Sunday, November 24, 2019

MEMBAYAR HUTANG ITU WAJIB

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Pernahkah  anda hadapi kesukaran menuntut hutang? Tidak membayar hutang, adalah dosa besar bagi orang yang sengaja. Seseorang yang suka melewat-lewatkan bayaran hutang setelah berkemampuan untuk membayarnya, boleh mendatangkan kesan buruk dalam hidupnya bukan sahaja di dunia bahkan di akhirat antaranya :
  1. Hidup akan ditimpa kehinaan dan hilang maruahnya.
  2. Hidup mereka tidak akan mendapat keredhaan dan keberkatan Allah.
  3. Perbuatan mereka itu digolongkan dalam perbuatan zalim.
  4. Amalan kebajikan mereka tidak akan diterima.
Sabda Rasulullah SAW:
“Penangguhan hutang oleh orang yang berkuasa membayarnya, adalah satu kezaliman, halal maruah dan hukuman ke atasnya (iaitu pemberi hutang boleh mengambil tindakan ke atas diri dan maruahnya) – Riwayat Ibnu Majah
“Kurangkan dirimu daripada melakukan dosa, maka akan mudahlah bagimu ketika hendak mati. Kurangkan daripada berhutang nescaya kamu akan hidup bebas.” – Riwayat Baihaqi.
Dari Shuhaib Al Khoir, Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda, أَيُّمَا رَجُلٍ يَدَيَّنُ دَيْنًا وَهُوَ مُجْمِعٌ أَنْ لاَ يُوَفِّيَهُ إِيَّاهُ لَقِىَ اللَّهَ سَارِقًا “Siapa saja yang berhutang lalu berniat tidak mau melunasinya, maka dia akan bertemu Allah (pada hari kiamat) dalam status sebagai pencuri.” (HR. Ibnu Majah Dari artikel ‘Bahaya Orang yang Enggan Melunasi Hutangnya — Muslim.Or.Id’
يغفر للشهيد كل شيء إلا الدين Ertinya : ” Diampunkan semua dosa bagi orang mati yang terkorban Syahid kecuali jika ia mempunyai hutang (kepada manusia)” ( Riwayat Muslim, 6/38)
Lebih buruk lagi apabila terdapat sesetengah individu yang meminjam dengan niat untuk tidak memulangkan kembali. Sabda Nabi SAW : من أدّان أموال الناس يريد أداءها أدى الله عنه , ومن أخذها يريد اتلافها أتلفه الله
Ertinya : Barangsiapa yang meminjam harta orang lain dengan niat ingin mengembalikannya, Allah akan mengembalikan pinjaman itu, namun barangsiapa yang meminjamnya dengan niat ingin merugikannya, Allah pun akan merugikannya” ( Riwayat Al-Bukhari, 2/83 )
Rasulullah SAW juga kerap mengajar umat islam agar berdoa dilepaskan dari hutang : اللهم إني أعوذبك من المأثم والمغرم ( الدين ) , فقيل له : إنك تستعذ من المغرم كثيراً يا رسول الله ؟ فقال : ” إن الرجل إذا غرم حدث فكذب , ووعد فأخلف”
Ertinya : Ya Allah, aku berlindung kepadaMU dari dosa dan hutang, lalu Baginda ditanya : Mengapa engkau sering meminta perlindungan dari hutang, whaai Rasulullah ? ; Baginda menjawab : ” Jika seseorang berhutuang, bila berbicara ia dusta, bila berjanji ia mengingkari” ( Riwayat Al-Bukhar, 1/214 )
Terdapat juga dalam sebuah hadith lain : Ertinya : Ya Allah, aku berlindung dari kekufuran dan hutang, Mendengar itu seseorang bertanya, ” Apakah engkau menyamakan kekeufuran dengan hutang wahai Rasulullah ? ; ” Benar ” Jawab Rasulullah” ( Riwayat An-Nasaie, 2/316 ; Ahmad , 3/38 ; Al-Hakim berkata Sohih dan disepakati oleh Az-Zahabi; Menurut Albani : Dhoif )
Berdasarkan dalil-dalil di atas, jelaslah kepada kita bahawa aktiviti berhutang ini adalah kurang sihat menurut pandangan Islam. Justeru, kita sewajarnya menjauhinya semampu boleh. Jika berhutang, bayarlah kembali kepada mereka yang telah meminjamkannya kepada kita.

Jangan hebahkan percutian ke luar negara atau tempat tempat menarik di media sosial, jika kita berhutang. Tidak molek kiranya melancong ke sana ke mari, tetapi dalam masa yang sama, tidak ada rasa tanggungjawab menjelaskan hutang yang dibuat. 

Sunday, November 17, 2019

DUA TAHUN PENJARA MENUNGGU PEROKOK YANG MEROKOK DI PREMIS AWAM

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Kita mengetahui perbuatan merokok di premis makan atau restoran sudah dilaksanakan pada Januari lalu. Malah, sudah banyak papan tanda larangan merokok di letakkan di kedai makan dan di tempat awam.

Bermula pada 1 Januari 2020 nanti, tindakan undang-undang terhadap perokok yang ingkar terhadap larangan merokok di semua premis makanan akan dikuat kuasakan.

Berdasarkan peraturan baharu, perokok    yang ingkar larangan tersebut dan didapati bersalah,akan didenda sehingga RM10,000 atau penjara sehingga dua tahun.

Perbuatan merokok wajib dilakukan di luar jarak tiga meter atau kira-kira 10 kaki dari setiap premis, termasuk di pejabat kerajaan dan sekolah.

Setakat ini, Kementerian Kesihatan telah mengeluarkan notis amaran kepada 31,422 premis makanan daripada 146,607 premis yang telah diperiksa (sumber: KKM)

Dari jumlah tersebut, 27,759 buah premis telah diberikan amaran kerana gagal meletakkan tanda larangan merokok serta 3,889 notis dikeluarkan bagi orang yang didapati merokok di kawasan kedai makan.

Adakah usaha peraturan baharu ini mampu mengekang tabiat merokok di tempat awam? Hakikatnya, ia memerlukan pengawasan pihak berkuasa, sikap prihatin dan kesedaran masyarakat terhadap peraturan baharu ini. 

Wednesday, November 13, 2019

KEMPEN RUMAH KE RUMAH PUN PERLUKAN PERMIT..?


Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.


Saya rasa terkejut dan keliru juga apabila Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memutuskan syarat kepada calon atau parti yang berkempen dari rumah ke rumah, perlu ada permit ketika kempen pilihan raya. Ia agak keterlaluan, sekaligus membuktikan demokrasi tidak subur di negara kita.
Bekas Timbalan Pengerusi SPR sendiri, Datuk Seri Wan Ahmad Wan Omar juga berpendapat keputusan terbaru SPR itu bercanggah dengan prinsip kebebasan calon untuk bertemu dua mata dan berkempen kepada pengundi.
Apa agaknya motif SPR ini? Dari manakah Pengerusi SPR mendapat idea ini kerana ia menyusahkan calon, ejen kempen dan parti untuk bertemu dengan pengundi domestik secara bersemuka, berbual dan bermesra.
Dalam tempoh rasmi berkempen yang hanya 7 hingga 14 hari, SPR sepatutnya memudahkan calon parti yang bertanding untuk berkempen serta bertemu pengundi.
Semasa zaman pemerintahan yang lalu, permit dihadkan kepada perhimpunan dan ceramah umum, tetapi pada era sekarang, kempen bertemu pengundi di rumah memerlukan permit daripada polis.

Tindakan SPR ini, walaupun beralasan, tetap dianggap keterlaluan, tidak sesuai dan mengundur ke belakang dalam pelaksanaan proses demokrasi yang bebas di Malaysia.
Kempen rumah ke rumah sudah menjadi budaya di negara kita, dan tidak menimbulkan sebarang masalah, apatah lagi rakyat semakin matang dalam berpolitik.
Tentunya, saya tidak bersetuju dengan peraturan baharu SPR ini, kerana para pengundi tentunya ingin memilih calon yang mesra dan memahami kehidupan mereka.
Peraturan ini kali pertama dikeluarkan SPR ketika tempoh kempen pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai berbaki dua hari lagi.
SPR sebelum ini tidak pernah meletakkan syarat atau mengeluarkan arahan kepada mana-mana parti dan calon yang bertanding dalam sesuatu pilihan raya perlu mendapatkan permit jika mahu berkempen dari rumah ke rumah.
Selagi tidak melanggar Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, Akta Polis, Akta Hasutan serta peraturan berkempen ditetapkan SPR, calon berhak bertemu para pengundi tanpa sebarang sekatan.

Wednesday, November 6, 2019

BASIKAL LAJAK: JANGAN TUNGGU TRAGEDI BERULANG

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Baru- baru ini, mahkamah membebaskan dan melepaskan tertuduh yang terlibat dalam kemalangan maut melibatkan 6 orang remaja yang terbunuh dalam tragedi basikal lajak pada 2017. (beritanya di sini).

Keputusan tersebut tentu mengecewakan keluarga mangsa, kerana seolah olah tiada keadilan buat anak mereka. Namun begitu, jika diimbas kembali tragedi tersebut, ia berlaku jam 3 pagi, di lebuh raya yang sepatutnya boleh dielakkan, sekiranya anak anak remaja berkenaan tidak berpeleseran di tempat yang berbahaya untuk mereka. 

Semasa kecil, saya dan adik beradik lain hanya boleh keluar sebelah siang, dan mesti berada di rumah menjelang maghrib. Kalau lewat pulang, pasti ada hukuman dikenakan. Itu jugalah yang saya terapkan kepada anak-anak. Namun begitu, tidak semua ibu bapa hari ini mampu mengawal anak anak mereka. Dengan ilmu keibubapaan yang terhad, ditambah pula kesibukan mencari rezeki siang malam, kasih sayang kepada anak anak terabai. 

Dalam kes basikal lajak, ibu bapa harus kembali kepada kaedah tradisi dalam mendidik anak-anak terutama di peringkat kanak-kanak dan awal remaja. Buatlah peraturan supaya mereka berada di rumah sebelum waktu maghrib bagi menentukan anak anak tidak terlibat dalam gejala tidak sihat seperti basikal lajak, merokok dan sebagainya.

Ibu bapa sekarang perlu kembali kepada kaedah warisan dalam mendidik anak seperti budaya menghormati orang tua, tidak keluar merayau ketika waktu Maghrib, solat secara berjemaah bersama keluarga, dan sebagainya. Tidak rugi pun jika kekalkan tradisi ini, demi memastikan anak anak kita selamat.  

Saya setuju dengan kenyataan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bahawa ibu bapa kepada anak yang terlibat dengan kegiatan basikal lajak sehingga mengundang bahaya kepada diri dan pengguna jalan raya boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 33 Akta Kanak-kanak 2001, dengan dikenakan denda tidak melebihi RM20,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Dunia hari ini semakin berubah, terutama dengan ada gajet elektronik seperti telefon pintar yang banyak mempengaruhi cara berfikir dan bertindak. Bagaimanapun, cadangan mengehadkan remaja keluar berpeleseran tanpa arah tujuan, boleh dipertimbangkan supaya tidak berulang tragedi basikal lajak.   

MENJALA TALAPIA

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini. Agak lama juga saya tidak menjala ik...