Monday, June 28, 2021

PAK ANJANG JURI YANG DISAYANGI TELAH KEMBALI KEPADA-NYA

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Zamhuri Mohd Husin, atau lebih mesra kami panggil sebagai Pak Anjang Juri adalah adik lelaki arwah bonda saya.  Adik beradik mak ada 7 orang; Hasil perkahwinan atuk (Md Husin)  dan opah (Sofiah), lahirlah Makco Puteh,  Makngah Rajmah, bonda saya (Aminah), Pak Uda Bohari, Mak Andak Mi, Pak Anjang Juri dan yang bongsu, Pakcik Endan.   

                      Pak Anjang Juri 

Pak Anjang Juri bersara sebagai penolong penguasa kanan kastam di Perlis, dan mempunyai 6 orang cahaya mata hasil perkongsian hidup dengan Hajah Ramlah, suri hatinya. 

Hubungan Pak Anjang dengan kami anak anak saudaranya sememangnya rapat. Adakala kami bergurau senda bagaikan rakan. Namun statusnya sebagai bapa saudara tetap dihormati. 

Semasa kecil dahulu Pak Anjang bawa saya dan beberapa orang sepupu naik kereta Mazda 323, yang dibelinya. Zaman 70-an menaiki kereta adalah pengalaman yang jarang dinikmati oleh anak kampung seperti saya. Betapa seronoknya saya ketika itu dapat naik kereta pusing kampung Bharu. Ketika majlis pertunangan saya di Terengganu pada tahun 1996, Pak Anjang bersama keluarganya turut serta memberi sokongan. Manakala pakcik Endan pula bertindak sebagai jurucakap pihak lelaki. Begitulah antara kenangan bersama Pak Anjang dan pakcik Endan. 

Pak Anjang kerap berpindah tempat bertugas, sesuai dengan keperluan sebagai anggota kastam. Antara tempat bertugasnya di Port Dickson, Klang, Brickfileds, Kuala Lumpur dan Kuala Perlis. 

Ketika belajar di UPM Serdang, ada juga saya singgah bermalam di rumah Pak Anjang di Kampung Kastam Brickfields. Saya juga parkir kereta di rumahnya di kuates kastam Kuala Perlis semasa berkursus di Langkawi beberapa tahun lalu. Selepas bersara daripada perkhidmatan awam, Pak Anjang kembali ke daerah Manjung. 

Pada tahun 2020, Makco kakak Pak Anjang kembali ke rahmatullah. Ketika di majlis pengebumiannya, Pak Anjang berbisik kepada saya, "Pak Anjang ni, tunggu masa je.." 

Sedih ayatnya tapi saya memahami apa yang Pak Anjang maksudkan. Satu demi satu adik beradiknya pergi tak kembali. Malah adiknya yang lebih muda iaitu pakcik Endan telah meninggal dunia pada 2013. Sudah tentu Pak Anjang menerima hakikat masa untuknya akan tiba jua.
                                  
      Pak Anjang menerima rawatan

Pak Anjang sudah menjangkau usia 71 tahun dan semakin banyak mengalami komplikasi keuzuran. Sakit kaki, lutut, buah pinggang dan jantung memaksa Pak Anjang kerap berulang alik ke hospital mendapatkan rawatan. Apabila kami menziarahinya, dia gagahkan diri melayani kedatangan para tamu. Seronok benar Pak Anjang kalau ada yang berkunjung ke rumahnya. 

Perintah Kawalan Pergerakan yang dilaksanakan oleh Majlis Keselamatan Negara, mengehadkan banyak perkara. Saya dapat mengunjungi Pak Anjang ketika hari raya pertama pada 13 Mei lalu. Saya datang bersendirian dengan motosikal, sebab memudahkan pergerakan. Banyak yang saya dan Pak Anjang sembangkan. Pak Anjang tunjukkan tapak dialisis di tangannya. Di badannya kelihatan tompokan lebam kerana kesan dialisis mencuci buah pinggangnya. Rupanya itulah kunjungan terakhir saya kepadanya.  

Pada 26 Jun kami dikhabarkan Pak Anjang jatuh ketika berada di rumahnya. Pak Anjang dimasukkan ke wad di Hospital Seri Manjung oleh anaknya Zaimi kerana kondisinya lemah dan memerlukan pemantauan doktor.
                                                           
        Nesan Pakcik Endan (tanda merah) dan nesan opah (biru)

Semalam, Ahad 27 Jun 2021, kami mendapat perkhabaran, Pak Anjang yang disayangi pergi buat selama-lamanya setelah jantungnya terhenti berdegup kira-kira jam 10 pagi. Selepas solat Asar, jenazah bapa saudara saya selamat disemadikan di perkuburan Kampung Bharu, Lumut. Pusaranya berdekatan kubur opah dan pakcik Endan. 

Berakhirlah sudah hidup Pak Anjang yang baik budi, namun nasihat dan kata katanya masih terngiang-ngiang dalam ingatan. 

Semoga Allah menerima amal ibadahnya, dan merahmati roh ZAMHURI bin MOHD HUSIN. Aminnnn    


Wednesday, June 23, 2021

NYAWA PENYANYI CHRISTINA GRIMMIE DITAMATKAN OLEH PEMINAT FANATIKNYA.

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.



Christina Grimmie adalah penyanyi remaja Amerika Syarikat yang sedang meningkat popular pada beberapa tahun lalu. Awal kariernya gadis berasal dari New Jersey ini memuat naik lagu-lagu yang dinyanyikan di saluran YouTube miliknya. Bakatnya terserlah dalam rancangan  pencarian bakat baharu terbitan NBC iaitu The Voice. Kemampuannya melantun suara yang lunak  dihidu oleh bapa tiri penyanyi Selena Gomez dan menjadikannya penyanyi iringan dalam beberapa siri konsert Gomez. Sejak itu dia tidak menoleh ke belakang. Karier nyanyiannya berkembang dan semakin mendapat perhatian masyarakat Amerika. 

Pada 10 Jun 2016 bermulalah tragedi penyanyi remaja ini. Christina mengadakan konsert bersama peminatnya di Plaza Live, Orlando, Florida. Dengan penuh kegembiraan dia melangkah ke panggung, menyanyikan lagu demi lagu kepada ribuan peminat tanpa menyedari ada seorang lelaki menunggunya di belakang pentas.

Lelaki itu dikenali sebagai Kevin James Loibl 27 tahun. Dia memasukkan tangannya ke dalam poket seluar jeans hitamnya sambil bersandar di dinding. Dia berkemeja kotak merah, putih dan biru dan bertopi besbol hitam.

Selepas pertunjukan, dia berada di belakang puluhan peminat lain yang ingin bertemu dengan Christina Grimmie yang ketika itu berusia 22 tahun.  Dia mengalihkan berat badannya ke belakang dan ke belakang. Tidak lama kemudian, tiba gilirannya.

Christina membuka tangannya untuk menyambutnya dengan pelukan. Sebagai balasannya, dia mengeluarkan sepucuk Glock hitam 9 mm dan melepaskan lima tembakan, pada jarak dekat ke arah penyanyi tersebut.

Tamatlah riwayat Christina Grimmie, di tangan peminat fanatiknya. Pembunuhan ini mengejutkan Amerika Syarikat. Namun kerana pembunuh tersebut lelaki kulit putih dan bukan Muslim, ia tidak dikategorikan sebagai perbuatan pengganas. 


Friday, June 18, 2021

PENIPUAN TERANCANG SCAMMER BARANG SAMPAI BARU BAYAR

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.
foto hiasan

Hari ini pembelian barang melalui atas talian sudah menjadi kebiasaan dan budaya baharu dalam masyarakat. Pelantar aplikasi seperti Lazada, Shoppe, Mudah.my dan seumpamanya tumbuh bagai cendawan selepas hujan. Pada musim PKP dan pandemik yang berlanjutan, keterbatasan pergerakan menyebabkan jualan atas talian semakin menjadi pilihan kita.

Budaya pembelian atas talian ini membuka ruang kepada penipuan terancang yang memangsakan pelanggan yang kurang berhati-hati. Scammer daripada China atau luar negara menggunakan teknik COD(Cash On Delivery) atau dapat barang baru bayar.

Ramai sudah pembeli di Malaysia terkena dengan teknik scammer daripada China yang menjual barang-barang mengunakan teknik COD ini. Ini kerana mangsa percaya kononnya seller tidak menipu kerana pelanggan akan buat bayaran hanya selepas barang diterima.

Di sinilah pelanggan akan terpedaya.

Sebenarnya modus operandi mereka adalah menjual sesuatu produk atau barang tanpa kualiti, pada harga tak masuk akal seperti gajet, telefon bimbit, laptop, pendrive, MP3 dan sebagainya. Contohnya harga pasaran tablet RM800 tapi mereka hanya jual pada harga RM300. tablet itu sebenarnya jauh lebih murah kerana kualitinya tidak setanding dengan apa yang diiklankan di media sosial atau pelantar niaga atas talian. 

Mereka akan menggunakan syarikat kiriman seperti DHL atau Ninja Van untuk menghantar barangan kepada mangsa. Pembeli perlu membayar dahulu kepada wakil syarikat tersebut sebelum dapat membuka parcel mereka.

Di manakah penipuan ini terbongkar?

Apabila pelanggan membuka parcel tersebut, barulah mereka menyedari barang tersebut, indah khabar daripada rupa. Ketika saat inilah kita akan rasa tertipu. Malangnya, bayaran sudah pun dilunaskan kepada rider syarikat. 

Buat pesanan mesin pemotong rumput canggih, dapat mesin rumput tak cukup sifat. Pesan 'laptop touch screen' tetapi hanya dapat plastik 'game demo set' yang hanya untuk paparan (display).

Apabila pelanggan mengadu kepada pihak penghantar barang, mereka pun tak dapat buat apa sebab dah klik Successful Delivered.

Setelah menyedari hakikat sebenar, ia sudah terlambat untuk mendapatkan semula wang yang telah dibayar. Ramai yang tertipu dengan penipuan scammer dalam talian yang licik ini. Jika mangsa menulis komen di ruangan berkenaan, dengan cepat komen pasal penipuan tersebut akan dipadam. Admin juga akan 'disable page' pada hari itu juga.

Penipuan ini akan terus berlaku jika kita tidak berhati-hati. Mereka akan membuat beribu page lagi dan menggunakan iklan di FB untuk mencari mangsa. Mereka langsung tidak memberikan contact number' atau emel untuk kita hubungi. Ia seolah syarikat yang misteri Hanya ada emel daripada company DPE Logistic iaitu 'company delivery' dari China.

Jadi sampai kita bila pun kita takkan tahu siapa, di mana dan berapa ramai sudah menjadi mangsa mereka. Jadi berhati-hatilah dengan modus operandi scammer licik COD ini.

Monday, June 14, 2021

DRON TEMPUR BUATAN TURKI MEMBUKTIKAN KEHEBATANNYA

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.


Dalam perang Azerbaijan menentang pencerobohan Armenia di Eropah Timur dua tahun lalu, dron tempur buatan Turki membuktikan kemampuan operasi tentera Azerbaijan mempertahankan wilayah Nagorno-Karabakh. Dalam satu temubual bersama media, presiden Azerbaijan mendedahkan penggunaan dron buatan Istanbul telah berjaya memusnahkan aset ketenteraan Armenia yang menyebabkannya mengaku kalah. Ia sekaligus membuktikan produk ketenteraan Turki menjadi satu daripada faktor kejayaan Azerbaijan. 

Dron tanpa pemandu Turki dihasilkan melalui sebuah syarikat tempatan yang membekalkan peralatan ketenteraan kepada pasukan tentera Turki. Hal ini berpunca daripada pentadbiran Amerika Syarikat ketika itu yang dipimpin oleh Donald Trump, menghalang eksport peralatan dron tempur kepada Turki. Inilah faktor Turki membangunkan sendiri teknologi pesawat tanpa pemandunya, UAV sekaligus memberikan banyak kelebihan untuk Turki dalam jangka pendek dan jangka panjang.

Pakar penerbangan ruang angkasa, Arda Mevlütoğlu, menyatakan bahawa Turki dengan mudah memenuhi jurang yang mungkin terjadi antara dirinya dan negara-negara jiran dengan penggunaan peperangan elektronik (EW) yang berkesan, jarak jauh sistem senjata berpandukan ketepatan dan drone maju yang dihasilkan oleh industri pertahanan tempatan tanpa bergantung kepada teknologi luar.

Dengan teknologi sedia ada, Tentera Udara Turki mempunyai aspirasi untuk memanfaatkan potensi penuh dari semua jenis kenderaan udara tanpa pemandu, sistem EW dan sistem senjata berpandukan ketepatan, satu yang "dapat menghubungkan semua sistem ini untuk saling berkomunikasi."

Tentera udara Turki memiliki lebih 240 buah pesawat pejuang F-16C / Ds dan sekitar 30 buah pesawat F-4E yang semakin dimamah usia. Hasrat Turki sebelum ini untuk memiliki pesawat canggih F-35 buatan AS ditolak atas pelbagai alasan tidak masuk akal. Pun begitu kita tahu bahawa AS menjaga kepentingan Israel yang merupakan sekutu kuatnya. 

Turki wajar berasa bimbang terhadap Israel, sebuah negara haram yang menerima bekalan pesawat F-35 buatan Amerika. Negara haram tersebut juga memiliki armada besar pejuang F-16 dan F-15 berkat hubungan khasnya dengan Amerika Syarikat, dan melengkapkan semua pesawat tempur dengan senjata asli dan sistem perang elektronik. 

Ketika berlaku perang akhir Ramadhan antara Palestin dan Israel, Presiden Turki, Reccep Tayip Erdogan menempelak peranan AS dan sekutunya yang membiarkan keganasan Israel terhadap rakyat Palestin. Turki juga menjadi antara kuasa negara Islam yang semakin disegani, berbanding Arab Saudi yang dikenali sekutu kuat AS.  

Hari ini, Turki membuktikan ia menguasai kemajuan teknologi UAV dan industri pertahanan tempatan untuk memenuhi keperluan pertahanan yang semakin diyakini oleh negara lain.

Angkatan Bersenjata Turki (TSK) dan angkatan udaranya memiliki pengalaman yang sangat luas dalam melakukan berbagai jenis operasi, baik nasional mahupun multi-nasional, di wilayah geografi yang besar dan melangkaui sempadan kebiasaan.

Baykar dan Turkish Aerospace Industries (TAI), antara syarikat perintis industri pertahanan tempatan, banyak melabur dalam teknologi UAV dan kini mula menjual produk mereka ke negara luar dengan harga yang jauh lebih murah daripada dron ciptaan AS tetapi dengan kualiti yang setanding.

Bayraktar TB2 (Tactical Block 2) kenderaan udara tanpa pemandu (UCAV) yang dikembangkan oleh Baykar pada mulanya digunakan dalam operasi yang bertujuan untuk menghapuskan pemberontak Kurdis.

Pasukan penjajah Armenia dalam konflik Nagorno-Karabakh baru-baru ini gagal menyaingi UCAV Turki, sehingga memusnahkan kenderaan berperisai musuh dan sistem pertahanan udara Armenia.

Kesimpulannya, Turki telah memperoleh pengalaman luar biasa dalam membekalkan peralatan ketenteraan. Dron tempur buatan Turki mencipta nama dan mencabar kepercayaan bahawa hanya AS mampu menghasilkan produk ketenteraan terbaik. Tidak mustahil Malaysia juga mampu menghasilkan produk hebat dalam pertahanan udara seperti yang dilakukan oleh Turki.


MENJALA TALAPIA

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini. Agak lama juga saya tidak menjala ik...