Wednesday, August 24, 2022

NAJIB RAZAK AKHIRNYA KE PENJARA

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Datuk Seri Najib Tun Razak merupakan anak Perdana Menteri Malaysia yang ke-2 iaitu Tun Abdul Razak bin Hussein. Beliau menjadi Perdana Menteri Malaysia yang ke-6, dari tahun 2008 hingga 2018. Banyak usaha Najib memastikan kebajikan rakyat, terutamanya Batuan BR1M, Klinik 1Malaysia, UTC dan seumpamanya. Dalam pilihanraya umum pada 2018 pakatan Barisan Nasional yang dipimpinnya kalah. Najib kemudiannya didakwa atas kesalahan penyelewengan kuasa dan isu 1MDB yang dijadikan bahan kempen PRU ke-14. 

Beliau gagal dalam rayuan terakhirnya untuk mengetepikan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta bagi kesalahan menyeleweng RM42 juta dana milik SRC International Sdn Bhd. Panel lima hakim Mahkamah Persekutuan dipengerusikan Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat menolak rayuan mantan Perdana Menteri itu bagi mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 28 Julai 2020.

Mahkamah Rayuan pada 8 Dis 2021 turut mengekalkan keputusan itu.

Najib, 69, akan menjalani hukuman penjara 12 tahun dan dibawa ke penjara Kajang untuk transit sebelum menghabiskan tempoh hukuman di penjara Sungai Buloh. 

Perbicaraan kes tersebut yang mengambil masa empat tahun, telah menempuh pelbagai situasi termasuk prosidingnya dijalankan secara dalam talian ketika negara dilanda pandemik Covid-19.

Berikut adalah kronologi kes berkenaan (sumber Bernama):

4 Julai 2018 - Najib didakwa buat pertama kali di Mahkamah Sesyen di sini atas tiga pertuduhan CBT dan satu pertuduhan salah guna kuasa berhubung dana SRC International berjumlah RM42 juta. Kes kemudian dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.

8 Ogos 2018 - Najib didakwa di Mahkamah Tinggi atas tiga pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan dana sama (RM42 juta daripada SRC International) yang merupakan hasil kegiatan haram.

3 April 2019 - Perbicaraan bermula selepas Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali menolak permohonan Najib untuk mengisytiharkan tujuh pertuduhan terhadapnya sebagai tidak sempurna.

27 Ogos, 2019 - Pendakwaan menutup kesnya selepas 58 hari perbicaraan dan mendengar keterangan 57 saksi.

11 Nov 2019 - Mahkamah Tinggi memerintahkan Najib membela diri terhadap semua tujuh pertuduhan selepas mendapati pendakwaan berjaya membuktikan terdapat unsur menggunakan kedudukan, pecah amanah dan pengubahan wang haram.

3 Dis 2019 - Najib memberi keterangan membela diri di Mahkamah Tinggi sebagai saksi pertama pembelaan bagi menjawab pertuduhan terhadapnya.

11 Mac 2020 - Selepas 19 saksi memberi keterangan sepanjang 33 hari, pembelaan menutup kesnya.

28 Julai 2020 - Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta terhadap Najib selepas mendapati beliau bersalah ke atas semua tujuh pertuduhan.

19 Okt 2020 - Najib memfailkan petisyen rayuan yang mengandungi 307 alasan beliau sepatutnya dibebaskan daripada semua pertuduhan.

5 April 2021 - Rayuan terhadap sabitan dan hukuman bermula di Mahkamah Rayuan.

18 Mei 2021 - Mahkamah Rayuan menangguhkan keputusannya ke satu tarikh yang ditetapkan kelak selepas selesai mendengar hujah kedua-dua pihak yang berlangsung selama 15 hari.

23 Nov 2021 - Mahkamah Rayuan menetapkan 8 Dis untuk keputusan rayuan itu. Najib memfailkan permohonan supaya ditangguhkan keputusan rayuannya kerana perlu menjalani kuantin kendiri selama tujuh hari sehingga 12 Dis setelah kembali dari Singapura dan hanya boleh hadir di mahkamah atau perhimpunan awam mulai 13 Dis.

24 Nov 2021 - Mahkamah Rayuan menolak permohonan Najib untuk menangguhkan tarikh keputusan rayuannya.

2 Dis 2021 - Najib Tun Razak memfailkan permohonan di Mahkamah Rayuan supaya membenarkan bukti baharu dikemukakan dalam rayuannya termasuk daripada Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Seri Azam Baki.

3 Dis 2021 - Mahkamah Rayuan menetapkan 7 Dis untuk mendengar permohonan memasukkan bukti baharu.

7 Dis 2021 - Mahkamah menolak permohonan Najib untuk menangguhkan prosiding permohonannya dan keputusan rayuan yang ditetapkan pada 8 Dis berikutan peguam pasukan pembelaan menjadi kontak kasual dengan individu yang disahkan positif COVID-19.

8 Dis 2021 - Keputusan rayuan Najib dijalankan secara dalam talian kerana Najib dan peguamnya menjalani kuarantin. Pada hari sama, Najib memfailkan rayuan di Mahkamah Persekutuan.

7 Jan 2022 - Najib memohon Mahkamah Persekutuan mendengar rayuannya bagi mengemukakan bukti baharu dalam kes SRC terlebih dahulu.

25 Jan 2022 - Firma guaman Tetuan Shafee & Co telah menyerahkan surat enam halaman kepada sekretariat Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat mengenai hasrat Najib untuk melantik Peguam Diraja dari UK bagi membantu bekas Perdana Menteri itu dalam isu rumit dan persoalan undang-undang dalam rayuan kes SRC International beliau di Mahkamah Persekutuan.

2 Mac 2022 - Mahkamah Persekutuan menolak permohonan Najib untuk mengosongkan tarikh pendengaran rayuan kes itu susulan dakwaan terdapat bukti baharu dalam usaha beliau untuk mengetepikan sabitan dalam kes SRC International yang dijadualkan pada 15 dan 16 Mac.

16 Mac 2022 - Najib gagal buat kali kedua untuk mengemukakan bukti baharu dalam rayuan kes SRC.

11 April 2022 - Najib melalui Tetuan Shafee & Co memohon lanjutan masa selewat-lewatnya 25 April untuk memfailkan petisyen rayuan.

25 April 2022 - Najib memfailkan petisyen rayuan dan mengemukakan 94 alasan mengapa beliau harus dibebaskan daripada pertuduhan dalam kes SRC International.

29 April 2022 - Mahkamah Persekutuan telah menetapkan 10 hari pada Ogos untuk mendengar rayuan Najib terhadap sabitan dan hukuman penjara bagi kesalahan menyeleweng RM42 juta dana SRC International.funds.

31 Mei 2022 - Jonathan Laidlaw, Peguam Diraja dari United Kingdom memfailkan notis usul saman pemula bagi mewakili Najib dalam rayuan kes SRC International.

7 Jun 2022 - Najib memfailkan permohonan untuk mengemukakan bukti tambahan kepada Mahkamah Persekutuan bagi membatalkan keseluruhan perbicaraan kes SRC International.

13 Jun 2022 - Pendakwaan memfailkan afidavit bagi membantah permohonan Laidlaw untuk mewakili Najib dalam rayuan kes SRC International.

16 Jun 2022 - Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh menarik diri daripada mendengar permohonan Laidlaw untuk mewakili Najib.

27 Jun 2022 - Majlis Peguam memfailkan afidavit membantah permohonan Laidlaw untuk mewakili Najib dalam rayuan akhir SRC International.

21 Julai 2022 - Mahkamah Tinggi menolak permohonan Laidlaw untuk mewakili Najib dalam rayuan terakhir kes SRC International.

26 Julai 2022 - Najib telah menggugurkan serta-merta perkhidmatan Tetuan Shafee & Co daripada mewakilinya dalam rayuan terakhir kes SRC International di Mahkamah Persekutuan dan pada masa sama, peguam Hisyam Teh Poh Teik dilantik sebagai peguam utama untuk mewakili Najib.

15 Ogos 2022 - Mahkamah Persekutuan membenarkan permohonan pembelaan untuk meminda notis usul Najib bagi mengemukakan bukti baharu dalam rayuan terakhirnya dalam kes SRC International.

16 Ogos 2022 - Najib gagal dalam permohonannya untuk mengemukakan bukti baharu pada rayuan terakhir kes SRC International.

16 Ogos 2022 - Mahkamah Persekutuan menolak permohonan Najib untuk menangguhkan pendengaran rayuan bagi kes SRC International dan menetapkan 18 Ogos untuk mendengar rayuan itu.

18 Ogos 2022 - Mahkamah Persekutuan mula mendengar rayuan terakhir Najib dalam kes SRC International.

18 Ogos 2022 - Mahkamah Persekutuan menolak permohonan Hisyam untuk menarik diri daripada mewakili Najib Tun Razak dalam rayuan akhir.

19 Ogos 2022 - Pihak pendakwaan selesai mengemukakan hujahan dalam rayuan akhir Najib bagi kes penyelewengan dana SRC International di Mahkamah Persekutuan.

19 Ogos 2022 - Najib menamatkan khidmat peguam caranya, Zaid Ibrahim Suflan TH Liew & Partners (ZIST), daripada mewakilinya dalam rayuan akhir.

23 Ogos, 2022 - Najib memohon supaya Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat menarik diri daripada mendengar rayuan akhir kesnya membabitkan dana SRC International.

23 Ogos 2022 - Muhammad Shafee gagal menangguhkan hujahan bagi prosiding agar Ketua Hakim Negara menarik diri daripada mendengar rayuan Najib. Petang yang sama selepas selesai prosiding mahkamah, Najib dibawa oleh polis ke Penjara Kajang. 

Monday, August 22, 2022

NAUZUBILLAH, HUBUNGAN SEKS SESAMA JENIS DITERIMA DI SINGAPURA

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Bersembunyi di sebalik tuntutan hak asasi manusia, golongan LGBT (Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender) terus berusaha meng'halal'kan kewujudan dan aktiviti mereka dalam masyarakat. Aktiviti persundalan mereka sudah diterima dan diiktiraf di barat, dan kini diikuti oleh beberapa negara rantau Asia seperti India dan Taiwan. 

Terbaharu, Singapura dilaporkan akan memansuhkan jenayah seks antara lelaki, kata Perdana Menteri, Lee Hsien Loong pada Ahad 21 Ogos 2022. Lee dipetik sebagai berkata, masyarakat di negara itu semakin menerima golongan gay sebagai sebahagian daripada rakyat negara pulau tersebut.

Bagaimanapun, Lee menyatakan kerajaan tidak berhasrat untuk mengubah takrifan undang-undang perkahwinan di negara tersebut iaitu antara lelaki dan wanita.

"Saya percaya ini adalah perkara yang betul untuk dilakukan dan sesuatu yang kini diterima oleh kebanyakan rakyat Singapura," katanya ketika berucap pada himpunan tahunan sempena Hari Kebangsaan Singapura.

Beliau berkata, kerajaan akan memansuhkan Seksyen 377A kanun keseksaan, sebuah undang-undang era kolonial yang menjenayahkan hubungan seks antara lelaki.

Kini Malaysia tersepit antara dua negara jiran di Asia Tenggara yang mula menerima LGBT sebagai entiti rakyatnya, iaitu Singapura dan Thailand yang liberal terhadap golongan LGBT. 

Saya percaya, selagi ada pemimpin Islam yang meletakkan Islam sebagai agama persekutuan, dan institusi raja Melayu yang ada di negara ini mempertahankan nilai tradisi yang baik, kita tidak perlu terikut ikut dengan negara lain yang semakin hilang jati diri. 

LGBT sudah wujud sejak zaman Nabi Lut dan kisah kemurkaan Allah terhadap kaum tersebut dirakamkan dalam Al Quran. Semoga Allah melaknat mereka yang menyokong aktiviti serta kewujudan LGBT dan tidak menurunkan balanya kepada kita. 

Monday, August 15, 2022

RXZ MEMBERS 4.0 BERJAYA MENAIKKAN IMEJ MOTOR LAMA

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.
Himpunan peserta RXZ Members

Pada 13 Ogos 2022, lebih 30 ribu motosikal RXZ seluruh Semenanjung Malaysia telah berkampung di Litar Gong Badak Terengganu bagi menjayakan program RXZ Members anjuran kelab motor dan kerajaan negeri Terengganu. Perasmian turut disempurnakan oleh Perdana Menteri dan disaksikan oleh Menteri Besar Terengganu. Ada beberapa perkara menarik tentang program ini. 

1. RXZ adalah model roda dua keluaran Yamaha dikeluarkan pada 1984 hingga 2011. Ia  paling laris dan mempunyai ramai peminat termasuk arwah adinda saya Abdullah Sani. Sani menggunakan RXZ untuk berulang alik semasa mengajar di SK Seri Pangkor.

2. RXZ adalah model motosikal dua lejang berkuasa 135 cc  yang disaingi oleh jenama Honda Raider dan Suzuki Panther, tetapi pengaruhnya bertahan hampir dua puluh tahun. Model Catalyzer adalah model keluaran terakhir di Malaysia pada 2008 sebelum kerajaan menguatkuasakan enjin motosikal 4 lejang sahaja dibenarkan dijual di Malaysia selepas itu. 

3. RXZ Members sudah diadakan 4 kali bermula pada 2017, 2018 dan 2019 sebelum bersambung pada 2022. Kerajaan Negeri Terengganu memberi sokongan penuh penganjuran program ini dengan objektif mendidik golongan pencinta motosikal menghargai  jentera dua roda ini dengan cara yang positif. 

4. RXZ mengimbau kenangan dan memori golongan pencinta dua roda yang berusia 40-an dan 50-an. Nostalgia menunggang motor ini sesuatu yang sukar digambarkan. Ia juga mempunyai nilai sentimental kepada pemiliknya. 

Saya meminati RXZ tapi belum bersedia memiliki jentera ini sebab kurang minat kepada jentera dua roda. Namun saya sangat teruja dengan program RXZ Members yang berjaya mengumpulkan peminatnya hingga ke Singapura dan Thailand.
 

Wednesday, August 10, 2022

PERGINYA HAJI ROSLI SAMOT BUAT SELAMANYA

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Innalillahi wainna ilaihi roji'un

Daripada Allah kita datang kepadanya kita PASTI kembali.

Ketika dalam perjalanan menuju ke sekolah pada awal subuh Selasa 9 Ogos 2022, saya mendapat berita bahawa haji Rosli Samot , guru Penolong Kanan SMK Ambrose, kembali ke rahmatullah tengah malam tadi ketika dalam perjalanan ke hospital Seri Manjung, akibat serangan asma kronik. 

Terkejut saya mendapat berita itu. Saya berhentikan kereta, termenung dan kemudiannya menangis sendirian. Selepas beristighfar dan hati menjadi tenang, saya teruskan pemanduan.  Kali terakhir kami bertemu semasa dia menyambut kepulangan isterinya dari Cameron Highland pada Rabu 3 Ogos lalu di PPD Manjung. Nampak sahaja susuk tubuhnya, kami berpelukan kerana lama tidak berbuat begitu. 

Haji Rosli sudah saya anggap bagaikan abang sendiri. Dia mengenali arwah ayah dan pernah membawa isterinya ke rumah kami di DSK semasa awal perkahwinannya. Kami banyak terlibat dalam aktiviti bahasa peringkat daerah Manjung. Sikapnya yang tenang dan bahasa yang tersusun menyebabkan Haji Rosli mudah mesra dengan ramai orang. 

Pada 2011, kami berpeluang untuk bekerja di bawah satu bumbung selepas beliau bertukar dari Kolej Vokasional ke SMK Batu Sepuluh Lekir. 

Hubungan kami semakin erat apabila saya diarahkan bertugas semula di SMKBS pada 2018. Ketika itu beliau adalah Penolong Kanan Kokurikulum. Bersama hajah Azizan, kami bertiga wujudkan grup telegram santai bahasa Inggeris. Hubungan kami bertiga tetap erat walaupun hajah Azizan bersara dan saya pindah bertugas di SMKPTLDM.

Saya, hajah Azizan dan Haji Rosli

Pada tengah malam Selasa, 9 Ogos 2022, serangan athma secara tiba-tiba menyebabkan Haji Rosli tidak sempat ke hospital dan meninggal dunia dalam perjalanan ke hospital Seri Manjung. Isterinya Dr Mashitah tenang menguruskan kereta yang dipandu ke tepi jalan. 

Jenazahnya dibedah siasat dan diuruskan di bilik mayat HSM, disolatkan di surau Fasa 1D2 dan dikebumikan selepas solat Asar di Hutan Melintang hari Selasa 9 Ogos 2022. 

إنَّا لِلَّهِ وَإنَّا إلَيْهِ رَاجِعُونَ     اللَّهُمَّ اغْفِرْ لَهُ وَارْحَمْهُ وَعَافِهِ وَاعْفُ عَنْهُ , وَأَكْرِمْ نُزُلَهُ , وَوَسِّعْ مُدْخَلَهُ , وَاغْسِلْهُ بِالْمَاءِ وَالثَّلْجِ وَالْبَرَدِ , وَنَقِّهِ مِنَ الْخَطَايَا كَمَا يُنَقَّى الثَّوْبُ الأَبْيَضُ مِنَ الدَّنَسِ ، وَأَبْدِلْهُ دَارًا خَيْرًا مِنْ دَارِهِ , وَأَهْلا خَيْرًا مِنْ أَهْلِهِ , وَزَوْجًا خَيْرًا مِنْ زَوْجِهِ , وَأَدْخِلْهُ الْجَنَّةَ , وَأَعِذْهُ مِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ , وَمِنْ عَذَابِ النَّارِ  اَللَّهـُمَّ اجْعَلْ قَبْرَهُ رَوْضَةً مِن رِيَاضِ الْجَنَّةِ , وَلَا تَجْعَلْهُ حُفْرَةً مِنْ حُفَرِ النَّارِ
Ya Allah, ampunkan dosanya, rahmati rohnya, dan terimalah segala amalannya. 

Bersemadilah dengan aman, wahai kekanda yang baik budi.

Monday, August 8, 2022

MENANTI KAPAL LCS TLDM YANG MASIH BELUM SIAP SEJAK 2011

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.
Model Kapal LCS Malaysia


Skandal terbesar pembelian aset pertahanan negara adalah tempahan 6 buah kapal Littoral Combat Ship (LCS). Tiada satu pun kapal tempur pesisir pantai (LCS) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) disiapkan mengikut jadual walaupun  kerajaan telah membayar lebih RM6 bilion untuk projek itu menerusi kontrak kepada Boustead Naval Shipyard Sdn. Bhd. (BNS) secara rundingan terus.

Laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) dikeluarkan baru baru ini mengesahkan kegagalan BNS menyiapkan dan menyerahkan kapal LCS tersebut kepada TLDM sebagai 'end user' Sehingga Ogos 2022 sepatutnya lima buah kapal LCS harus disiap dan diserahkan kepada TLDM. Namun bayangan sebuah pun tidak dapat disiapkan oleh syarikat yang berpangkalan di Lumut tersebut. 

Lebih mengejutkan, laporan itu turut mendedahkan terma-terma kontrak adalah lemah dan tidak memihak kepada kerajaan apabila pembayaran projek LCS berdasarkan kemajuan aktiviti atau pembekalan item dan bukan berdasarkan kemajuan sebenar.

“Ini adalah luar biasa dan ini menyebabkan bayaran kemajuan LCS 1 melebihi kemajuan kerja sebenar sebanyak 21.1 peratus (bayaran sebanyak 63.8 peratus berbanding kemajuan kerja sebenar sebanyak 42.7 peratus),” dedah laporan PAC setebal 247 muka surat.

Menurut laporan itu, pandangan TLDM selaku pengguna akhir tidak diendahkan oleh Kementerian Pertahanan dan BNS dalam pelaksanaan projek LCS.

Pada asalnya, reka bentuk kapal jenis Sigma pilihan TLDM telah dipersetujui oleh Menteri Pertahanan. Keputusan tersebut telah berubah kepada reka bentuk kapal jenis Gowind pada 11 Julai 2011 atas cadangan BNS yang dibawa kepada Menteri Pertahanan, Datuk Seri Zahid Hamidi pada 8 Julai 2011 tanpa merujuk kepada pihak TLDM terlebih dahulu.

Selain itu kerajaan 'gagal' mengesan masalah kewangan syarikat tersebut apabila terpaksa membuat pembayaran pendahuluan sehingga RM1.36 bilion sekali gus bertentangan dengan Surat Pekeliling Perbendaharaan Bil. 5 Tahun 2007 yang berkuatkuasa ketika itu.

Kedudukan kewangan BNS adalah lemah dan kritikal disebabkan salah guna kuasa dan kepincangan dalam pengurusan kewangan apabila setakat 2018, hutang syarikat itu kepada pihak pengeluaran produk tulen (OEM) adalah sebanyak RM801 juta manakala pinjaman dengan institusi kewangan adalah RM956 juta.

Malah laporan itu menyatakan peralatan yang disimpan dalam stor bagi projek LCS dianggarkan berjumlah RM1.7 bilion, dan lebih 15 peratus telah pun usang. Laksamana Tan Seri Dr Abdul Aziz Jaafar yang ketika itu Panglima Tentera Laut turut menggambarkan keadaan pada ketika itu sesuatu yang pelik kerana perolehan dilakukan oleh kerajaan bagi TLDM sebagai pengguna tetapi kuasa sepenuhnya diberikan kepada BNS.

BNS juga mengeluarkan kenyataan menyatakan semua pilihan bagi pembinaan 6 buah kapal berkenaan adalah tertakluk kepada penilaian serta verifikasi mereka, bukannya TLDM.

Khabarnya SPRM sudah mempercepatkan siasatan dan akan menyegerakan pendakwaan. Pada 24 Januari lalu, SPRM dilaporkan menahan dua Ketua Pegawai Eksekutif sebuah syarikat yang terbabit dalam kontrak perolehan enam buah kapal LCS. Mereka yang berusia 79 dan 49 tahun ditahan selepas hadir bagi membantu siasatan di Ibu Pejabat SPRM.

Rakyat sedang melihat apakah kerajaan sedang berusaha bersungguh sungguh untuk menyelesaikan isu pembinaan kapal yang entah bila akan siap. Indonesia dan Filipina kini sudah dibekalkan dengan kapal generasi baharu yang canggih. Singapura sudah jauh meninggalkan kita dari segi teknologi dan aset pertahanan. 

Inilah  akibatnya apabila pemimpin terlibat dengan rasuah. Kedaulatan negara hampir tergadai dan pembelian kapal LCS menjadi bahan lawak negara luar. 


Thursday, August 4, 2022

REBOOT THE LEADERS DI CAMERON HIGHLAND

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.
Peserta kursus REBOOT THE LEADERS 

MPSM Manjung menganjurkan kursus Reboot The Leaders, pada 1 hingga 3 hb Ogos 2022 di hotel Heritage, Cameron Highlands. Kursus ini bertujuan mengenalpasti pemimpin sekolah barisan hadapan yang layak diketengahkan sebagai calon NPQEL seterusnya mengikuti kursus berkenaan sebagai persediaan menjadi pengetua. Seramai 42 orang peserta mengikuti kursus ini dengan kebanyakannya merupakan Penolong Kanan dan Guru Kanan. 

Program bermula dengan semua peserta menaiki bas di PPD Manjung, menuju ke SMK Sungkai untuk penanda aras. Tuan PPD Manjung, en. Mohamad Akhir bin Abdul Latif turut serta dalam program 3 hari 2 malam ini, menaiki bas bersama para peserta. Kami disambut oleh pengetua Puan Siti Khadijah binti Ngosman, anak kelahiran negeri Selangor yang sudah menetap dan menabur bakti di negeri Perak. Dalam taklimat beliau, puan Siti Khadijah memaklumkan bagaimana beliau memperkasakan SLT melalui penubuhan Kumpulan Pemikir yang diketuai oleh guru DG52 dan DG54 yang bukan berjawatan hakiki. Beliau merupakan antara calon yang disenaraipendekkan untuk jawatan pengetua JUSA C oleh JPN Perak pada tahun lalu. 

Kami dijamu makan tengah hari di dewan makan asrama yang cantik dengan menu yang sedap sebelum menuju ke Cameron Highlands. 

Selepas itu, perjalanan ke hotel Heritage melalui Simpang Pulai selamat sampai ke destinasi kira kira jam 5 petang. Taklimat kursus dan sesi ice-breaking dikendalikan oleh Timbalan YDP MPSM, Dr Husaini Abdullah dapat meningkatkan rasa kendiri positif dalam kalangan  para peserta kursus. Pada sebelah malam, peogram Bicara Insaniah oleh Tuan PPD mengisi slot berkenaan sehingga jam 10 malam. 

Suasana sejuk di Cameron Highlands menyebabkan semua hotel di sini tidak mempunyai pendingin hawa. Antara aktiviti lain yang disediakan sepanjang kursus ini, adalah perkongsian amalan terbaik, telematch inter group dan pengurusan kepimpinan. Para peserta turut dibawa melawat perkampungan satelit untuk petempatan semula orang asli Semai dan beramah mesra dengan murid tadika Kemas dibawah kendalian cikgu Salimah. 
Tuan PPD Manjung di pusat prasekolah anak orang asli di Tabika KEMAS Sungai Ruil.


Pada hari Rabu 3 Ogos 2022, kajian kes dibuat dengan memberi tugasan kepada setiap kumpulan untuk menyelesaikan isu isu yang dinyatakan dalam tugasan.  

Majlis penutup disempurnakan oleh tuan PPD Manjung yang sanggup menanti kursus hingga ke akhirnya. 

Selain berkursus para peserta dibawa melawat Stesen Penyelidikan MARDI pada hari terakhir kursus. Penerangan oleh petugas MARDI en. Amir tentang keindahan flora dan jenis bunga-bungaan di situ menarik perhatian para peserta.  
Lawatan ke Stesen Penyelidikan MARDI Cameron Highlands


Kami akhirnya selamat tiba di PPD Manjung kira kira jam 7.30 malam dengan selamat. Terima kasih kepada MPSM Manjung yang telah menganjurkan kursus yang baik ini. 

Tahniah dan syabas kepada semua yang menjayakan program ini. 

DAMAILAH IJAN, WIRA NEGARA

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini. Keranda jenazah Ijan dibawa ke masji...