Monday, March 30, 2020

BAS SEKOLAH

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.


Pengangkutan awam merupakan aspek penting dalam kehidupan, terutama bagi mereka yang memerlukannya pada setiap hari. Antara golongan yang sangat memerlukannya adalah pelajar sekolah dan pekerja.

     Bas sekolah sinonim dengan zaman persekolahan saya. Masih segar dalam ingatan, bas Sitiawan Transport Company (STC) berwarna hijau mengangkut murid sekolah dahulu. Selain itu, ada individu seperti Gopal dan Karan, yang menyediakan perkhidmatan bas menghantar murid ke sekolah sekitar daerah Manjung.

    Semasa di SK Teluk Muroh (kini SK Datuk Ishak, Lumut), saya dan rakan sekolah berulang alik menaiki bas STC. Kami menunggu seawal jam 6 pagi untuk ke sekolah. Mak akan mengejutkan saya dan Yong sekitar jam 5 pagi, supaya dapat bersiap awal dan tidak ketinggalan bas. 

    Ketika itu, perkhidmatan bas awam menjadi lumrah dan perkara wajib untuk bergerak ke luar daripada kampung. Masyarakat kurang pilihan kerana jumlah pemilikan kenderaan sendiri agak terhad. Kereta hanya untuk orang yang berada. Memiliki motor sudah dikira hebat pada tahun 70-an hingga awal 80-an. Ayah membeli motorsikal pertama pada 1977, dan itulah yang menjadi kenderaan utama berulang alik kerja mencari rezeki menyara kami sekeluarga. Sebelum itu, ayah hanya mengayuh basikal ke Lumut dengan jarak 15 km sehala. Berbasikal adalah pemandangan biasa di jalan raya waktu itu.

    Apabila kereta pertama Proton Saga dikeluarkan oleh kerajaan pada 1985, persepsi rakyat terhadap pengangkutan awam semakin berubah. Ramai rakyat mula memilih untuk mempunyai kenderaan sendiri, lantaran kemampuan ekonomi yang semakin baik. 


 Namun saya masih berulang alik ke SMKAB dengan bas STC, kadangkala menaiki bas Karan. Jika naik bas STC, terminal utamanya tentulah stesen bas Sitiawan, berdekatan Wisma Ganda. Saya pernah berbasikal ke sekolah semasa di tingkatan 4, dan ia pengalaman yang sangat berharga. Disebabkan itulah, ayah berusaha tempatkan saya di asrama bagi memudahkan saya fokus pada SPM pada 1988. 

     Pada 1980-an, stesen STC menjadi pusat hentian penting kepada masyarakat. Platform terbuka, dengan kerusi disediakan di kawasan menunggu. Ada radiogram yang sering memainkan lagu lagu rock dan balada pilihan pengguna, dengan syarat pengguna perlu masukkan duit syiling untuk mendengar lagu yang dipilih. Ketika itu, stesen bas tersebut menjadi pusat anak muda dan remaja berkumpul, terutama pelajar sekolah daripada SMKAB, SMK Tok Perdana, SMK Methodist ACS dan seumpamanya. 

    Menjelang akhir 90-an, peranan stesen bas STC semakin ditelan kemajuan. Akibat kos operasi bas yang semakin meningkat, akhirnya legasi STC berakhir juga. Tapak stesen bas itu sudah dibangunkan sebagai pusat komersil menempatkan hotel dan rumah kedai. Hanya kenangan terpahat dalam minda kami yang pernah menggunakan perkhidmatannya.

     Apabila sistem pemilikan kenderaan persendirian berkembang pesat, pengangkutan awam tidak lagi menjadi pilihan utama. Perkhidmatan bas awam semakin kurang permintaan. Malahan hari ini, sukar melihat anak anak ke sekolah dengan basikal atau bas. Sebaliknya ramai yang disediakan motorsikal oleh ibu bapa walaupun tidak berlesen. 


Bas sekolah pula semakin kurang permintaan kerana kemampuan keluarga menghantar sendiri anak anak ke sekolah semakin bertambah.   

 

Friday, March 27, 2020

PERINTAH KAWALAN PERGERAKAN (CMO) DI MALAYSIA

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Apabila China dilanda wabak Koronavirus, yang kemudiannya dikenali sebagai Covid-19, seluruh dunia terkejut. China kemudiannya telah membuat tindakan kawalan pergerakan yang ketat. Dalam masa yang sama, beberapa buah negara termasuk Malaysia, tidak begitu menekankan soal keselamatan apabila ribuan pelancong China masih dibenarkan masuk tanpa kawalan yang ketat.

Pada 17 Mac 2020, kerajaan Malaysia yang diterajui oleh Perdana Menteri ke-8, Tan Seri Datuk Seri Muhyidin Yassin telah mengambil tindakan tegas mengetatkan kawalan buat pertama kali dalam sejarah negara selepas zaman darurat.

Ini berikutan wabak Covid-19 telah semakin merebak, bermula dengan jangkitan melalui jemaah tabligh yang berhimpun di Masjid Seri Petaling akhir Februari 2020. Majlis Fatwa Kebangsaan dengan persetujuan raja-raja Melayu memutuskan semua masjid dan surau ditutup daripada aktiviti solat jemaah, solat Jumaat dan kuliah agama. Kerajaan juga memutuskan cuti persekolahan dilanjutkan kepada 31 Mac 2020. Semua pejabat kerajaan, premis swasta dan institusi pengajian tinggi telah diarahkan tutup buat sementara waktu.

Saya dan keluarga pada waktu itu masih berada di Batu Rakit, menziarahi mertua yang uzur. Namun kami putuskan untuk pulang ke Perak pada Sabtu 21 Mac sehari sebelum PDRM dan ATM menguatkuasakan larangan pergerakan. 


Perutusan Khas Perdana Menteri berhubung isu Covid-19 pada 16/3/2020 menetapkan kawalan sehingga 31 Mac 2020 di seluruh negara. (akan dilanjutkan jika keadaan masih belum terkawal). Larangan termasuklah menyuraikan pergerakan dan perhimpunan ramai di seluruh negara termasuk aktiviti keagamaan, sukan, sosial dan kebudayaan. Hanya pasaraya, pasar awam, kedai runcit dan kedai serbaneka yang menjual barang keperluan harian dibuka dengan SOP yang ketat. 

Rakyat Malaysia tidak dibenarkan ke luar negara dan pelancong dihadkan ke negara ini. Bagi yang baru pulang dari luar negara perlu menjalani pemeriksaan kesihatan dan kuarantin secara sukarela selama 14 hari. Semua rakyat perlu akur untuk diam di rumah masing masing sepanjang tempoh tersebut. Semua taska, sekolah harian, sekolah antarabangsa dan institusi pendidikan tinggi ditutup serta merta.

Keadaan ini tentulah suatu pengalaman baharu buat rakyat, apatah lagi ia tidak pernah dibuat pasca darurat dan merdeka. Pada awalnya pihak polis mengalami kesukaran memberi kefahaman kepada rakyat, namun menjelang akhir minggu pertama pelaksanaan, rakyat menerima hakikat kawalan ini perlu bagi memutuskan rangkaian penularan wabak tersebut. 

Kita perlu belajar daripada negara lain yang telah menghadapi kesan penularan wabak ini. Sehingga berita ini ditulis, China berjaya mengawalnya, manakala Itali paling teruk terjejas di Eropah. Kematian rakyat Itali akibat wabak Covid-19 mencecah 5000 orang, melebihi kadar kematian di China. Antara negara Eropah lain yang terjejas terus termasuklah Sepanyol, Jerman, United Kingdom dan seumpamanya.

Setakat hari ini, jumlah kematian di Malaysia akibat wabak ini mencecah angka 24 orang dengan kes melebihi 1100. Namun negara Asia Tenggara yang lain seperti Indonesia, Filipina, Singapura dan Thailand turut bergelut dengan situasi yang sukar diramalkan.

Kepada Allah kita memohon, agar dipermudahkan urusan kerajaan dan barian hadapan Kementerian Kesihatan, ATM dan PDRM mengawal jangkitan wabak ini.
  


Tuesday, March 17, 2020

ARAHAN KAWALAN PERGERAKAN MENANGANI COVID-19

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Antara intipati Perutusan Khas Perdana Menteri berhubung isu Covid-19 pada 16/3/2020:

1. Perintah kawalan pergerakan mulai 18 Mac 2020 hingga 31 Mac 2020 di seluruh negara.

2. Perintah kawalan dibawah Akta  Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 & Akta Polis 1967.

2. Larangan menyuruh pergerakan dan perhimpunan ramai diseluruh negara termasuk aktiviti keagamaan, sukan, sosial dan kebudayaan. 

3. Semua rumah ibadah dan premis perniagaan mestilah ditutup kecuali pasaraya, pasar awam, kedai runcit dan kedai serbaneka yang menjual barang keperluan harian. 

4. Sekatan menyeluruh semua perjalanan rakyat Malaysia ke luar negara dan pelancong ke negara ini. Bagi yang baru pulang dari luar negara perlu menjalani pemeriksaan kesihatan dan kuarantin secara sukarela selama 14 hari.

5. Penutupan semua taska, sekolah harian, sekolah antarabangsa dan lain2 institusi pendidikan lain.

6. Penutupan IPTA Dan IPTS seluruh negara. 

7. Penutupan semua premis awam dan swasta kecuali air, tenaga, pos, KESELAMATAN, KEBERSIHAN (termasuk jaga dan pekerja swasta bekerja seperti biasa)

Sepanjang tempoh berkenaan, hadkan pergerakan, elakkan menghadiri perjumpaan melibatkan ramai orang,  bersalaman atau sentuhan langsung dengan individu yang ada masalah kesihatan (seperti demam). 

Terima kasih.

Sunday, March 8, 2020

PENGUMUMAN KEPUTUSAN SPM 2019

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Pada Khamis 5 Mac 2020. keputusan SPM 2019 telah diumumkan secara rasmi di semua sekolah menengah di seluruh Malaysia. Selain pelajar yang terlibat, guru guru juga berdebar debar menanti keputusan yang bakal diperoleh.

     Pelajar tentunya teruja menanti keputusan selepas penat berusaha, dan berharap keputusan berkenaan dapat membantu mereka menyambung pengajian di peringkat yang diinginkan. Manakala guru pula tertanya tanya adakah usaha dan program yang dibuat berjaya mencapai sasaran yang ditetapkan.

         Pada hari berkenaan, saya masih bercuti sakit akibat kecederaan ligamen pada buku lali kaki kiri. Namun saya gagahkan juga ke pejabat untuk bersama-sama warga pendidik SMKBS merasai debaran peristiwa tersebut.

     Secara keseluruhan,  keputusan SPM 2019 memberikan harapan kepada kami untuk terus berusaha. Kami berjaya mengecilkan Gred Purata Sekolah daripada 4.88 kepada 4.86. Peratus pelajar yang layak dapat sijil juga meningkat 0.13% kepada 91.16%. Tiada pelajar yang mendapat semua A, namun kejutan tentunya daripada Ahmad Fahim Ahmad, pelajar terbaik yang mendapat 8A1B+, kerana awalnya Fahim bukan termasuk dalam senarai harapan cemerlang.   

     Aqil Najmi, putera ke-4 saya juga tidak mengecewakan, apabila berjaya mendapat keputusan yang baik di SMKASAS, Bota. Malah sekolah tersebut mendapat GPS 1.89, iaitu yang terbaik pernah di peroleh. Ini tentu menggembirakan sahabat saya, Haji Lotpi Mohd Razali yang mentadbir sekolah tersebut sejak 2015.

    Secara peribadi, saya bersyukur dengan keputusan SPM kali ini. Bagi sebuah sekolah harian luar bandar, dengan murid yang pelbagai, pengurangan GPS dan peningkatan peratus lulus walaupun kecil, adalah satu kejayaan. Kami dapat menyumbang kepada kejayaan SPM daerah Manjung.
          Saya bertuah kerana dikelilingi guru dan murid yang hebat. Terima kasih kepada warga pendidik SMKBS Lekir yang bertungkus lumus memastikan calon sekolah berjaya.

       Tahniah kepada pelajar yang berjaya dalam SPM, tidak kira berapa A yang anda perolehi. Jalan di hadapan anda kini terbentang luas.

Teruskan melangkah menempuh cabaran. Pilihan di tangan anda, ibarat kata pepatah, perahu sudah di air, dayung sudah di tangan. Tepuk dada, tanya diri sendiri, ke mana anda selepas ini.

DAMAILAH IJAN, WIRA NEGARA

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini. Keranda jenazah Ijan dibawa ke masji...