Saturday, August 31, 2019

SEBAYU YANG MENGGAMIT KENANGAN

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.


Pada Jumaat 30 Ogos 2019, saya berkesempatan hadir pada majlis persaraan guru SMK Sungai Bayor, Selama atau SEBAYU. 
Ini adalah 'kepulangan' saya yang pertama selepas meninggalkan sekolah ini pada September 2018. 

Terima kasih atas layanan baik warga SEBAYU semasa saya ke sana. Daripada pengawal keselamatan, guru, pentadbir dan murid, masih ada yang ingat dan dapatlah saya hilangkan rindu sejak meninggalkan sekolah yang banyak mengajar saya ilmu pentadbiran. 

Terima kasih penganjur program yang jemput saya. Saya memang menanti majlis seperti ini kerana bukan mudah untuk hadir ke sini, apatah lagi ia majlis yang istimewa buat cikgu Anwar Ridzi bin Abdul Samad, penolong kanan pentadbiran dan puan Noridah bt Arshad, Pembantu Tadbir yang baik budi.
Pekan Selama yang tenang dan damai

En. Hadi, pengawal keselamatan masih mengingati saya

Pengetua AB Rahman, dan YDP PIBG menyambut kedatangan tetamu

Cikgu Anwar ditemani isterinya puan Ku Hafidzoh


Masih ada pelajar SEBAYU ingat kepada saya 😁

Saya dan Haji Malik bersama guru SEBAYU

Bersama cikgu Aslam  dan pelajar 5K2  yang pernah saya ajar

Anak anak SEBAYU bakal pemimpin masa hadapan

Pasukan KASPA  yang berdisiplin tinggi



Haji Rais, yang baik budi

Cikgu  Badariah, sepupu saya dan suami, cikgu Joe


Insyaallah moga Allah merahmati ukhuwah kita. Buat Hajah Hafsah,h Razali dan Hajah Zaaiyah yang bakal menamatkan perkhidmatan tidak lama lagi, didoakan terus menabur bakti untuk berkhidmat selagi ada ruang masa. 

Buat Kak Dah dan cikgu Anwar, semoga Allah berikan kesihatan yang baik dan gunakan masa untuk menambah ilmu dunia akhirat. 
Insyaallah moga ada peluang saya ke SEBAYU lagi

Sunday, August 25, 2019

SMKBS DIANUGERAHKAN PKS 4 BINTANG

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Alhamdulillah syukur, 

SMK Batu Sepuluh Lekir menerima anugerah 4 Bintang Pelancongan Koperasi Sekolah peringkat kebangsaan yang diadakan di Kampar malam ini. Para tetamu turut disajikan makan malam dan persembahan pelajar orang asli daripada SMK Cenderiang.

Tahniah dan syabas, buat guru Koperasi Sekolah, khususnya Rossuriawani Abdul Kadir dan Liezza Rashed yang tidak mengenal penat menjayakan program ini. 

Semoga kerja baik anda mendapat pahala yang berpanjangan.


Thursday, August 22, 2019

DOA YANG BAIK BAIK UNTUK PEMBENCI ZAKIR NAIK

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Apabila Nabi menerima tentangan kuat kaum kafir Quraisy di Mekah, baginda menadah tangan memohon kepada Allah, agar terbuka hati dua 'musuhnya', iaitu Umar AlKhattab, dan Abu Jahal.

 Apabila baginda dihina dan dibaling batu ketika di Taif sehingga Allah menurunkan dua malaikat untuk meranapkan kota tersebut, baginda menadah tangan mohon dibuka hati mereka yang memusuhinya untuk memeluk Islam.

Allah sebaik baik perancang, diberikan hidayah kepada Umar AlKhattab, sehingga menjadi pembela Islam, walaupun asalnya adalah penentang agama Allah. Begitu juga kisah Khalid AlWalid, dan beberapa orang lagi nama nama hebat dalam sejarah Islam.

Sudah banyak kisah musuh Islam yang akhirnya menerima hidayah Allah yang kita baca. Ia bukan mustahil, kerana Allah berkuasa atas segalanya.

Angkatlah tangan, berdoalah seikhlas hati dan bersungguh sungguh,

"Ya Allah, Pemilik Sekalian Alam, yang membolakbalikkan hati makhluk ciptaanMu, berikan hidayah kepada pembenci agamaMu di Malaysia, kepada pembenci DZN, bukakan pintu hati mereka melihat kebenaran agamaMu.

Jika bukan mereka, berikan hidayah kepada anak anak,cucu dan keturunan mereka menjadi pencinta agamaMu.

Maqbulkanlah doa kami Ya Allah."
Amin ya rabbal 'alamin

Tuesday, August 20, 2019

RIWAYAT NAFAS AKHIR UTUSAN MELAYU?

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Minggu ini, negara dikejutkan dengan berita Utusan Melayu (Malaysia) Bhd berdepan kemungkinan dinyahsenarai daripada Bursa Malaysia berikutan berdepan masalah kewangan ditambah dengan kegagalan untuk mencari pelabur bagi menyelamatkannya.

Syarikat akhbar berbahasa Melayu yang tertua di negara ini ditubuhkan pada 1939 dengan nama Utusan Melayu dengan penerbitan pertamanya dalam tulisan Jawi. Ia telah beroperasi sejak 80 tahun lalu, dan tentu memberikan kesan emosi kepada masyarakat, khususnya orang Melayu.


Pada 30 Jun, 2019 ia mengalami kerugian terkumpul sebanyak RM261.61 juta. Ini bukan jumlah yang sedikit. Pada zaman pemerintahan BN, UMNO yang memiliki saham terbanyak akhbar ini masih boleh memberikannya talian hayat. Namun, situasi hari ini tidak memihak kepada Utusan. UMNO yang selama ini melindunginya, sudah menjadi pembangkang. Pendek kata, tanpa kuasa di tangan, UMNO tidak mampu mengubah nasib Utusan.  


Dalam maklum balas kepada Bursa Malaysia hari ini, syarikat itu dipetik sebagai berkata prestasi segmen penerbitan, pengedaran dan pengiklanan semasanya telah merosot dan ahli lembaga tidak pasti bahawa kumpulan akan dapat kembali pulih pada akhir tahun kewangan 2019.


Disebabkan keputusan yang merosot, syarikat tersebut mengalami kekangan aliran tunai dan berusaha menangani isu itu dengan penjualan harta tanahnya.


Namun begitu, kemajuan penjualan itu terjejas teruk oleh sentimen pasaran perlahan, sekatan dan syarat pihak berkuasa relevan menyebabkannya gagal menyelesaikan isu aliran tunai dengan kadar segera. Adalah mustahil untuk lembaga pengarah meyakinkan pelabur berpotensi menyelamatkan perniagaan akhbar itu, kerana pihak berpotensi yang dikenal pasti enggan mengambil risiko disebabkan liabiliti besar syarikat.


Sejarah Utusan bermula di Queen Street, Singapura. Ia ditubuhkan oleh tokoh nasionalis Melayu Yusof Ishak, yang kemudian menjadi presiden pertama Singapura.


Ia kemudian memindahkan ibu pejabatnya ke ibu negara Malaysia, Kuala Lumpur selepas merdeka pada 1958. Ketika konflik Malayan Union tahun 1946, Utusan Melayu memainkan peranan besar menaikkan semangat orang Melayu menentang gagasan tersebut.  Pada tahun 50-an, peristiwa Natrah, gadis Belanda yang menjadi anak angkat orang Melayu, mencetuskan konflik kaum yang buruk di Singapura, juga diberikan liputan meluas oleh akhbar ini. 

Hari ini, nasib Utusan Melayu, tidak ubah seperti tulisan Jawi yang ditolak oleh sebilangan rakyat negara ini. Barangkali, tidak sukar untuk kita memahami jatuh bangun akhbar ini dalam tempoh 80 tahun, akhirnya melambangkan jati diri bangsa Melayu itu sendiri. 

Monday, August 19, 2019

RASUAH PENJAWAT AWAM UNIT PEROLEHAN MEMBIMBANGKAN

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Menurut Ketua Pengarah SPRM, separuh daripada kes rasuah di negara ini membabitkan penjawat awam dan golongan muda berumur 40 tahun ke bawah. 
Latheefa Koya dipetik Berita Harian sebagai berkata berkata, statistik SPRM menunjukkan sebanyak 46.3 peratus daripada 4,860 individu yang ditahan dari 2014 hingga Jun tahun ini, adalah kakitangan awam.
“Manakala 53.4 peratus daripada 4,860 individu yang ditahan SPRM bagi tempoh sama adalah golongan muda yang berusia 40 tahun ke bawah
“Kebanyakan kesalahan rasuah yang berlaku pula membabitkan kakitangan dalam sektor perolehan. Sudah pasti perkara ini amat membimbangkan kita,” katanya.
Beliau berucap pada Majlis Melafazkan dan Menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR) EXCO Kerajaan Selangor di di Dewan Jubli Perak Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di sini.
Mengulas lanjut, Latheefa berkata, kajian yang dijalankan SPRM juga mendapati sebanyak 22.1 peratus responden penjawat awam mengakui sanggup menerima rasuah.
“Penjawat awam mengaku mereka sanggup terima rasuah jika mempunyai kuasa atau kedudukan. Saya sekali lagi tegaskan ia sesuatu yang amat membimbangkan kita.
“Perkara ini perlu segera diperbetulkan. Ia menuntut komitmen semua pihak untuk bersama-sama dengan SPRM memerangi perkara ini,” katanya.
Perkara ini memang sepatutnya jadi kebimbangan kepada masyarakat, kerana rasuah boleh mengakibatkan kesan jangka panjang yang amat buruk. Ingatlah, setiap punca rezeki kita akan menjadi darah daging kepada anak isteri. Jika ia berpunca daripada rasuah, maka hilang keberkatan dan jauh daripada rahmat Allah. 

Wednesday, August 14, 2019

KEANGKUHAN BOLEH MEROSAKKAN NEGARA

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Keangkuhan Koon Yew Yin Melambangkan sikap chauvinism

Keangkuhan dan kesombongan seorang manusia bernama Koon Yew Yin tidak dapat digambarkan dalam kehidupan bernegara di Malaysia. Seorang yang kaya raya bermula sebagai Jurutera di PWD (JKR), kemudian membina empayar peniagaan sebagai pemain saham yang aktif, dan pemilik sektor hartanah dan lain-lain, kesemuanya bermula di atas tanah yang dipanggil negara Persekutuan Tanah Melayu ( Federated of Malay States) dan kemudian dikenali sebagai Malaysia.

Orang inilah kini menganggap bangsa Melayu yang berada dalam sektor perkhidmatan awam, tentera dan guru sebagai golongan yang dipenuhi oleh mereka bermutu rendah (mediocre) dan tidak ada kelas untuk mentadbir sebuah negara dan negeri.

Di Perak beliau mencipta pelbagai kontroversi dengan memandang rendah kerajaan yang dipimpin oleh UMNO. Beliau secara terang-terangan membantu dari sumber kewangannya yang berlimpah kepada pihak DAP dan PH untuk menjatuhkan kerajaan yang dipimpin oleh UMNO/BN.

Beliau dilantik oleh kerajaan PH Perak sebagai penasihat Ekonomi selepas PRU 14. Tetapi oleh kerana sentiasa memikirkan bahawa dirinya sahaja yang terbaik jawatan beliau ditarik balik. Namun beliau tidak berpuas hati dan cuba mengaitkannya dengan istana, serta membuat tuduhan terhadap almarhum Sultan Azlan bahawa perlu membayar kepada istana untuk mendapat anugerah pingat.

DAP sentiasa menyanjung beliau sebagai pejuang tegar bersama mereka yang mahu menukar pemerintahan kerajaan BN. Dalam posting FB nya 25 Jun 2018, beliau begitu kecewa Nga tidak dilantik sebagai Menteri. Begitu juga pada 2 Julai, 2018, beliau mempertahankan tindakan Guan Eng mengeluarkan kenyataan dalam Bahasa Mandarin.

Malah beliau turut seolah-olah memperkecilkan kebolehannya bertutur dalam Bahasa Melayu. Ketika bekerja sebagai Jurutera di PWD (JKR) dalam tahun 1960 beliau disuruh belajar Melayu dan mendapati terlalu sukar untuk menterjemah “Fire,fire, call the fire brigade” dan sukar untuk menterjemah ke bahasa Melayu, dengan menterjemahkannya “api, api, panggil api kereta”.

Beliau pernah menganggap negeri Perak sebagai negeri kedua termiskin kerana dipimpin oleh pemimpin-pemimpin UMNO/BN. Meskipun Khazanah Research menafikan analisis tersebut, beliau tidak pedulikannya kerana matlamatnya untuk melihat pertukaran kerajaan, dan kebenciannya yang menebal. Beliau bersama dengan gerakan DAP Perak sepanjang sebelum PRU 14 menyebarkan segala keburukan ini.

Ia mencetuskan sikap sombong tahap tinggi yang begitu angkuh dengan kedudukan kuasa dan kekayaan. Inilah refleksi sikap tinggi diri (superiority complex) yang ada dalam dirinya dengan memandang bahawa dia dan kumpulannya lebih hebat daripada kumpulan dan bangsa lain yang berada tanahair ini.

Ia menggambarkan bagaimana suatu bangsa yang menganggap keagungan budaya (cultural supremacy) nya dengan memandang budaya kehidupan bangsa lain hina dan rendah. Kononnya mereka lebih rajin, manaka Melayu adalah pemalas, mereka lebih bijak, manakala Melayu adalah dungu, mereka lebih berkeusahawanan, manakala Melayu hanya menadah bantuan.

Inilah yang dicanangkan sekian lama seperti yang disebut dalam The Myth of the Lazy Natives, oleh Prof Syed Hussien al-Attas, bagaimana minda terjajah dimainkan oleh penjajah terhadap pribumi Melayu dan Jawa. Oleh kerana Melayu tidak mahu berada dalam gengaman kapitalisme penjajah, maka dibiarkan Melayu bekerja sebagai nelayan dan petani. Kemudian dibiarkan Melayu tinggal di kampung-kampung sambil menyebut mereka malas.

Koon Yew Yin begitu berani ke hadapan dengan merobekkan lagi imej orang Melayu kerana selama ini keceluparannya tidak dipedulikan oleh sesiapa. Dia merasakan dalam dunia Malaysia Baru ini, dia lebih bebas untuk berkata apa-apa sahaja terhadap kakitangan awam, tentera dan guru yang majoritinya terdiri dari kalangan Melayu /Bumiputra. Maklumlah antara penerima bantuan kewangan darinya adalah Parti Bersatu Perak sendiri dengan disaksikan oleh Tun M, TS Muhyiddin dan Mukhriz.

Pada 24 Julai, 2019, beliau sekali lagi menghina graduan-graduan Universiti Awam kita sebagai “ low-grade”( kelas bawah).  Daripada 20 buah universiti awam, hanya 6 saja yang ada “ranking” dan 14 lagi dianggap gagal. Dengan majoriti bilangannya adalah orang Melayu hasil kepada graduan kelas-bawah  ini memberi kesan kepada pembangunan negara.

Beliau menghina golongan penjawat awam yang dengan berani katanya tiada meritokrasi. Ketika beliau menulis tentang kenapa Malaysia  masih tidak mencapai status negara maju dengan sombongnya dia menyebut “almost all Malaysian civil servants are Malays. What can we expect when Malaysia is managed by thousands of low-grade graduates? ( hampir semua kakitangan awam adalah orang Melayu. Apa yang boleh anda harapkan bila Malaysia ditadbir oleh ribuan graduan kelas-bawah?)

Beliau menghina angkatan tentera Malaysia yang dilihatnya hanya makan minum sahaja dan tak pernah melepaskan peluru di medan perang dan selayaknya mereka dihantar bekerja di sektor perladangan Felda.

Sungguh biadab menghina anggota tentera hingga ke tahap itu. Apakah beliau ingin melihat negara ini berada dalam kekacauan dan peperangan bagi menjustifikasikan kedudukan ketenteraan kita. Apakah beliau akan tinggal dalam negara Malaysia ketika suasana itu berlaku. Apakah beliau akan boleh bermain saham dan mengaut jutaan ringgit bila mahukan anggota kita berada dalam suasana peperangan?

Langsung tidak ada perasaan hormat kepada peranan anggota tentera. Peranan anggota tentera adalah untuk menjaga keamanan negara. Dan sentiasa bersiap sedia menghadapi segala kemungkinan, termasuk bersiap untuk melepaskan peluru kepada musuh.

Apa yang terbit dari tulisan dan luahan Koon Yew Yin adalah gambaran mental golongan seperti beliau yang sentiasa memandang rendah terhadap orang lain.
Selepas ini mungkin dengan mudah beliau akan memohon maaf kepada rakyat Malaysia, kakitangan awam dan tentera. Itulah jalan mudahnya. Tetapi bagi sesiapa yang mengikuti tulisan beliau, akan dapat membuat kesimpulan tentang proses kebencian yang dibina dan tersemat sekian lama dalam jiwanya.

Dr Zambry Abd Kadir
14 Ogos 2019

Tuesday, August 6, 2019

POLEMIK TULISAN JAWI DAN KHAT HARUS DIHENTIKAN

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Apabila Kementerian Pendidikan Malaysia membuat keputusan memperkenalkan tulisan jawi kepada murid Tahun 4 sekolah rendah, ia menimbulkan pelbagai polemik dalam kalangan ahli politik dan masyarakat. Ada yang bersetuju, ada yang membantah, dan tidak kurang juga mereka yang bersikap 'tunggu dan lihat' terhadap perkembangan isu ini.

Tulisan jawi adalah kombinasi huruf Arab yang telah digunakan sejak kedatangan Islam di Nusantara pada abad ke-9 Masehi. Tulisan ini digunakan secara meluas oleh orang Melayu Nusantara dalam pelbagai bidang penulisan dan kesenian.

Seni tulisan khat pula lebih popular dijadikan sebagai hiasan di dinding rumah, pejabat, sekolah ataupun kedai. Ia boleh dihasilkan dalam pelbagai motif, mengikut corak dan jalinan elemen yang pelbagai.

Melihat kepada tulisan jawi dan khat yang semakin terpinggir dan dipinggirkan, pengumuman Kementerian Pendidikan bahawa tulisan jawi akan digunakan dalam buku teks di semua sekolah termasuk SJK Cina dan SJK Tamil tepat pada masanya.

Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching berkata, keputusan itu turut membabitkan pelaksanaan seni khat ke dalam buku teks murid Tahun Empat menjelang tahun hadapan.

Menurut KPM, tulisan khat merupakan warisan bahasa Melayu yang penting untuk dipelajari, sejajar dengan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa perpaduan.

Bagaimanapun, keputusan itu mendapat bantahan dua pertubuhan Cina iaitu Dong Zong dan Jiao Zong, dengan alasan ia cubaan halus pihak kerajaan menarik minat generasi muda bukan Islam kepada agama tersebut.

Bantahan turut disertai oleh seramai 138 pemimpin akar umbi DAP termasuk 13 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) parti itu, malah dilaporkan mereka bertekad mahu mengadakan perhimpunan membantah tindakan Kementerian Pendidikan itu.

Dalam hal ini, mereka yang membantah seharusnya lebih terbuka kerana tulisan jawi dan khat tidak ada kena-mengena dengan agama.

Sasterawan dan pejuang bahasa berketurunan Cina, Dr Lim Swee Tin sendiri tidak melihat sebarang masalah untuk memperkenalkan tulisan khat dan jawi dalam buku teks sekolah.

Saya bersetuju dengan ketegasan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malek untuk mempertahankan pengajaran khat jawi dalam mata pelajaran Bahasa Melayu.

Dr Mahathir berkata, kerajaan selama ini tidak pernah menghalang kaum lain untuk mengamalkan penulisan bahasa ibunda masing-masing, yang menjadikan Malaysia istimewa, sekaligus isu ini tidak perlu dipolitikkan lagi.

Pada era kerajaan Pakatan Harapan, orang Melayu juga perlu bersikap terbuka jika KPM memperkenalkan tulisan Cina dan India dalam subjek bahasa tambahan di semua sekolah.

MENJALA TALAPIA

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini. Agak lama juga saya tidak menjala ik...