Monday, December 28, 2020

SELAMAT TINGGAL 2020, SELAMAT DATANG 2021

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Semasa tahun 80-an ketika Perdana Menteri memperkenalkannya, saya membayangkan tahun 2020, Wawasan 2020, iaitu satu gagasan impian Perdana Menteri ketika itu, Dr Mahathir Mohammed mudah dicapai. Ketika itu semuanya memberi harapan bahawa tahun 2020, kehidupan rakyat Malaysia semakin baik, ekonomi semakin maju dan akhlak serta adab di negara ini boleh dijadikan panduan kepada negara lain. Begitulah hebatnya Wawasan 2020 pada mata saya, anak kampung ketika itu. Impian melihat kereta terbang, teknologi canggih dalam pelbagai bidang dan seumpamanya bersemarak di hati.  

Hari ini, tahun 2020 menghampiri penghujungnya. Saya juga akan memasuki usia 50 tahun menjelang 2021. Namun impian yang digambarkan semasa zaman saya remaja dahulu, tidak seperti yang berlaku dalam dunia nyata. Jauh benar impian masa lalu dengan realiti hari ini.  

Siapa pun tidak menduga, pandemik Covid-19 telah melumpuhkan dunia dan mengakibatkan tahun 2020 menjadi tahun malang bagi bidang ekonomi, terutama sektor pelancongan. Bidang lain seperti pendidikan dan perniagaan juga terkena tempias yang bukan sedikit. 

Begitu banyak kesan negatif yang berlaku sehingga menyebabkan industri penerbangan lumpuh, pintu sempadan hampir semua negara ditutup dan norma baharu masyarakat perlu mematuhi SOP yang ditetapkan bagi mengelakkan penularan wabak berkenaan. 

Itulah realiti yang kita tempuh pada tahun 2020 sejak awal Mac lalu hingga kini. Tiada apa yang dapat kita banggakan melainkan rasa takut dan bimbang kepada peningkatan jumlah kes pandemik yang semakin meningkat menjelang awal tahun 2021.   

Selamat tinggal 2020, saya berharap dan berdoa, tahun 2021 membawa lebih banyak impak positif kepada manusia sejagat.     


Monday, November 30, 2020

KEM TENTERA

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Sudah lebih seminggu sejak saya mula bertugas di sekolah baharu di SMK Pangkalan TLDM Lumut, pastilah ia berbeza dengan suasana di tempat lain. Lain padang, lain belalang, begitulah juga resam di kem TLDM. Ada tiga buah sekolah dalam kem TLDM ini dua sekolah rendah dan satu sekolah menengah. Berikut saya senaraikan 5 perkara menarik berkaitan suasana di kem TLDM.   

1. Pas Masuk Pangkalan

Pas masuk pangkalan bagi orang awam yang bekerja di sini boleh dimohon melalui PROTELA melalui permohonan dan tapisan keselamatan. Tanpa pas ini, orang awam perlu masuk menggunakan pas sementara, dan KP akan disimpan di pos kawalan sehinggalah pas sementara dipulangkan. 

2. Komander Pangkalan (KomPal)

Komander Pangkalan, Laksamana Pertama Dato' Anuar bin haji Alias, adalah individu yang mempunyai kuasa dan pengaruh besar terutama berkaitan pendidikan dan keperluan lain. Pertama kali saya bertemu dengan beliau di pejabatnya di KD Malaya, orangnya tegas tetapi mudah mesra. 

3. Parkir Mengundur

Dalam kem tentera, parkir mengundur adalah wajib bagi setipa kenderaan yang masuk. Anda boleh disaman jika didapati tidak mematuhi parkir seperti ini. Parkir di rumput juga adalah satu kesalahan. 

4. PROTELA menjaga keselamatan. 

Unit Provos Angkatan Laut (PROTELA) adalah pasukan yang menjaga keselamatan lalu lintas, dan bertanggungjawab terhadap keselamatan dan disiplin dalam kem. Jika ada anak tentera yang melakukan kes jenayah, PROTELA boleh mengambil tindakan dan memberi kesan kepada si bapa/ tentera laut.

5. Guru dihormati

Pihak tentera menghormati guru sekolah yang bertugas di kem, asal sahaja kita mematuhi dan akur dengan peraturan yang ditetapkan. Maniskan wajah, bercakap sopan dan beradab adalah tips yang penting jika kita bekerja di sini.  

Monday, November 23, 2020

BERTUKAR TEMPAT BERTUGAS DI SMKPTLDM

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Agak lama juga bertebaran khabar kononnya saya bakal digerakkan ke sekolah lain di Manjung. Ada rakan yang memaklumkan saya akan ke SMK Pangkor. Ada juga yang memberitahu saya perlu bersedia ke SMK Pantai Remis. Sebagai penjawat awam, saya tentunya akur dengan apa jua arahan yang ditetapkan oleh pihak atasan.

Akhirnya khabar angin tersebut terjawab selepas pertemuan bersama tuan PPD Manjung diadakan pada petang Rabu 11/11/20. Ketika sedang mempengerusikan mesyuarat pengurusan, saya menerima panggilan daripada En. Rosman, pegawai di PPD Manjung.
"Datang petang ini, jam 2.30 petang. Ada pertemuan dengan tuan," katanya ringkas.
Usai menerima surat arahan pertukaran, muktamadlah saya ditempatkan di SMK Pangkalan TLDM Lumut mulai 9 November 2020. Patah tumbuh hilang berganti, saya redha dengan ketentuan Allah. Di tempat baharu, tentu cabarannya juga baharu.

Lebih 20 tahun saya memikul amanah sebagai warga pendidik di sini. Daripada bujang, sehinggalah mempunyai 6 orang cahaya mata. Daripada guru biasa, merangkak ke Guru Kanan Bahasa, kemudian sebagai Penolong Kanan Kokurikulum, dan memikul amanah sebagai Penolong Kanan HEM, di sekolah inilah saya menimba pengalaman.
Banyak kisah suka duka di sini. Ia menjadi satu kenangan tersimpan kukuh di hati. Terima kasih kepada warga SMKBS Lekir yang menerima kehadiran saya selama dua tahun dua bulan, menerajui SMKBS sehingga hari terakhir. Saya senang sekali dengan suasana di sini. Saya mendoakan agar urusan tuan puan dipermudahkan. Insyaallah ukhuwah yang terbina daripada keikhlasan hati akan terpelihara.
Apa diuji dalamnya paya,
Landai tidak tohor pun bukan.
Apa dipuji kepada saya
Pandai tidak masyhur pun bukan.
Bukan senang melerai selasih,
Selasih sudah bercampur arang,
Bukan senang bercerai kasih
Kasih di SMKBS bercampur sayang.
Tinggi bukit gilang- gemilang,
Air laut tenang- tenangan,
Budi semua manakan hilang,
Itu menjadi kenang- kenangan.
Puas saya menanam ubi,
Janganlah halia diminta orang,
Puas saya menanam budi,
Janganlah hina di mata orang. SMKPTLDM, suasana baharu, cabaran baharu

Thursday, October 22, 2020

TRIP MENCARI SIPUT SUDU DI BETING TANJUNG KEPAH

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Pada Sabtu 10 Oktober 2020 saya menyertai beberapa orang guru lelaki dan staf SMKBS seramai 10 orang untuk mencari siput sudu di Beting Tanjung Kepah. Kami menggunakan dua buah sampan milik Ismail Zaini, seorang staf kami yang mahir dalam urusan laut. Sebuah sampan lagi dikemudikan oleh Hasrin. Perjalanan bermula kira kira 8.30 pagi di jeti nelayan Batu 8 Lekir. Kami perlu bertolak lebih awal kerana air laut di laluan muara sungai cepat surut.

Bagaimanapun kami terperangkap juga dalam lumpur dan terpaksa menolak sampan sejauh kira kira 50 meter sebelum boleh sampai di kawasan beting. Semua ini menjadi pengalaman yang menarik untuk kami nikmati. 

Beting Tanjung Kepah kaya dengan hidupan laut seperti kepah siput sudu, siput kemudi kerang dan seumpamanya. Ismail juga membawa pukat untuk menguji andai ada rezeki memukat ikan kembung. Menjelang jam 2 petang, kami kembali ke pangkalan. Kami dapat mengutip hasil laut yang lumayan. Ikan kembung hampir 200 kilo dapat kami daratkan dan diagih kepada semua yang membantu.

Saya bersyukur dengan trip kali ini kerana kami selamat pergi dan pulang ke pangkalan. Ia satu trip yang meletihkan tapi menyeronokkan.     







Thursday, October 15, 2020

MEMBINA PASUKAN BEKERJA

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Koloni serangga kecil seperti semut, adalah satu contoh kejayaan dalam sebuah organisasi. Kepentingan aspek kepimpinan dalam koloni semut diterajui oleh permaisuri, semut tentera dan semut pekerja. Pertahanan sarang diuruskan oleh semut tentera, manakala semut pekerja mencari makanan dan menyediakan keperluan domestik. Setiap ekor semut mengamalkan kerja berpasukan bagi memastikan kelangsungan hidup koloni mereka. Permaisuri pula berperanan menghasilkan telur yang memberi survival kepada generasi semut baharu bagi meneruskan kelangsungan baka semut.

 

Dengan mengambil kira koloni semut, begitulah juga kemenjadian sesebuah organisasi. Bagi pentadbir sekolah, kerja berpasukan merupakan kunci ke arah kejayaan dalam pengurusan. Seorang pengetua, mestilah mempunyai upaya dan daya mengawal organisasi, sama ada guru, staf sokongan dan murid (Khuzaimah Sulaiman, 2015). Ini membuktikan pengetua atau guru besar yang kompeten akan merangsang organisasi membentuk satu pasukan yang kuat.

 

Sekiranya ketua gagal memastikan pengurusan organisasi berjalan lancar, ia memberi kesan langsung kepada organisasi. Dalam konteks pendidikan di Malaysia, Wan Zahid (1994, dalam Nota Kuliah IAB, NPQEL Ambilan 1/2016) telah menekankan untuk merealisasikan Wawasan Pendidikan Negara sejajar dengan Wawasan 2020, pemimpin pendidikan perlu mempunyai ilmu pengetahuan yang luas, sahsiah dan akhlak yang baik, serta keberanian mencuba dan mengambil risiko. Ini bermakna kejayaan sesebuah sekolah berkait rapat dengan tingkah laku kepemimpinan pengetua. Kerjasama daripada kakitangan yang bertanggungjawab amat bergantung kepada interaksi positif antara pengetua dengan kakitangan sekolah. Ini bertepatan dengan kenyataan bahawa hubungan positif antara pengetua dengan guru-guru telah memberi impak yang besar kepada prestasi, kepuasan kerja dan komitmen guru di sesebuah sekolah.

 

Rumusannya, kemahiran kerja berpasukan melibatkan kebolehan untuk bekerjasama dengan orang lain daripada pelbagai latar belakang sosiobudaya untuk mencapai matlamat yang sama.  Aspek  pembinaan hubungan baik, dan bekerja secara efektif bersama mereka untuk mencapai objektif yang sama, mengenali dan menghormati sikap, kelakuan dan kepercayaan orang lain, memberi sumbangan kepada perancangan dan menyelaraskan hasil usaha kumpulan, adalah manifestasi rasa bertanggungjawab terhadap kepentingan pasukan.

 

HALANGAN KERJA BERPASUKAN

 

Dalam sesebuah organisasi, kerja sepasukan adalah kunci kepada kemantapan organisasi. Hubungan muafakat antara ketua jabatan dan staf bawahan membentuk kerja sepasukan yang kukuh. Antara halangan yang menggagalkan kerja sepasukan adalah percanggahan idea. Pasukan cuba menangani tugasan pekerjaan dengan mencadangkan idea-idea. Bagaimanapun percanggahan idea yang tidak dikendali dengan baik, ia akan melumpuhkan kerja berpasukan. Perhubungan antara pasukan akan terjejas jika percanggahan pandangan dibiarkan berlarutan.  Jika pasukan terlebih fokus untuk mendapatkan persetujuan semua, pasukan mungkin akan memilih jalan atau cara terbaik untuk menyelesaikan masalah atau pekerjaan. Ini akan menimbulkan masalah di kemudian hari. Fasa ini amat penting  terutama jika pasukan tersebut mempunyai pemimpin yang boleh menjalankan tugas dengan teguh dan berkeyakinan tinggi.

Faktor seterusnya adalah norma atau peraturan. Dalam fasa ini ahli pasukan bergerak ke arah bekerja secara harmoni, dan bersetuju terhadap nilai dan peraturan pasukan. Dalam situasi yang terbaik, pasukan boleh bertindak supaya ahli pasukan mengambil tanggungjawab terhadap risiko yang mungkin terjadi.  Jika norma dan peraturan lama menjadi panduan, pasukan mungkin menjadi santai dan mereka kehilangan daya kreativiti serta daya usaha yang akhirnya menggagalkan matlamat organisasi.

Faktor berikutnya adalah pelaksanaan. Tidak semua pasukan akan mencapai tahap pelaksanaan yang sempurna. Pasukan yang berjaya  menjalankan tugas adalah organisasi yang mempunyai keupayaan bekerja sendiri, bermotivasi, berilmu dan berdaya saing. Keputusan dibuat secara kolektif tanpa tekanan dan sikap bertoleransi diamalkan kerana wujud sikap saling hormat menghormati dalam komunikasi antara ahli pasukan. Pelaksanaan yang sempurna hanya berlaku apabila ada pemantauan berterusan daripada pentadbir. Tanpa elemen pemantauan, program yang baik pun tidak akan berjaya mencapai matlamat dalam organisasi.

 

 

FASA MEMBENTUK PASUKAN BEKERJA

Ada beberapa fasa dalam membentuk pasukan bekerja yang berkesan. Ini adalah sebagai satu panduan seperti yang dinyatakan oleh Bruce Tuckman (1965).

 

1.    FORMING/ MEMBENTUK

Pada peringkat ini, kebanyakan ahli pasukan bersikap positif dan sopan. Ada yang merasa cemas, kerana mereka belum sepenuhnya memahami apa yang akan dilakukan oleh pasukan. Yang lain hanya gembira dengan tugas yang akan datang.

Sebagai pemimpin, PGB memainkan peranan yang dominan pada tahap ini, kerana peranan dan tanggungjawab anggota pasukan tidak jelas. Tahap ini dapat berlangsung selama beberapa waktu, ketika ahli pasukan mulai bekerja sama, dan ketika mereka berusaha untuk mengenali rakan baru mereka. Mesyuarat pengurusan dan mesyuarat panitia, mampu membantu mempercepatkan proses ini.

 

2.    STORMING/MENCAMBAH

Pasukan cuba menangani tugasan pekerjaan dengan mencadangkan idea-idea. Akan tetapi percanggahan idea akan berlaku pada peringkat ini. Jika fasa ini tidak dikendali dengan baik, ia akan melumpuhkan kerja berpasukan. Perhubungan antara pasukan akan terbentuk atau menjadi renggang dalam fasa ini.

       Jika pasukan terlebih fokus untuk mendapatkan persetujuan semua, pasukan mungkin akan memilih jalan atau cara terbaik untuk menyelesaikan masalah atau pekerjaan. Amatlah penting jika pada fasa ini, pasukan mempunyai pemimpin yang boleh menjalankan pekerjaan dengan teguh dan kuat. Konflik gaya kerja semula jadi ahli pasukan boleh menjadi alasan kepada kegagalan kerja berpasukan,  malah mereka mungkin akan kecewa. Sebagai contoh, ahli pasukan boleh mencabar kewibawaan kita sebagai pemimpin untuk melobi kedudukan. Ada juga  yang berasa terbeban dengan tugas atau mungkin tidak selesa dengan pendekatan yang digunakan oleh ketua.

 

3.    NORMING/NORMA

Dalam fasa ini ahli pasukan bergerak ke arah bekerja secara harmoni. Dalam situasi yang terbaik, pasukan boleh bertindak tegas supaya ahli pasukan lebih bertanggungjawab. Risiko yang mungkin berlaku adalah pasukan mungkin menjadi tenang dan kehilangan daya kreativiti. Ini memerlukan inspirasi berterusan melalui usaha menyelesaikan perbezaan pandangan, menghargai kekuatan rakan sekerja, dan menghormati kewibawaan anda sebagai pemimpin.

 

4.    PERFORMING/MENJALANKAN

Tidak semua pasukan akan mencapai tahap ini. Pasukan dapat  menjalankan tugas jika mereka ada keupayaan bekerja sendiri, bermotivasi, berilmu dan berdaya boleh. Keputusan dibuat secara kolaboratif dan sikap bertoleransi diamalkan kerana wujud sikap saling hormat menghormati dalam komunikasi berkesan  wujud antara ahli pasukan.

 

 

5.    ADJOURNING & TRANSFORMING/ PENAMATAN

Ini adalah fasa terakhir yang ditambah oleh Tuckman untuk meliputi penamatan projek dan pembubaran kerja berpasukan. Pasukan boleh kembali ke mana-mana fasa dalam model ini jika mereka mengalami perubahan seperti melihat semula matlamat projek atau perubahan ahli pasukan. Dalam pasukan yang berjaya, apabila seseorang ahli pasukan meninggalkan pasukan dan ahli baru masuk, pasukan biasanya akan ke fasa forming (pembentukan) semula.

 

KESIMPULAN

Kesimpulannya, kepimpinan PGB memainkan peranan penting menjayakan pasukan bekerja di sekolah. Pasukan pengurusan yang terdiri daripada pengetua, penolong kanan dan guru kanan harus mempunyai hala tuju dan tindakan secara bersama. Pemimpin pertengahan lain seperti ketua panitia, setiausaha unit dan seumpamanya berperanan menyokong dasar sekolah dan bersatu  memastikan matlamat sekolah dapat dicapai.

 

RUJUKAN

Abd. Ghafar Mahmud. (2011). Haluan Kerja Pendidikan Merealisasi Agenda Transformasi Negara. Selangor: Cepat Cetak Sdn Bhd.

Ainon Mohd. (2007).Teori dan Teknik Kepimpinan, Panduan Aplikasi Di Tempat Kerja. Kuala Lumpur:  PTS Professional Publishing Sdn. Bhd. 

Institut Aminuddin Baki. (2013). Buku Panduan PrOD. Institut Aminuddin Baki: Genting Highlands

Institut Aminuddin Baki. (2016). Nota kuliah modul 1. Institut Aminuddin Baki: Genting Highlands

Khuzaimah Sulaiman. (2015). Guru Biasa Yang Luar Biasa. Bangi. Nuun Creative Books

 

Artikel ini dipilih untuk dimuatkan dalam Buletin MPSM sempena Persidangan MPSM Perak di Putrajaya pada -7 Oktober 2020

Wednesday, October 14, 2020

RETORIK PEMIMPIN KALIS MASA HADAPAN

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Dalam satu persidangan mesyuarat yang saya hadiri awal Oktober lalu, para perwakilan diberikan peluang untuk membuat pemilihan pucuk pimpinan. Lalu, saya dengan besar hati, bangun dan mencadangkan seorang rakan yang pada hemat saya, layak menerajui kepimpinan organisasi yang saya sertai. Beliau pada hemat saya lebih berpengalaman dan mempunyai aura sebagai pemimpin yang boleh melonjakkan kesatuan kami yang mempunyai lebih 200 orang ahli seluruh Perak. 

Ada juga calon lain dicadangkan, dan tiba-tiba perbincangan sebelum pengundian menjadi hangat. Rakan yang saya calonkan tadi akhirnya menarik diri, setelah mengambil kira kepentingan persefahaman dan mengendurkan keadaan yang tampak tegang.

Saya juga tidak menyangka sebuah organisasi yang profesional lagaknya, tidak melambangkan demokrasi yang sewajarnya. 

"Mengapa perlu buat pencalonan lain. Pemimpin sedia ada sudah mencukupi, kalau dia lepaskan jawatan, lantik sahaja timbalan menggantikannya. Tak perlu nak mengundi calon lain," kata seorang perwakilan wanita sambil mengerling ke arah saya.  

Setelah rakan tersebut menarik diri, saya tampil dan menjelaskan bahawa saya menerima penarikan dirinya daripada dicalonkan. Saya juga menjelaskan bahawa saya akur dengan keputusannya. Malangnya perbalahan yang berpunca daripada pemilihan jawatan tersebut tidak berakhir. Seorang rakan yang agak berusia telah bangun lalu menyindir dan memperlekehkan tindakan saya yang akur dengan situasi. Dengan nada perli dia menyatakan saya seorang yang tiada pendirian dan boleh mengubah keputusan dalam masa dua minit sahaja. 

Terkejut saya dengan sikapnya, yang sebelum ini saya hormati sebagai individu yang lebih tua daripada saya. Apa yang saya lakukan adalah memberi cadangan dalam mesyuarat, dan ia belum lagi diputuskan dalam pengundian. Malangnya, tindakan saya dianggap tidak sesuai dan menimbulkan polemik. 

Saya belajar sesuatu daripada apa yang berlaku. Pertama, dalam organisasi tersebut, tidak perlu beri pilihan kepada perwakilan memilih peneraju kepimpinan. Cukup sekadar menerima siapa sahaja yang sudah ditetapkan. Kedua, slogan yang memenuhi tema persidangan sebenarnya sekadar satu 'tagline' mempamerkan kehebatan luaran sahaja. Tidak lebih daripada itu. Ketiga, jangan cuba menunjuk-nunjuk keupayaan anda, sebab akhirnya memakan diri. 

Hakikatnya, kewibawaan pemimpin yang kalis masa hadapan, boleh dipersoalkan dengan tindakan tidak demokratik dan kurang wibawa dalam menguruskan organisasi. 

       

Monday, September 28, 2020

WABAK COVID-19 KEMBALI SEMULA?

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Umum menyedari betapa negara kita dan dunia amnya, telah terkesan akibat penularan wabak Coronavirus atau lebih dikenali sebagai Covid-19.  Sejak Mac 2020, banyak sektor ekonomi yang terjejas teruk, termasuk pelancongan, perladangan dan pendidikan. Kerajaan di bawah pimpinan YAB Tan Seri Muhyidin Yassin telah berusaha mengekang penularan wabak ini dengan menggembleng agensi seperti tentera, polis, hospital dan seumpamanya ke tahap yang optimum, terutama semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan. 

Namun begitu, usaha ini tidak berjaya sepenuhnya. Selepas berjaya mengekang wabak ini pada penghujung Jun 2020, kita masih berhempas pulas berusaha. Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Seri Dr Nor Hisyam Abdullah tampak kecewa dengan situasi yang berlaku. Wujudnya kluster di Kedah dan beberapa negeri lain memberi isyarat bahawa wabak ini masih berpotensi menjadi ancaman kepada negara. Terbaharu, di Sabah, dua bandar utama iaitu Tawau dan Lahad Datu dikhabarkan mencatatkan kes jangkitan tertinggi. Ini menyebabkan kerajaan mengambil langkah drastik menyaring penumpang penerbangan dari Sabah ke KLIA. (beritanya di sini https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2020/09/735911/kkm-tambah-kakitangan-di-klia-klia2-saring-individu-dari-sabah

Hakikatnya, kita tidak boleh berasa selesa dengan penurunan kadar jangkitan Covid-19. Kesedaran masyarakat juga seperti ayunan yoyo, sekejap naik dan adakalanya mengambil sikap tidak kisah dengan situasi persekitaran.  Pemakaian topeng muka hanya dbuat kerana bimbang disaman, bukannya kerana wabak Covid-19. 

Tindakan kerajaan melonggarkan  kebenaran kepulangan dan kemasukan rakyat Malaysia dari luar juga menyumbang kepada kebimbangan masyarakat.  Kempen PRN Sabah juga memberikan kesan langsung kepada penularan wabak ini di negeri di bawah bayu. 

Tuntasnya, semua pihak harus memainkan peranan bersama-sama berganding bahu memastikan wabak Covid-19 tidak menular. 
 

Wednesday, September 23, 2020

ANDAINYA...

Terima kasih kerana sudi mengunjungilog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Assalamualaikum dan selamat sejahtera.

Terlebih dahulu, saya mengucapkan tahniah kepada kepimpinan baharu negara yang telah menerajui pentadbiran kerajaan. 

Dalam dunia politik yang serba mencabar, perubahan kepimpinan politik harus diterima oleh rakyat dengan berlapang dada. 

Ahli-ahli politik pula, haruslah bijak mencatur peluang dan gerak kerja agar kebajikan rakyat terbela, dan pembangunan negara berada di landasan yang tepat. 

Walaupun saya tidak ada kepentingan dalam mana mana parti politik, saya berharap, Perdana Menteri dan barisan kabinet yang baharu dilantik, dapat menjalankan tanggungjawab dan amanah dengan sebaiknya. 

Akhir kata, sekali lagi saya mohon kita kembali rapatkan hubungan dan tidak berantakan sesama sendiri, hanya kerana perbezaan pandangan politik. 

Pemimpin sudah dipilih, elakkan daripada terus berselisih, kembalikan yang keruh kepada jernih, pasti timbul cinta dan kasih. 
Terima kasih.



Ikhlas,
 *ALI BIN ABU* 
Ahli Komuniti
Taman Setia Maju


 _Ini adalah contoh mesej yang boleh digunakan sebagai memujuk ahli komuniti setempat kembali bersatu selepas selesai pilihanraya atau pemilihan pemimpin._
😊😊😊😊😊😊😊

Tuesday, September 15, 2020

SUMBANGAN TOPENG MUKA THIRD FORCE YAYASAN RAJA SHAMRI

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Pada Isnin, 14 September 2020, SMKBS menerima kehadiran wakil NGO Third Force Yayasan Raja Shamri, yang sudi memberi sumbangan berupa 1500 keping topeng muka (face mask). 

Wakil NGO yang hadir adalah Ustaz Syed Shahrin, Miss Li Na, Cikgu Zulkifli,Zaen Ramdhan dan beberapa orang lagi.  15 orang pelajar telah dipilih oleh penyelaras JK Kebajikan, cikgu Norhaizan Mohd Nasir,sebagai  penerima topeng muka tersebut. 

Dengan adanya topeng muka tersebut, diharapkan ia dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh pelajar SMKBS




Monday, September 7, 2020

KONVOI MERDEKA SMKBS KE KUALA MU, SUNGAI SIPUT


Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Pada 5-6 September 2020, kelab Rider Santai SMKBS dan komuniti setempat seramai 23 orang telah mengadakan program LADAP konvoi merdeka ke Kuala Mu Sungai Siput.

Pada jam 8.30 pagi, kami memulakan perjalanan bermotosikal dari Lekir, menuju ke Manong, menyusuri Sungai Perak hingga ke Karai. Di Karai, kami menikmati keindahan sejarah iaitu Jambatan Victoria. Jambatan ini adalah tinggalan kolonial British yang  menjadi bukti pengangkutan bijih timah menggunakan kereta api satu ketika dahulu. Ia siap dibina pada 1900 dan berkhidmat sehingga tahun 2002. Kini tinggal bahagian jambatan sahaja yang masih ada.

Selepas Karai, kami menuju ke Kuala Mu. Ia adalah penempatan orang asli suku Temiar kedua terbesar di Malaysia selepas Gua Musang. Masyarakat orang asli suku Temiar tidak jauh bezanya dengan orang asli lain. Bahasanya sahaja yang agak berbeza. Namun peredaran masa mengubah kehidupan mereka daripada berpindah randah di hutan, kepada tinggal menetap.

Kami memunggah barang dan kelengkapan di chalet Dusun, sebelum memulakan program pertama. Pada jam 3.30 petang, kami mengadakan program kolaborasi bersama anak anak orang asli suku Temiar. Mereka diasingkan mengikut umur dan jantina. Cikgu Tajul Azmir mengendalikan ceramah kemerdekaan diselang-selikan dengan lagu patriotik, dan kuiz kemerdekaan.

Program ini mendapat sambutan hangat anak anak Kuala Mu, apatah lagi setiap kali berjaya menjawab soalan kuiz, mereka seronok  diberikan hadiah. Antara hadiah yang kami sediakan adalah biskut, alat tulis dan gula gula.  

Selepas solat maghrib, ustaz Junaidi menyampaikan kuliah. Pada sebelah malam, hujan mengiringi malam kami yang sejuk dan dingin malam berterusan hingga ke pagi esoknya. 

Pada Ahad, 6 September, kami mulakan ekspedisi meneroka Bukit Kapit pada jam 7.30 pagi. Asalnya, kami hanya dimaklumkan menuju air terjun yang cantik di hutan Kuala Mu. Sungguh... Tak terfikir langsung kami akan mendaki puncak bukit. Daripada 16 orang, akhirnya hanya 12 orang teruskan perjalanan mendaki bukit Kapit hingga ke puncak. Kami dipandu oleh Pandak dan Rasi, dua orang anak muda Temiar yang tahu selok-belok hutan sekitar kawasan Kuala Mu.
Pendaki paling senior, ustaz
Yasir Selamat
antara yang terawal tiba bersama cikgu Hazlisham dan Cikgu Zalani. Cikgu
Hazlisham Bin Haron
sentiasa beri semangat kepada rakan lain yang nampak seakan putus asa.
Satu ketika, kami kepenatan lalu mencadangkan satu kumpulan teruskan mendaki, manakala sebahagian lagi tunggu di kawasan jeram.
Namun begitu, perancangan Allah lebih baik. Akhirnya kami berjaya juga mendaki.Tahniah kepada semua yang berjaya menjejakkan kaki ke puncak bukit Kapit, 909 meter.

Perjalanan pulang kami bermula jam 12.45 tengah hari. Kami solat zohor di Masjid Bawong, hadapan SMK Bawong yang menjadi asrama penuh pertama anak anak orang asli di Malaysia. Kami melalui pekan Kuala Kangsar, Manong terus menaiki lebuh raya menuju rumah masing masing. Syukurlah trip penanda aras kali ini berjaya mencapai objektif yang ditetapkan.















 
.

Wednesday, July 22, 2020

KEHEBATAN ORANG PANJANG UMUR

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

PANJANG UMUR DAN MENGABDIKAN DIRI KEPADA ALLAH

1. Dalam sebuah hadis, Rasulullah menyatakan bahawa beruntunglah orang yang diberikan anugerah dengan usia yang panjang sedang dia mengabdikan diri kepada Allah. Sabda Rasulullah:

طُوبَى لِمَنْ طَالَ عُمْرُهُ، وَحَسُنَ عَمَلُهُ

“Beruntunglah bagi mereka yang dipanjangkan usianya dan (semakin) baik amalannya. (Sunan al-Baihaqi, dinilai Sahih oleh al-Albani)

2. Bahkan Rasulullah membezakan dua lelaki yang panjang umur tetapi tidak digunakan kelebihan usianya dengan amalan yang baik. Perkara ini direkodkan ketika Rasulullah ditanya oleh seorang lelaki. Kata lelaki itu:

يَا رَسُولَ اللَّهِ! أَيُّ النَّاسِ خَيْرٌ؟ قَالَ: "مَنْ طَالَ عُمُرُهُ، وَحَسُنَ عَمَلُهُ" قَالَ: "فَأَيُّ النَّاسِ شَرٌّ؟" قَالَ: "مَنْ طَالَ عُمُرُهُ وَسَاءَ عَمَلُهُ"

“Wahai Rasulullah, siapakah manusia yang paling baik? Rasulullah lalu menjawab: Lelaki yang dipanjangkan umur dan (semakin) baik amal (soleh)nya. Lalu lelaki itu bertanya lagi: Siapa pula manusia yang teruk? Rasulullah menjawab: Lelaki yang dipanjangkan usianya, (tetapi semakin) buruk amalan mereka. (Sunan al-Tirmizi, dinilai Hasan Sahih)

3. Atas dasar itu Saidina Ali lebih menyukai lelaki yang mati setelah usia yang panjang yang digunakan untuk mengenali Allah berbanding kanak-kanak yang meninggal kecil walaupun akan masuk ke syurga tanpa hisab. Kata Saidina Ali:

مَوْتُ الإِنْسَانِ بَعْدَ أَنْ كَبِرَ وَعَرَفَ رَبَّهُ خَيْرٌ مِنْ مَوْتِهِ طِفْلا بِلا حِسَابٍ فِي الآخِرَةِ

“Kematian manusia setelah panjang usianya dalam keadaan dia mengenal Allah adalah lebih baik daripada kematian kanak-kanak kecil walaupun (akan ke syurga) tanpa hisab di akhirat kelak.” (disebutkan oleh al-Imam al-Tayyibi)

4. Ini menunjukkan, usia yang panjang mestilah digunakan sebaiknya untuk mengenal Allah dan mengabdikan diri kepadanya. Janganlah sia-siakan masa yang diberikan dengan perkara yang tidak disukai Allah.

5. Kita bimbang akan tergolong dalam golongan yang disebutkan dalam hadis di atas, iaitu mereka yang dikurniakan usia yang panjang tetapi semakin rosak amalan kita.

Allah sayang kita. Semoga Allah membimbing kita.

Copy paste FB Ustaz Dr Ahmad Sanusi Azmi

Monday, July 20, 2020

KONVOI SANTAI SMKBS KE BUMI SELAMA DAN BATU KURAU

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Pada Sabtu 18 Julai 2020, Kelab Guru dan Staf Sekolah (KGSS) SMKBS telah mengadakan program konvoi Kapcai LEKIR-SELAMA- BATU KURAU-TAIPING. Ia disertai oleh guru dan staf lelaki seramai 12 orang dengan motorsikal masing-masing.
Objektif program adalah mengukuhkan ukhuwah dan mensyukuri nikmat Allah, di samping melepaskan tekanan kerja seharian.
Perjalanan kami bermula di Caltex Lekir, dengan taklimat disampaikan oleh penyelaras, cikgu Tajul Azmir. Marshall konvoi adalah cikgu Kamarul Bahrin yang menunggang Yamaha XMAX250. Doa dipimpin oleh pengetua dan kami melalui lebuhraya WCE sehingga ke Beruas.


Perjalanan kami diuji dengan tayar jentera cikgu Ravi yang pancit di Batu Hampar. Namun begitu dengan kecekapan cikgu Nazem yang membantu menukarkan tiub yang bocor, kami dapat teruskan perjalanan ke destinasi.
Setibanya di Taiping, hujan renyai-renyai mengiringi perjalanan. Namun begitu, syukurlah perjalanan konvoi kami lancar dan selamat tiba di Petronas Selama pada jam 12.15 tgh.
Laluan ke Selama melalui Pondok Tanjung
Wajah ceria sebaik sampai di Lata Rambung
Kami bergambar di hadapan SMK Sungai Bayor 
Konvoi melalui pekan B sebelum   atu Kurau dalam perjalanan pulang
Kami disambut oleh wakil Selama, cikgu Fadzizul yang meraikan kedatangan kami di Lata Rambung. Buah durian kahwin dengan isi yang tebal disajikan kepadan kami. Hanya cikgu Kamarul yang tidak menjamahnya, kerana alah dengan bau durian. Selepas makan durian, kami mandi di lata tersebut. Kami singgah solat jamak zohor dan asar di masjid Rusydiah, Selama, sebelum meneruskan perjalanan pulang melalui trek Batu Kurau yang banyak selekoh.

Banyak peristiwa yang berlaku dalam perjalanan, tetapi semuanya seronok untuk dikenang. Terima kasih kepada semua peserta yang menjayakan program ini.

Tuesday, June 30, 2020

MOGA DIJAUHKAN SIFAT SOMBONG DARIPADA HATI KITA

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

TANDA-TANDA SIFAT SOMBONG

Sebenarnya tanda kesombongan dapat dikesan melalui pergaulan sesama manusia iaitu sama ada sombong keterlaluan, sederhana atau ringan. 

Antara tanda–tanda kesombongan adalah : 

1. Sukar menerima pandangan orang lain sekalipun hatinya merasakan pandangan orang lain itu lebih baik daripadanya. 

2. Memilih kawan – Suka berkawan dengan sama taraf sahaja. Bahkan dengan orang sama taraf dengannya masih di pilih-pilih lagi, yakni dia suka orang yang mahu dengar katanya sahaja.

3. Memandang hina kepada golongan bawahan, jijik melihat kemiskinan. 

4. Dalam perbincangan, suka meninggikan suara atau menguatkan suara lebih daripada yang diperlukan, bersikap mendominasi perbincangan, suka kata-katanya didengari, diambil perhatian dan diikuti. Sebaliknya dia sendiri susah hendak dengar cakap orang lain. 


5. Kalau dia jadi pemimpin, dia memimpin dengan kasar dan keras terhadap pengikutnya dan orang bawahannya. 

6. Susah memberikan kemaafan kepada orang lain yang tersilap dengannya. Kalau dia yang bersalah, susah untuknya meminta maaf. 

7. Dia suka dihormati, namun sukar menghormati orang lain

8. Suka menzalimi orang samada secara halus atau kasar. 

9. Kurang bermesra dengan orang kecuali terpaksa kerana ada kepentingan orang tersebut. 

10. Suka mencerita kelebihan diri, dan kerap menjatuhkan air muka orang di hadapan pihak lain. Kesalahan-kesalahan orang lain dibesar-besarkan sedangkan kesalahan diri sendiri didiamkan. 

11. Kurang menikmati nikmat Allah s.w.t. Kalau ada, dibazirkan tanpa rasa syukur.


12. Tidak suka menyebut kelebihan orang lain kerana takut mencabar dirinya. Malahan, sangat tidak senang dengan kejayaan orang lain. Dia juga tersinggung kalau disebut kelebihan orang lain di depannya. Tetapi kalau dia dipuji , dia berasa bangga dan senang hati.

Sifat sombong sangat bahaya kerana sifat ini boleh menghalangi seseorang masuk ke syurga, sebagaimana dalam sebuah hadis Rasulullah ﷺ

لا يدخلُ الجنَّةَ من كان في قلبِه مثقالُ ذرَّةٍ من كِبرٍ

"Tak akan masuk syurga sesiapa sahaja didalam hatinya mempunyai sifat kesombongan, walaupun sebesar biji sawi." (HR Muslim- Hadis daripada Abdullah Bin Mas’ud)

Oleh yang demikian, berhati hatilah. Bahaya sombong itu, walaupun sebesar biji sawi, tidak akan masuk syurga.

Wednesday, June 24, 2020

HARI PERTAMA PERSEKOLAHAN SELEPAS PKP

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.


Pada 23 Jun 2020, asrama SMKBS menerima kehadiran semula pelajar tingkatan 5 seramai 52 orang yang akan meneruskan sesi persekolahan. 

Sejak sekolah ditutup pada 18 Mac 2020, asrama dan sekolah menjadi sunyi. Semua aktiviti yang dirancang ditangguhkan buat sementara waktu. Selepas kes wabak Covid-19 kelihatan terkawal, KPM memutuskan pelajar tingkatan  dibenarkan meneruskan pembelajaran di sekolah dengan pematuhan SOP yang ditetapkan. 

Friday, June 12, 2020

SEKOLAH BAKAL DIBUKA SEMULA PADA 24 JUN INI


Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan bermula 18 Mac lalu, sekolah dan institusi pendidikan seluruh negara diarahkan tutup, bagi memastikan penularan wabak Covid-19 dapat dikawal.

Selepas lebih 3 bulan ditutup. arahan pembukaan semula sekolah diumumkan oleh menteri pendidikan selaras dengan penurunan kes wabak tersebut di seluruh negara.

Namun begitu, pembukaan semula sekolah tertakluk kepada peraturan normal baharu yang diperkenalkan oleh KPM. Setakat ini, hanya pelajar tingkatan 5 dan 6 Atas, yang diberikan kebenaran hadir ke sekolah untuk meneruskan sesi pembelajaran mulai 24 Jun nanti. Ini kerana mereka bakal menduduki SPM dan STPM.

KPM menetapkan ibu bapa hanya menhantar anak anak yang sihat sahaja ke sekolah. Jika ada gejala tidak sihat, suhu badan melebihi 37C.  batuk, selsema dan sakit tekak, ibu bapa disarankan membawa anak anak ke hospital atau klinik berdekatan untuk pemeriksaan lanjut.

Pergerakan murid ke kelas, jarak meja antara pelajar juga disusun agar memenuhi SOP penjarakan sosial. Malah,  PIBG disarankan bekerjasama dengan pihak sekolah bagi menyediakan persiapan sebelum pembukaan semula.

Dengan pembukaan semula sekolah, diharapkan ia akan beransur ansur mengembalikan peluang pelajar lain untuk belajar semula.

 

Thursday, June 4, 2020

SUDAH 23 TAHUN RUPANYA

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Berdua pada 1997, Alhamdulillah kini berlapan

Terbayang kali pertama kami bertemu di kursus kaunseling di sebuah hotel di Lumut Oktober 1995. Akhirnya termeterai ijabkabul saya dan isteri pada tanggal 4 Jun 1997, iaitu 23 tahun lalu.

Kami lalui kehidupan suami isteri yang adakalanya susah, senang. suka dan duka silih berganti. Pada 1998, lahirnya permata kami yang pertama, dinamakan Qatrunnada (Titisan Embun) dengan harapan ia menyejukkan pandangan, dan beroleh keberkatan hidup yang berpanjangan.

Pada 1999, lahir seorang putera yang kami namakan Afif Wajdiy (Yang Menjaga Maruah), diikuti Atif Faizi pada 2001 (Yang Pemberi Simpati), Aqil Najmi (Bintang Yang Berakal) pada 2002, Adil Hilmi (Yang Adil dan Sopan) pada 2004 dan diakhiri oleh Qasrinnuha (Mahligai Orang Berilmu) pada 2006.

Alhamdulillah kami bersyukur dengan nikmat Allah. Sesungguhnya jika Allah menguji dengan kebaikan, terima dengan rasa syukur. Namun jika Allah uji dengan musibah, ia harus diterima dengan tabah dan sabar.

Kami memiliki rumah sendiri pada 2005, menunaikan umrah pada 2014, dan haji pada 2017. Kami diberikan banyak kesempatan dan nikmat yang tidak terkira banyaknya.

Namun ada juga peristiwa dalam hidup kami yang perit untuk ditelan. Lapan tahun selepas kami dijabkabulkan, mak pergi buat selama-lamanya. Dua tahun selepas itu, ayah menyusuli mak kembali kepada-Nya.  Abang sulung saya Azwadi Noor, lebih awal kembali pada Oktober 1997, kira-kira 4 bulan selepas kami berumahtangga.

Abang ipar yang saya sayangi, Wan Long meninggal dunia pada Mei 2015, diikuti oleh adik tersayang, Abdullah Sani pada Disember 2019 yang lalu.

Begitulah rencah hidup yang kadangkala selesa, adakala sebaliknya. Apa juga yang Allah tentukan, saya redha dan terima ia sebagai ujian daripada Allah. Kami bertekad untuk terus mengekalkan nikmat kebahagiaan sehingga dipisahkan oleh ajal. Doakan..  

Monday, June 1, 2020

BERKUNJUNG KE DUSUN TAMU, KG LENGKUAS PARIT

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.


Pelawaan seorang rakan untuk mengikutnya berkunjung ke Dusun Tamu, Kampung Lengkuas Parit, tidak saya sia-siakan. Hamdan Ahmad Sapli, atau lebih mesra saya panggil Chor Medan, mengajak saya ke dusun milik abangnya di Parit pada pagi Ahad 31 Mei 2020.
Ajim melayani kami dengan Musang King

Cempedak baka CH28

Durian menunggu masa untuk gugur

Isi Musang King

Perjalanan kami melalui lebuh raya WCE hingga ke Changkat Cermin menjadikan jarak ke sana dapat dijimatkan. Kira-kira jam 8.45 pagi, kami tiba di lokasi yang dipenuhi rimbunan pohon hijau dan dilengkapkan dengan rumah tamu, dewan dan persekitaran yang damai.

Dusun Tamu berkeluasan lebih 3 ekar, ditanam dengan cempedak, rambutan, pulasan, manggis, durian dan seumpamanya. Cempedak menunggu masa untuk masak, dan setiap pokok mempunyai tidak kurang 200 biji buah yang akan matang dalam tempoh seminggu dua lagi.

Buah durian baka Musang King, IOI dan baka kampung terbaik juga dapat kami nikmati di sini. Saya bersyukur dapat datang ke sini, menikmati hasil budi insan kepada tanah. la membuktikan pertanian mampu menjana pendapatan secara berterusan kepada anak muda seperti Ajim. Dia yang menjaga dusun ayahnya merancang untuk menternak kambing kibas di dusun tersebut.

Terima kasih kepada Chor Medan yang mengajak saya datang ke sini, menjadi kenangan manis  yang sukar saya lupakan.  

Friday, May 22, 2020

FASA KEHIDUPAN: SATU ANALOGI

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Andainya tempoho kehidupan boleh dibahagikan kepada 10 tahun/fasa,  puratanya hidup kita ada 7 fasa. 

Fasa pertama,  usia 1-10 tahun. Ini fasa kanak kanak. Tiada apa kecuali keseronokan hidup. Hidup tanpa perlu memikirkan tanggungjawab dan amanah. Hanya fokus kepada diri dan keperluan asas. Hidup bergantung sepenuhnya kepada ibu bapa.

Fasa kedua,  11- 20 tahun.  Ini zaman remaja,  zaman meneroka potensi diri. Ia juga energetik, penuh tenaga dan cita cita.  Jika silap langkah boleh hilang arah tuju. 

Fasa ketiga,  21- 30 tahun, Zaman ini, kebanyakan kita sudah mula mempunyai matlamat yang berfokus. Mungkin ada yang berkahwin dan bekerja. Tenaga pun kuat,  jiwa mudalah katakan.  

Fasa keempat pada peringkat 31- 40 tahun, sudah pasti insan tahap ini semakin matang.  Kebanyakan orang pada usia ini sudah berkeluarga dan stabil dari segi pemikiran dan halatuju. 

Fasa kelima,  pada usia 41- 50 tahun,  ini lebih mencabar.  Kalau ikut cara Nabi,  ini 'turning point' kepada orang yang ingin berubah menjadi lebih baik.  Nabi pun terima wahyu pada usia 40 tahun.  Pada tahap ini,  kesihatan mulai merosot jika tidak diberi perhatian.  

Fasa keenam,  usia 51- 60 tahun,  inilah zaman kita stabil dari segi kebendaan jika beringat semasa muda.  Tapi peringkat ini cabaran penyakit semakin meningkat.  Ramai yang mula makan pelbagai jenis ubat bagi meneruskan kelangsungan hidup. Pada penghujung persaraan, individu yang hebat masih boleh mengembangkan potensi diri selain menyumbang tenaga dan usaha untuk komuniti. 

Fasa ketujuh, pada umur 61- 70 tahun,  mungkin kebanyakan kita sudah kembali ke rahmatullah. Apa yang kita kejar di dunia ini tidak mampu menemani kita di barzakh.  Jika kita boleh sampai ke fasa ini,  bersyukurlah. Nabi juga wafat pada usia baginda 63 tahun. bNamun begitu, beringat sebelum melangkah ke fasa ini,  lebih baik.  

Coretan ini sekadar mengingatkan diri sendiri supaya beringat sebelum terlambat.

MENJALA TALAPIA

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini. Agak lama juga saya tidak menjala ik...