamat 1Malaysia.
 
Menurutnya, sistem pendidikan negara perlu disusun semula termasuk melaksanakan sistem sekolah satu aliran bagi memastikan matlamat gagasan 1Malaysia tercapai.
 
Beliau berkata, sistem pendidikan yang mengamalkan sekolah pelbagai aliran ketika ini tidak membantu rakyat menyelami makna sebenar gagasan itu. Ini kerana sejak dari kecil lagi rakyat sudah diasingkan mengikut aliran dan bahasa ibunda masing-masing dan apabila dewasa, semangat kerjasama dan persefahaman sukar untuk dijalinkan.
 
"Kita tidak perlu kepada sekolah yang banyak aliran, bahasa ibunda setiap kaum boleh diselitkan sebagai sebahagian daripada kurikulum di bilik darjah," katanya kepada pemberita selepas menghadiri program wacana "One Malaysia: Cabaran dan Harapan" sempena program semarak perpaduan dan patriotisme Institut Pendidikan Guru Malaysia peringkat kebangsaan di Pulau Pinang hari ini. 
 
Namun begitu, beliau menjangkakan ada pihak yang akan membantah cadangan itu tetapi mereka yang berbuat demikian perlu menilai semula sejauh mana sistem pendidikan ketika ini boleh membantu mengukuhkan pembentukan sebuah negara bangsa. 
 
Mengimbau kembali sejarah terbentuknya sekolah pelbagai aliran di negara ini, Prof Khoo Kay Kim berkata, mengikut sejarah, British membenarkan penubuhan sekolah pelbagai bahasa di Tanah Melayu kerana kebanyakan pendatang ketika itu tidak mempunyai niat untuk menetap di negara ini. 
 
"Jadi, British membenarkan mereka membuka sekolah menggunakan bahasa ibunda masing-masing supaya mereka dapat belajar mengenai negara sendiri. "Bagaimanapun, sistem ini tidak lagi perlu diteruskan sekarang kerana mereka sudah menjadi warga negara Malaysia dan perlu dididik supaya menerima negara ini dan masyarakat berbilang kaum yang ada di sini sebagai sebahagian daripada diri mereka," katanya lagi. 
 
Khoo juga berkata, kebanyakan rakyat negara ini tidak tahu dan tidak memahami sejarah negara sehingga menyebabkan mereka berfikiran secara sempit. 
 
Menurutnya, ada segelintir ahli politik yang lebih mengutamakan kepentingan diri dan agenda masing-masing berbanding matlamat utama negara bangsa. 
 
"Ada ahli politik kita yang tidak mahu berintegrasi dan lebih suka kepada pemisahan, dan lihatlah bagaimana negara menjadi kucar-kacir kerana adanya ahli politik yang tidak mengutamakan negara bangsa tetapi lebih kepada agenda sendiri," katanya. 
 
Tan Sri bercakap soal pembinaan bangsa Malaysia, tetapi merubah sistem pendidikan menjadi satu sudah cuba diimplimentasikan sejak Tun Abdul Razak menyediakan Laporan Razak pada tahun 1956 dahulu.

Ia tidak berjaya. 
 
Masyarakat bukan bumiputera pernah menolak dan tidak menyokong penubuhan Sekolah Wawasan. 
 
Pada tahun 70-an, proses menyatukan bangsa seakan semakin berjaya. Di sekolah-sekolah, pelbagai kaum duduk di kelas yang sama, sambil memahami budaya antara mereka. 

Kini,polarisasi kaum di negara kita semakin ketara. Baik dalam bidang ekonomi dan politik, ia dizahirkan secara jelas.

Ia diburukkan lagi dengan Dasar PPSMI yang menjadikan jurang antara rakyat luar bandar dan bandar semakin luas. Mujurlah kerajaan mendengar rintihan rakyat dan kembali ke dasar asal. Memartabatkan bahasa Melayu (sebut Bahasa Malaysia) sebagai medium perpaduan harus disebarluaskan.

Hari ini, satu memorandum dibuat oleh sebuah NGO ibu bapa di sebuah sekolah di Selangor, yang meminta sekolah dibenarkan membuat pilihan untuk mengekalkan dasar PPSMI yang akan dimasuhkan pada 2011.
 
Susah nak difahami apa yang berlaku..


Wednesday, October 21, 2009

Perokok Berhati Binatang

Terima kasih kerana sudi singgah di blog ini. Saya amat menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

(INI ADALAH SEBAHAGIAN DARIPADA KEMPEN ANTI-ROKOK.)


Umum sudah mengetahui bahawa rokok membawa kemudaratan, tetapi peristiwa yang berlaku di Singapura, benar-benar menyebabkan kita mempersoalkan, adakah perokok juga berhati binatang?

Seorang lelaki kemungkinan berhadapan dengan hukuman mati atas dakwaan membunuh anaknya sendiri. Lelaki tersebut yang berbangsa Melayu, (kemungkinan Islam sebab namanya ala Arab) hilang sabar apabila melihat anaknya yang berusia 23 bulan menyepah-nyepahkan rokok miliknya.

Bayi malang itu sebenarnya ingin memberitahu ayahnya agar berhenti merokok, sebab si anak sayangkan bapanya. Tetapi si bapa zalim ini sudah menganggap rokok sebagai nyawanya. 

Akibatnya, kanak-kanak malang itu dipijak dan riwayatnya berakhir di tangan lelaki berhati binatang ini.

Apa lagi yang boleh kita katakan?

Kepada rakan-rakan yang masih kecanduan rokok, bebaskanlah diri anda daripada sifat-sifat seperti ini. Jika ini boleh berlaku di Singapura, ia juga boleh berlaku di negara kita.


MENGHENTIKAN TABIAT BURUK INI...


Tuesday, October 20, 2009

Ngeri Membaca Berita Jenayah Di Malaysia..

Terima kasih kerana sudi singgah di blog ini. Saya amat menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Tiga orang lelaki yang meraikan Deepavali, mati ditetak setelah mereka menegur Mat Motor yang membuat bising dengan jentera motor mereka.

Sebelum ini, kita ada membaca kisah Ali Mamak yang menetak isteri dan abang iparnya.

Minggu lalu, ada berita tentang kisah wanita tua yang dibunuh kejam dalam baldi oleh cucunya yang juga penagih dadah.

Di Metro Ahad 18 Oktober, beberapa keping foto yang menunjukkan bayi tidak berdosa akibat hubungan luar nikah menyentuh hati. Ada yang hidup, tapi banyak yang mati. Mereka tidak sempat merasai kenikmatan hidup di dunia. 

Saya menarik nafas dan menghela dalam-dalam. Di benak saya, rasanya kadar jenayah dan bentuk kekejaman yang dilakukan oleh 'orang jahat' semakin bertambah.

Saya optimis pihak polis masih mampu mengawal keselamatan negara. Tapi ironinya, semakin banyak kes jenayah yang kejam berlaku di negara kita akhir-akhir ini. Perasankah anda?

Saya ngeri membaca berita sebegini.

Monday, October 19, 2009

HARI ANUGERAH/HARI TERBUKA ASRAMA

Terima kasih kerana sudi singgah di blog ini. Saya amat menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Sabtu lalu, 17 Oktober 2009, asrama mengadakan program Hari Anugerah dan Hari Terbuka yang bertujuan menghargai pelajar cemerlang.

Lebih bermakna lagi apabila program ini dihadiri oleh ibu bapa dan penjaga pelajar. Inilah yang kita inginkan. Sokongan ibu bapa dan penjaga yang datang dapat mencetuskan semangat kepada anak-anak untuk lebih berjaya dalam mengejar cita-cita. 


Keterangan foto: Foto latar- barisan exco asrama 2008-09
Foto kecil dari kiri: ikrar exco baru, pemain muzik nasyid, pengetua berucap


Keterangan foto: Foto latar- Sdr Zubair memimpin bacaan doa
Foto kecil dari kiri: pengetua menyampaikan anugerah, persembahan nasyid aspura





Sunday, October 18, 2009

Meninggal Dah Sarjan Itu..

Terima kasih kerana sudi singgah di blog ini. Saya amat menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Pertengahan Jun 2009 lalu, saya mengalami kemalangan kecil yang mengakibatkan kerosakan kepada kereta, mujur juga saya tidak tercedera. Kes itu diuruskan seorang sarjan, yang sibuk mengambil foto kejadian. Namanya Sarjan Saidin, bertugas di IPD Manjung.

Saya hanya mengenali sarjan yang hampir pencen ini semasa kemalangan tersebut. Dia mengambil beberapa keterangan dan foto, dan akhirnya memang kemalangan tersebut bukan salah saya. Pihak pemandu Mitsubishi Triton yang menghimpit kenderaan sayalah yang bersalah. Saya dapat menuntut insurans kepada pihak ketiga untuk urusan baik pulih kenderaan itu.

Kelmarin, ketika berbual dengan seorang bapa, yang juga polis di IPD Manjung, barulah saya tahu sarjan tersebut meninggal dunia tidak lama yang lalu.

Menurut Koperal Ramli yang memang rapat dengan arwah, sarjan tersebut mengadu sesak nafas ketika bertugas dan diberi rehat di rumah. Mungkin sudah qadarnya meninggal di sisi isteri, sarjan Saidin akhirnya menghembuskan nafas terakhirnya di rumah.

""Cukup mudah dia meninggal, cikgu." Ujar Koperal Ramli ketika berbual bersama saya di asrama. Dia memohon izin membawa anaknya pulang kerana mertuanya sakit di Hospital Bukit Mertajam.

Sarjan Saidin mesra orangnya. Perangainya disenangi, dan sering diusik rakan-rakan kerana 'mudah latah'. Kehilangannya di IPD Manjung masih dirasai. Moga Allah menempatkannya di sisi orang yang beriman.

Thursday, October 15, 2009

TAHNIAH ARGENTINA!

Terima kasih kerana sudi singgah di blog ini. Saya amat menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Akhirnya Maradona menarik nafas lega. Setelah kedudukan skuad Argentina bagai telur di hujung tanduk sebelum ini, pasukan itu akhirnya menempatkan diri dalam senarai pasukan ke pusingan akhir Piala Dunia di Afrika tahun hadapan.

Argentina layak ke Piala Dunia (UTUSAN ONLINE)

15/10/2009 8:42am

MONTEVIDEO 15 Okt. - Argentina layak ke Piala Dunia 2010 apabila berjaya menundukkan Uruguay 1-0 pada perlawanan kelayakan terakhir zon Amerika Selatan hari ini.
Gol kemenangan anak buah Maradona itu dijaringkan oleh Mario Bolatti pada minit ke-85.
Selain Argentina, pasukan lain dari zon itu yang sudah melayakkan diri ke Afrika Selatan ialah Brazil, Chile dan Paraguay manakala Uruguay pula terpaksa bersaing di peringkat "play-off".
- AP

Kedudukan Maradona belum selamat, kerana skuadnya masih kelihatan pincang. Jika tiada usaha pro-aktif, mungkin Argentina pulang awal.

p/s: Tak boleh komen lebih-lebih, sebab saya bukan sehebat Shebby, pengulas kita yang bertugas di ASTRO-ESPN.

Wednesday, October 14, 2009

PMR Tidak Semantap SRP..

Terima kasih kerana sudi singgah di blog ini. Saya amat menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Marahlah, jika ada tak setuju. Jika bercanggah dengan tajuk kali ini, silakan komen. Saya tak harap semua blogger menyokong pandangan saya.

Sebagai guru, yang pernah melalui Sijil Rendah Pelajaran (SRP), saya boleh nyatakan kelebihan SRP yang jauh lebih baik jika dibandingkan dengan Penilaian Menengah Rendah(PMR).

Jika Datuk Ketua Pengarah Pelajaran membaca cetusan hati ini, jangan cepat melatah. Bukan mudah untuk mendengar luahan hati guru, kerana selama ini, kami sering disuruh itu dan ini. Pembuat dasarnya orang besar-besar di atas jarang sekali melihat apa yang berlaku di bawah.

Hari ini, pelajar tingkatan 3 telah selesai menduduki PMR. Jika dahulu, SRP dianggap satu tempoh peperiksaan yang menekan, PMR tidak lagi dianggap begitu. Kementerian dengan mudah membuat ketetapan, pelajar boleh ke Tingkatan 4 selepas menduduki PMR. Malah, dalam kes tertentu, pelajar yang tidak pernah ke Tingkatan 3 juga layak naik ke Tingkatan 4.

Semasa di Tingkatan 3 dahulu, sejak awal tahun lagi pelajar sudah dimaklumkan tidak akan naik ke Tingkatan 4 jika gagal subjek matematik. Disebabkan bimbang tak dapat sambung persekolahan, pelajar berusaha untuk lulus dapat subjek tersebut. Saya masih ingat, ketika itu, saya belajar 'tuisyen' dengan jiran berselang sebuah rumah. Namanya Abang Jamal. Entah di mana dia sekarang. Mungkin anak-anaknya pun dah dewasa, tapi jasanya yang tak dapat dilupakan ialah membantu saya mendapat keputusan yang baik dalam subjek matematik.

Hari ini, apa yang berlaku adalah sebaliknya. Pelajar yang berprestasi rendah, kelas sederhana dan nakal, tetap akan naik ke Tingkatan 4 tanpa sebarang tapisan yang kukuh. Mereka mungkin akan memohon ke Sekolah Menengah Vokasional, tapi tak ramai yang akan diterima. Selebihnya bersepah dan menjadi duri dalam daging kepada pihak sekolah.

Mengapa tidak KPM kembali ke dasar asal, biarlah namanya PMR, tapi wajibkan sekurang-kurangnya lulus empat mata pelajaran, baru boleh naik ke Tingkatan 4. Susah benarkah hendak buat satu keputusan yang bijak?

Apa yang berlaku hari ini, KPM melambakkan pelajar bermasalah di sekolah-sekolah harian biasa yang akhirnya memberi bebanan yang bukan sedikit kepada guru.

Tapi saya sudah ada jawapan yang bakal KPM nyatakan. Nak tahu apa jawapannya?

A. "ITULAH CABARAN YANG PERLU DIHADAPI OLEH GURU-GURU HARI INI"

B."KAMI AKAN BAWA PERKARA INI KE PIHAK ATASAN NANTI. BUAT SEMENTARA, TUAN JALANKAN TUGAS MENDIDIK ANAK BANGSA."

C. "KPM SENTIASA BERUSAHA MELESTARIKAN PENDIDIKAN AGAR DAPAT DITERIMA OLEH SEMUA PIHAK.

D. BLA..BLA..BLA...BLA...



Monday, October 12, 2009

Tekanan Menjadikannya Begitu?

Terima kasih kerana sudi singgah di blog ini. Saya amat menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Pagi ini, beberapa orang rakan sejawat merungut kerana bahan bercetak mereka masih belum disiapkan. Saya memahami kebimbangan mereka, kerana tidak lama lagi, peperiksaan akhir tahun akan dijalankan. Kebanyakan bahan tersebut adalah soalan-soalan PAT yang perlu disiapkan awal. Kerja mencetak sepatutnya disiapkan oleh Ismail, seorang staf pejabat kami.

"Ismail di mana, Adah?" tanya saya kepada Nora'adah, pekerja pejabat.

Rupanya Ismail bertugas menjaga alatan sepanjang PMR 2009 dijalankan.

Ismail, pekerja pejabat yang saya kenali sejak dia mula bertugas di sini, bukanlah seorang yang bermasalah sebelumnya. Anaknya 3 orang. Dia buat rumahnya sendiri. Selain kemahiran bertukang, Ismail juga mahir dalam kerja elektrikal.  Seingat saya, dialah yang memasang lampu di rumah saya satu ketika dahulu.

Lebih dari itu, Ismail rajin mencari benih kerang kalau musim kerang. Dia juga dapat 'kontrak membakar lemang' dalam musim Hari Raya. Lemangnya memang sedap. Hubungan dia dan saya, agak rapat berbanding staf sokongan lain. Dia bagai adik saya, jadi kalau saya tegur, dia boleh dengar, rasanya.

"Saya tahu ramai tak puas hati dengan saya, cikgu," katanya sewaktu kami bertemu di makmal komputer.

"Saya tak boleh buat kerja (mencetak soalan) kalau sering dikacau."

"Kacau? Kacau macam mana?" Saya cuba dapatkan penjelasan.

"Cikgu tahu, bilik cetak selalu cikgu-cikgu gunakan. Kadang-kadang, saya sendiri tak ada upaya nak melarang."Luahnya.

"Tapi dulu tak ada komplen begini." Saya menyanggah sopan sambil menepuk bahunya.

"Dulu, Pakcik Hanapiah banyak bantu. Sekarang, saya sendirian buat kerja. Kerja banyak, tapi saya tak dapat bantuan." Dia merintih.

Pakcik Hanapiah yang dia maksudkan, ialah bekas pekerja pejabat kami yang telah pencen. tahun 2008 lalu. Saya sendiri akui, untuk mencari orang sehebat Pakcik Hanapiah, memang sukar. Dia masih bersemangat bekerja biarpun menjelang persaraannya. Memanglah patah tumbuh, hilang berganti. Tapi ketiadaan Pakcik Hanapiah adalah kehilangan besar kepada kami di SMKBS.

Banyak jasa Pakcik Hanapiah. Usiklah, melawaklah dengan dia, dia jarang marah. Kalau marah, cepat benar sejuknya. Khabarnya sekarang dia menjadi pengawal keselamatan di sebuah resort dekat sini. 

"Saya dah dipanggil ke PPD,cikgu." Kata Ismail lagi menyebabkan saya tersentak.

"Saya diarahkan ke PPD dulu. Nama saya dah ada dalam rekod di PPD. Alang-alang buruk, biarlah buruk. Kalau ditukarkan pun, saya terima." Katanya mengakhiri perbualan kami. Riak wajahnya bagai menagih simpati dan sokongan.

Ismail bagai sudah tidak hairan dengan perkhidmatannya lagi. Seolah-olah bagai hilang semangat. Dia tulang belakang keluarganya, jika berterusan begini, apa nasib anak isterinya? Fikir saya.

Dia rajin, tetapi mungkin kerana tekanan, akhirnya prestasi kerjanya terjejas. Dia pernah dapat Anugerah Cemerlang sebelum ini.

Saya harap saya dapat lihat Ismail yang dahulu, ceria dan bersemangat. Bilakah agaknya saya akan bertemu Ismail yang dahulu?

Thursday, October 8, 2009

Kebetulankah Inderapura Terbakar 8 Oktober?

Terima kasih kerana sudi singgah di blog ini. Saya amat menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Awal pagi ini, KD Inderapura, sebuah daripada kapal pengangkut milik tentera kita yang berlabuh di Lumut,  diberitakan terbakar.

Adakah kebetulan, atau sememangnya disabotaj? Bukankah kumpulan subversif rakyat Indonesia, BENDERA telah menetapkan tarikh 8 Oktober sebagai hari mengganyang Malaysia?

KD Seri Inderapura terbakar


IPOH: KD Seri Inderapura, kapal pendarat terbesar Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), terbakar semasa berlabuh di jeti Pangkalan TLDM di sini.

Kejadian dilaporkan kira-kira 6 pagi tadi dan sehingga kini usaha memadamkan kebakaran masih berjalan.

Ketua Polis Daerah Manjung, ACP Mohd Jamil Osman, berkata laporan awal menyatakan kebakaran membabitkan bahagian pejabat dan bahagian muatan barang.

Tiada sebarang kecederaan dilaporkan.

"Polis juga belum menerima laporan daripada TLDM Lumut," katanya ketika dihubungi. - Bernama

Tuesday, October 6, 2009

Jaga-jaga Pengetua, Guru Boleh Saman Anda!

Terima kasih kerana sudi singgah di blog ini. Saya amat menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Terkejut juga baca berita kes seorang guru yang menyaman pengetua kerana memalukannya di khalayak rakan. Ini sekaligus menjatuhkan reputasi Rozilah Abdullah, 37 tahun di sebuah sekolah di Pahang.

Pengetuanya perempuan juga. (Biasalah, pengetua perempuan memang cerewet dan 'banyak mulut'). Pengetua tersebut disaman kerana memalukan guru tersebut sehingga menyebabkan dia dipanggil oleh kaunselor PPD dan pergerakan gaji tahunannya dihentikan.

Bacalah, dan nilaikan sendiri.

Guru saman pengetua yang didakwa menjejaskan reputasinya

KUANTAN 6 Okt. — Seorang guru di Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Mahkota, Jalan Gambang di sini mengemukakan saman RM228,000 terhadap pengetua sekolah terbabit kerana didakwa menjejaskan reputasinya.
Rozilah Abdullah, 37, yang memfailkan saman itu di pejabat Pendaftar Mahkamah Sesyen di sini melalui Tetuan Balkhis Alias & Co pada 12 Ogos lepas menamakan pengetua, Aluwiyah Osman sebagai defendan.
Kes itu ditetapkan untuk sebutan pada hari ini, namun Hakim Hassan Abdul Ghani kemudian menetapkan 5 Nov. ini sebagai sebutan semula selepas wakil Pejabat Peguam Negara memohon tempoh masa untuk memfailkan penyataan balas terhadap tuntutan saman berkenaan.
Dalam pernyataan tuntutan itu, Rozilah mendakwa pada 24 Julai tahun lepas, defendan memalukannya di hadapan guru lain dengan menuding jari ke arahnya serta menyatakan beliau enggan mematuhi perintah defendan.
Rozilah mendakwa defendan telah membuat satu laporan terhadapnya dan berikutan itu seorang kaunselor daripada Pejabat Pelajaran Daerah Kuantan memanggilnya ketika beliau sedang mengajar memaklumkan satu laporan telah dibuat terhadapnya.
Rozilah, yang telah bertugas selama 13 tahun sebagai guru, mendakwa akibat laporan defendan, beliau telah menerima surat bertarikh 13 Feb. 2009 yang menyatakan tiada pergerakan gaji bagi beliau untuk tahun 2009.
Beliau juga mendakwa tidak pernah diberikan peluang membela diri kerana tidak dipanggil atau diberikan peluang menjawab laporan yang dibuat oleh ketuanya itu. - Bernama



Musibah Gempa Yang Lebih Hebat?

Terima kasih kerana sudi singgah di blog ini. Saya amat menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Menurut BERNAMA, satu laporan daripada Pusat Kajian Gempa Indonesia dan Singapura mengesahkan bahawa satu gempa bumi berukuran 8.8 Skala Richter dijangka melanda Padang atau sekitar Pulau Sumatera dalam tempoh terdekat.

Gempa bumi 8.8 SR masih ancam Padang(dipetik daripada Mstar.online)

JAKARTA: Ketika Sumatera Barat masih berduka dilanda gempa bumi 7.6 skala Richter (SR) yang mengorbankan lebih 600 orang dan ratusan lain hilang setakat tengah hari ini, Indonesia dikejutkan dengan kemungkinan gempa lebih besar melebihi 8.0 SR akan berlaku.
Biarpun pakar-pakar membuat ulasan, baik diakhbar mahupun televisyen, mengakui tidak ada siapapun mahupun teknologi yang dapat meramalkan tarikh tepatnya, namun mereka berpendapat gempa itu akan lebih dahsyat seperti tsunami pada Disember 2004, yang mengorbankan lebih 200,000 orang di beberapa negara.
Pakar geologi dari Lembaga Ilmu Pengetahuan Indonesia (LIPI) Danny Hilman Natawidjaja berkata tekanan telah membentuk garis tekanan di sekitar wilayah Padang selama rangkaian gempa dalam beberapa tahun terakhir.
"Gempa berukuran 7.6 SR pada 5.16 petang Rabu lepas yang menggoncang Padang bukan termasuk "skala besar". Itu bukan gempa yang sering kita perbincangkan bakal terjadi, yakni gempa dahsyat lebih dari 8 SR yang memicu tsunami," katanya dalam kenyataan LIPI.
Danny dalam penyelidikannya di luar pantai Sumatera selama 12 tahun bersama rakan penyelidiknya Prof Kerry Sieh dari Nanyang Technology University (NTU), Singapura, yakin bahwa akumulasi tekanan dapat mengakibatkan gempa 8.8 SR dan kekuatan gempa itu adalah kira-kira 30 kali lebih besar berbanding gempa Rabu lepas.
"Secara ilmiah, saya boleh katakan gempa yang dahsyat itu mungkin berlaku esok, lusa, bulan depan, atau mungkin tahun depan. Paling tidak, itu akan terjadi dalam 10 tahun akan datang," katanya.
"Secara pribadi, saya khuatir jika gempa tersebut terjadi dalam beberapa bulan atau tahun akan datang. Tapi, sebagai ilmuwan, kami sering terkejut oleh fenomena alam," tambahnya.
Pada 2004, gempa berkekuatan 9.15 SR yang berpusat sekitar 600km ke utara Padang memicu gelombang tsunami mengakibat lebih 200,000 orang terkorban di negara-negara pesisir Lautan Hindi, dengan yang paling teruk ialah di Aceh, Indonesia.
Danny berkata gempa berkekuatan 8.8 SR akan mengakibatkan gelombang tsunami setinggi 410 meter melanda Padang yang mempunyai penduduk kira-kira 4.4 juta orang dan telah mengalami beberapa kali gempa berskala besar sejak kebelakangan ini. BERNAMA

Cuba bayangkan, gempa yang ada pun sudah membawa pelbagai kesukaran dan kehilangan nyawa, apatah lagi jika gempa yang lebih kuat melanda, tentulah bukan sedikit ancamannya. Marilah kita memohon kepada tuan punya bumi, agar tidak membiarkan ini berlaku. Bukankah Dia Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang? Sekurang-kurangnya, doa dan permohonan kita akan mengurangkan tekanan kepada mereka yang menderita.


Ingatlah. Tuan Punya Bumi dan Langit ini Maha Kuat, dan boleh menguji kita, biarpun Malaysia yang kita sayang ini tidak terletak di Lingkaran Api Pasifik. Dia boleh, malah mampu untuk berbuat apa sahaja kerana sikap kita sendiri yang sering lupa dan menidakkan keesaan terhadapnya.





Monday, October 5, 2009

Pasukan Swiss Dah Angkat Kaki, SMART Bila Lagi?

Terima kasih kerana sudi singgah di blog ini. Saya amat menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Penyelamat Switzerland hentikan gerakan mencari di Padang

05/10/2009 2:41am (Utusan Malaysia)

BERN, Switzerland 5 Okt. - Pasukan penyelamat Switzerland telah menamatkan pencarian mangsa gempa bumi yang terselamat di Padang, Sumatera Barat.
Jurucakap Kementerian Luar, Nadine Olivieri berkata, pasukan seramai 115 anggota dan 18 anjing pencari itu tidak berjaya menemui mangsa yang masih hidup.
Bagaimanapun, menurutnya, pasukan itu berjaya menemui enam mayat di dalam runtuhan semasa operasi yang bermula pada hari Jumaat sehingga semalam.
Katanya, kebanyakan anggota penyelamat akan kembali ke Switzerland pada Rabu ini, tetapi pakar-pakar keselamatan bangunan dan air akan terus berada di Sumatera. - AP

Ulasanku:

Malaysia telah menghantar pasukan SMART sejak hari ketiga gempa berlaku. Kini yang ditemui hanya mayat reput. Kebarangkalian untuk menemui mangsa hidup sangat tipis. Eloklah pulang. Biarkan pasukan MERCY dan kor perubatan ATM yang bantu mangsa yang masih hidup.  


Kita simpati dengan mangsa gempa di Padang, tapi berpijaklah di bumi nyata. Ini semua takdir yang telah ditentukan.

 

Sunday, October 4, 2009

Hukuman Sebat Dilihat Keterlaluan Kerana...

Terima kasih kerana sudi singgah di blog ini. Saya amat menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.
 (Pandangan Dr Asri, diolah kembali daripada Mstar.online)
ISU hukuman sebat ke atas model sambilan, Kartika Sari Dewi Shukarno hangat diperbincangkan dan mendapat liputan meluas media, termasuk badan bukan kerajaan (NGO).

Beberapa pihak seperti Sister In Islam (SIS) dengan pantas menganggap hukuman ke atas Kartika yang disifatkan sebagai zalim dan tidak berperikemanusiaan. Malah, SIS  dan beberapa pihak meminta ibu muda tersebut (yang sudah insaf atas kesalahannya meminum arak di tempat awam dan rela pula menghadapi hukuman tersebut) merayu untuk mengelakkan hukuman.

Ramai tokoh politik termasuk dari pihak pemerintah dan NGO memberi ulasan  dan pandangan mereka tentang hukuman tersebut.

Bekas Mufti Perlis, yang juga pakar ilmu hadis, Dr Asri Zainul Abidin, berkata, “sebahagian masyarakat Malaysia terkeliru mengenai gambaran hukum sebat Islam disebab beberapa faktor.

"Salah satunya, filem P. Ramlee iaitu ‘Semerah Padi’. Di samping wujudnya unsur-unsur positif dalam filem berkenaan, tetapi cara hukuman Islam digambarkan amat tidak serasi dengan hakikat hukum tersebut. Cara kes dibicarakan, sehingga hukuman dijalankan menggambarkan hukuman sebat dan beberapa perkara lain kelihatan rakus dan kejam," kata Dr Asri.

Menurut beliau, hukuman sebat dalam Islam tidak sampai mencederakan sedemikian rupa. Gambaran inilah yang ada dalam pemikiran sesetengah masyarakat, samada yang pro atau kontra, lalu beberapa tafsiran salah dibuat terhadap hukum-hakam jenayah peribadi tanpa menyentuh hak individu lain seperti zina dan minum arak.

"Berbeza dengan jenayah yang membabitkan ancaman kepada hak individu lain atau keselamatan awam seperti mencuri, merompak, membunuh, merogol dan yang seumpamanya. Jenayah peribadi seperti zina dan arak pendekatan Islam amat lunak dan membuka ruang pelepasan dan cuba menutup ruang pendedahan," jelas Dr Asri.

Menurut Dr Asri, "Sebatannya juga tidak mencederakan, bahkan pada zaman Nabi s.a.w ada yang hanya disebat menggunakan kain sahaja. Bukan untuk mencedera dan memusnahkan, tetapi sekadar peringatan dan pengajaran."

Filem ‘Semerah Padi’ memberikan gambaran yang sebaliknya. Ketika diminta mengulas lanjut, Dr Asri berkata, pertamanya kita hendaklah jelas bahawa tiada siapa pun di kalangan mereka yang benar-benar muslim boleh mempertikaikan tentang 'haramnya' meminum arak bagi seorang muslim. Ini perkara yang disepakati. Kita tidak boleh berbeza dalam hal ini.

"Namun apabila tiba kepada persoalan menghukum 'peminum arak', di sini mungkin akan ada sedikit pandangan dan perbincangan yang mungkin akan timbul perbezaan pendapat.

"Perbezaan itu mempunyai banyak faktor, antaranya faktor hukum itu sendiri di mana di kalangan sarjana Islam itu berbeza pendapat tentang statusnya. Kedua, faktor persekitaran atau realiti semasa yang kita hadapi sekarang," kata Dr Asri.

Mereka berbeza pendapat, apakah hukuman sebat yang pernah disebutkan dalam hadis-hadis Nabi SAW dan juga sejarah pelaksanaannya di zaman al-Khulafa al-Rasyidin dimasukkan dalam kategori hudud atau sekadar ta'zir (discretionary punishment).

Menurut Dr Asri, walaupun ramai yang berpendapat kesalahan minum arak di bawah hudud, mereka berbeza pendapat pula tentang jumlah sebatan. Ini kerana al-Quran tidak menyebut hukumannya, cuma hadis ada menunjukkan dipukul empat puluh kali.

Pada zaman Khalifah Umar al-Khattab r.a. beliau berbincang kadar hukuman tersebut, lalu beliau menerima pandangan `Abd Rahman bin al-`Auf untuk melaksanakannya sebanyak lapan puluh kali.

Lebih daripada itu, dalam hadis menunjukkan pesalah minum arak ada yang dipukul dengan tangan, kain, dan selipar sahaja. Tiada ketegasan yang jelas dalam kaedah pukulan.

"Jika ia dianggap bukan hudud, sebaliknya sekadar takzir, maka kadar hukuman takzir boleh diputuskan oleh pemerintah. Jika diputuskan enam rotan pun, itu ijtihad atau pandangan pemerintah atau hakim yang boleh dinilai di segi prinsip umum takzir.


"Isu Kartika baik sebagai satu usaha. Apatahlagi Kartika sendiri bersetuju dan rela. Namun, suasana semasa kurang berpihak kepada Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan. Bukan kesalahan pihak mahkamah, tetapi nilai agama dan pemikiran masyarakat yang bermasalah," jelas Dr Asri.

Sebenarnya, ada pihak yang cuak dan takut dengan hukum Islam terhadap peminum arak, kerana mereka juga adalah sebahagian daripada kumpulan itu. Ada antaranya memakai gelaran yang hebat-hebat dan 'disembah hormat' oleh rakyat, pemimpin politik dan artis.

Ia juga menggambarkan betapa segelintir masyarakat Islam melihat hukum Allah sebagai kejam, sedangkan mereka sendirilah yang jahil dan prejudis terhadap apa yang telah dinyatakan dengan jelas dan terang.

Friday, October 2, 2009

Sakit Dada.. Berhati-hatilah

Terima kasih kerana sudi singgah di blog ini. Saya amat menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.
(disesuaikan daripada artikel Doktor Rashidi Ahmad, USM Kubang Kerian)

PERNAHKAH anda sakit dada? Adakah ia teramat sakit sehingga anda tidak mampu untuk bernafas atau bergerak? Bagaimanakah perasaan anda sewaktu mengalami sakit dada?

Apakah yang anda lakukan bagi mengurangkan kesakitan dada anda? Adakah anda panik pada ketika itu? Adakah anda terfikir bahawa apa yang anda alami ketika ini ialah serangan jantung atau penyakit jantung koronari? Sebahagian daripada kita lebih mengenalinya sebagai heart attack.

Pernahkah seseorang mengadu sakit dada kepada anda? Apakah tindakan segera anda?

Simptom sakit dada adalah di antara sebab utama pesakit datang ke hospital (Jabatan Kecemasan) untuk mendapatkan rawatan.

Di Jabatan Kecemasan, pesakit yang mengadu sakit dada kemungkinan dikategorikan sebagai pesakit zon merah atau zon kuning bergantung kepada tahap teruknya kesakitan yang dialami.

Pesakit zon merah dianggap pesakit kritikal sementara pesakit zon kuning dianggap separuh kritikal.

Ini menunjukkan sakit dada adalah simptom atau penyakit yang serius dan mempunyai potensi menjadi bertambah teruk atau menyebabkan kematian. Doktor akan memeriksa dan merawat pesakit kategori ini dengan segera.

Kategori

Secara mudah, punca sakit dada dibahagikan kepada 2 kategori:

1) kardio-pulmonari (jantung dan paru-paru)

2) bukan kardio-pulmonari (berpunca daripada otot dada, salur penghadaman dan lain-lain).

Sakit dada berpunca daripada masalah kardio-pulmonari adalah lebih serius. Kegagalan untuk mengenal pasti perkara tersebut boleh mengakibatkan organ jantung gagal berfungsi atau berlakunya kematian mengejut.

Oleh itu, telah menjadi kewajipan bagi seorang doktor untuk memastikan bahawa sakit dada anda bukannya berpunca daripada masalah jantung atau secara khususnya bukan berpunca dari penyakit jantung koronari.

Bila seseorang mengalami sakit dada atau mati mengejut, kebarangkalian besar ia berpunca daripada penyakit kardiovaskular atau jantung.

Ia diterjemahkan sedemikian berdasarkan statistik punca utama kematian dan kemasukan hospital di Malaysia dan di dunia.

Kebarangkalian mendapat serangan jantung adalah lebih tinggi sekiranya pesakit sudah disahkan oleh doktor mempunyai masalah jantung atau mempunyai faktor-faktor risiko tinggi untuk mendapat penyakit jantung koronari.

Punca sakit dada disebabkan oleh penyakit kardio-pulmonari yang serius melibatkan:

1. Penyakit jantung koronari atau serangan jantung (heart attack)

2. Salur darah utama terkoyak (aortic dissection)

3. Keradangan jantung (pericarditis/myocarditis)

4. Pendarahan dalam jantung dan paru-paru (cardiac tamponade/hemothorax)

5. Kegagalan fungsi paru-paru (pneumothorax atau pulmonary embolism)

Koronari

Penyakit jantung koronari secara amnya disebabkan oleh pengurangan atau tiada aliran darah yang membawa oksigen ke jantung.

Tanpa oksigen yang cukup, otot jantung akan cedera atau mati. Jantung yang cedera atau mati mengakibatkan kematian melalui tiga cara:

1) Kematian mengejut disebabkan oleh rentak jantung yang tidak normal

2) Kegagalan otot jantung mengepam darah ke seluruh tubuh badan

3) Kegagalan mekanikal disebabkan injap rosak atau dinding jantung terkoyak.

Kajian kes kematian akibat penyakit jantung koronari di Amerika Syarikat (AS) pada 1994 menunjukkan 52 peratus pesakit meninggal dunia di tempat kejadian, lapan peratus meninggal dunia dalam jangka masa 24 jam, 19 peratus meninggal dunia dalam jangka masa 48 jam dan 21 peratus lagi meninggal dunia dalam jangka masa 30 hari.

Apa yang dapat disimpulkan kadar kematian penyakit jantung koronari adalah tinggi dan kebanyakan daripada mangsa meninggal dunia sebelum sempat sampai ke hospital.

Andai di AS yang terkenal dengan tahap pendidikan dan kemudahan kesihatan yang tinggi dan canggih, apakah kebarangkalian kematian pesakit jantung koronari di negara kita sebelum tiba di hospital?

Ada beberapa postulasi kenapa kadar kematian di luar hospital adalah tinggi. Di antaranya ialah kegagalan mengenal pasti simptom sakit jantung, kelewatan meminta bantuan atau kelewatan memberi rawatan awal seperti rawatan renjatan elektrik (defibrilasi) dan resusitasi kardiopulmonari (CPR).

Apakah simptom atau manifestasi awal penyakit jantung koronari? Sakit dada semasa rehat atau ketika menjalankan tugas, riadah atau aktiviti adalah antara manifestasi awal.

Ianya sakit yang teramat dan mencemaskan. Ada di antara para pesakit menyatakan ia seumpama terputus nafas atau hampir mati, dada seperti hampir pecah atau seumpama seekor gajah menghempap dada mereka.

Ciri sakit dada penyakit jantung koronari termasuk ketat dada, terbakar dada, tekanan dalam dada, terbakar dalam dada, ketidakselesaan yang teramat dan cengkaman kuat di dalam dada selama lebih dua minit.

Sakit dada penyakit jantung koronari bertambah jika pesakit meneruskan aktiviti atau stres dan ianya berkurangan atau hilang bila pesakit berehat atau menggunakan ubat pengembangan salur darah (GTN) di bawah lidah.

Kadang-kala sakit dada ini dapat dirasa pada bahu, leher, tekak dan tangan. Pesakit juga mungkin berasa susah hendak bernafas, berdebar, pening loya, muntah dan berpeluh.

Ianya adalah suatu pengalaman yang mengerikan. Jika anda mengalami sakit dada selama lebih dari 10 minit semasa rehat, sila dapatkan pemeriksaan doktor dengan segera.

Tindakan pantas

Apakah yang perlu anda lakukan bila saudara atau rakan anda mengadu sakit dada seperti yang diutarakan di atas?

Anda perlu yakin bahawa ianya adalah disebabkan oleh penyakit jantung koronari. Tindakan pantas anda mendail talian kecemasan 999 untuk mendapatkan perkhidmatan hospital atau segera menghantar pesakit ke hospital berhampiran berkemungkinan akan menyelamatkan nyawa atau mencegah kemusnahan otot jantung pesakit.

Buatlah panggilan secara efektif. Bertenang dan bernafas dengan betul. Jangan tergesa-gesa bila bercakap.

Kenalkan diri anda dan terangkan keadaan pesakit. Jangan lupa memberitahu lokasi anda dengan tepat.

Elakkan membuat panggilan sia-sia kepada kaum kerabat atau berbincang dengan doktor persendirian pesakit.

Masa adalah amat penting dalam rawatan penyakit jantung koronari. Kemusnahan otot jantung makin bertambah setiap minit sehingga aliran darah koronari kembali mengalir dengan efektif.

Tenangkan perasaan dan dudukkan pesakit dalam posisi rehat. Ini mungkin akan mengurangkan kesakitan pesakit.

Tunggu bersama pesakit sehingga bantuan tiba. Kemungkinan pesakit akan tidak sedarkan diri dan tidak bernafas dan anda harus melakukan CPR.

Adalah menjadi harapan penulis di masa hadapan setiap kes sakit dada dinilai dan dirawat oleh kakitangan perubatan terlatih yang membawa peralatan dan ubat-ubatan lengkap ke tempat kejadian. Penulis percaya ianya mampu mengurangkan kadar kematian penyakit jantung koronari.

Setibanya di Jabatan Kecemasan, pesakit akan diperiksa oleh doktor. Elektrokardiografi (ECG) akan dilakukan untuk mengenal pasti punca sakit dada dan kategori penyakit jantung koronari.

Hasil keputusan ini membantu doktor memberi rawatan yang tepat kepada pesakit. Ubat-ubatan yang akan diberi kepada pesakit ini termasuk oksigen, aspirin, plavix, GTN, morfin, heparin, streptokinase dan lain-lain.

Pakar jantung akan melakukan Intervensi Jantung Primer (Primary Coronary Intervention) atau pembedahan jika keadaan amat memerlukan.

Kesimpulannya, penyakit jantung koronari adalah pembunuh utama masyarakat Malaysia. Ia mampu dicegah dengan mengamalkan gaya hidup sihat - makanan seimbang, melakukan senaman sekurang-kurangnya sebanyak 3 kali seminggu, tidak merokok atau mengambil alkohol, dan juga selalu berdoa kepada tuhan.

Sila ambil peduli jika anda, ahli keluarga atau rakan anda mengalami sakit dada. Bertindaklah sewajarnya kerana anda mampu menyelamatkan nyawa anda sendiri dan mereka yang tersayang. Allahualam.

MENJALA TALAPIA

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini. Agak lama juga saya tidak menjala ik...