Tuesday, December 28, 2021

PULAU KECIL TRISTA DA CUNHA YANG TERPENCIL

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.
Pulau Tristan da Cunha

Menarik untuk kita berbicara tentang wujudnya pulau terpencil yang dihuni oleh golongan tua, jauh di selatan lautan Atlantik. Pulau Tristan da Cunha, adalah pulau kecil seluas hanya kira kira 98 km persegi, dengan jumlah penduduknya hanya 270 orang. Asalnya, pulau ini adalah puncak gunung berapi yang telah pendam ribuan tahun lalu, dengan ketinggian gunung 6760 kaki dari aras laut. Ia juga dikenali sebagai Edinburgh of the Seven Seas kerana lokasi dan keindahan semulajadinya.  

Pulau ini terletak kira-kira 2787 km dari pesisir pantai Cape Town, Afrika Selatan dan jauh daripada daratan lain. Tiada lapangan terbang atau pelabuhan yang dalam. Satu satunya laluan masuk dan keluar adalah melalui jalan laut yang dijadualkan dari Cape Town dengan tempoh pelayaran 6 ke 7 hari. Liputan internet sangat terhad dan masyarakatnya seolah-olah ketinggalan 20 tahun ke belakang.   

Pulau ini adalah koloni Britain dan dikawal sepenuhnya oleh pentadbiran di London. Penduduknya adalah warga negara British dan kegiatan ekonomi utama adalah pertanian, penternakan dan perikanan. Pada 2001, pulau ini pernah dibadai ribut kuat sehingga memusnahkan hampir sepertiga kediaman penduduknya. 

Disebabkan jumlah penduduknya semakin menurun, kerajaan British memperkenalkan beberapa dasar bagi menggalakkan golongan muda berkahwin dan menetap di sini. Antaranya adalah memberikan kerakyatan British kepada mana mana orang asing yang berkahwin dengan warga pulau Trista da Cunha. Mereka akan diberikan kemudahan rumah, dan tanah di pulau tersebut, di samping mendapat hak yang sama sebagai warga British yang lain. 

Namun begitu, usaha ini kurang mendapat sambutan, kerana generasi muda hari ini lebih suka dengan kehidupan sosial berinternet dan tidak tersisih daripada dunia luar.    

Anda berminat untuk berhijrah ke pulau ini? 

Tuesday, December 14, 2021

TRAGEDI DIREMPUH BABI HUTAN HAMPIR MERAGUT NYAWA

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Selepas solat maghrib di rumah, pada petang Khamis 2 Disember 2021, saya bergegas menunggang motor ke masjid Batu 10 Lekir. Niat saya tentulah ingin menyertai ahli kariah untuk membaca Yaasin dan tahlil mingguan seperti biasa.

Malang tidak berbau, saya dirempuh oleh kumpulan beberapa ekor babi hutan ketika di laluan kampung yang agak sunyi. Saya pengsan tidak sedarkan diri selepas kepala terhentak kuat di atas jalan tar. Darah keluar daripada luka di kepala dengan agak banyak. 

Saya terbaring tanpa bantuan sekurang-kurangnya setengah jam, sebelum ditemui oleh seorang jiran yang melalui jalan tersebut , Adam Taseh. Beliau kemudiannya menghubungi ambulans dan saya dibawa ke Hospital Seri Manjung untuk menerima rawatan lanjut. Saya kemudiannya ditahan di wad untuk beberapa hari bagi memastikan pemantauan terhadap kesihatan kesan daripada kemalangan tersebut. Setelah melalui pemeriksaan CT scan, x-ray dan pemeriksaan mata secara rapi, pihak hospital membenarkan saya pulang ke rumah pada 10 Disember 2021. 

Kesan kemalangan tersebut menyebabkan kepala saya pening dan lebam pada mata sebelah kanan, namun ia beransur ansur hilang. Syukurlah daya ingatan saya tidak terjejas dan proses pemulihan saya semakin baik hari ke hari. 

Saya bersyukur kepada Allah, kerana berkat doa ahli keluarga, saudara mara, jemaah surau dan masjid, kenalan serta sahabat handai, juga bekas pelajar telah memberi ruang saya untuk terus menghidu udara di bumi Allah. 

Terima kasih semua.  

Sunday, November 28, 2021

TELUR PUYUH HUTAN MENETAS

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.




Pada pagi Ahad 14 November 2021, ketika sedang menebas rumput di luar rumah, saya terjumpa sarang puyuh dengan tiga biji telur. Saya eramkan dalam inkubator dengan jangkaan 16-17 hari akan menetas. Alhamdulillah, pada 25 November 2021, dua biji menetas manakala sebiji lagi rosak. 

Dua ekor anak puyuh hutan itu dimasukkan ke kotak berlampu bersama seekor anak ayam yang menetas seminggu sebelum itu, yang kami namakannya Cici. Jantina anak ayam, dan anak puyuh hutan ini memang tak dapat dikenalpasti. 

Saya berikan anak puyuh makan cacing beku di samping dedak. Harapnya mereka mampu membesar dan sihat. 

Wednesday, November 17, 2021

DAMAILAH DI SANA, CIKGU ROSIDI!

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Arwah bersama isterinya


Saya kaget apabila mendapat perkhabaran kematian bekas pengetua dan mentor yang baik, Cikgu Ahmad Rosidi Ramley di rumahnya, pada Ahad 14 November 2021. Beliau dikhabarkan mendapat serangan jantung dan meninggal dunia di biliknya.

Cikgu Rosidi adalah pengetua semasa saya bertugas di SMK Batu Sepuluh, Lekir pada 2004. Beliau sebelum itu berkhidmat sebagai pengetua di SMK Pangkor. Beliau menamatkan pekhidmatan dalam dunia pendidikan sebagai pengetua di SMK Raja Shahriman, Beruas. 

Pengalamannya dalam pentadbiran dan pengurusan sekolah menjadikannya seorang yang dihormati dan disegani. 

Pada Mac 2021, MPSM Manjung mengadakan kunjung hormat dan ziarah beliau. Kami disambut mesra dan beliau banyak menceritakan pengalaman pahit manisnya dalam dunia pendidikan. Itulah pertemuan terakhir saya dengan beliau. 

Pemergiannya satu kehilangan yang pasti dirasai, terutama oleh keluarga dan jiran tetangganya.

Semoga Allah merahmati roh cikgu Rosidi.  

Wednesday, November 10, 2021

PELAJAR KEMBALI SEMULA KE SEKOLAH DALAM PPN FASA 4

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Mulai 8 November 2021, semua pelajar tingkatan 5 (calon SPM) di sekolah seluruh negara dibenarkan mengikuti sesi pembelajaran bersemuka. Ini satu berita yang baik kepada guru dan pelajar berkenaan, kerana dapat membuat persediaan menghadapi peperiksaan percubaan dan SPM sebenar dengan lebih baik.

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) juga mengumumkan pengoperasian institusi pendidikan di bawah seliaannya akan bermula pada 21 November ini di negeri negeri kumpulan A (cuti pada Jumaat) dan 22 November di negeri negeri kumpulan B (cuti pada Ahad. 

KPM dalam kenyataan tersebut, memaklumkan kemasukan kali ini tidak dilakukan secara berperingkat tetapi masih mengekalkan kaedah bergilir-gilir. Ini bermakna, pelajar setiap kelas dibahagikan kepada dua kumpulan, dan setiap kumpulan hadir berselang.

Kementerian berkata kemasukan akan membabitkan murid Tahun 1 hingga Tahun 6 di sekolah rendah serta kelas peralihan dan Tingkatan 1 hingga Tingkatan 4 di sekolah menengah.

Sumber di sini


Monday, November 1, 2021

KAMI BERIADAH MENDAKI BUKIT 300

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Pada pagi Ahad 31 Oktober 2021, kami sekeluarga mendaki Bukit 300, yang terletak berhampiran pusat peranginan Teluk Batik. Jaraknya hanya dalam 20 km. Hanya Abangcik tak dapat sertai kerana membuat persediaan pulang ke asrama sebelah petang nanti. 

Cuaca pagi itu cerah, namun pada sebelah malamnya, hujan agak lebat di Manjung. Ini menyebabkan trek laluan Bukit 300 agak licin dan berisiko. Umi dan Kakyong tidak mahu mengambil risiko, dan hanya berjoging dan bersantai di kaki bukit. 

Agak ramai pengunjung yang kami temui di kaki bukit. Kami berlima - saya, Abangah, AbangYang, Abang Ude dan Nuha, mula mendaki pada 10.30 pagi, dan akhirnya tiba di puncak kira-kira 45 minit kemudian. 

Tahniah kepada Abangah dan Abang Uda yang sampai lebih awal. 

Kami bertiga- saya, Abang Yang dan Nuha, dapat jugak sampai ke puncaknya 20 minit lewat daripada kedua-dua siswa Sains Sukan tersebut. 
Dari kanan ikut arah jam- Aqil, saya, Nuha, Wajdiy dan Faizi

Melepas lelah di puncak bukit 300

Alhamdulillah, kami dapat luangkan masa hujung minggu untuk aktiviti kekeluargaan seperti ini. Ia satu detik indah yang sangat bermakna.


Tuesday, October 26, 2021

KECERDASAN LUAR BIASA WILLIAM JAMES SIDIS PUNCA TRAGEDI HIDUPNYA

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

William James Sidis

Kita mungkin mengenali nama Albert Einstein, Leonardo da Vinci, atau seseorang seperti Stephen Hawking sebagai manusia pintar dunia. Namun, kita tidak boleh menafikan lelaki bernama William James Sidis, yang ukuran kecerdasan otaknya melebihi nama-nama yang disebutkan tadi. 

William James Sidis, lahir di Manhattan, New York pada 1898, adalah anak kepada pendatang Yahudi di Amerika bernama  Boris dan Sarah Sidis. Ibu bapa William sama-sama pintar dan bercita-cita tinggi. Bapanya memperoleh ijazah Sarjana Muda dan Sarjana dari Harvard dalam masa tiga tahun sahaja. Dia kemudiannya menjadi pakar psikiatri, pakar dalam psikologi abnormal.

Ibunya juga mengagumkan. Dia adalah salah seorang wanita pertama yang menghadiri sekolah perubatan di Universiti Boston, di mana dia lulus sebagai doktor perubatan.

Ibu bapanya ingin membuktikan bahawa jika ibu bapa cukup pintar dan menggunakan kaedah yang betul, anak-anak akan menjadi super genius. Dari sudut lain, William adalah bahan uji kaji mereka bagi membuktikan bahawa kepintaran diwarisi melalui keturunan.

Dengan IQ 250 hingga 300, Kanak kanak ini disifatkan oleh akhbar Washington Post sebagai 'budak genius hebat'. Beliau membaca New York Times pada usia 18 bulan, menulis puisi Perancis pada usia 5 tahun, dan bercakap 8 bahasa pada usia 6 tahun. Hebat, bukan?

Pada usia 9 tahun, dia lulus peperiksaan kemasukan di Universiti Harvard. Ketika berusia 11 tahun, beliau memberi kuliah di Harvard di Kelab Matematik. Dia lulus dengan jumlah Laude 5 tahun kemudian. Kecerdasannya menjadikan dia dikenali, tetapi William kehilangan keseronokan membesar pada zaman kanak kanak. Dia kerap kemurungan dan menyendiri, menyebabkan personalitinya terasing daripada kehidupan biasa.

Kehidupan William penuh tekanan dan harapan daripada ibu bapanya. William tidak pernah berjaya dengan inteleknya yang luar biasa. Dia meninggal dunia, pada usia 46 tahun, sebagai seorang yang miskin dan tidak berharta.

Apa yang berlaku kepadanya, dan mengapa dia tidak menggunakan IQnya yang luar biasa tinggi untuk mencipta kekayaan?

Semoga ini menjadi pengajaran kepada kita. Tidak salah menjadi pandai, tetapi menindas emosi anak untuk memenuhi impian peribadi, akan menjadikan ibu bapa gagal membesarkan anak anak secara normal. 

Friday, October 22, 2021

KAKITANGAN AWAM YANG TIDAK MAHU DIVAKSIN BAKAL BERDEPAN TINDAKAN TATATERTIB

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali meminta semua penjawat awam agar patuh kepada pekeliling dikeluarkan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) yang mewajibkan mereka melengkapkan suntikan vaksin COVID-19 sebelum 1 November ini.

Katanya, tindakan tatatertib boleh diambil kepada penjawat awam yang enggan memberi kerjasama menerima vaksin.

"Kalau mengikut pekeliling dan dari segi peraturan, penjawat awam harus patuh dengan apa yang telah diputuskan oleh pihak ketua jabatan masing-masing.

 "Dalam konteks ini, memang akan ada tindakan mungkin diambil sekiranya mereka masih enggan untuk divaksin.

 "Jadi, pada kesempatan ini, saya menyeru kepada semua penjawat awam untuk memberikan kerjasama memastikan diri mereka lengkap divaksinasi sebelum tarikh yang ditetapkan oleh JPA," katanya selepas menerima dos penggalak di pusat pemberian vaksin Klinik Kesihatan Membedai, hari ini.

Mohd Zuki berkata selepas semua negeri beralih ke Fasa Empat Pelan Pemulihan Negara (PPN), operasi di semua pejabat kerajaan akan dibuka semula.

 "Untuk mengelakkan ketidakselesaan, apabila tidak divaksin dan datang ke pejabat, ia akan memberikan kesan atau anggapan negatif dalam kalangan mereka yang telah divaksin. Penjawat awam di Labuan yang telah menerima vaksin melebihi 90 peratus, iaitu sama dengan peratusan seluruh negara," katanya.

Ketika ini, kelompok penjawat awam di seluruh negara yang belum mendaftar untuk divaksin adalah seramai 16,902 orang.

JPA menerusi kenyataan akhbar pada 30 Oktober lalu memaklumkan, keputusan mewajibkan suntikan vaksin kepada penjawat awam itu dibuat bagi memberikan keyakinan dan jaminan kepada orang awam serta memastikan kelancaran penyampaian perkhidmatan awam kepada rakyat.

Menurutnya, ia juga selari dengan usaha mengembalikan perkhidmatan kerajaan pada tahap pengoperasian penuh berdasarkan fasa-fasa PPN. – BERNAMA

Ulasan saya: Ada penjawat awam yang terlalu percaya dengan dakyah dan dakwaan membuta tuli oleh golongan anti-vaksin, sehingga boleh menjejaskan kerjaya mereka. Hakikatnya, kerajaan mengambil kira pandangan pakar perubatan dan saranan mereka dijadikan panduan dalam membuat keputusan berkaitan vaksinasi. Sebagai penjawat awam, kita tretikat dengan etika perkhidmatan awam. Jika tidak setuju, lepaskan jawatan secara terhormat. Masih ramai anak muda yang boleh mengisi kekosongan tersebut. 


Thursday, October 14, 2021

KISAH BENAR KUCING JALANAN BERNAMA BOB

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Kisah James Bowen dan Bob ditulis dalam sebuah buku

James Bowen adalah seorang pemuzik jalanan dan bekas penagih dadah yang bergelandangan di jalan-jalan di kota London pada 2007. Lahir daripada keluarga yang berantarakan menyebabkannya hilang arah dalam kehidupan. 

Dia berusaha keluar daripada penagihan dadah dengan mengambil ubat metadon yang dibekalkan oleh kerajaan kepada para penagih yang ingin membuang ketagihan terhadap heroin. 

Hidup Bowen berubah dengan kehadiran Bob

Pada satu malam, James menemui seekor kucing yang masuk ke apartmennya mencari makanan. Dengan andaian kucing itu melarikan diri dari suatu tempat, James cuba mengembalikan kucing itu dan mencari pemilik asalnya.

Setelah melepaskannya, beberapa hari kemudian kucing itu kembali ke rumah sewa James, kali ini dengan luka bernanah di kaki belakangnya. James berasa kasihan dan bimbang dengan situasi tersebut. Jirannya Betty membantu merawatnya  dan menamakan kucing tersebut sebagai Bob.

Selepas dirawat, Bob pulih tetapi masih mengikuti James ke mana-mana. James bermain muzik dan kelibat Bob di sisinya menarik lebih banyak orang menyaksikan persembahannya. Kemudiannya, ia menjadikan James mendapat lebih banyak wang. Akhirnya dia memutuskan untuk menjaga Bob. Bob pula semakin dikenali di kawasan tempat tumpuan pelancong.

Populariti Bob di media sosial menyebabkan James semakin dikenali di internet. Kehidupan James juga semakin terurus, dan dia dapat bebas daripada ketagihan dadah.

James kemudian memperbaiki hubungannya dengan ayahnya, Jack dan hidupnya berubah menjadi lebih baik. James berasakan kucing jalanannya Bob, seekor rakan hebat yang dapat mengubah nasib dirinya. 

James Bowen menulis sebuah buku mengenai hubungannya dan Bob, dengan judul Street Cat Named Bob yang menjadikannya kaya. Inspirasi daripada buku tersebut menjadi filem, yang menampilkan Bob sebagai watak kucing sebenar, pada tahun 2016.

Buku yang diterbitkan pada 2012 itu telah dialih bahasa kepada lebih 40 bahasa yang berbeza.

James Bowen memberi penghargaan kepada rakannya, Bob  kerana menyelamatkan nyawanya dan membantu pemulihannya daripada najis dadah. Kucing tersebut mati pada Jun 2020 dalam kemalangan dilanggar kereta. 

"Semudah itu. Dia memberi saya lebih banyak daripada persahabatan. Dengan dia di sisi saya, saya menemui arah dan tujuan yang saya hilang."

"Dia bertemu ribuan orang, menyentuh berjuta-juta nyawa." Tidak pernah ada kucing seperti dia. Dan tidak akan lagi.

"Saya rasa cahaya telah padam dalam hidup saya. Dan saya tidak akan pernah melupakannya." katanya James Bowen semasa majlis memperingati kucing hebat bernama Bob. 

Apa pengajarannya kepada kita? 


Monday, October 4, 2021

PERSEKOLAHAN BERSEMUKA MURID PPKI MULAI 4 OKTOBER 2021

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Pembukaan sekolah secara berperingkat bermula hari Isnin 4 Oktober 2021, di beberapa negeri di Malaysia termasuk Perak. Sudah tentu peristiwa ini sangat penting untuk memastikan pelajar tidak ketinggalan dalam pelajaran.

Selain pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang tinggi di sekolah, ramai murid sudah mendapatkan vaksinasi COVID-19. Ini adalah antara langkah yang dibuat oleh kerajaan dalam meyakinkan rakyat bagi pembukaan semula institusi pendidikan.

SMK Pangkalan TLDM dibuka semula untuk murid pendidikan khas (PPKI) pada hari ini berdasarkan ketetapan pengoperasian institusi pendidikan bagi negeri Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara.

Pembukaan itu sesuai seperti arahan KPM yang melibatkan Murid Berkeperluan Khas (MBK) di Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas (SKPK), Sekolah Menengah Kebangsaan Pendidikan Khas (SMKPK), Sekolah Menengah Pendidikan Khas Vokasional (SMPKV) dan Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI).

Pembukaan juga membabitkan pelajar semester 2 Tingkatan Enam, program prauniversiti, semester tiga di Sekolah Sukan Malaysia dan murid kelas peperiksaan antarabangsa.

Daripada 21 orang pelajar PPKI, 12 orang hadir manakala selebihnya tidak dibenarkan oleh ibu bapa, atau mempunyai masalah kesihatan. 

Persediaan guru PPKI juga amat baik dan tiada masalah besar pada hari pertama persekolahan. Pelajar dipecahkan kepada dua kumpulan iaitu kefungsian rendah dan kefungsian sederhana. 

PDRM turut memantau melalui kedatangan Inspektor Siti Nur Athira Ramlan, dari IPD Manjung. 

Tuesday, September 28, 2021

POLEMIK TUDUHAN TERHADAP EBIT LIEW

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Dalam beberapa minggu kebelakangan ini, negara dikejutkan dengan dakwaan seorang pendakwah terkenal, ustaz Ebit Liew (UEL) yang kononnya terlibat dalam skandal bersama seorang wanita. 

Kisah ini menjadi lebih parah apabila seorang aktivis masyarakat, Ustaz Firdaus Wong (UFW)membuat dakwaan berserta rakaman sumpah laknat daripada mangsa dan ahli keluarganya. 

Kesan daripada itu, UEL menerima kecaman dan diadili secara tidak adil melalui media sosial. Kemudian, timbul pula isu penggunaan aplikasi Deepfake  dan Shadowfake yang kononnya dibuat terhadap video berwajah UEL. 

Masyarakat menjadi keliru dan media sosial menjadi tempat perbahasan yang menghakimi UEL. Ada yang menyokong tindakan UFW dan ada yang beranggapan tuduhan melampau melaui media sosial tersebut adalah fitnah jahat terhadap UEL. 

Sehingga berita ini ditulis, pihak polis masih menjalankan siasatan. Polis juga meminta masyarakat tidak menyebarkan rakaman video yang belum tentu benar kerana ia menjejaskan siasatan pihaknya. 

UEL mengambil sikap berdiam diri dan tidak memberikan apa apa kenyataan. Sebaliknya, UFW konsisten dan terus menggunakan platform media sosial seperti FB dan telegram bagi meyakinkan masyarakat. Beberapa orang selebriti seperti PU Syed dan artis gila publisiti, Caprice turut membuat dakwaan terhadap UEL. 

Dalam hal ini, saya menganggap tindakan UFW melampaui tugas dan peranan pihak polis. Lebih malang lagi, UFW telah menyebabkan dakwaan terhadap UEL menjadi fitnah yang menjalar dalam masyarakat. Siapa pun yang bersalah, sepatutnya dibiarkan kepada pihak polis untuk menyiasat kerana ia memang kuasa mereka, berdasarkan keupayaan dan kemahiran PDRM. Masyarakat pula tidak sepatutnya mudah menerima apa sahaja dakwaan dan firnah dalam media sosial. 

Walau apa pun alasan UFW, tindakannya sudah menyebabkan kerosakan imej terhadap golongan agama. Semoga kita mengambil iktibar daripada apa yang berlaku. 

BALASAN AZAB BAGI PENYEBAR FITNAH

Diriwayatkan oleh Samurah Bin Jundub RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

وَأَمَّا الرَّجُلُ الَّذِي أَتَيْتَ عَلَيْهِ يُشَرْشَرُ شِدْقُهُ إِلَى قَفَاهُ، وَمَنْخِرُهُ إِلَى قَفَاهُ، وَعَيْنُهُ إِلَى قَفَاهُ، فَإِنَّهُ الرَّجُلُ يَغْدُو مِنْ بَيْتِهِ فَيَكْذِبُ الْكَذْبَةَ تَبْلُغُ الآفَاقَ

Berkata malaikat yang mengiringi Rasulullah SAW, "Adapun orang yang diseksa dengan penyangkut besi yang menembusi pipi sehingga ke belakang lehernya dan disengkut lubang hidung sehingga menembusi belakang lehernya dan disengkut mata sehingga menembusi batang lehernya ialah kerana kerjanya sejak pagi menyebarkan pembohongan ke sehingga seluruh ufuk penjuru dunia.” 
(Riwayat Ibn Hibban: 655)

Diriwayatkan oleh Abdullah RA, Nabi SAW bersabda:

هَلَكَ الْمُتَنَطِّعُونَ“.‏ قَالَهَا ثَلاَثًا ‏‏”

“Celakalah golongan pelampau. (Baginda SAW mengucapkannya sebanyak tiga kali).” 
(Riwayat Muslim: 2670)

Imam al-Nawawi dalam syarah hadis ini menyebut golongan pelampau yang disebutkan dalam hadis ialah golongan melampaui batas dalam pengucapan mereka. 
(Lihat: Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim: 16/461)

Sumber syarah hadis: Bayan Linnas Siri Ke-128, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan: Bahaya Fitnah

Saturday, September 18, 2021

PANDUAN UNTUK MEREKA YANG BAKAL PENCEN

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.


IMPIAN & REALITI ALAM PERSARAAN BANI MELAYU. 

Banyak catatan saya adalah penelitian dari liku-liku pengalaman hidup zaman bekerja yang saya ingin kongsikan pada orang muda.

Anda sendiri mungkin akan mengalami fasa yang sama tetapi eloklah belajar dari pengalaman orang lain agar perjalanan hidup lebih mudah dan bermakna.

Kadangkala tulisan saya cuba menyakat minda anda untuk berfikir. 

Nothing better than learning from other’s experiences, pitfalls, perils and mistakes. 

Ada beberapa perangai orang melayu yang saya perhatikan boleh diperbaiki dan disesuaikan dengan zaman sekarang terutama mereka yang sedang memasuki alam persaraan. 

Antaranya ialah:

1. Keinginan rumah besar 10 bilik. 

Beberapa rakan yang bekerja sebagai ejen hartanah memberitahu saya bahawa trend sekarang ialah pasangan berumur menjual banglo mereka dan berpindah kepada rumah teres atau condo yang lebih kecil. 

Semasa umur muda mereka bertungkus lumus mencari duit dan hutang bertimbun membeli rumah besar agar semua anak selesa apabila balik beraya. 

Tetapi hakikatnya, 350 hari dalam setahun, hanya kesunyian di rumah kerana anak-anak sudah mempunyai keluarga dan rumah sendiri. 

Atok hanya mendiami satu bilik dan sembilan bilik lain dipenghuni oleh jin. 

Lagi pun bukan mudah membuat penyelenggaraan rumah besar dalam usia tua. 

Anak yang balik raya sekarang ini boleh menyewa homestay atau hotel untuk beberapa hari. 

Lebih menyedihkan hutang rumah besar masih belum langsai walaupun kubur sudah kata mari. 

Fikir-fikirlah samada anda perlu bertungkus lumus bermatian membeli rumah besar yang akan menjadi white elephant dan dijual semula oleh anak-anak apabila ketiadaan orang tua nanti. 

Worst, rumah besar menjadi fitnah rebutan harta pusaka para waris. 

2. Keinginan nafsu memiliki Vellfire. 

Setiap orang pencen bercita-cita memiliki vellfire kerana kereta besar ini boleh membawa ramai ahli keluarga dengan comfy. Sebenarnya kereta berstatus tinggi ini bukan murah dan mempunyai kos penyelenggaraan yang tinggi. 

Apabila ditanya kepada seorang rakan kenapa beliau kerap memakai Proton Iriz walaupun mempunyai Vellfire, 

“Sangat convenient bawa kereta kecil pergi kedai short errants dan parking pun mudah” balas beliau yang mengaku memakai Vellfire sekali dua dalam sebulan sahaja. 

Apabila difikir secara rasional adakah berbaloi menyimpan satu kenderaan yang mempunyai kos penyelenggaraan, insurance dan cukai jalan yang tinggi tetapi digunakan sekali sekala?

3. Cita-cita besar memiliki tanah durian 10 ekar. 

Kerap saya mendengar rakan-rakan yang ingin berkebun selepas bersara mengusahakan ladang durian 10 ekar. 

Walaupun ianya satu impian yang bagus, menanam durian memerlukan komitmen dan modal yang tinggi. 

Saya selalu menasihatkan agar impian tersebut dimulakan secara kecilan dari usia muda, bukan ketika badan sudah kerepot. 

Kecuali jika anda ingin mengupah pekerja asing menjaga kebun, kesemua kerja kebun terpaksa dibuat sendiri seperti membaja, meracun, weeding, pruning, dan memungut buah. Itu semua memerlukan tenaga empat kerat. 

Kebiasaan bila rakan-rakan pencen bertanya berkenaan hobi tanaman durian, saya akan menjawab,

“Elok kau beli aje durian kat kedai bila teringin nak makan. Jangan menyusahkan diri nak tanam sendiri pokok durian diusia tua. Don’t buy a cow to drink milk. Just buy the milk at the supermarket”. Tentunya rakan faham apa maksud saya itu. 

4. Hasrat Grand Wedding untuk anak. 

Beberapa rakan saya menghabiskan duit simpanan beratus ribu untuk anjur majlis perkahwinan di hotel 4 star. 

Walaupun upacara sehari sahaja tetapi majlis perkahwinan dibuat paling meriah dan gah sekali. 

Saya tidak mahu komen lebih berkenaan perkara ini tetapi berpendapat adalah lebih baik kos belanja tersebut diserah pada young couple untuk membina hidup baru. 

Lebih menyayat hati, setelah berbelanja ratusan ribu ringgit untuk perbelanjaan perkahwinan yang gah, pasangan tersebut bercerai sebelum anniversary mereka yang pertama. 

Cukuplah sekadar majlis simple dan ala kadar yang dituntut oleh agama. 

5. Impian bersara mahu duduk masjid. 

Ini kerap saya dengar dari rakan yang akan berpencen. 

“Aku nak duduk masjid selepas pencen. Jadi noja masjid pun tak apa” tegas rakan saya. 

Impian kemasjid lima waktu adalah sangat baik tetapi jika tidak menjadi tabiat dari muda ianya bukan perkara mudah. 

Hati perlu dipupuk untuk berpaut pada masjid sebelum pencen agar ianya dijadikan sebagai habit. 

Hakikatnya, bila sudah tua ganyut hati tersangat liat. 

6. Impian travel satu dunia. 

Semua mempunyai impian travel satu dunia apabila pencen tetapi hobi ini memerlukan banyak wang dan sihat tubuh badan. Saya nasihatkan agar rakan-rakan belajarlah travel sedikit demi sedikit diusia muda dan bila bersara nanti, badan dan poket tidaklah terkejut. 

Seorang rakan terlalu asyik dan gamit travel selepas bersara sehinggakan habis semua duit epf beliau dalam setahun. Selepas itu beliau menjadi murung dan mengalami depression. 

7. Impian untuk bekerja sehingga mati. 

Ramai rakan saya yang gelisah selepas bersara dan sibuk mencari pekerjaan lain kerana tidak bersedia dari segi moral dan belanjawan. Jika pekerjaan dianggap seperti hobi tidak mengapa asalkan tiada stress tinggi. 

Untuk bersara perlu proper planning, right mental dengan pasif income yang mencukupi. Bacalah artikel saya mengenai persediaan sebelum pencen. 

Barulah boleh ‘Bersara Dengan Bergaya’. 

Wallahua’lam. 
Ir.Hj.Zainuddin.Bin.Hj.Omar 
FB: Zainuddin Omar 

***********

Saturday, September 11, 2021

Golongan Anti Vaksin: Mudah Diperdaya Oleh Propaganda

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di si

Vaksin Bukan Konspirasi Yahudi : Pengasas Vaksin Pfizer Pun Orang Islam (Dr Ugur Sahin & Dr Ozlem Tureci)

Tahukah anda, vaksin Pfizer adalah hasil usahasama syarikat milik Dr Ugur Sahin, seorang pakar onkologi dengan PhD dalam bidang ‘oncology chemotherapy’.

Dia beragama Islam dan berasal dari Turki dan berhijrah ke Jerman dan menamatkan semua pengajian universiti di sana. Dia berkahwin dengan isterinya di Jerman, Dr Ozlem Tureci, juga seorang Islam berketurunan Turki.

Vaksin Pfizer yang menggunakan teknologi mRNA adalah bebas khinzir dan hasil dari penyelidikan syarikat BioNTech milik beliau dan Pfizer. Pada asalnya, syarikat ini menumpukan kajian imunoterapi dalam pesakit kanser.

Pasangan suami isteri ini adalah antara individu terkaya di Jerman dengan nilai aset melebihi RM 20 Billion. Walaupun kedua mereka adalah bilionair, mereka tidak memiliki kereta dan memilih untuk mengayuh basikal ke makmal tempat kerja. 

Mereka amat berdisiplin dan berdedikasi dengan penyelidikan hinggakan kembali ke makmal sebaik sahaja selesai bernikah untuk menyambung kerja-kerja makmal. 

Menariknya, vaksin juga mula dipopularkan oleh doktor-doktor Islam di Turki semasa zaman empayar Otoman. Amalan ini diperhatikan oleh isteri duta British di sana, Lady Montagu dan dia menulis surat kepada saintis British untuk dikaji kerana berkesan menghentikan penyakit smallpox. Bermula dari itu, saintis British telah mengembangkan amalan vaksin dan terbukti berkesan. 

Tentu orang-orang Turki menghargai pencapaian beliau dan sumbangannya dalam perubatan memberikan kesan yang besar impaknya di seluruh dunia.

Sebenarnya, kisah menakut-nakutkan orang bagi kesan buruk vaksin atau teori konspirasi adalah tidak berasas. Begitu juga kononnya ada ‘cip’ yang diletakkan untuk ‘mengesan manusia’ hanyalah cerita karut yang disalut gula dan garam. 

Hakikatnya vaksin adalah usaha keras melalui kaedah saintifik yakni menurut hukum alam dan tentunya usaha sebegini mendapat pahala yang besar dari Allah swt.

Allah berfirman dalam surah Al-Maidah ayat 32, “Dan barangsiapa yang memelihara kehidupan seorang manusia, maka seolah-olah dia telah memelihara kehidupan manusia semuanya.” 

Bayangkan pahala mereka ! 

Seharusnya begitulah hidup yang baik bagi seorang Muslim - memberikan seluruh hidupnya untuk kebaikan manusia dan bukan menghabiskan masa menghukum orang itu akan ke neraka dan sebagainya sedangkan diri sendiripun belum tentu akhirnya. Mereka yang amalannya baik dan besar impaknya tentu besar ganjarannya di akhirat. 

Ketahuilah fakta sebenar dan janganlah percaya penyebar dakyah vaksin dan teori konspirasi kerana mereka sebenarnya mahu menjual produk tertentu dengan kaedah pemasaran menakutkan manusia dengan keraguan dan cerita bohong.

Tiada konspirasi vaksin melainkan usaha keras dari pelbagai negara menghasilkan vaksin kerana ia adalah jalan keluar bagi menghentikan musibah ini. Yang ada hanyalah konspirasi di kalangan penjual produk yang mahu memperkenalkan produk mereka sebagai alternatif atas vaksin yang mereka takutkan. 

Kenapakah ada orang Islam sendiri yang memburukkan satu produk kajian dari orang Islam sendiri? Kenapa bersungguhan mahukan orang Islam menjadi bodoh dengan cerita yang menyimpang dari fakta sebenar?

Pelikkan?

Dr Alzamani Mohammad Idrose

Nota : artikel ini saya tulis untuk memberikan fakta yang tepat kerana saya dapati ada orang Islam yang dikelirukan terutamanya oleh golongan antivaksin. Orang Islam juga harus kembali kepada asas ajaran Islam yang menyuruh membuat kebaikan kepada seluruh jagat manusia dan alam.

Saturday, August 28, 2021

KISAH MIMPI BUDAK ROKET HOMER HICKAM

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.



Homer Hickam, seorang anak remaja kepada pelombong arang batu, mendapat inspirasi untuk membina roket ketika mendengar tentang satelit buatan pertama Sputnik dilancarkan ke angkasa. Ketika itu, era perang dingin antara Amerika Syarikat dan Soviet Union mewarnai lanskap politik dunia. 

Kejayaan roket USSR melancarkan satelit pertama memberikan tamparan kepada pentadbiran Amerika Syarikat yang dilihat ketinggalan dalam perlumbaan angkasa lepas.
 
Walaupun mendapat tentangan ayahnya yang ingin dia bekerja sebagai  pelombong arang batu, Hickam dan rakan-rakannya berusaha membuat roket amatur, mengambil bahagian dalam pertandingan pameran sains nasional 1960, sehingga memenangi pingat emas dan perak.

Homer pernah berkhidmat sebagai leftenan pertama di Bahagian Infantri ke-4 Tentera Darat AS dari tahun 1967 hingga 1968 semasa Perang Vietnam dan dianugerahkan Pingat Tentera Darat dan Pingat Bintang Gangsa.

Selepas tamat perkhidmatan, Hickam bekerja untuk Komando Penerbangan dan Komando Latihan Tentera di Jerman.

Dia kemudian bergabung dengan NASA sebagai jurutera aeroangkasa di Marshall Space Flight Center, Alabama.

Kepakarannya di NASA termasuk melatih angkasawan dalam hal muatan sains dan aktiviti luar kenderaan (EVA).

Sebelum bersara dari NASA pada tahun 1998, Hickam adalah pengurus latihan muatan untuk Program Stesen Angkasa Antarabangsa. Pada usia 77 tahun, Homer Hickam menjadi ahli kumpulan penasihat Majlis Angkasa Negara. 

Beliau mempunyai hobi yang unik, iaitu sangat suka membaca. Semasa zaman persekolahan, dia mempunyai guru hebat yang memotivasikannya untuk belajar dan menjaga disiplin di dalam kelas.

Walaupun tinggal di bandar Coalwood yang terpencil dan kecil, Homer dapat memahami banyak perkara kerana suka membaca dan sokongan sekelilingnya.

Buku pertamanya diterbitkan pada tahun 1989, "Torpedo Junction" bukan fiksyen mengenai pertempuran Amerika menentang kapal-kapal Jerman semasa Perang Dunia II.

Hickam tinggal di Jepun selama setahun dan melatih angkasawan Jepun pertama untuk misi STS-47 / Spacelab-J. Selepas itu, beliau mengusahakan program Stesen Angkasa Lepas (ISS)  sehingga dapat menyiapkan buku yang seterusnya, "Rocket Boys", yang kemudian dijadikan filem Oktober Sky (1999).

Pada tahun 1999, beliau bersara dari NASA dan memulakan kerjaya yang panjang sebagai pengarang yang berterusan hingga kini.

Apakah pengajarannya kepada kita?


Thursday, August 19, 2021

PRABOWO SUBIANTO: SETERU POLITIK JOKOWI YANG BERJIWA BESAR

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Prabowo Subianto juga adalah menantu Soeharto


Joko Widodo, Presiden Indonesia telah dilantik ke jawatan tersebut sejak 2014. Beliau mengalahkan pesaingnya dalam pilihanraya presiden, Prabowo Subianto. Selepas tamat penggal pertamanya, beliau bertanding lagi pada 2019.
Apabila keputusan Pilpres 2019 (Pilihanraya Presiden) Indonesia diumumkan, Joko Widodo (Pak Jokowi) memenanginya dan kekal menjadi presiden negara yang mempunyai jumlah penganut Islam teramai di dunia itu.
Pesaing beliau dalam Pilpres 2019, masih lagi Prabowo Subianto, nama besar mantan Jeneral TNI dan tokoh politik yang tidak kurang hebatnya. Kekalahan Prabowo membawa kepada ketidakstabilan politik dan berlaku beberapa rusuhan di ibu kota Jakarta dan kawasan lain.
Selepas Pilpres berakhir, Jokowi melantik beberapa orang ahli politik daripada pelbagai latar belakang, menjadi anggota kabinetnya. Mengejutkan apabila Prabowo yang menjadi lawannya dalam Pilpres, ditawarkan untuk menjawat jawatan menteri pertahanan, satu posisi penting dalam cabang kabinet Indonesia.
Lebih mengejutkan lagi, Prabowo menerima tawarannya walaupun tidak dipersetujui oleh sebahagian besar pengikutnya.
Prabowo dalam satu wawancara, selepas majlis pembentukan kabinet baharu, berkata bahawa keputusan Pilpres sudah dibuat oleh rakyat, dan beliau mengajak penyokongnya memastikan Indonesia terus mara ke hadapan dalam pelbagai bidang.

AHLI POLITIK MALAYSIA YANG GILA KUASA, PERLU BELAJAR SESUATU DARIPADA JIWA BESAR PRABOWO SUBIANTO, PESAING CALON PRESIDEN INDONESIA.

Wednesday, August 11, 2021

PHIONA MUTESI: GADIS MISKIN YANG MENJADI PUTERI CATUR UGANDA

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.


Phiona Mutesi, tidak asing dalam pertandingan catur antarabangsa. Kisah inspirasi gadis miskin di Uganda ini, akhirnya telah mencipta nama besar dalam sukan catur.

Mutesi dilahirkan dan dibesarkan di daerah miskin di Katwe, di negeri Kampala, Uganda. Ketika kecil, Mutesi kehilangan ayahnya akibat virus AIDS. Kemiskinan keluarga menyebabkan Mutesi berhenti sekolah semasa berusia 9 tahun.

Mutesi membantu keluarga dengan menjual jagung di tepi jalan. Suatu hari ketika mengikut abangnya, dia tertarik dengan sejenis permainan yang tidak pernah dilihatnya. Ia adalah permainan catur, dikendalikan oleh Sports Outreach Institute, sebuah organisasi mubaligh Kristian yang aktif.

Robert Katende, seorang guru dalam organsasi tersebut melihat bakat besar Mutesi dalam permainan catur, lalu membimbing dan mengajarnya teknik permainan catur.

Motivasi untuk Mutesi adalah diberikan makanan percuma, jika belajar bermain catur. Pada permulaannya, Mutesi bermain kerana inginkan makanan. namun semakin hari skil permainannya semakin baik.

Suatu hari, dia berlawan catur dan mengalahkan semua orang di kelab kecuali juara bertahan. Di pentas perlawanan akhir, Mutesi telah mengalahkan peserta lelaki tersebut.

Di Uganda, masyarakat hanya menganggap anak gadis lebih sesuai di dapur dan tidak perlu ke sekolah. Ibu Katwe tidak bersekolah dan berkahwin ketika berusia 16 tahun. Perkara yang sama berlaku kepada kakaknya. Mutesi mempunyai impiannya yang lain daripada kebiasaan wanita di tempatnya.

Apabila berjaya mengalahkan juara catur kelab, Mutesi mempunyai keyakinan diri dan melihat catur sebagai satu jalan untuk dia mencapai impian melihat dunia luar.

Kemudian dia menyertai pertandingan yang lebih besar. Semasa remaja, dia mewakili Uganda di kejohanan antarabangsa.

Hidup Mutesi semakin berubah. Peluang demi peluang dalam sukan catur menghidupkan impiannya untuk melihat negara luar.

Mutesi dapat menaiki pesawat dan melawat Amerika Syarikat. Dengan kecemerlangannya dalam sukan catur, Mutesi ditawarkan biasiswa Universiti Northwest, Washington pada tahun 2017.

Apabila berada di tempat orang, Mutesi mula rindu akan kehidupan bersama keluarganya. Kehidupan di pinggir bandar Seattle sangat membosankan berbanding dengan kehidupan di Kampala.

"Di rumah, di seluruh wilayah, anda mengenali setiap orang, dan semua orang saling bertanggungjawab," kata Mutesi.

"Saya dibesarkan di komuniti yang mana jika saya melakukan sesuatu kesalahan, ibu saya akan tahu. Malah, sebelum dia tahu, saya terlebih dahulu akan dihukum oleh ibu bapa yang lain kerana sifat tanggungjawab menjaga komuniti . Itu tidak apa-apa."

"Di sini, (Amerika Syarikat) semua orang hidup sendiri. Malah tiada yang peduli apa yang anda lakukan.'"

Bagi menampung tambang pesawat untuk pulang bercuti di Uganda, Mutesi mencari wang tambahan dengan menjadi penceramah motivasi.

Menjadi penceramah motivasi, memberi peluang kepadanya mengembara ke pantai barat Amerika. Dia juga menerima wang daripada penaja dan pihak yang berminat mendapatkan perkhidmatannya.

"Saya tidak lagi obses dengan catur seperti dulu. Sekarang, saya rasa ada banyak perkara yang dapat saya lakukan dalam hidup saya. Namun saya tahu, caturlah yang membuka banyak peluang untuk saya." katanya.

Pada tahun 2012, Mutesi adalah pemenang tiga kali Kejuaraan Catur Junior Wanita Uganda. Mutesi dan Ivy Amoko dianugerahkan gelaran Master Wanita setelah mengumpulkan jumlah mata 50% yang diperlukan daripada sembilan perlawanan di Olimpik Catur ke-40 di Istanbul, Turki. Ini menjadikannya pemain catur wanita pertama diberikan anugerah tersebut dalam sejarah catur Uganda.

Pada tahun yang sama Mutesi menjadi pemain wanita pertama yang memenangi kategori terbuka Kejohanan Catur Junior Nasional di Uganda.

Pada tahun 2013, dia sekali lagi bermain di Kejuaraan Catur Junior Nasional di Uganda dan mara ke final menentang Lutaaya Shafiq dari Makerere University, dan memenanginya.

Mutesi mewakili Uganda di Olimpik Catur ke-41 pada 2014 dan Olimpik Catur ke-42 pada 2016.

Dia juga menyertai pasukan catur Universiti Northwest dalam bertanding di Pan American Intercollegiate Team Chess Championship, yang diadakan di Columbus, Ohio, pada bulan Disember 2017. Pasukan tersebut memenangi gelaran "Top Small College" mewakili Northwest University, mengalahkan Oberlin College. Mutesi memenangi tiga perlawanan dan seri satu.

Kisah Mutesi telah difilemkan oleh penerbit filem Disney pada tahun 2016, dengan tajuk Queen of Katwe. Banyak pengajaran daripada kisah Mutesi ini. Yang penting kita mesti ada impian.



Wednesday, August 4, 2021

KISAH BENAR 3 ORANG TENTERA YANG HANYUT 34 HARI DI LAUTAN PASIFIK

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

foto sebenar 3 orang tentera yang hanyut 34 hari

Dixon menerima pingat Navy Cross

Filem Against The Sun, berdasarkan kisah benar

Pada 16 Januari 1942, juruterbang tentera laut AS Harold Dixon, dan dua orang kru iaitu Tony Pastula serta Gene Aldrich, menerbangkan pesawat pengebom untuk membuat rondaan rutin.

Pesawat tersebut menghadapi masalah apabila tersesat daripada laluan asal, dan kekurangan bahan api di lautan Pasifik Selatan. Dixon membuat keputusan untuk kembali ke kapal induk, USS Enterprise.

Mereka cuba berhubung dengan menara kawalan, namun tiada isyarat kerana pesawat melencong terlalu jauh daripada pesawat lain. Kehabisan bahan api menyebabkan Dixon mengarahkan anak buahnya bersedia untuk pendaratan kecemasan di tengah lautan.

Mereka berjaya mendaratkan pesawat tersebut dan menyelamatkan diri di atas rakit angin yang kecil, dikelilingi oleh lautan yang luas.

Walaupun mengetahui ada usaha mencari mereka, Dxon sedar operasi itu terlalu jauh daripada  lokasi mereka berada. Dixon menggambarkan keadaan mereka sebagai "hilang di laut", istilah tentera laut untuk menghentikan pencarian.

Dengan segala keperluan yang terhad, mereka perlu terus hidup di rakit angin dalam tempoh sekurang-kurangnya dua minggu. 

Mereka menyedari tidak ada dayung, atau peta, dan yang lebih bimbang, tidak ada makanan atau air. Dengan sedikit harapan untuk hidup, mereka membiarkan rakit tersebut hanyut di samudera luas yang serba mencabar. 

Melawan segala kemungkinan yang luar biasa, ketiga-tiga orang tentera itu bertahan daripada dehidrasi, kelaparan, ancaman jerung, ribut dan kematian. Mereka berusaha menangkap ikan dan memakannya mentah mentah, demi meneruskan kelangsungan hidup. Ada ketika mereka berlapar berhari-hari. 

Pada detik-detik berakhirnya penderitaan, mereka hampir gila, dan putus asa, dan sudah ada yang berniat membunuh diri. Namun sokongan antara satu sama lain membantu mereka terus hidup. 

Semangat tidak berputus asa dan percaya kepada takdir, akhirnya membuahkan hasil apabila pada hari ke-34, mereka melihat daratan buat pertama kali selepas kejadian pesawat mereka terhempas.  

Dixon dan anak buahnya terdampar di pesisir pantai Pukapuka, kepulauan Pasifik, pada 20 Februari 1942, selepas lebih sebulan hanyut tanpa bekalan mencukupi, sejauh lebih 1000 km.

Dixon dianugerahkan pingat Navy Cross, kerana mempimpin anak anak buahnya untuk terus hidup berjuang menempuh cabaran di lautan Pasifik. 

Kisah mereka kemudiannya difilemkan dalam filem berjudul Against The Sun pada tahun 2014. 

Apakah pengajaran yang boleh kita kutip daripada kisah benar ini? 

Monday, August 2, 2021

AHMED HAFNAOUI: MIMPI INDAH PERENANG TUNISIA DI OLIMPIK TOKYO

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Ahmed Hafnaoui, atlet pertama Tunisa mendapat emas

Kisah sensasi perenang remaja benua Afrika, iaitu Ahmed Hafnaoui, menjadi satu kejayaan terbesar Sukan Olimpik Tokyo, kerana mengutip pingat emas dalam acara gaya bebas 400m dengan cara yang menakjubkan.

Hafnaoui, berusia 18 tahun, rakyat Tunisa, telah bersaing dengan perenang bertaraf dunia seperti Jack McLoughlin dari Australia, yang meraih perak, dan atlet renang Amerika Syarikat, Kieran Smith, yang memenangi gangsa. Dia mencatat masa terpantas dalam 3 minit 43.36 saat untuk memahat namanya sebagai juara di sukan Olimpik Tokyo tersebut. 

Hafnaoui sendiri terkejut dengan pencapaiannya. Dialah rakyat Tunisia pertama mengutip emas dalam temasya sukan Olimpik. Malah, tidak pernah ada atlet renang Afrika yang memenangi emas di sukan Olimpik sebelum ini. 

"Ia sukar dipercayai. Saya tidak mempercayainya sehingga saya menyentuh dinding dan melihat nama di papan markah. Saya melihat perenang Australia dari lorong enam, saya kira dalam jarak 200m . Ia adalah pertarungan hebat. Saya berasa hebat. Saya berasa bangga." katanya ketika diwawancara sebaik menang acara tersebut. 

Peningkatan dramatik Hafnaoui seolah-olah keajaiban. Sukan renang biasanya didominasi oleh perenang Eropah dan Amerika.  Ada wartawan yang bertanya bagaimana dia bertambah baik setelah menduduki tangga kelapan di Olimpik Remaja 2018. 

"Pada mulanya saya terkejut bahawa saya adalah finalis," katanya. "Dan sekarang saya terkejut saya memenangi pingat emas. Saya hanya bekerja keras dan ikut arahan jurulatih saya, itu saja." katanya lagi. 

Hafnaoui menitiskan air mata, ketika melihat bendera negaranya berkibar dan lagu kebangsaan negaranya dimainkan saat tegak berdiri di podium. Sebaik pulang ke negaranya, Hafnaoui disambut meriah oleh keluarga dan warga Tunisia. 

Sudah pasti Hafnaoui menjadi legenda di negaranya. Atlet Malaysia ketika ini, sedang mencari peluang mengutip emas pertama negara dalam sukan Olimpik. Sandaran pastinya diletakkan di bahu Datuk Azizulhasni Awang dan Shah Firdaus, dalam acara basikal pecut dan keirin, selepas Lee Zi Jia terkandas dalam sukan badminton, sama seperti Khairul Anuar dalam sukan memanah. 

Semoga ada sinar untuk atlet Malaysia di Olimpik Tokyo. 

Tuesday, July 27, 2021

CHRIS McCANDLESS: TRAGEDI MENCARI BAHAGIA DI BUMI TERPENCIL ALASKA

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Christopher McCandless di hutan Alaska

Christopher Johnson McCandless, anak muda yang lahir pada 12 Februari 1968, daripada keluarga yang berada. Ayahnya seorang jurutera NASA dan ibunya usahawan berjaya. Setelah lulus dari Universiti Emory di Georgia pada tahun 1990, McCandless melakukan perjalanan ke seluruh Amerika Utara. Dia bertekad untuk menetap ke Alaska pada bulan April 1992. Niatnya tidak dimaklumkan kepada sesiapa pun termasuk keluarganya.  

McCandless menukarkan namanya kepada Alexander Supertramp, dan membuang semua identitinya agar tidak dikenali. Dia juga tidak berhubung dengan keluarganya sejak memulakan perjalanannya ke Alaska.  Dalam perjalanan ke Alaska, dia menumpang kenderaan atas  ihsan pemandu, bekerja bagi menampung hidup yang serba sederhana.  

Dia memasuki hutan  Alaska yang ekstrim dengan cuaca sejuk  dengan sedikit bekalan, dan berharap dapat tinggal di sana tanpa berhubung dengan sesiapa. Di tebing timur Sungai Sushana, McCandless menemui sebuah bas yang ditinggalkan, Fairbanks Bus 142, yang dijadikan rumahnya. 

Bas usang ini menjadi 'rumah' McCandless sehingga akhir hayatnya

Bas usang tersebut digunakannya sebagai tempat perlindungan hinggalah pada penghujung hayatnya. Dia berburu, mengutip hasil hutan dan menulis diari sepanjang pengembaraannya. Pada bulan September 1992, mayatnya yang mereput, dengan berat hanya 67 paun (30 kg), ditemui di dalam bas oleh seorang pemburu. Sebab kematian McCandless secara rasmi dinyatakan sebagai kelaparan, dan keracunan.

Pada Januari 1993, Krakauer, seorang penulis,  menerbitkan kisah perjalanan McCandless dalam majalah Outside berdasarkan tulisan McCandless dalam diari sepanjang pengembaraannya. Krakauer menulis buku biografi Into the Wild. Buku itu kemudian diadaptasi menjadi sebuah filem 2007 yang diarahkan oleh Sean Penn, dengan Emile Hirsch melakonkan watak McCandless. 

Christopher Johnson McCandless, atau nama panggilan Alexander Supertramp, mati bersendirian akibat kelaparan dan kemungkinan keracunan, pada usia 24 tahun, dalam bas usang di hutan terpencil di Alaska, meninggalkan segala kehidupan normal manusia. 

Kematiannya menjadi isu kontroversi, kerana sebahagian orang mengagumi semangatnya. namun ada juga yang melihat kematiannya sia sia kerana merosakkan diri sendiri.


Wednesday, July 14, 2021

REPUBLIK PALAU: SERENGETI DASAR LAUT

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.



Ada tiga buah negara terkecil di dunia, iaitu Nauru, Tuvalu dan Republik Palau. Negara Palau berkeluasan 459 km persegi, terdiri daripada ratusan pulau yang terletak di kepulauan Mikronesia di lautan Pasifik.  Palau terdiri daripada gugusan pulau dan bersempadan dengan perairan negara Filipina dan Indonesia. 

Dengan penduduk berjumlah kurang 20 ribu orang, kegiatan ekonomi negara Palau bergantung kepada sektor pelancongan, dan pertanian. Ibukota negara ini adalah Ngerulmudi. Negara ini merdeka daripada penguasaan Amerika Syarikat sejak 1994, namun masih tidak menjadi anggota Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu. Kebergantungannya kepada AS menyebabkan ia menggunakan Dollar AS sebagai matawang, manakala keselamatan negaranya dikawal oleh negara Uncle Sam. Kemudahan pangkalan tentera AS diwujudkan sejak perang dunia kedua, kerana kedudukannya strategik.


Keindahan kepulauan Palau sangat cantik dan menjadi syurga para penyelam seluruh dunia, kerana keunikan terumbu karang dan hidupan laut yang pelbagai. Tidak hairanlah Palau juga dikenali sebagai Serengeti Dasar Laut. Antara keistimewaan lain negara kecil ini adalah keindahan dasar lautnya yang memiliki batu karang semulajadi, di samping bangkai kapal perang dan kapalterbang perang dunia kedua yang banyak berkubur di sekitarnya.

Selain itu, pulau ubur ubur membolehkan para penyelam menikmati skuba bersama jutaan ubur ubur tanpa bisa. Laut pinggir pantainya membiru dan bersih. Negara ini mewajibkan setipa pelancong luar yang datang mengikrarkan janji menjaga kebersihan pantai dan mengambil tanggungjawab memelihara persekitaran. Ia merupakan satu satunya negara yang menetapkan perjanjian ikrar pelancong seumpama ini. 

Palau, sebuah negara kecil turut meletakkan hukum matrilineal, iaitu memberikan hak kepada wanita untuk membuat keputusan dalam keluarga. Ia juga bermakna, kaum wanita mempunyai keistimewaan dalam undang-undang adatnya.   


Sunday, July 11, 2021

PURSUIT OF HAPPINESS: KISAH BENAR GELANDANGAN YANG JADI JUTAWAN

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

                                                                       Chris Gardner

Christopher Paul Gardner lahir pada 9 Februari 1954, adalah seorang ahli perniagaan Amerika dan penceramah motivasi. Kejayaan hidup Gardner tidak datang dengan mudah.


Pada awal 1980-an, Gardner bergelut dengan perpisahan dengan isterinya, kehilangan tempat tinggal sambil membesarkan anak kecil. Dia menjadi broker saham dan akhirnya menubuhkan syarikat brokernya sendiri Gardner Rich & Co pada tahun 1987. Pada tahun 2006, Gardner menjual saham minoriti di firma itu dan menerbitkan memoir. Buku itu dijadikan filem The Pursuit of Happiness yang dibintangi oleh Will Smith pada tahun 2006.


Latar belakang Gardner lahir daripada keluarga yang berantakan. Ibunya, Betty Jean merupakan sumber imspirasi dan kekuatan positif. Dia mendorong Gardner untuk mempercayai dirinya sendiri dan berdikari.


Gardner bekerja untuk menjadi pelatih teratas di Dean Witter Reynolds. Dia tiba di pejabat lebih awal dan tiap hari, terus membuat panggilan kepada calon pelanggan dengan tujuannya adalah 200 panggilan setiap hari. Ketekunannya membuahkan hasil apabila pada tahun 1982, Gardner lulus Ujian Siri 7 pada temuduga menjadi pekerja tetap firma itu. Akhirnya, Gardner direkrut oleh Bear Stearns & Company di San Francisco.


Pada masa itu, Gardner dan anaknya secara diam-diam bergelut dengan tempat tinggal sementara dia menyimpan wang untuk rumah sewa di Berkeley. Malahan, tidak ada rakan sekerja Gardner yang mengetahui bahawa dia dan anaknya tiada tempat tinggal di Daerah Tenderloin di San Francisco selama hampir satu tahun. Gardner bergegas menempatkan anaknya di tempat penitipan anak, di rumah kedai, motel, taman, lapangan terbang, dengan pengangkutan awam, dan bahkan di bilik mandi terkunci di stesen keretapi bawah tanah.


Demi keselamatan anaknya, Gardner meminta Pendeta Cecil Williams untuk mengizinkan mereka tinggal di tempat perlindungan Gereja Memorial United Methodist Church untuk wanita-wanita yang kehilangan tempat tinggal, yang sekarang dikenali sebagai The Cecil Williams Glide Community House. Williams bersetuju tanpa ragu-ragu untuk membantu ayah yang malang itu.


Pada tahun 1987, Gardner menubuhkan firma pembrokeran, Gardner Rich & Co, di Chicago, Illinois, sebuah "syarikat broker institusi yang mengkhususkan diri dalam pelaksanaan transaksi hutang, ekuiti, dan produk derivatif untuk beberapa institusi terbesar negara, rancangan pencen awam, dan kesatuan sekerja.


Setelah Gardner menjual saham kecilnya di Gardner Rich dalam perjanjian bernilai jutaan dolar pada tahun 2006, dia menjadi CEO dan pengasas Christopher Gardner International Holdings, dengan pejabat di New York, Chicago, dan San Francisco. Semasa lawatan ke Afrika Selatan untuk menyaksikan pilihan raya sekitar ulang tahun ke-10 akhir apartheid, Gardner bertemu dengan Nelson Mandela untuk membincangkan kemungkinan pelaburan di pasaran baru muncul di Afrika Selatan. Gardner merancang usaha pelaburan di sana dan berharap mewujudkan ratusan peluang pekerjaan kepada warga Afrika Selatan.


Gardner adalah seorang dermawan yang menaja banyak organisasi kebajikan, terutamanya Program Cara dan Gereja Glide Memorial United Methodist di San Francisco, di mana dia dan anaknya pernah mendapat tempat tinggal yang sangat diperlukan.


Dia juga mewujudkan perumahan untuk golongan berpendapatan rendah dan peluang pekerjaan di kawasan bandar di mana dia pernah kehilangan tempat tinggal. Selain menawarkan sokongan wang, Gardner menyumbangkan pakaian dan kasut kepada golongan gelandangan.


Inilah kisah Chris Gardner, gelandangan yang akhirnya menjadi jutawan atas usaha tanpa tidak pernah putus asa.

Tuesday, July 6, 2021

ENAM KELEBIHAN MANDI AWAL PAGI

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Masyarakat Melayu sudah membiasakan anak anak mandi pada waktu pagi. Ini sesuai dengan persediaan diri untuk solat subuh. Budaya mandi pagi semakin kurang dipraktikkan oleh generasi muda hari ini. Namun begitu, tabiat mandi pagi sebenarnya sangat baik untuk tubuh badan. 

Kajian sains mengatakan kandungan gas ozon pada waktu pagi lebih tinggi dari waktu lain. Oleh itu, gas ozon ini juga amat penting untuk tubuh badan anda. jika anda mandi sebelum waktu subuh, ia bukan sahaja membersihkan malah memberikan kesegaran dan manfaat untuk tubuh badan anda. antara manfaatnya ialah :

1. Kulit Semakin lembut dan halus

Pada waktu pagi  mandi menggunakan air sejuk dapat mengurangkan kegelapan pada bawah mata. begitu juga dengan kuku, ia akan menjadi lebih sihat, kuat dan tidak mudah retak. kulit pula menjadi lebih lembut dan halus.

2. Melancarkan peredaran darah

Jika peredaran darah anda lancar maka tubuh badan anda akan menjadi lebih sihat dan bertenaga. malah anda juga boleh melakukan aktiviti seharian tanpa rasa letih.

3. Meningkatkan kesuburan

Kesihatan tubuh badan manusia akan mendapat reaksi yang positif apabila anda mandi pada waktu pagi. ia dapat meningkatkan hormon testosteron pada lelaki dan hormon estrogen untuk wanita.

4. Mengelak risiko darah tinggi

Untuk anda yang memiliki penyakit darah tinggi, mungkin ini merupakan salah satu cara untuk anda mengurangkan penyakit anda. Insya ALLAH, dengan izin ALLAH, jika ia diamalkan selalu, penyakit anda akan pulih.

5. Mengurangkan stress serta tenang

Air yang sejuk akan melancarkan kembali peredaran darah setelah lama berbaring. buat anda yang mengalami depresi, inilah cara yang terbaik utk anda menghilangkannya. oleh itu, ubahlah tabiat kpd mandi pagi sebelum subuh.

6. Meningkatkan sel darah putih

Mandi dengan air sejuk, ia akan meningkatkan sel darah putih di dalam tubuh badan. apabila sel darah putih banyak, maka daya tahan penyakit dan tubuh badan boleh melawan virus. oleh itu, anda tidak mudah untuk dijangkiti dengan sebarang penyakit. 

Sumber - nasihatustaz

Jom amalkan mandi awal pagi. 

Monday, July 5, 2021

USIA 50 TAHUN DAH, ALHAMDULILLAH

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Kelahiran saya pada 1 Julai 1971 sehingga genaplah usia saya separuh abad pada  1 Julai 2021. Alhamdulillah, sudah 50 tahun Allah pinjamkan masa untuk berada di dunia ini. Ia bukan satu tempoh yang pendek. Banyak peristiwa pahit manis yang saya lalui dalam 50 tahun ini. 

Terima kasih kepada semua yang memberi ucapan dan doa, semoga Allah berikan kebaikan untuk tuan puan semua. Tidak mampu untuk saya balas semua ucapan berkenaan secara satu persatu, tapi saya amat hargai doa anda semua.

Sekiranya usia Nabi s.a.w dijadikan panduan, saya mempunyai sekitar masa 13 tahun untuk berada di dunia ini. Namun ini hanya andaian. Adinda saya Abdullah Sani, kembali kepadaNya pada usia 46 tahun. 

Apa yang pasti adalah, kita tidak boleh menenetukan bila dan di mana kita dijemput pulang, tapi hargailah setiap detik yang kita miliki hari ini.

Monday, June 28, 2021

PAK ANJANG JURI YANG DISAYANGI TELAH KEMBALI KEPADA-NYA

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Zamhuri Mohd Husin, atau lebih mesra kami panggil sebagai Pak Anjang Juri adalah adik lelaki arwah bonda saya.  Adik beradik mak ada 7 orang; Hasil perkahwinan atuk (Md Husin)  dan opah (Sofiah), lahirlah Makco Puteh,  Makngah Rajmah, bonda saya (Aminah), Pak Uda Bohari, Mak Andak Mi, Pak Anjang Juri dan yang bongsu, Pakcik Endan.   

                      Pak Anjang Juri 

Pak Anjang Juri bersara sebagai penolong penguasa kanan kastam di Perlis, dan mempunyai 6 orang cahaya mata hasil perkongsian hidup dengan Hajah Ramlah, suri hatinya. 

Hubungan Pak Anjang dengan kami anak anak saudaranya sememangnya rapat. Adakala kami bergurau senda bagaikan rakan. Namun statusnya sebagai bapa saudara tetap dihormati. 

Semasa kecil dahulu Pak Anjang bawa saya dan beberapa orang sepupu naik kereta Mazda 323, yang dibelinya. Zaman 70-an menaiki kereta adalah pengalaman yang jarang dinikmati oleh anak kampung seperti saya. Betapa seronoknya saya ketika itu dapat naik kereta pusing kampung Bharu. Ketika majlis pertunangan saya di Terengganu pada tahun 1996, Pak Anjang bersama keluarganya turut serta memberi sokongan. Manakala pakcik Endan pula bertindak sebagai jurucakap pihak lelaki. Begitulah antara kenangan bersama Pak Anjang dan pakcik Endan. 

Pak Anjang kerap berpindah tempat bertugas, sesuai dengan keperluan sebagai anggota kastam. Antara tempat bertugasnya di Port Dickson, Klang, Brickfileds, Kuala Lumpur dan Kuala Perlis. 

Ketika belajar di UPM Serdang, ada juga saya singgah bermalam di rumah Pak Anjang di Kampung Kastam Brickfields. Saya juga parkir kereta di rumahnya di kuates kastam Kuala Perlis semasa berkursus di Langkawi beberapa tahun lalu. Selepas bersara daripada perkhidmatan awam, Pak Anjang kembali ke daerah Manjung. 

Pada tahun 2020, Makco kakak Pak Anjang kembali ke rahmatullah. Ketika di majlis pengebumiannya, Pak Anjang berbisik kepada saya, "Pak Anjang ni, tunggu masa je.." 

Sedih ayatnya tapi saya memahami apa yang Pak Anjang maksudkan. Satu demi satu adik beradiknya pergi tak kembali. Malah adiknya yang lebih muda iaitu pakcik Endan telah meninggal dunia pada 2013. Sudah tentu Pak Anjang menerima hakikat masa untuknya akan tiba jua.
                                  
      Pak Anjang menerima rawatan

Pak Anjang sudah menjangkau usia 71 tahun dan semakin banyak mengalami komplikasi keuzuran. Sakit kaki, lutut, buah pinggang dan jantung memaksa Pak Anjang kerap berulang alik ke hospital mendapatkan rawatan. Apabila kami menziarahinya, dia gagahkan diri melayani kedatangan para tamu. Seronok benar Pak Anjang kalau ada yang berkunjung ke rumahnya. 

Perintah Kawalan Pergerakan yang dilaksanakan oleh Majlis Keselamatan Negara, mengehadkan banyak perkara. Saya dapat mengunjungi Pak Anjang ketika hari raya pertama pada 13 Mei lalu. Saya datang bersendirian dengan motosikal, sebab memudahkan pergerakan. Banyak yang saya dan Pak Anjang sembangkan. Pak Anjang tunjukkan tapak dialisis di tangannya. Di badannya kelihatan tompokan lebam kerana kesan dialisis mencuci buah pinggangnya. Rupanya itulah kunjungan terakhir saya kepadanya.  

Pada 26 Jun kami dikhabarkan Pak Anjang jatuh ketika berada di rumahnya. Pak Anjang dimasukkan ke wad di Hospital Seri Manjung oleh anaknya Zaimi kerana kondisinya lemah dan memerlukan pemantauan doktor.
                                                           
        Nesan Pakcik Endan (tanda merah) dan nesan opah (biru)

Semalam, Ahad 27 Jun 2021, kami mendapat perkhabaran, Pak Anjang yang disayangi pergi buat selama-lamanya setelah jantungnya terhenti berdegup kira-kira jam 10 pagi. Selepas solat Asar, jenazah bapa saudara saya selamat disemadikan di perkuburan Kampung Bharu, Lumut. Pusaranya berdekatan kubur opah dan pakcik Endan. 

Berakhirlah sudah hidup Pak Anjang yang baik budi, namun nasihat dan kata katanya masih terngiang-ngiang dalam ingatan. 

Semoga Allah menerima amal ibadahnya, dan merahmati roh ZAMHURI bin MOHD HUSIN. Aminnnn    


DAMAILAH IJAN, WIRA NEGARA

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini. Keranda jenazah Ijan dibawa ke masji...