Thursday, December 26, 2019

DAMAILAH ADINDAKU SANI

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Pada 7 Disember 2019, panggilan telefon jam 1 pagi mengejutkan saya daripada tidur. Rupanya, isteri adik saya, Sani, memaklumkan suaminya diserang angin ahmar dan dibawa ke unit kecemasan Hospital Tawau.
Saya, Oun dan Sani (ikut arah jam)
 Sani, atau nama sebenarnya, Abdullah Sani bin Ali Hassan, adalah adik kandung saya, anak ketiga selepas Yong Azaliah dan saya. Di bawahnya ada lagi dua orang adik beradik kami iaitu Khairul Anuar (Oun) dan Noor Aishah  (Wa). Panggilan manjanya ialah 'Yang'. Selain kami berlima, ada lagi seorang abang sama ayah iaitu Azwadi Noor tetapi beliau meninggal dunia pada usia muda pada tahun 1997. 

Perasaan kami adik beradik tentunya bimbang apabila mendapat khabar berita yang menimpa Sani. Akhirnya setelah berbincang, Yong ditemani Yop Kamil dan anak anak mereka Ikmal dan Fahmi, terbang ke Sabah dengan membawa seorang daripada anak Sani yang berada di Semenanjung, iaitu Ajmal Haziq untuk menziarahi ayahnya pada Rabu 12 Disember. 

Saya dan Oun bercadang ke sana lewat sedikit, kerana perlu menyelesaikan beberapa urusan lain. Kami membeli tiket penerbangan ke Tawau pada 20 Disember, manakala Wa dan suaminya Nazmi masih berada di Mekah mengerjakan ibadah umrah. Kami berdoa dan harap Sani dapat sembuh seperti asal. Namun berdasarkan maklumat doktor pakar, pendarahan di kepalanya sukar dibedah kerana kedudukan darah beku jauh ke dalam bahagian otak. Ia sangat berisiko, dan keadaannya lumpuh sepanjang hayat jika mampu bertahan.  Ketika Yong sekeluarga tiba, Sani kelihatan lemah tidak bermaya, dan memerlukan bantuan sepenuhnya. 

Jika diimbau kembali, hubungan saya, Sani dan Oun semasa kecil sangat rapat. Kami tidur satu kelambu, dan melalui pengalaman membesar  bersama sama kerana jarak usia kami tidak jauh bezanya. 

Kami mandi parit sama-sama, pernah jatuh motor ayah semasa ingin ke masjid. Sani suka bermain di bawah pokok kekabu belakang rumah di Kampung Dato Seri Kamaruddin (DSK). Oun pula di bawah rumah, dan saya merayau keliling kampung dengan lastik di tangan. Kalau musim guli, tuju getah, gasing dan layang layang, kami main bersama budak kampung DSK yang lain. Indah sungguh kenangan semasa kecil. 

Apabila masing masing sudah berkeluarga, kami jarang sangat berpeluang menikmati masa masa seperti dahulu. Masa berlalu, hanya media sosial menjadi medan kami bertemu dan bersembang. Oun sudah berkeluarga dan menetap di Batu Pahat, manakala saya di Lekir. Sani pula membawa diri ke negeri di bawah bayu selepas berkahwin kali ketiga dengan gadis Sabah, Jamaliah Haji Basri. Dia mengubat hatinya di Tawau selepas dua  perkahwinan sebelum ini tidak bertahan lama.  

Pada jam 2.30 petang, 18 Disember, saya menerima panggilan Jamaliah, dengan esak dan tangisnya memaklumkan Sani sudah tiada buat selama-lamanya. Hampir gugur jantung rasanya apabila mendapat berita ini. Perasaan sedih dan hiba saya tidak dapat digambarkan dengan kata kata. Rupanya hanya Yong yang sempat menatap wajah Sani buat kali terakhir. Niat hati saya dan Oun tidur disebelahnya, bersembang seperti kami kecil dahulu, tidak kesampaian. 

Kami berserah kepada Allah, dan memutuskan agar jenazahnya disempurnakan di bumi Tawau. Apatah lagi keluarga isterinya mengambil berat dan sayang kepadanya. Sani pandai membawa diri di rantau orang, dan ramai handai taulan menziarahinya buat kali terakhir. 

Apabila kami tiba di Kampung Inderasabah, Tawau, pada 20 Disember, saya hiba melihat tanah kubur milik adik saya yang masih baharu. Damailah Sani, semoga Allah merahmati roh adikku. Buat semua yang mengenali Sani, maafkanlah jika adik saya ada melakukan kesilapan dan menyinggung hati serta perasaan.   

Saturday, December 7, 2019

KHABAR DARI TAWAU YANG MEMBIMBANGKAN

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.


Dinihari, kira kira jam 1 pagi tadi, deringan telefon tidak berhenti, mengejutkan lena saya daripada tidur.
Pastinya ada tujuan penting panggilan pada waktu begini. 

Di hujung talian, suara adik ipar saya, Jamaliah, tersekat sekat. Ada nada bimbang pada suaranya.

Dia membuat panggilan jauh dari negeri di bawah bayu, Sabah. 

"Abang Sani masuk wad kecemasan di hospital Tawau," katanya.

Kata-katanya menyentap perasaan risau. Saya masih terpinga-pinga. Mimpikah ini? Atau benar benar berlaku?

Terkejut saya mendapat berita ini. . Adik saya, Abdullah Sani, rupanya diserang angin ahmar ketika tidur. Sebelum itu dia mengadu pening.
 
Selepas subuh, Sani semakin stabil walaupun belum sedar sepenuhnya.
Rawan hati saya. Tolong doakan dia.

Friday, December 6, 2019

PERTUKARAN KERJAYA, BUKAN SESUATU YANG ANEH

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.


Acapkali kita bertemu dengan rakan lama, yang dahulunya mungkin bekerja di dalam sektor kerajaan, kemudian telah bekerja di sektor swasta, atau bekerja sendiri.

Pertukaran dalam kerjaya, bukanlah sesuatu yang aneh, terutama apabila melibatkan kebarangkalian kos hidup yang meningkat, minat individu atau peluang di hadapan mata.

Saya pernah bertemu dengan seorang pemuda, yang menamatkan 'housemanship' sebagai seorang doktor sebelum masanya. Dia tidak mampu berdepan dengan situasi dunia perubatan yang memerlukan komitmen tinggi. Mungkin juga kerana tiada minat, akhirnya masa belajar dan kos belajar perubatan, hangus begitu sahaja. Namun begitu, dia selesa dengan dunia baharunya.

Seorang bekas pelajar saya, tidak meneruskan kerjaya sebagai juruteknik komputer, sebaliknya memilih bidang jualan insurans takaful sebagai punca pendapatan. Hari ini dia boleh berbangga dengan usahanya.

Rakan saya, seorang guru dan menyambung pengajian di universiti, akhirnya memilih bidang penyiaran sebagai kerjaya selepas hampir 20 tahun menjadi pendidik.

Dalam hidup ini, setiap insan mempunyai sasaran dalam hidup. Adakala kepuasan kerja dan laba yang diterima, tidak seiring, menyebabkan mereka melakukan dua atau tiga kerja. Dalam masa yang sama, minat kepada pekerjaan asal semakin menurun. Pada penghujungnya, mereka memutuskan tidak lagi meneruskan kerjaya awal, dan memilih kerjaya baharu yang lebih sesuai dengan jiwa.

Banyak faktor yang mendorong manusia mengubah kerjaya. Antaranya desakan hidup. tanggungjawab terhadap keluarga dan pelbagai lagi sebab lain.

Apa pun alasannya, pertukaran kerjaya tidak boleh dielakkan. Manusia mempunyai daya pemikiran, kreativiti dan kemampuan untuk berubah. Perubahan mendorong manusia memikul cabaran lebih besar dalam hidup. Ada kala perubahan kerjaya membawa kepada kebaikan. Ada juga sebaliknya.

Usah bimbang dengan perubahan dalam kerjaya. Sebaliknya, percayalah setiap yang berlaku ada hikmahnya. Yang penting, setiap pekerjaan yang kita lakukan, harapkan redha Allah dalam kehidupan.  

Tuesday, December 3, 2019

'JASA' KOMUNIS HANYALAH MENGHURUHARAKAN NEGARA

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Abu mayat Chin Peng, khabarnya dibawa masuk ke negara ini oleh penyokongnya secara sulit, dan ditaburkan di banjaran Himalaya serta perairan Lumut pada September lalu. 

Tidak cukup dengan itu, pada 1 Disember 2019, bertempat di sebuah premis di Kajang, lebih 300 orang penyokong komunis yang majoritinya bangsa Tionghua, telah berkumpul meraikan perjuangan komunis di Tanah Melayu. 

Apa jasa komunis kepada negara? Jika komunis diangkat sebagai pejuang kemerdekaan, apa pula status tentera yang terbunuh serta rakyat Tanah Melayu yang menjadi mangsa mereka? Pemberontak? 

Kenyataan beberapa pemimpin kerajaan yang tidak tegas, lembab dan tiada tindakan kepada penyokong komunis, amat menghiris hati rakyat terutama mereka yang terlibat secara langsung dengan kekejaman komunis. 

Mudahnya pemimpin politik kita melupakan sejarah, hanya semata mata untuk memenuhi kehendak segolongan manusia pro komunis.

Saya kecewa dengan pendirian kerajaan tentang hal ini.. 

Sunday, November 24, 2019

MEMBAYAR HUTANG ITU WAJIB

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Pernahkah  anda hadapi kesukaran menuntut hutang? Tidak membayar hutang, adalah dosa besar bagi orang yang sengaja. Seseorang yang suka melewat-lewatkan bayaran hutang setelah berkemampuan untuk membayarnya, boleh mendatangkan kesan buruk dalam hidupnya bukan sahaja di dunia bahkan di akhirat antaranya :
  1. Hidup akan ditimpa kehinaan dan hilang maruahnya.
  2. Hidup mereka tidak akan mendapat keredhaan dan keberkatan Allah.
  3. Perbuatan mereka itu digolongkan dalam perbuatan zalim.
  4. Amalan kebajikan mereka tidak akan diterima.
Sabda Rasulullah SAW:
“Penangguhan hutang oleh orang yang berkuasa membayarnya, adalah satu kezaliman, halal maruah dan hukuman ke atasnya (iaitu pemberi hutang boleh mengambil tindakan ke atas diri dan maruahnya) – Riwayat Ibnu Majah
“Kurangkan dirimu daripada melakukan dosa, maka akan mudahlah bagimu ketika hendak mati. Kurangkan daripada berhutang nescaya kamu akan hidup bebas.” – Riwayat Baihaqi.
Dari Shuhaib Al Khoir, Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda, أَيُّمَا رَجُلٍ يَدَيَّنُ دَيْنًا وَهُوَ مُجْمِعٌ أَنْ لاَ يُوَفِّيَهُ إِيَّاهُ لَقِىَ اللَّهَ سَارِقًا “Siapa saja yang berhutang lalu berniat tidak mau melunasinya, maka dia akan bertemu Allah (pada hari kiamat) dalam status sebagai pencuri.” (HR. Ibnu Majah Dari artikel ‘Bahaya Orang yang Enggan Melunasi Hutangnya — Muslim.Or.Id’
يغفر للشهيد كل شيء إلا الدين Ertinya : ” Diampunkan semua dosa bagi orang mati yang terkorban Syahid kecuali jika ia mempunyai hutang (kepada manusia)” ( Riwayat Muslim, 6/38)
Lebih buruk lagi apabila terdapat sesetengah individu yang meminjam dengan niat untuk tidak memulangkan kembali. Sabda Nabi SAW : من أدّان أموال الناس يريد أداءها أدى الله عنه , ومن أخذها يريد اتلافها أتلفه الله
Ertinya : Barangsiapa yang meminjam harta orang lain dengan niat ingin mengembalikannya, Allah akan mengembalikan pinjaman itu, namun barangsiapa yang meminjamnya dengan niat ingin merugikannya, Allah pun akan merugikannya” ( Riwayat Al-Bukhari, 2/83 )
Rasulullah SAW juga kerap mengajar umat islam agar berdoa dilepaskan dari hutang : اللهم إني أعوذبك من المأثم والمغرم ( الدين ) , فقيل له : إنك تستعذ من المغرم كثيراً يا رسول الله ؟ فقال : ” إن الرجل إذا غرم حدث فكذب , ووعد فأخلف”
Ertinya : Ya Allah, aku berlindung kepadaMU dari dosa dan hutang, lalu Baginda ditanya : Mengapa engkau sering meminta perlindungan dari hutang, whaai Rasulullah ? ; Baginda menjawab : ” Jika seseorang berhutuang, bila berbicara ia dusta, bila berjanji ia mengingkari” ( Riwayat Al-Bukhar, 1/214 )
Terdapat juga dalam sebuah hadith lain : Ertinya : Ya Allah, aku berlindung dari kekufuran dan hutang, Mendengar itu seseorang bertanya, ” Apakah engkau menyamakan kekeufuran dengan hutang wahai Rasulullah ? ; ” Benar ” Jawab Rasulullah” ( Riwayat An-Nasaie, 2/316 ; Ahmad , 3/38 ; Al-Hakim berkata Sohih dan disepakati oleh Az-Zahabi; Menurut Albani : Dhoif )
Berdasarkan dalil-dalil di atas, jelaslah kepada kita bahawa aktiviti berhutang ini adalah kurang sihat menurut pandangan Islam. Justeru, kita sewajarnya menjauhinya semampu boleh. Jika berhutang, bayarlah kembali kepada mereka yang telah meminjamkannya kepada kita.

Jangan hebahkan percutian ke luar negara atau tempat tempat menarik di media sosial, jika kita berhutang. Tidak molek kiranya melancong ke sana ke mari, tetapi dalam masa yang sama, tidak ada rasa tanggungjawab menjelaskan hutang yang dibuat. 

Sunday, November 17, 2019

DUA TAHUN PENJARA MENUNGGU PEROKOK YANG MEROKOK DI PREMIS AWAM

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Kita mengetahui perbuatan merokok di premis makan atau restoran sudah dilaksanakan pada Januari lalu. Malah, sudah banyak papan tanda larangan merokok di letakkan di kedai makan dan di tempat awam.

Bermula pada 1 Januari 2020 nanti, tindakan undang-undang terhadap perokok yang ingkar terhadap larangan merokok di semua premis makanan akan dikuat kuasakan.

Berdasarkan peraturan baharu, perokok    yang ingkar larangan tersebut dan didapati bersalah,akan didenda sehingga RM10,000 atau penjara sehingga dua tahun.

Perbuatan merokok wajib dilakukan di luar jarak tiga meter atau kira-kira 10 kaki dari setiap premis, termasuk di pejabat kerajaan dan sekolah.

Setakat ini, Kementerian Kesihatan telah mengeluarkan notis amaran kepada 31,422 premis makanan daripada 146,607 premis yang telah diperiksa (sumber: KKM)

Dari jumlah tersebut, 27,759 buah premis telah diberikan amaran kerana gagal meletakkan tanda larangan merokok serta 3,889 notis dikeluarkan bagi orang yang didapati merokok di kawasan kedai makan.

Adakah usaha peraturan baharu ini mampu mengekang tabiat merokok di tempat awam? Hakikatnya, ia memerlukan pengawasan pihak berkuasa, sikap prihatin dan kesedaran masyarakat terhadap peraturan baharu ini. 

Wednesday, November 13, 2019

KEMPEN RUMAH KE RUMAH PUN PERLUKAN PERMIT..?


Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.


Saya rasa terkejut dan keliru juga apabila Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memutuskan syarat kepada calon atau parti yang berkempen dari rumah ke rumah, perlu ada permit ketika kempen pilihan raya. Ia agak keterlaluan, sekaligus membuktikan demokrasi tidak subur di negara kita.
Bekas Timbalan Pengerusi SPR sendiri, Datuk Seri Wan Ahmad Wan Omar juga berpendapat keputusan terbaru SPR itu bercanggah dengan prinsip kebebasan calon untuk bertemu dua mata dan berkempen kepada pengundi.
Apa agaknya motif SPR ini? Dari manakah Pengerusi SPR mendapat idea ini kerana ia menyusahkan calon, ejen kempen dan parti untuk bertemu dengan pengundi domestik secara bersemuka, berbual dan bermesra.
Dalam tempoh rasmi berkempen yang hanya 7 hingga 14 hari, SPR sepatutnya memudahkan calon parti yang bertanding untuk berkempen serta bertemu pengundi.
Semasa zaman pemerintahan yang lalu, permit dihadkan kepada perhimpunan dan ceramah umum, tetapi pada era sekarang, kempen bertemu pengundi di rumah memerlukan permit daripada polis.

Tindakan SPR ini, walaupun beralasan, tetap dianggap keterlaluan, tidak sesuai dan mengundur ke belakang dalam pelaksanaan proses demokrasi yang bebas di Malaysia.
Kempen rumah ke rumah sudah menjadi budaya di negara kita, dan tidak menimbulkan sebarang masalah, apatah lagi rakyat semakin matang dalam berpolitik.
Tentunya, saya tidak bersetuju dengan peraturan baharu SPR ini, kerana para pengundi tentunya ingin memilih calon yang mesra dan memahami kehidupan mereka.
Peraturan ini kali pertama dikeluarkan SPR ketika tempoh kempen pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai berbaki dua hari lagi.
SPR sebelum ini tidak pernah meletakkan syarat atau mengeluarkan arahan kepada mana-mana parti dan calon yang bertanding dalam sesuatu pilihan raya perlu mendapatkan permit jika mahu berkempen dari rumah ke rumah.
Selagi tidak melanggar Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, Akta Polis, Akta Hasutan serta peraturan berkempen ditetapkan SPR, calon berhak bertemu para pengundi tanpa sebarang sekatan.

Wednesday, November 6, 2019

BASIKAL LAJAK: JANGAN TUNGGU TRAGEDI BERULANG

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Baru- baru ini, mahkamah membebaskan dan melepaskan tertuduh yang terlibat dalam kemalangan maut melibatkan 6 orang remaja yang terbunuh dalam tragedi basikal lajak pada 2017. (beritanya di sini).

Keputusan tersebut tentu mengecewakan keluarga mangsa, kerana seolah olah tiada keadilan buat anak mereka. Namun begitu, jika diimbas kembali tragedi tersebut, ia berlaku jam 3 pagi, di lebuh raya yang sepatutnya boleh dielakkan, sekiranya anak anak remaja berkenaan tidak berpeleseran di tempat yang berbahaya untuk mereka. 

Semasa kecil, saya dan adik beradik lain hanya boleh keluar sebelah siang, dan mesti berada di rumah menjelang maghrib. Kalau lewat pulang, pasti ada hukuman dikenakan. Itu jugalah yang saya terapkan kepada anak-anak. Namun begitu, tidak semua ibu bapa hari ini mampu mengawal anak anak mereka. Dengan ilmu keibubapaan yang terhad, ditambah pula kesibukan mencari rezeki siang malam, kasih sayang kepada anak anak terabai. 

Dalam kes basikal lajak, ibu bapa harus kembali kepada kaedah tradisi dalam mendidik anak-anak terutama di peringkat kanak-kanak dan awal remaja. Buatlah peraturan supaya mereka berada di rumah sebelum waktu maghrib bagi menentukan anak anak tidak terlibat dalam gejala tidak sihat seperti basikal lajak, merokok dan sebagainya.

Ibu bapa sekarang perlu kembali kepada kaedah warisan dalam mendidik anak seperti budaya menghormati orang tua, tidak keluar merayau ketika waktu Maghrib, solat secara berjemaah bersama keluarga, dan sebagainya. Tidak rugi pun jika kekalkan tradisi ini, demi memastikan anak anak kita selamat.  

Saya setuju dengan kenyataan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bahawa ibu bapa kepada anak yang terlibat dengan kegiatan basikal lajak sehingga mengundang bahaya kepada diri dan pengguna jalan raya boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 33 Akta Kanak-kanak 2001, dengan dikenakan denda tidak melebihi RM20,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Dunia hari ini semakin berubah, terutama dengan ada gajet elektronik seperti telefon pintar yang banyak mempengaruhi cara berfikir dan bertindak. Bagaimanapun, cadangan mengehadkan remaja keluar berpeleseran tanpa arah tujuan, boleh dipertimbangkan supaya tidak berulang tragedi basikal lajak.   

Monday, October 21, 2019

PENANAMAN POKOK BAKAU DI HUTAN PAYA BAKAU LEKIR

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Pada Ahad 20 Oktober 2019, saya bersama 20 orang pelajar asrama dan warden, cikgu Jabar berkesempatan berkongsi pengalaman menanam pokok bakau dalam majlis anjuran Sahabat Paya Bakau Lekir. Kami turut disertai siswa siswi Univerisit Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam seramai 35 orang. Objektif kami adalah melengkapkan penanaman anak pokok bakau sebanyak 500 batang. 




Sempat juga saya menimba pengalaman mencari siput beliung. 
Siput beliung sejenis hidupan laut bercengkerang dengan bentuknya tirus ke hujung. Saya dibantu penduduk kampung Sungai Tiram yang menyertai kami. Akhirnya kami dapat lebih 8 kg siput tersebut 

Friday, October 11, 2019

LTTE: PERTUBUHAN PENGGANAS YANG BERKEMBANG DAN DIDALANGI AHLI POLITIK MALAYSIA

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Akhir akhir ini, negara dikejutkan dengan beberapa foto dan video memaparkan sokongan terbuka yang diberikan oleh segelintir rakyat keturunan India terhadap pertubuhan pengganas, LTTE.

LTTE atau Barisan Pembebasan Harimau Tamil, berpusat di Sri Langka, bertujuan mewujudkan sebuah wilayah etnik Tamil di utara negara tersebut. LTTE bergerak secara radikal dan berjuang menggunakan senjata dan kekerasan.. Modus operandi paling tragis adalah menggunakan wanita sebagai skuad bom berani mati. Perdana Menteri India, Rajiv Gandhi, adalah antara mangsa pembunuhan cara ini. Demi mencapai cita-cita, LTTE menyasarkan pembunuhan beramai ramai etnik lain bukan Tamil termasuk orang Islam yang dibunuh di sebuah masjid pada tahun 90-an. 

Bertindak atas maklumat yang telah dikumpul lama, baru baru ini, PDRM melalui satu pasukan khas telah menahan dan menyiasat penglibatan 2 orang ahli politik. Bagaimanapun, tindakan berani pihak polis menyebabkan rasa tidak puas hati parti DAP.
  
DAP percaya dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari parti itu yang ditahan kerana dikaitkan dengan kumpulan pangganas tersebut tidak bersalah. Lim Guan Eng, setiausaha agung DAP dipetik sebagai berkata, akan menyediakan pasukan peguam untuk mewakili kedua-dua ADUN itu, manakala Naib Pengerusi parti M.Kula Segaran telah diminta mewakili DAP dalam sebarang perhubungan antara parti dengan pihak berkuasa, pembuat undang-undang, dan angggota keluarga yang terlibat, mengenai perkara berkenaan.

Hakikat yang perlu kita sedari adalah, LTTE disahkan pertubuhan pengganas yang banyak membuat onar di utara Sri Lanka, dan berusaha membentuk satu negara berasingan untuk kaum Tamil. Tidak mustahil satu hari nanti fahaman ini berkembang di Malaysia jika tidak segera ditangani.

DAP tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan terburu buru menyatakan ahlinya tidak bersalah. Adalah lebih baik membuat kenyataan yang lebih sopan, dan menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menyiasat perkara tersebut. LGE boleh nyatakan DAP akan mengambil tindakan tegas terhadap ahli-ahlinya jika sabit kesalahan. 

Kepada PDRM,  jangan tunduk pada tekanan ahli politik. Ini Malaysia, negara berdaulat, ada undang-undang. Kalau dah mengancam keselamatan masyarakat, memang patut ambil tindakan tegas. Saya juga cadangkan ADUN Perai, Dr. Ramasamy juga diangkut sekali, kerana dia juga secara terang terangan menyokong pertubuhan pengganas tersebut.

Wednesday, October 2, 2019

WARDEN ASRAMA: JAWATAN YANG BUKAN DAMBAAN GURU

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.


Baru baru ini, seorang pengetua dan  warden di sebuah sekolah di Terengganu disaman sebanyak lebih 500 ribu ringgit oleh waris pelajar kerana anaknya dibuli di asrama. Inilah hakikat pahit dan mimpi ngeri yang cuba dielakkan oleh warden dan pentadbir mana mana sekolah.

Sekolah yang mempunyai asrama, biasanya mengalami masalah mencari guru untuk dilantik menjadi warden. Warden, atau penjaga pelajar asrama di sekolah-sekolah adalah guru yang dilantik khas dengan elaun khusus.

Pada tahun 2001, saya dilantik menjadi Ketua Warden Asrama, dan dibantu oleh 4 orang warden. Antaranya Cikgu Nazri Mat Alim, Cikgu Noraini Yoeb, Cikgu Baharuddin Mat Nor dan Cikgu Noor Parida Abdul Rahman. Saya bersama isteri dan anak anak diberikan rumah warden di bawah blok asrama, dan tinggallah kami bersama pelajar asrama sehingga saya berpindah ke rumah sendiri pada tahun 2005. Banyak pengalaman pahit manis saya dengan pelajar asrama. Sebahagian besar mereka masih berhubung dengan saya.

Menjadi warden bukanlah satu kerja yang mudah. Pengalaman sebagai warden memberikan saya peluang menguasai bidang hal ehwal murid, dan berada dekat dengan pelajar asrama. Bayangkanlah, kita menjaga dan memastikan keselamatan pelajar seramai hampir 300 orang, selama 24 jam, kecuali ketika musim cuti.

Persoalan yang sering bermain di fikiran warden, adakah ia berbaloi? Dari segi nilai wang, ia sangat tidak berbaloi, kerana elaun warden hanya RM240 dan tambahan RM40 lagi sebagai ketua warden. Sejak 2001, hingga kini, nilai elaun tidak berubah. Tugas dan tanggungjawab warden amat berat, mencabar dan perlukan pemahaman daripada keluarga guru yang menjadi warden.

Kebanyakan warden asrama yang dilantik di sekolah sekolah adalah paksa rela. Dengan erti kata lain, mereka menerimanya kerana arahan, dan tidak sepenuh hati. Jumlah elaun yang diterima  tidak setimpal dengan beban kerja yang ditanggung. Acapkali hal ini disuarakan di peringkat daerah, jabatan da
n dibawa dalam usul MPSM ke kementerian. 

Namun sehingga hari ini, kerajaan masih belum melayani tuntutan agar elaun warden dinaikkan. Andainya saya menjadi menteri pendidikan, saya pasti berjuang memastikan kenaikan elaun warden ini setimpal dengan apa yang perlu dihadapi oleh warden. Elaun ketua warden, saya akan dinaikkan kepada RM1500 sebulan, manakala elaun bagi warden RM1000. Malangnya, saya bukan menteri. Lagipun saya tidak boleh berjanji, kerana hari ini ramai menteri yang dilantik, tidak mengotakan janji semasa pilihanraya. 

Saya percaya, jika elaun warden dinaikkan ke jumlah yang munasabah, pasti ramai guru yang bersedia untuk dilantik sebagai warden. Jangan salah faham. Guru bukan mata duitan, tetapi tugas ini memang menuntut pengorbanan masa dan tenaga yang lebih berbanding guru lain.

Anda boleh baca kisah warden paksa rela di sini
https://www.utusan.com.my/berita/nasional/guru-8216-dipaksa-rela-8217-jadi-warden-sekolah-nutp-1.979529


Tuesday, October 1, 2019

SKUTER SEMAKIN DIMINATI

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.
Akhir akhir ini, jentera beroda dua seperti skuter semakin mendapat tempat dalam hati peminat motorsikal. Pengeluar motosikal seperti Honda dan Yamaha, Modenas serta SYM berlumba lumba memberikan pilihan skuter untuk rakyat Malaysia. 

Saya pernah memiliki sebuah skuter jenama Comel, pada tahun 2004. Skuter tersebut sangat manja dan tidak boleh lasak. Bentuknya cantik tetapi saya terpaksa menjual dan membeli motosikal biasa iaitu Honda Wave kerana tidak tahan dengan 'kemanjaan'nya.

Hari ini, teknologi skuter semakin canggih dan lasak. Antara skuter yang menarik dengan potongan bentuk yang moden adalah Honda Vario, Yamaha NVX dan seumpamanya.

Dengan menyasarkan golongan remaja dan pelbagai, saya yakin skuter mampu memikat hati para pengguna yang memerlukan jentera roda dua yang mudah dikendalikan.   

Sunday, September 29, 2019

ADIB, PEMBUNUHANNYA DISAHKAN BENAR

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.


Pada 27 September 2019, mahkamah koroner memutuskan kematian anggota bomba dalam rusuhan kuil di Seafield November tahun 2018 adalah akibat pembunuhan oleh individu yang lebih daripada seorang.

Keputusan mahkamah tersebut sekaligus menolak keputusan Peguam Negara dan pihak kuil Maha Mariamman bahawa Muhammad Adib Mohd Kasim, 24 tahun, dilanggar ketika jentera bomba meninggalkan kawasan kuil tersebut.  

Beberapa pihak mendesak Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas meletakkan jawatan kerana memfailkan afidavit bahawa arwah tidak dibunuh pada awalnya. Hal ini secara tidak langsung mencemarkan nama baik institusi perundangan Malaysia, khususnya jawatan Peguam Negara, satu jawatan yang sangat dihormati.
Saya bersetuju Tommy Thomas perlu melepaskan jawatannya demi menjaga kehormatan martabat jawatan itu lanjutan daripada tindakan subjudis peguam negara yang pandai menari itu yang menyatakan pendirian awal mengenai punca kematian anggota bomba, Muhammad Adib  semasa inkues sedang berlangsung.
Saya secara peribadi tidak merasakan Thomas tidak lagi layak sebagai Peguam Negara kerana tidak menghormati prinsip "Rule Of Law" apabila bertindak secara pilih kasih menggugurkan kes-kes melibatkan ‘banglo rasuah’ Lim Guan Eng dan isyarat lucah Siti Kasim.

Biarpun Adib tidak akan kembali ke dunia ini, kita boleh mengubah keadaan dan mengelakkan ia berulang, asalkan meletakkan keadilan di tempat yang betul. 

Friday, September 20, 2019

JEREBU MENGGANAS, RAKYAT LEMAS

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Awal September 2019, jerebu mula menjengah semula ke Malaysia. Jerebu atau senario asap dan partikel debu akbat pembakaran terbuka secara besar-besaran, telah mengakibatkan ruang udara negara Asia Tenggara terjejas teruk.

Pada Rabu 17 September, sekolah di daerah Manjung, Hilir Perak dan bagan Datuk telah diarahkan menutup operasi kerana bacaan IPU melebihi 200. Di Sarawak, beberapa daerah seperti Seri Aman mencatat IPU yang lebih tinggi. Di Selangor dan Kuala Lumpur, keadaan yang sama berlaku.

Ini semua dugaan Allah. Apa yang berlaku menuntut kita muhasabah diri, sejauh mana kita menjaga alam sekitar.

Hari ini, 19 September, hujan lebat di daerah Manjung dari awal pagi telah membantu mengurangkan kesan jerebu.
Alhamdulillah. 

Monday, September 16, 2019

Penyatuan Ummah-Pandangan Bekas Ketua Hakim Negara

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.


Perasaan saya pada 14 September 2019, paling kurang, saya boleh senyum. Terima kasih kepada penganjur yang sudi menjemput saya dan menyewa ambulans untuk membawa saya ke PWTC.
Kembali kepada Piagam Muafakat Nasional. Saya tidak perlu mengulasnya. Apa yang dinyatakan adalah jelas.
Kita mesti ingat bahawa piagam ini adalah garis panduan bagi kerjasama antara UMNO dan PAS dan juga parti-parti lain yang sudi menyertainaya kelak. Kerjasama itu hendaklah dilaksanakan dalam lingkungan dan untuk tujuan garis panduan itu. Wujudnya piagam itu tidak bererti kerjasama akan berjaya. Yang menentukan kejayaan atau kegagalannya, ialah apa yang dilakukan oleh parti-parti yang menyertainya.
Saya percaya jika kerjasama itu dilaksanakan dengan baik, ia akan memberi tamparan  hebat kepada PH, terutama sekali kepada Bersatu, Amanah dan PKR. Saya percaya akan berlaku tsunami patah balik (reverse tsunami) kepada muafakat perpaduan umah. Saya juga percaya majoriti pengundi-pengundi 18 hingga 21 tahun yang sebilangan besarnya adalah Melayu, tidak akan menyokong PH. Tindakan PH menurunkan umur kelayakan mengundi berdasarkan undian golongan muda dalam PRU 14, mungkin akan memakan diri.
PAS boleh dikatakan menandatangani piagam ini dengan kedudukan yang bersih dan kuat. Penyokong PAS akan mengikut arahan ketuanya. Pengundi-pengundi yang bukan ahli atau penyokong Pas tidak mempunyai sebab untuk tidak puas hati dengan adanya pemimpin-pemimpin tertentu sehingga mereka tidak mahu memberi undi mereka kepada muafakat itu.
Tetapi, kita tidak boleh berkata demikian mengenai UMNO. Banyak orang yang bersetuju menyokong muafakat itu, tetapi keberatan berbuat demikian kerana adanya pemimpin-pemimpin UMNO yang mereka tidak sukai, di dalamnya. Mereka merasakan bahawa dengan adanya pemimpin-pemimpin itu, UMNO tidak berubah. UMNO masih dikuasai oleh pemimpin-pemimpin lama yang dikaitkan dengan rasuah dan penyalahgunaan kuasa dan sedang menghadapi berbuluh-puluh pertuduhan. Mereka tidak mahu pemimpin-pemimpin itu berkuasa semula.

Sunday, September 15, 2019

MERAIKAN TAMU SMK JENGKA 2 PAHANG

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Kira kira 3 minggu lalu, Hajah Rohasliza Rashed, guru koperasi sekolah yang menguruskan pelancongan koperasi memaklumkan kepada saya, bahawa kami akan menerima tamu PKS iaitu SMK Jengka 2, Pahang yang dijadualkan pada 14-15 September ini.


 Perancangan dan jadual disusun agar tamu kali ini mendapat manfaat daripada program PKS. Kami menyediakan pelbagai aktiviti yang menarik untuk dikongsi bersama mereka. Antaranya adalah mencari kerang di pantai Tanjung Kepah, merebusnya dan makan di tepi laut. Ini dapat juga mempromosikan keindahan pantai Tanjung Kepah yang tidak diketahui ramai.

Selain itu, peserta diajarkan aktiviti mengadun, menguli dan memasak bubur masyarakat Melayu Banjar, iaitu Wadai Kepeng. Ia merupakan adunan gula, tepung, santan, garam dan gula melaka yang menjadi pilihan utama ketika majlis kenduri kahwin masyarakat Banjar sekitar Lekir.


Keesokan hari pada Ahad 15/9/2019, peserta dibawa ke pulau Pangkor untuk menikmati panorama indah pulan pelancongan yang terkenal itu.

Dengan adanya program PKS, ia menjadi satu landasan yang baik untuk 'Kemenjadian Murid', yang menjadi elemen utama TS25.
Tahniah kepada semua hos program PKS SMK Batu Sepuluh Lekir.

Friday, September 6, 2019

BUDAK LAUT PULAU PANGKOR

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Pulau Pangkor Perak sinonim dengan tempat pelancongan menarik bagi pelancong dalam dan luar negara. Dahulu, pulau ini adalah perkampungan nelayan pelbagai kaum dengan orang Melayu menjadi penduduk asal dengan loghat utara.

Kalau pelancong tempatan dan luar negara ke Pangkor, ia akan memulakan perjalanan feri di pekan Lumut. 

Feri kayu syarikat Min Lian Ferry Service menabur bakti membawa penduduk Pangkor dan pelancong dari Lumut ke pulau tersebut. Perjalanan antara 45 minit hingga sejam bergantung kepada keadaan laut. Feri akan singgah di perkampungan nelayan di Sungai Pinang Besar, sebelum tiba di jeti Pangkor. 

Di kedua dua hentian ini, ramai budak laut pulau Pangkor menunggu ketibaan  pelancong yang mencampakkan wang syiling 20 sen, 50 sen ke dalam air.  Mereka akan menyelam selepas satu hingga 5 saat selepas syiling dicampakkan ke dalam air, dan kembali timbul di permukaan air dengan syiling tersebut sudah berada di tangan mereka.

Kecekapan budak laut pulau Pangkor memang tidak dinafikan. Mereka mampu mendapat pendapatan sampingan dengan memperagakan kemahiran menyelam yang hebat. Rata rata mereka adalah anak nelayan tempatan yang sudah lali, dan biasa dengan laut. 

Hari ini, semua yang saya ceritakan sudah tidak lagi kelihatan di pulau peranginan ini. Budak laut pulau Pangkor hanyalah sebahagian daripada cebisan kenangan tahun 80-an.






Wednesday, September 4, 2019

KEMERDEKAAN: NIKMAT YANG HARUS DISYUKURI

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Frasa Sayangi Malaysiaku; Malaysia Bersih diangkat sebagai tema sambutan kemerdekaan ke 62. Ia sarat dengan mesej patriotik, dan kebersihan yang menjadi keutamaan kerajaan. 

Biarpun ada kalanya isu isu panas seperti perkauman dan agama mewarnai landskap politik negara, rakyat Malaysia mengetepikan perbezaan yang wujud demi menunjukkan semangat cintakan tanah air yang bertuah ini. 

SMK Batu Sepuluh Lekir, turut menyertai rakyat Malaysia yang bangga dengan negara ini. Pelbagai aktiviti dan program diadakan, dengan tujuan menerapkan nilai-nilai murni seperti patriotik, bersyukur dan bangga kerana menjadi warganegara bumi berdaulat.

Selamat menyambut bulan kemerdekaan, semoga Malaysia yang kita sayangi ini, terus maju dan makmur. 






Saturday, August 31, 2019

SEBAYU YANG MENGGAMIT KENANGAN

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.


Pada Jumaat 30 Ogos 2019, saya berkesempatan hadir pada majlis persaraan guru SMK Sungai Bayor, Selama atau SEBAYU. 
Ini adalah 'kepulangan' saya yang pertama selepas meninggalkan sekolah ini pada September 2018. 

Terima kasih atas layanan baik warga SEBAYU semasa saya ke sana. Daripada pengawal keselamatan, guru, pentadbir dan murid, masih ada yang ingat dan dapatlah saya hilangkan rindu sejak meninggalkan sekolah yang banyak mengajar saya ilmu pentadbiran. 

Terima kasih penganjur program yang jemput saya. Saya memang menanti majlis seperti ini kerana bukan mudah untuk hadir ke sini, apatah lagi ia majlis yang istimewa buat cikgu Anwar Ridzi bin Abdul Samad, penolong kanan pentadbiran dan puan Noridah bt Arshad, Pembantu Tadbir yang baik budi.
Pekan Selama yang tenang dan damai

En. Hadi, pengawal keselamatan masih mengingati saya

Pengetua AB Rahman, dan YDP PIBG menyambut kedatangan tetamu

Cikgu Anwar ditemani isterinya puan Ku Hafidzoh


Masih ada pelajar SEBAYU ingat kepada saya 😁

Saya dan Haji Malik bersama guru SEBAYU

Bersama cikgu Aslam  dan pelajar 5K2  yang pernah saya ajar

Anak anak SEBAYU bakal pemimpin masa hadapan

Pasukan KASPA  yang berdisiplin tinggi



Haji Rais, yang baik budi

Cikgu  Badariah, sepupu saya dan suami, cikgu Joe


Insyaallah moga Allah merahmati ukhuwah kita. Buat Hajah Hafsah,h Razali dan Hajah Zaaiyah yang bakal menamatkan perkhidmatan tidak lama lagi, didoakan terus menabur bakti untuk berkhidmat selagi ada ruang masa. 

Buat Kak Dah dan cikgu Anwar, semoga Allah berikan kesihatan yang baik dan gunakan masa untuk menambah ilmu dunia akhirat. 
Insyaallah moga ada peluang saya ke SEBAYU lagi

Sunday, August 25, 2019

SMKBS DIANUGERAHKAN PKS 4 BINTANG

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Alhamdulillah syukur, 

SMK Batu Sepuluh Lekir menerima anugerah 4 Bintang Pelancongan Koperasi Sekolah peringkat kebangsaan yang diadakan di Kampar malam ini. Para tetamu turut disajikan makan malam dan persembahan pelajar orang asli daripada SMK Cenderiang.

Tahniah dan syabas, buat guru Koperasi Sekolah, khususnya Rossuriawani Abdul Kadir dan Liezza Rashed yang tidak mengenal penat menjayakan program ini. 

Semoga kerja baik anda mendapat pahala yang berpanjangan.


Thursday, August 22, 2019

DOA YANG BAIK BAIK UNTUK PEMBENCI ZAKIR NAIK

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Apabila Nabi menerima tentangan kuat kaum kafir Quraisy di Mekah, baginda menadah tangan memohon kepada Allah, agar terbuka hati dua 'musuhnya', iaitu Umar AlKhattab, dan Abu Jahal.

 Apabila baginda dihina dan dibaling batu ketika di Taif sehingga Allah menurunkan dua malaikat untuk meranapkan kota tersebut, baginda menadah tangan mohon dibuka hati mereka yang memusuhinya untuk memeluk Islam.

Allah sebaik baik perancang, diberikan hidayah kepada Umar AlKhattab, sehingga menjadi pembela Islam, walaupun asalnya adalah penentang agama Allah. Begitu juga kisah Khalid AlWalid, dan beberapa orang lagi nama nama hebat dalam sejarah Islam.

Sudah banyak kisah musuh Islam yang akhirnya menerima hidayah Allah yang kita baca. Ia bukan mustahil, kerana Allah berkuasa atas segalanya.

Angkatlah tangan, berdoalah seikhlas hati dan bersungguh sungguh,

"Ya Allah, Pemilik Sekalian Alam, yang membolakbalikkan hati makhluk ciptaanMu, berikan hidayah kepada pembenci agamaMu di Malaysia, kepada pembenci DZN, bukakan pintu hati mereka melihat kebenaran agamaMu.

Jika bukan mereka, berikan hidayah kepada anak anak,cucu dan keturunan mereka menjadi pencinta agamaMu.

Maqbulkanlah doa kami Ya Allah."
Amin ya rabbal 'alamin

Tuesday, August 20, 2019

RIWAYAT NAFAS AKHIR UTUSAN MELAYU?

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Minggu ini, negara dikejutkan dengan berita Utusan Melayu (Malaysia) Bhd berdepan kemungkinan dinyahsenarai daripada Bursa Malaysia berikutan berdepan masalah kewangan ditambah dengan kegagalan untuk mencari pelabur bagi menyelamatkannya.

Syarikat akhbar berbahasa Melayu yang tertua di negara ini ditubuhkan pada 1939 dengan nama Utusan Melayu dengan penerbitan pertamanya dalam tulisan Jawi. Ia telah beroperasi sejak 80 tahun lalu, dan tentu memberikan kesan emosi kepada masyarakat, khususnya orang Melayu.


Pada 30 Jun, 2019 ia mengalami kerugian terkumpul sebanyak RM261.61 juta. Ini bukan jumlah yang sedikit. Pada zaman pemerintahan BN, UMNO yang memiliki saham terbanyak akhbar ini masih boleh memberikannya talian hayat. Namun, situasi hari ini tidak memihak kepada Utusan. UMNO yang selama ini melindunginya, sudah menjadi pembangkang. Pendek kata, tanpa kuasa di tangan, UMNO tidak mampu mengubah nasib Utusan.  


Dalam maklum balas kepada Bursa Malaysia hari ini, syarikat itu dipetik sebagai berkata prestasi segmen penerbitan, pengedaran dan pengiklanan semasanya telah merosot dan ahli lembaga tidak pasti bahawa kumpulan akan dapat kembali pulih pada akhir tahun kewangan 2019.


Disebabkan keputusan yang merosot, syarikat tersebut mengalami kekangan aliran tunai dan berusaha menangani isu itu dengan penjualan harta tanahnya.


Namun begitu, kemajuan penjualan itu terjejas teruk oleh sentimen pasaran perlahan, sekatan dan syarat pihak berkuasa relevan menyebabkannya gagal menyelesaikan isu aliran tunai dengan kadar segera. Adalah mustahil untuk lembaga pengarah meyakinkan pelabur berpotensi menyelamatkan perniagaan akhbar itu, kerana pihak berpotensi yang dikenal pasti enggan mengambil risiko disebabkan liabiliti besar syarikat.


Sejarah Utusan bermula di Queen Street, Singapura. Ia ditubuhkan oleh tokoh nasionalis Melayu Yusof Ishak, yang kemudian menjadi presiden pertama Singapura.


Ia kemudian memindahkan ibu pejabatnya ke ibu negara Malaysia, Kuala Lumpur selepas merdeka pada 1958. Ketika konflik Malayan Union tahun 1946, Utusan Melayu memainkan peranan besar menaikkan semangat orang Melayu menentang gagasan tersebut.  Pada tahun 50-an, peristiwa Natrah, gadis Belanda yang menjadi anak angkat orang Melayu, mencetuskan konflik kaum yang buruk di Singapura, juga diberikan liputan meluas oleh akhbar ini. 

Hari ini, nasib Utusan Melayu, tidak ubah seperti tulisan Jawi yang ditolak oleh sebilangan rakyat negara ini. Barangkali, tidak sukar untuk kita memahami jatuh bangun akhbar ini dalam tempoh 80 tahun, akhirnya melambangkan jati diri bangsa Melayu itu sendiri. 

MENJALA TALAPIA

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini. Agak lama juga saya tidak menjala ik...