Monday, December 18, 2023

MENJALA TALAPIA

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.


Agak lama juga saya tidak menjala ikan. Kemahiran menjala dipelajari daripada Ustaz Ahmad Junaidi, sahabat saya yang kini Penolong Kanan Hal Ehwal Murid di SABK Maahad Islahiah Addiniah Batu 10 Lekir beberapa tahun lalu ketika kami bertugas bersama. 

Jala yang saya miliki pun sudah agak lama dan usang, namun masih boleh berbakti. Ada beberapa koyakan tapi sudah dijahit (asal boleh jahit sahaja). Bukan tidak ada yang baharu, tapi jala 8 kaki ini sedap digunakan. Saya rasa selesa menggunakannya, dan jarang ia menghampakan. 

Musim talapia kembali lagi, dan ia naik sekali dengan udang laut. Saya ke lubuk talapia di anak sungai berdekatan kunci air Sungai Tiram. Banyak juga ikan talapia dan udang yang saya dapat pada petang berkenaan. 

Monday, October 23, 2023

MAK ANJANG KHALIJAH GURU MENGAJI YANG HEBAT

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.
Bersama Mak Anjang dan anak anaknya
Mak Anjang Khalijah Abu Bakar, adalah guru mengaji legenda yang banyak jasanya kepada anak-anak Kampung Dato' Seri Kamaruddin (DSK) pada tahun 70-an dan 80-an.

Petang Ahad 22 Oktober 2023, saya mengunjungi mak anjang Khalijah di DSK, kampung asal tempat saya membesar dahulu. 

Mak anjang diberitakan jatuh selepas keluar bilik air dan mendapat rawatan lanjut di hospital Seri Manjung dua minggu lalu. Mak anjang tinggal bersama anak sulungnya, Arif. Anak bongsunya Wani, tinggal tidak jauh dari situ. Suami mak anjang sudah meninggal dunia hampir 10 tahun lalu. 

Selepas menerima rawatan di hospital Seri Manjung, keadaannya stabil dan mak anjang kembali ke rumah. 

Saya masih ingat, ketika berusia 7 tahun, mak anjanglah yang mengajar mukadam (kami panggil jehama) sehingga khatam Al-Quran dengan mengenali tajwidnya. Yong Nor Azaliah Ali Hassan , Yong Zabidah Yahaya ,  arwah Sani, Khairul Anuar Ali Hassan dan Noor Aishah Ali Hassan juga pernah menerima didikan mak anjang. 

Mak anjang tegas ketika mengajar kami. Saa takut denganna dahulu. Dia masih ingat betapa saya mudah menangis apabila ditegur sebab tak pandai mengaji ketika itu... 😁😁😁😁

Namun saya cepat belajar dan berjaya khatam Quran sebelum darjah 6. Dahulu,  rumah Tok Anjang Bakar dijadikan pusat mengaji, kemudian berpindah ke surau (tapak Sekolah Agama Rakyat) yang terletak bersebelahan Masjid Sultan Alang Iskandar. 

Hasil didikan Mak Anjang, saya mengenali huruf-huruf tajwid dan bacaannya; idgham, ikhfak, huruf mat, dan seumpamanya. Mak anjang membunyikan bacaan dengan betul dan kami akan mengikuti bacaannya. Di mana perlu didengungkan atau dipanjangkan bacaan, mak anjanglah pakar rujuk kami ketika itu. 

Ramai kawan sekampung belajar mengaji bergurukan mak anjang. Ada yang berjalan kaki dan berbasikal. Balik dari surau, saya melalui kebun ubi kayu untuk pulang ke rumah yang jaraknya tak sampai 400 meter. 

Masa berlalu,  kini usianya 73 tahun, mak anjang masih menabur bakti mengajar Al-Quran kepada anak-anak di DSK. Jika dihitung tempohnya, mungkin murid mak anjang sudah mencapai ribuan orang.

Terima kasih mak anjang, mengajar kami huruf Al-Quran dan tajwid.

Tuesday, October 17, 2023

PALESTIN BERDARAH LAGI, PEMIMPIN ARAB DAN ISLAM MEMBISU.

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Sudah masuk 9 hari bumi Gaza dibedil dan dimusnahkan oleh Israel laknatullah. Pejuang HAMAS sebelum ini melancarkan serangan 'Taufan Aqsa' dengan lebih 3000 roket, dan komando paraglider merentasi sempadan tanah haram ang diduduki oleh Israel. Serangan mengejut ini tidak dapat dikesan oleh tentera Yahudi dan memalukan mereka. Akibatnya, serangan balas dibuat khususnya terhadap orang awam terutama wanita dan kanak kanak. 

Setakat berita ini ditulis, lebih 2000 orang penduduk Palestin syahid, kebanyakannya wanita dan kanak kanak, manakala lebih 10,000 orang cedera. Kemusnahan rumah dan kediaman termasuk masjid, hospital dan sekolah turut dilaporkan. 

Seperti biasa, respons pemimpin dunia khususnya dari negara Arab dan Islam, amat menyedihkan. Kebanyakan pemimpin dunia termasuk negara kita sekadar mampu berkata dengan berhati hati, bagi mengelakkan konflik dengan negara proksi Israel seperti Amerika Syarikat. Tiada lagi suara berani seperti ketika Tun Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri. 

PBB dan OIC hanya berdiam diri seolah olah nyawa rakyat Palestin tidak bernilai di sisi mereka. Memang kita tidak boleh berharap kepada badan dunia seperti PBB, kerana tidak ada pencapaian PBB yang boleh dibanggakan dalam memastikan keamanan dunia. Buktinya, sehingga kini Ukraine masih berperang dengan Russia dan ia menjejaskan rantau Balkan.  

Tunjuk perasaan dan demonstrasi aman dibuat di merata rata tempat seperti di negara negara Arab, Eropah dan Asia termasuk Malaysia bagi menzahirkan simpati terhadap rakyat Palestin. Sebenarnya isu ini bukan melibatkan agama semata mata. Ada rakyat Arab Palestin beragama Nasrani turut menerima kesan serangan tidak berhati perut oleh Israel. Tidak perlu menjadi Muslim untuk memahami situasi yang berlaku, cukuplah menjadi manusia yang ada perasaan dan hati perut. 

Sebelum 1948, Palestin wujud sebagai sebuah negara yang berdaulat dan moden. Selepas Perang Dunia Pertama, Deklarasi Belfour pada 1924 telah membuka ruang kepada Yahudi mencari sebuah tempat bagi dijadikan negaranya. Mereka percaya tapak kuil pemerintahan Nabi Sulaiman (Solomon mengikut kitab suci Yahudi) sebagai petunjuk asas negara mereka. 

Selepas keruntuhan Empayar Uthmaniyah, banyak negara yang merdeka dan peluang ini dgunakan oleh pemimpin Israel untuk merampas bumi Palestin, persis umang umang yang mengambil kulit siput sebagai rumahnya. Bezanya umang umang lebih mulia kerana mengambil cengkerang kosong, sebaliknya Israel merampas tanah berdaulat Palestin lalu dijadikan negara bagi masyarakat Yahudi, dengan alasan ia tertulis dalam kitab suci Taurat. 


Hakikatnya, fahaman Zionisme yang menjadi tunjang kewujudan negara haram Israel, merupakan satu fahaman yang bertentangan dengan hak kemanusiaan. 

Kita hanya mampu berdoa kepada Pemilik Alam ini, agar menurunkan balanya kepada Israel. Itu sahajalah kemampuan kita selain memberikan sumbangan wang untuk membangunkan semula Gaza.    

Wednesday, September 13, 2023

KEMBARA 4 TAHUN ADIL HILMI KE MESIR

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.






Anakanda kelima kami, Adil Hilmi akan meneruskan pengajian dalam bidang Usuluddin di Universiti Al-Azhar Mesir pada 17 September ini. Kami mesra memanggilnya Abangcik, kerana dia anak lelaki yang paling bongsu.  

Dalam keputusan SPM 2021, Abangcik dapat keputusan yang baik dan cenderung dalam bidang agama. Abangcik mohon masuk SABK Al Mizan Manong, untuk mengambil Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM), walaupun mendapat tawaran ke Akademi Islam Universiti Malaya, Kuala Lumpur.

Sebaik keputusan STAM 2022 diumumkan, kami bersyukur kerana  Abangcik dapat keputusan yang cemerlang dan membuka peluang yang cerah kepadanya berkelana di Timur Tengah. Dia memang sudah lama bertekad meneruskan pengajian ke Mesir demi menimba ilmu. 

Alhamdulillah syukur, terima kasih kepada pengetua dan guru guru SABK MIA (abangcik di sana sejak tingkatan  hingga tingkatan 5) dan SABK Al-Mizan (STAM), jemaah surau Nur Al-Hidayah (tempat Abangcik menjadi imam solat fardhu) serta saudara mara, kenalan dan jiran tetangga sekitar Batu 10 Lekir yang mendoakan dan memberi kepercayaan, ada juga ang memberi sumbangan kepada abangcik.  

Monday, September 11, 2023

TRIP MPSM MANJUNG KE SABAH 6 -9 SEPTEMBER 2023

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.
Melihat mentari terbenam di Tanjung Aru 

Menaiki bot ke Pulau Sapi 

Desa Dairy Farm Kundasang 



Ikan air tawar di kampung Marakau 


Pada 6 hb hingga 9 hb September 2023 Majlis Pengetua Sekolah Malasia (MPSM) cawangan Manjung mengadakan lawatan kerja ke Kota Kinabalu Sabah. Lawatan kerja ini disertai oleh 17 orang pengetua dan 3 orang pegawai SIPartners+ dan seorang Timbalan PPD. Tujuan lawatan ini adalah mengunjungi dua buah sekolah iaitu Maktab Sabah di Kota Kinabalu dan SMK Tamparuli. 

Selain itu para peserta dibawa menikmati suasana dingin kaki gunung Kanabalu di Kundasang dan Desa Dairy Farm, memberi ikan makan di Bombon Kampung Marakau, berjalan di jambatan Tamparuli rumah terbalik dan menikmati keindahan batu karang di Pulau Sapi. 

Tahniah kepada Puan Roslina bimti Ishak ketua rombongan yang dapat memastikan program ini dilaksanakan dengan jaya. 

Kundasang Sabah sejuk mendamaikan 

Wednesday, August 23, 2023

TIPU DAYA SYAITAN (KITAB TALBIS IBLIS)

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

INTIPATI KULIAH SUBUH 29/1/2023 SURAU NUR AL-HIDAYAH, BATU 10 LEKIR (USTAZ HALMI)

1. Setiap muslim wajib belajar ilmu aqidah, syariah( ibadah) dan akhlak 

2. Peringkat zuhud ada 3:

i.Meninggalkan perkara yang haram
ii.Tidak melebihkan perkara halal
iii.mennggalkan kesibukan dunia, menyibukkan diri dengan perkara akhirat.

3. Dunia dan isinya adalah milik Allah, dan Dia berhak memberi nikmat kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya. 

4. Orang awam mudah ditipu melalui pakaian fizikal seperti jubah dan serban sehingga timbul rasa riak dalam dirinya. 

5. Keseronokan mendapat pujian boleh menjadi racun yang merosakkan hati dalam beribadah 

KESIMPULAN:

Jangan terpedaya dengan fitnah dan nikmat dunia sehingga kedekut untuk bekalan akhirat. Banyakkan amalan dan bersedekah semasa ada peluang kerana ia jadi bekalan akhirat. 


Wednesday, July 12, 2023

MENGINGATI KEMATIAN

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

INTIPATI KULIAH SUBUH PAGI AHAD 9/7/2023 SURAU NUR AL-HIDAYAH, BATU 10 LEKIR
(USTAZ AZMIL)

KITAB SAKARATUL MAUT ( halaman 164)

Kupasan ayat 'Sesungguhnya kamu tetap datang kepada Allah secara sendirian, sama seperti semasa kamu lahir ke dunia.'

1. Setiap insan pasti mati dan bersendirian berdepan dengan Allah di alam kubur.

2. Kisah seorang abid yang fakir, bernama Said bin Amir, dilantik sebagai Gabenor di wilayah Hims, di Syam. 4 perkara yang dilakukannya menyebabkan Khalifah Umar al-Khattab mengaguminya:
a. Keluar dari rumah selepas tengahari, kerana sebelah pagi beliau menguruskan hal keluarganya.
b. Dalam seminggu, satu hari diperuntukkan untuk menguruskan hal berkaitan keperluan keluarga, manakala hari lain untuk tugasan gabenor.
c. Tidak keluar rumah selepas solat Isyak, kerana ingin peruntukkan masa kepada Allah.
d. Kerap pengsan apabila mengingati kematian

3. Abu Al-Ittahiah seorang penyair yang berani mengingatkan khalifah Harun al-Rashid tentang kematian yang pasti ditempuhi.

4. Seorang sahabat, Rabi'ah bin Ka'ab apabila ditanya kehendaknya, lalu dia memberitahu kepada Nabi, dia ingin bersama Rasulullah seperti mana ketika di dunia. Nabi menyuruhnya banyak bersujud (beribadah) kepada Allah.

5. Abdullah bin Amru Al Ansari, menyertai perang Uhud dan syahid, Nabi s.a w. memaklumkan kepada anaknya Jabir bin Abdullah, roh ayahnya dinaungi sayap malaikat ketika diangkat ke langit.

KESIMPULAN:

Kehidupan kita umpama musafir yang singgah sementara di dunia. Banyakkan mengingati kematian dan ikhlaskan hati beribadah, bukannya mencari dunia semata-mata.

Untuk lebih mendapat penjelasan, datanglah  ke majlis ilmu di surau kita.

Insyaallah, tidak rugi mendapat ilmu daripada para asatizah yang menyampaikan kuliah.

Terima kasih

Sunday, May 21, 2023

BOLING SANTAI SIPARTNERS PERAK 2023

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

PERTANDINGAN BOLING SANTAI MENGERATKAN UKHUWAH PEGAWAI SIPARTNERS NEGERI PERAK

IPOH-Seramai lebih 30 orang pegawai SIPartners seluruh negeri Perak telah menyertai pertandingan boling santai di AEON Kinta City, dekat sini pada Sabtu 20 Mei 2023. 

Menurut YDP Persatuan Pegawai SIPartners Malaysia (PRISMA) Perak, encik Redzuan Mohamed, program yang julung kali diadakan, bertujuan merapatkan hubungan antara pegawai SIPartners daripada daerah di negeri Perak di samping mengasah bakat ahli-ahli PRISMA Perak. 

"Kita juga berhasrat mengangkat program ini sebagai acara tahunan dan digilirkan di daerah daerah di negeri Perak," ujarnya. 

En Redzuan turut menjuarai kategori  lelaki individu dalam pertandingan tersebut, manakala johan diungguli oleh daerah Larut Matang dan Selama.

Sunday, April 23, 2023

Blok BRICS Mengancam Dollar Amerika

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Sejak dahulu lagi, Dollar AS atau US Dollar (USD) adalah mata wang yang paling kuat dan paling banyak digunakan di dunia. USD digunakan sebagai alat pembayaran jual beli antarabangsa selain menjadi mata wang utama bank pusat di seluruh dunia, termasuk Malaysia.

Penggunaan USD sebagai mata wang antarabangsa menjadikannya sangat berpengaruh dalam ekonomi dunia. USD menjadi alat pembayaran utama dalam perdagangan dunia. Selain itu, USD juga menjadi instrumen dalam perdagangan komoditi seperti minyak dan emas.

USD yang stabil dan kuat telah mengakibatkan nilai tukaran mata wang negara-negara membangun seperti Malaysia menjadi lemah, menyebabkan harga barang dan perkhidmatan dari negara-negara tersebut menjadi lebih mahal. Hal ini mempengaruhi daya saing negara tersebut di pasar antarabangsa. 

Selain itu, penggunaan USD juga menguntungkan AS, terutama dalam hal pengurusan pinjaman dan kewangan. USD memungkinkan AS mencetak Dollar bagi membiayai defisit anggaran dengan mudah, sementara negara-negara lain harus menstabilkan mata wang masing masing untuk mengurangkan risiko inflasi.

Sejak tercetusnya perang Ukraine pada Februari 2021 hingga kini, tidak nampak tanda tanda gencatan senjata berlaku. Sebaliknya, Rusia dan China mewujudkan pakatan ekonomi bersama negara Brazil, Arab Saudi, dan beberapa buah negara yang dikenali sebagai BRICS, bagi memecahkan monopoli perdagangan antarabangsa oleh USD. 

Sehingga kini, pakatan ekonomi baharu ini semakin mendapat sokongan negara negara lain. Ia tentunya memberi impak kepada kuasa USD dalam perdagangan antarabangsa. 



Friday, April 7, 2023

KEMBALI SEBENTAR KE SMK PANGKALAN TLDM

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Pada Rabu 5 April 2023, saya bersiap awal pagi untuk masuk ke Pangkalan TLDM Lumut. Dua minggu sebelum itu,  saya menerima undangan daripada Cikgu Ainun Zuraiha, guru koperasi SMKPTLDM menjemput saya ke mesyuarat agung koperasi kerana masih dikira ahli lembaga (ALK) dan perlu pengerusikan mesyuarat berkenaan. 

Peluang ini tidak saya lepaskan sebab rasa rindu bertamu di hati ingin berjumpa warga sekolah yang pernah bersama sama saya dahulu. Saya masuk pangkalan Lumut melalui pintu Harimau 1 dan solat subuh berjemaah di masjid Annur. Rupanya, ada bekas murid tingkatan 5 yang baru habis SPM, Alif Syafiq mengenali saya dan kami bersembang mengimbau kenangan di SMKPTLDM. 

Saa kemudiannya masuk ke kawasan sekolah, serta merta ingatan menanti kehadiran guru dan murid setiap hari menerpa masuk ke fikiran. Di pintu pagar utama, saya dapat melihat kasih sayang ibu bapa yang menghantar anaka anak ke sekolah. Murid murid PPKI menerima taklimat daripada cikgu Hisham sebelum kelas bermula. 

Saya dibawa ke pentas mesyuarat di medan perhimpunan dan mempengerusikan mesyuarat agung koperasi kali ke 27 sehingga selesai. Kebetulan tuan pengetua cikgu Abdullah Bakri tidak hadir hari ini kerana mengalami komplikasi gout. 

Terima kasih kepada warga sekolah yang sudi menerima kedatangan saya.  

Monday, April 3, 2023

WARGA MANJUNG PANIK BEKALAN AIR TERPUTUS

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Pada Jumaat 31 Mac 2023 tersebar mesej di media sosial tentang kebocoran paip loji air di Teluk Kepayang, Bota. Loji ini membekalkan air bersih kepada hampir semua kawasan di Manjung. Menurut Lembaga Air Perak (LAP), kerosakan ini bakal menjejaskan pengguna di Ayer Tawar, Sitiawan, Seri Manjung, Lekir, Kayan, Pangkor dan Lumut. Pengguna dinasihatkan berjimat dan bersedia berdepan gangguan air yang berlaku.  

Pada awalnya masyarakat hanya beranggapan kerosakan loji bersifat sementara dan selesai dalam masa beberapa jam. Sebelum ini pun gangguan air pernah berlaku dan ia dapat diselesaikan oleh staf LAP dengan cepat. Keadaan tenang dan berjalan seperti biasa.  Malah ada dalam kalangan netizen menganggap ia gurauan April Fool's yang dibuat oleh pihak tidak bertanggungjawab. 

Namun rupa-rupanya kali ini kebocoran paip utama di loji Teluk Kepayang serius dan mengambil masa yang lama untuk dibaiki. LAP kemudiannya mengeluarkan notis memaklumkan baikpulih paip bocor mengambil masa sehingga lebih daripada 3 hari. LAP juga meminta bantuan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dan negeri lain membantu menangani bekalan air terputus melibatkan hampir 100 ribu pengguna di Manjung.
 
Suasana panik tercetus di Manjung apabila rakyat menyedari bekalan air ang terputus ini mungkin berlanjutan berhari hari. Pada pagi Sabtu 1 April 2023, ramai pengguna sudah berpusu-pusu mencari air mineral sebagai stok minuman di kedai runcit dan pasar raya. Ada juga yang mengambil kesempatan pulang ke kampung atau ke luar daerah untuk cuti hujung minggu. 

Menjelang pagi Ahad 2 April 2023, keadaan sudah semakin parah. LAP telah menghantar lori tangki bagi mengagihkan air kepada penduduk yang terkesan. Tersebar di media sosial rakyat pelbagai kaum di Manjung berbaris panjang membawa bekas untuk menadah air. Suasana ini sebenarnya sangat asing dan luar biasa di Manjung. Pada petang Ahad, lori tangki yang disewa oleh LAP parkir di Dataran FAMA Lekir. Ramai penduduk termasuk saya menadah air dengan bekas masing masing. Ia satu pengalaman yang tidak saya lupakan. Dalam keadaan berpuasa pada bulan Ramadhan keputusan bekalan air adalah tempoh menguji kesabaran.      

Wednesday, March 22, 2023

AHLAN WASAHLAN YA RAMADHAN

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.


Ramadhan kembali lagi tahun 2023. Pada bulan inilah, berlaku Perang Badar pada tahun ke-2 Hijrah. Ia juga adalah permulaan umat Islam diwajibkan berpuasa pada tahun tersebut. Ramadhan adalah penghulu segala bulan dan penuh dengan kemuliaan.  Banyak kelebihan bulan Ramadhan yang boleh kita manfaatkan. 

Dari Abu Hurairah r.a dari Nabi Muhammad SAW, bersabda:

“Barangsiapa yang berpuasa pada bulan Ramadan dengan penuh iman dan ihtisab, maka akan diampuni dosa-dosanya yang telah lalu”. (Hadis riwayat Bukhari 4/99, Muslim 759)

Pada bulan ini, terdapat banyak keistimewaan dan kita  perlu mengambil tahu cara-cara yang dapat mencari manfaat pada bulan Ramadan.

Bulan yang mendidik ummah mencapai ketaqwaan

Dari puasa tersebut, kita secara tidak langsung belajar untuk menahan lapar, dahaga, marah dan semua perkara yang boleh membatalkan puasa. Sehingga dari itu kita belajar untuk bersabar berdasarkan ketakwaan kepada Allah SWT. Inilah yang menjadikan benteng mengapa berpuasa selama sebulan di bulan Ramadan boleh mendidik hati kita untuk mencapai ketakwaan kepada Allah SWT. Hal yang demikian juga berdasarkan ayat al-Quran;

“Wahai orang-orang yang beriman, kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertakwa”. (Al-Baqarah;183)

Bulan yang beri peluang untuk ke pintu syurga

Hal demikian sesuai dengan hadis Nabi Muhammad SAW, yang diriwayatkan oleh Imam Muslim. Di dalam hadis tersebut menjelaskan bahawa ketika bulan Ramadan, maka dibukakanlah pintu-pintu syurga dan ditutup pintu-pintu neraka dan kemudian syaitan akan dibelenggu. Hal demikian boleh dijelaskan bahawa peluang umat Islam untuk menuju jalan yang lurus sudah terbuka luas. Ini bermaksud bahawa di bulan Ramadan, umat Islam memiliki peluang yang penuh untuk menuju ke syurga Allah SWT.

Bulan yang terdapat lailatul qadar

Lailatul qadar merupakan malam yang lebih baik dan mulia daripada seribu bulan. Kebanyakan ulama berpendapat bahawa Lailatul qadar ialah pada sepuluh malam yang terakhir. Barangsiapa yang dapat berjumpa dengan lailatul qadar maka dia adalah seorang yang beruntung kerana pahala amal ibadatnya ibarat beramal dan beriabdat seribu bulan.

Bulan Ramadhan penuh dengan pengampunan dosa

Sesuai dengan hadis Nabi Muhammad SAW yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari yang menjelaskan bahawa barangsiapa yang menjalankan ibadah puasa dengan iman dan ihtisab (niat yang baik), nescaya akan diampuni dosa-dosa yang telah lampau. Ini bermakna sekiranya anda bersungguh-sungguh dan berlumba-lumba melaksanakan ibadah di bulan suci Ramadan, maka dosa-dosa yang telah berlalu akan diampuni oleh Allah SWT sekalipun dosa itu adalah dosa kecil atau besar.

Ramadan bulan yang penuh dengan keberkatan

Sebagaimana yang kita tahu, umat Islam memiliki kesempatan untuk berada di dalam bulan yang suci ini untuk mendapatkan keberkatan hidup sepanjang masa yang bernilai sama dengan seribu bulan. Biasanya umat Islam akan berlumba-lumba melakukan amalan untuk mendapatkan keberkatan dalam hidup mereka. Ramadan adalah bulan yang sangat mulia dan penuh keberkatan kerana umat Islam sentiasa berlumba-lumba untuk melakukan amal kebaikan untuk mendapatkan keredhaan daripada Allah SWT dan mereka akan takut untuk melakukan perkara yang mungkar dan maksiat.

Bulan yang memberi pahala berlipat ganda

Ibadah yang telah dikerjakan di bulan suci Ramadhan, Allah SWT akan berlipat ganda balasan dari apa yang umat Islam kerjakan dan balasan itu adalah sebanyak 70 kali ganda. Hal ini sesuai dengan hadis Nabi Muhammad SAW yang telah diriwayatkan oleh Muttafaqun alaih (Bukhari, Muslim). Maka umat Islam diseru supaya melakukan amal kebaikan dan amal jariah seperti bersedekah, solat sunat dan membaca al-Quran kerana yang paling baik adalah pada bulan Ramadhan.

Bulan diturunkan al-Quran

Pada tarikh 17 Ramadan merupakan hari Nuzul Quran iaitu telah diturunkan kitab suci al-Quran kepada Nabi Muhammad SAW sebagai pedoman dan menjadi petunjuk bagi seluruh umat Islam untuk mencapai keredhaan Allah SWT. Hendaklah anda memperbanyakkan doa dan amalan di hari turunnya al-Quran agar kita akan mendapat keberkatan yang lebih di bulan suci Ramadan. Sebagaimana hadis riwayat meriwayatkan bahawasanya barangsiapa beribadah (menghidupkan) bulan Ramadan dengan penuh iman dan mengharap pahala, maka Allah akan mengampuni dosa-dosanya yang telah lalu. (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Semoga dengan ilmu yang serba sedikit ini dapat kita fahami dan janganlah sia-siakan kesempatan terbaik ini kerana kita tidak akan tahu bila kita akan dipanggil untuk menghadap Allah SWT. Bulan Ramadhan merupakan hadiah terbesar diberikan oleh Allah. Bagi umat Islam disyaratkan supaya berpuasa dengan baik dan betul. Kejarlah ilmu akhirat dengan bersungguh-sungguh kerana kita tidak tahu bila saat kematian akan datang menjemput dan dengan amalan inilah yang akan menentukan kita adalah seorang hamba-Nya yang soleh.

Kesimpulannya,  marilah kita manfaatkan peluang menikmati Ramadhan ini kerana belum pasti lagi kita dapat peluang seperti ini pada tahun berikutnya. 


Tuesday, March 7, 2023

Bak Pergi Buat Selama-Lamanya

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Bermula cuti sekolah pada 18 Februari 2023, kami balik kampung untuk menjenguk keluarga mentua saya di Batu Rakit Terengganu. Kami pulang melalui Beruas- Gerik- Jeli- terus ke Batu Rakit dalam jarak perjalanan 486km. 

Sebenarnya kesihatan ayah mentua saya, Wan Mohammad bin Wan Ngah atau lebih mesra kami panggil, Bak semakin tidak menentu akhir akhir ini. Peluang cuti yang ada dimanfaatkan untuk isteri saya yang merupakan anak keduanya berbakti sementara peluang masih tersisa. 

Bak beritahu rambutnya agak panjang. Saya ambil peluang mencukur rambut dan misai Bak sebelum kembali ke Perak untuk bekerja. Rabu 22 Februari, saa pulang ke Manjung menaiki bas. Manakala anak dan isteri tinggal di sana untuk tempoh seminggu dua lagi dengan harapan mereka dapat berbakti kepada Bak.

Pada petang Selasa 28 Februari 2023 isteri menelefon dan minta saya pulang ke Terengganu. Katanya Bak kelihatan lemah tak bermaya, lain daripada biasa. Malam itu saya menaiki bas jam 8 malam dari Stesen Bas Seri Manjung menuju ke Terengganu. Perjalanan dirasakan panjang. Saya berharap ayah mentua saya sihat kembali walaupun harapan itu kelihatannya jauh daripada realiti. 

Pukul 12.35 mlm ketika melepasi pekan Gerik, saya mendapat perkhabaran dalam grup keluarga KAW, Bak sudah tiada buat selama lamanya. Perjalanan diteruskan hingga saya turun di bulatan Batu 6, dan sampai di rumah mentua selepas solat subuh di Masjid Pantai Batu Rakit. 

Kami memandikan dan mengkafankan Bak dengan dipimpin oleh Imam Meri. Selepas solat Zohor, jenazah bak di solatkan di surau Wakaf Chagak dan dibawa ke perkuburan bersebelahan Balai Polis Batu Rakit disemadikan berdekatan pusara Tokki dan Tok Minah. 

Semoga Allah merahmati roh ayahanda mentua yang dikasihi Wan Mohammad bin Wan Ngah
 

Friday, February 24, 2023

KISAH INSPIRASI YANG BOLEH MENJADI PANDUAN KITA

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Ada beberapa cerita Inspirasi ‘Kejayaan Memerlukan Masa’ dan inilah kisah-kisah yang kita boleh ambil pengajaran daripadanya.

1. Ray Kroc, Pengasas McDonald’s masih lagi menjual cawan kertas dan pebagai lagi perkakas dapur pada usianya 52 tahun. McD hanya lahir selepas itu. Terbukti bahawa usia bukanlah penghalang kita. Hari ini Mekdi menyediakan hampir 400,000 peluang pekerjaan di seluruh dunia termasuk Malaysia.

2. Mary Kay Ash, Pengasas Mary Kay masih lagi menjual buku dan kelengkapan rumah dari pintu ke pintu sehingga usianya 45 tahun. Sekarang Mary Kay mempunyai revenue sebanyak 5 Biliun USD setahun dengan 5000 orang staff. Daripada pengalaman beliau menjual pintu ke pintu itulah Mary Kay berjaya berkembang sehingga kini dalam industri jualan langsung.

3. Amancio Ortega, Pengasas ZARA menjadi pembantu kedai baju sehingga umurnya 30 tahun. Beliau cukup merendah diri dan tidak suka dikenali orang. Pada tahun 2001 beliau terpaksa muncul di khalayak ramai apabila saham ZARA mahu diapungkan buat pertama kali. Pada tahun 2012 beliau menyumbang 20 Juta Euro untuk ‘charity’ sahaja.

4. Vincent Tan, Pengasas Berjaya Group masih lagi merupakan seorang kerani bank ketika usianya menjangkau 30an. Hari ini beliau memiliki lebih daripada 30 portfolio jenama perniagaan seperti 7 Eleven, Starbucks Malaysia, Mazda Malaysia, Borders Malaysia dan banyak lagi. Hari ini beliau banyak meibatkan diri dengan kerja-kerja kebajikan selepas menyerahkan banyak tugas kepada anaknya.

5. Chairul Tanjung, Pengasas CT Group Indonesia yang memiliki lebih daripada 10 cabang perniagaan pernah bermula sebagai tukang fotostat nota pelajar sahaja. Pada hari ini beliau memiliki Bank dan pelbagai gedung besar di Indonesia. Trans TV, Trans Studio dan pelbagai lagi jenama terkenal adalah bisnes milik beliau.

6. Sirivat Voravetvuthikun, seorang taikun hartanah di Thailand pernah menjual sandwich di tepi jalan pada usianya 55 tahun selepas jatuh bankrap akibat impak kegawatan ekonomi pada tahun 1997. Sekarang beliau kembali jadi jutawan dengan perusahaan Sandwich di tepi jalan tadi.

7. Yusoff Ali, Pengasas Lulu Supermarket masih lagi berkuli dan bekerja sehingga usia beliau 35 tahun. Pada usianya 18 tahun, beliau berhijrah ke Abu Dhabi untuk bekerja dengan bapa saudaranya. Kini pada usianya 63 tahun, Yusoff merupakan antara orang paling kaya di Dubai dengan Networth mencecah 5 Biliun USD dengan jaringan perniagaan ‘kedai runcit’ LuLu.

Kejayaan memerlukan masa. Teruskan saja usaha kita sampai berjaya.

Ikram Al-Banjari
Saudagar Jalanan ucapkan Happy New Year.
Malaysia 🇲🇾

Wednesday, February 8, 2023

TERRENCE TAN, TAK NAMPAK DUNIA TAPI TERANG MATA HATI

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.
Bersama murid prasekolah

Pemergian mak sejak 2005 tetap dirindui


Pada 8 Februari 2023, saya berpeluang ke Sekolah Rendah Sungai Wangi bertemu sahabat saya Tajul Azmir bin Mustapha, yang dilantik sebagai guru besar di sekolah tersebut. Kebetulan ketika sampai di situ, PPKI (pendidikan khas) mengadakan majlis akhir tahun untuk murid-muridnya. 

PPKI SKSW menawarkan program masalah pembelajaran, penglihatan dan pendengaran. Ia satu-satunya sekolah di Manjung yang menawarkan tempat untuk murid yang ada masalah pendengaran dan penglihatan selain masalah pembelajaran. Selain itu sekolah ini juga menawarkan pendidikan prasekolah untuk murid 5 dan 6 tahun. 

Saya berkenalan dengan Umar, berusia 7 tahun dan dan kehilangan penglihatan sejak kecil. Aisyah mempunyai masalah rabun tetapi aktif.  

Terrence Tan, berusia 14 tahun akan menyambung pelajaran di sekolah khas cacat penglihatan di Setapak pada sesi akan datang. Dia membaca tulisan Braille dengan laju dan fasih berbahasa kebangsaan. Orangnya sangat santun dan merendah diri dalam perbualan. 

Terima kasih kepada cikgu Tajul dan warga SKSW yang menerima kedatangan saya. Semoga SKSW terus sukses dan berjaya melahirkan generasi yang berkualiti.

Sebenarnya kawasan Sungai Wangi bukanlah kawasan asing bagi saya kerana saya berasal dari Kampung Bharu Lumut yang tidak jauh dari situ. Saya sempat ke jeti Kampung Bharu dan menikmati keindahan panorama indah di situ. Jenazah bonda dan ayahanda saya juga dikebumikan di perkuburan Kampung Bharu. Dalam perjalanan pulang saya singgah di pusara mereka. Terasa seolah olah baru semalam mereka meninggalkan dunia ini walaupun hakikatnya sudah hampir 2o tahun ia berlalu.   
Terrence Tan yang cerah mata hati

Monday, January 30, 2023

HEBATNYA ALLAH MENCIPTA SUKUR IBRAHIM

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.
Saya dan Kapten Nizam (Timbalan YDP PIBG) 
mendengar celoteh Sukur Ibrahim

Sukur Ibrahim bukanlah nama kecil dalam dunia motivasi di Malaysia. Orangnya lahir tanpa fizikal yang lengkap. Dengan ketinggian tidak sampai 1 meter, anak tentera ini membesar tanpa kaki dan tangan sempurna sejak lahir.   

Hari ini nama Sukur Ibrahim mekar mewangi dikenali sebagai individu berhati waja, yang memberikan motivasi di mana mana, dan mengusahakan syarikat pemasangan karpet serata Malaysia.

Saya berpeluang mengikuti sesi motivasi yang disampaikannya di Dewan Sidek, Pangkalan TLDM Lumut sempena program keibubapaan anjuran SMKPTLDM Pada Sabtu 28 Januari 2023. Program tersebut ditaja oleh Yayasan LTAT untuk sekolah dalam kem, dan SMKPTLDM adalah satu-satunya sekolah menengah di daerah Manjung yang menerima peruntukan tersebut.  

Semasa kecil Sukur seorang pemalu dan tiada keyakinan diri, kerana kekurangan dirinya. Malah dia pernah mahu berhenti sekolah kerana tidak tahan dilayan dan dihina oleh rakan rakan sekolah kerana fizikalnya tidak serupa orang lain. 

Sokongan ibu bapanya menjadikan Sukur tidak patah semangat dan akhirnya berjaya menamatkan pengajian peringkat ijazah di UKM. Untuk membina keyakinan diri, ia bukan proses mudah dan cepat. Prinsipnya KEJAYAAN DICIPTA OLEH INSAN BIASA YANG BERUSAHA SECARA LUAR BIASA membuktikan sesiapa sahaja boleh mencapai impian asalkan tidak putus asa. 

Semoga sesi motivasi oleh Sukur Ibrahim dapat menyuntik semangat kepada kita semua.


Sesi bergambar dengan Sukur Ibrahim selepas program






Thursday, January 26, 2023

MENANGANI TEKANAN PERASAAN (STRES)

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Pada 2018, satu kajian oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) terhadap lebih 48,000 orang guru seluruh negara, mendapati 4.4% atau 2123 orang pendidik mengalami stres tahap sederhana tinggi.

Antara faktor tekanan perasaan yang dihadapi oleh guru adalah masalah keluarga, kewangan, bebanan kerja dan kesihatan. 

Tanda tanda stres pada peringkat awal menyebabkan individu kerap lupa dan hilang fokus untuk sesuatu perkara. Perubahan mood secara tiba-tiba daripada gembira kepada sedih, atau sebaliknya. Pesakit akan kerap bersendirian dan mula mengalami halusinasi, bercakap sendirian dan kemurungan. Emosi pesakit juga sensitif dan mudah terasa dengan sindiran atau teguran. 

Kesannya adalah guru berkenaan tidak dapat memberi fokus kepada pekerjaan, dan boleh bertindak di luar jangkaan normal. 

Kesimpulannya, kesihatan mental perlu diuruskan secara baik dan tidak boleh dibiarkan berterusan. 

Monday, January 9, 2023

Pemuda Yang Baharu Melihat Dunia

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.


Saya suka membaca atau menonton kisah kisah yang memberikan inspirasi. Sebelum ini, ada beberapa posting saya mengisahkan kisah benar dalam masyarakat dunia yang menarik untuk dikongsikan di sini. 

Kisah inspirasi, biasanya menggambarkan perjalanan hidup seseorang dan memiliki mesej moral yang kuat sehingga mempengaruhi orang lain. Dengan adanya kisah inspirasi, secara tidak langsung pembaca juga menjadi bermotivasi, dan mempengaruhi tindakan mereka  kerana rasa semangat dan percaya diri yang kuat.

Ada satu kisah yang menarik tentang perjalanan dalam sebuah kereta api. Seorang remaja lelaki berusia 20-an melihat keluar dari jendela kereta api berteriak, "Ayah, lihat pokok-pokok di belakang! Ia mengejar kita."

Ayah tersenyum, sambil memintanya bertenang. 

Ada pasangan muda yang duduk berhampirannya, melihat sikap keanak-anakan pemuda tersebut dengan kasihan. Mereka berbisik sesama sendiri sambil memandang pemuda tadi dengan pandangan sinis. 

Tiba-tiba dia menjerit lagi, "Ayah, lihat awan berlari bersama kita!" Dia menunjuk-nunjuk ke langit.

Wajah pemuda itu kelihatan sangat ceria dan memandang ke serata alam, sejenak ke atas, sekejap ke hadapan sambil mengomel sendirian. Matanya tidak lepas daripada memandang kecantikan dan keindahan sepanjang laluan kereta api tersebut. 

Pasangan penumpang yang daripada tadi melihat obsesi pemuda itu, beranggapan dia seorang pemuda yang tidak sempurna akalnya. Lalu si lelaki pun memberanikan diri berkata kepada lelaki tua itu, "Maafkan saya, sepatutnya tuan bawa anak tuan ini bertemu doktor untuk mendapatkan rawatan. Kasihan, kerana dia seolah olah baharu melihat dunia. Tidakkah anda rasa bersalah membiarkan dia terus menerus obses dengan alam sekeliling?"

"Bayangkan apa terjadi jika dia terus bersikap begini, pasti orang lain pelik dengan sikapnya." Kata lelaki itu lagi.

Lelaki tua tersebut hanya diam dan memandang wajahnya dengan sambil tersenyum.

"Apakah tuan tidak membawanya untuk rawatan sebelum ini?" Dia bertanya lagi. 

Orang tua itu senyum dan berkata dengan perlahan, "Tuan yang budiman, kami baharu saja pulang dari hospital mata." 

Dia menyambung lagi, "Anak saya buta sejak lahir, dan kami menanti selama 20 tahun, kalau kalau ada orang yang sudi menderma mata untuknya. Baru baru ini ada penderma mata yang baik hati mendermakan sepasang mata yang sesuai untuknya."

"Pihak hospital telah berjaya menggantikan matanya yang buta dengan mata penderma tersebut. Hari ini, balutan matanya dibuka dan dia baharu saja mendapatkan penglihatannya hari ini.” Kata lelaki tua tersebut, menyebabkan pasangan penumpang tersebut terkesima dan terdiam. 

Kesimpulannya, setiap manusia, memiliki jalan cerita dalam kehidupan masing - masing. Jangan kita menilai orang sebelum anda benar-benar mengenali mereka. Bersyukurlah dengan nikmat penglihatan yang Allah berikan, kerana ia percuma dan sangat bernilai. 

DAMAILAH IJAN, WIRA NEGARA

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini. Tarikh 23 April 2024, adalah tarikh ...