Monday, February 22, 2021

SELAMAT MENDUDUKI SPM 2020 YANG PENUH PANCAROBA

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.


Sepanjang saya berkhidmat dalam dunia pendidikan, rasanya SPM edisi 2020 adalah yang cukup mencabar kepada semua calon dan warga pendidik. 

Bermula dengan penularan pandemik Covid19 di seluruh dunia pada awal tahun 2020, menyebabkan semua sektor ekonomi dan pendidikan terjejas. KPM terpaksa menunda tarikh SPM 2020 kepada 22 Februari 2021, iaitu lewat tiga bulan daripada tarikh asal pada 6 November 2020. Gara-gara pandemik ini, standard operasi peperiksaan SPM STAM dan STPM juga diubah, manakala peperiksaan seperti UPSR dan PT3 dibatalkan di seluruh negara.

Hari ini, SPM 2020 bermula dengan SOP yang ditambah baik. Semuanya dibuat bagi mengekang penularan wabak C-19 yang entah bila akan berakhir. 

Di SMKPTLDM, calon seramai 74 orang mendepani cabaran ini sama seperti mana calon SPM di sekolah seluruh negara dengan doa ibu bapa serta guru guru. 

Semoga anda berjaya menduduki SPM dengan tenang dan tabah.   

 

Saturday, February 13, 2021

CERITA TENTANG AZAN SEBELUM SOLAT

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

1. Sebelum Ada Azan 

Terdapat suatu masa di mana jumlah umat Islam di Mekah masih sedikit. Pada tahun kedua Hijrah, jumlah tersebut telah bertambah. Para sahabat Rasulullah ﷺ mula mencari cara terbaik untuk mengumpulkan umat Islam untuk beribadah (solat). Terdapat pelabagai nasihat mengenai panggilan untuk solat ini, tetapi Rasulullah ﷺ tidak berpuas hati dengan cadangan-cadangan tersebut.

Suatu waktu ketika kaum muslimin tiba di Madinah, mereka berkumpul menunggu waktu solat. Namun tidak seorang pun di antara mereka yang dapat memberitahu bahwa waktu solat telah masuk. Sehingga suatu hari mereka bermesyuarat untuk membahas persoalan tersebut. Sebahagian sahabat mengusulkan agar menggunakan lonceng sebagaimana yang digunakan oleh orang-orang Nasrani. [HR. Bukhari]

2. Bermula Dari Mimpi

Suatu hari, Abdullah bin Zaid menghampiri CC Rasulullah ﷺ. Sahabat nabi ini menceritakan mimpinya: “Aku bermimpi seorang lelaki berbaju hijau mengajarku kalimat azan dan menyarankanku memanggil orang-orang untuk solat dengan kalimat tersebut.” Kemudian Zaid melantunkan kata-kata indah azan tersebut. Setelah selesai, Rasulullah ﷺ meminta Zaid untuk mengajar azan tersebut kepada Bilal bin Rabah.

3. Bilal, Muazin Pertama

Bilal bin Rabah adalah salah satu sahabat nabi yang paling setia dan dipercayai. Rasulullah ﷺ meminta Abdullah bin Zaid mengajarkan azan kepadanya. Suara Bilal yang melantunkan azan pun berkumandang di seluruh penjuru Madinah untuk memanggil orang-orang melaksanakan solat.

Diriwayatkan oleh Anas bin Malik:

Bilal diperintahkan untuk menggenapkan (bacaan dalam) azan dan mengganjilkan (bacaan dalam) iqamah kecuali bacaan “Qad Qaaamatishshalah”. [HR. Bukhari]

4. Ada Seruan Khusus Untuk Azan Solat Subuh

Hanya untuk solat Subuh, kalimat “Assalatu khayru min an-naum” atau “solat lebih baik daripada tidur” ditambahkan/diserukan saat azan. Kalimat ini menekankan bahawa bangun untuk solat dan bertemu Allah akan mendapatkan keberkatan terbaik. 

5. Muazin Akan Mendapat Pahala dari Allah

Abdullah bin ‘Amr meriwayatkan bahawa Rasulullah ﷺ bersabda, 

“Jika kalian mendengar muazin, maka ucapkanlah sebagaimana yang dia ucapkan. Kemudian berselawatlah untukku. Kerana barang siapa yang berselawat untukku sekali, maka dengannya Allah akan berselawat untuknya sepuluh kali. Kemudian mintalah al-wasilah kepada Allah untukku. Ia adalah sebuah tempat di surga yang tak diraih kecuali oleh seorang hamba di antara hamba-hamba Allah. Dan aku berharap ia adalah aku. Barang siapa memintakan untukku wasilah kepada Allah, maka dia layak mendapat syafa’atku.” [HR. Muslim]

Setiap orang yang mendengar muazin melantunkan azan akan bersaksi untuk kebaikan sang muazin pada hari itu. Atas sebab ini, muazin tersebut akan mendapat ganjaran terbesar dari Allah SWT pada hari kiamat.

Sumber: #muslimpro

Thursday, February 11, 2021

EBIT LEW, PERANANNYA MELANGKAUI TANGGUNGJAWAB WAKIL RAKYAT

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.


Hampir semua rakyat Malaysia pelbagai kaum mengenali ustaz Ebit Lew. Pendakwah terkenal dan berperibadi hebat ini membuat kerja amal berterusan, dengan menaja kos pengajian seorang pelajar cemerlang dari keluarga miskin di Kelantan, Nurul Asma Alya Mohd Zainal bagi melanjutkan pelajaran peringkat ijazah di luar negara. 

Menerusi kemas kini di laman Facebook, Ebit berkata, tajaan tersebut melibatkan lebih RM40,000 untuk tempoh pengajian selama dua tahun setengah termasuk penginapan.

Nurul Asma Alya dijangka memulakan pengajian dalam bidang perakaunan pada bulan April 2021. Tidak cukup dengan itu, ustaz Ebit dan pasukannya turut menghadiahkan laptop dan router serta Wifi. Wifi oleh Digi (diberi) percuma selama setahun.

Keluarga pelajar berkenaan mereka menangis kegembiraan ketika ustaz Ebit berkunjung di rumah mereka di Tumpat dan tidak henti-henti mengucapkan terima kasih.

Ketika beliau tiba pelajar tersebut terkejut dan ibunya menangis kerana terharu. 

“Saya terbaca kisah adik ini pelajar MRSM Tumpat cemerlang.

“Hanya air mata dapat menggambarkan kesedihan seorang pelajar cemerlang di Kampung Banggol Petani, Wakaf Bharu kerana terpaksa melupakan cita-cita melanjutkan pengajian di peringkat ijazah perakaunan di luar negara,” katanya lagi.

Saya tabik dengan usaha insan bernama Ebit Lew ini. Walaupun ada pihak memandang sinis atas usahanya membantu masyarakat, Ebit Lew menjadi wira rakyat marhaen. Peranannya sudah melangkaui tugas yang sepatutnya dimainkan oleh wakil wakil rakyat dan ahli politik. Itulah sebabnya juga, Tan Seri Annuar Musa, seorang menteri turut berasa 'malu' kerana Ebit Lew mempunyai keperibadian luhur yang sepatutnya dimiliki oleh wakil wakil rakyat.  

Kisah beliau membantu komuniti miskin tanpa mengira kaum dan agama, di pedalaman atau di kota, mangsa banjir dan seumpamanya, telah menjadikannya seorang insan yang disayangi oleh segenap lapisan masyarakat. 

Berita berkaitan di sini



Thursday, February 4, 2021

SUBHANALLAH, BERUNTUNGNYA TUNAIKAN HAJI SEBELUM PANDEMIK C19 MELANDA

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Baru-baru ini, Tabung Haji, iaitu sebuah agensi kerajaan yang menguruskan deposit rakyat Malaysia menunaikan ibadah haji, memaklumkan bahawa syarat kelayakan menunaikan ibadah haji pasca pandemik Covid-19 diperketatkan.

Saya masih ingat lagi, bagaimana saya dan isteri mendaftarkan diri untuk pergi haji. Dalam satu perbualan bersama ustaz Ahmad Junaidi Mohd Said, guru agama yang dilantik oleh TH, beliau menyatakan tempoh menunggu pada masa akan datang akan mencecah kepada 30 - 40 tahun selepas mendatar haji. 

Setelah mendengar taklimat daripada ustaz Ahmad Junaidi, kami lantas ke TH dan mendaftar bagi menyahut seruan rukun Islam tersebut. Pihak TH menyatakan giliran kami menunaikan ibadah haji pada musim haji tahun 2019.  Saya mula membuat rayuan kepada TH pada 2013 dan ia berterusan sehingga 2016. Kursus haji juga kami hadiri di masjid Annasriyah, Sitiawan dan Masjid Sultan Alang Iskandar, kampung DSK. 


Namun rezeki saya rayuan untuk ke sana dimakbulkan Allah pada 2017, sebagai calon simpanan. Pada musim haji tahun tersebut, Malaysia mendapat jumlah kuota tambahan daripada kerajaan Arab Saudi pada saat akhir.

Saya terima panggilan daripada pegawai TH ketika pulang ke kampung. Katanya jika saya menolak, surat tawaran tidak dikeluarkan. Maknanya memang TH nak kepastian dahulu sebelum beri surat tawaran kepada calon rayuan bakal haji. Saya dan isteri tidak berfiki panjang dan kami bertekad untuk menunaikannya. Ketika itu saya baharu melapor diri bertugas di SMK Sungai Bayor, Selama. Pastinya ia sedikit sukar kerana saya hanya dapat pulang ke rumah pada hujung minggu. 

Kurang 3 minggu selepas pengesahan menerima tawaran rayuan, pada 2/8/2017, saya dan isteri menyertai jemaah terakhir singgah di  Kelana Jaya sebagai pusat transit jemaah haji. (Pada 2018 Hotel Movenpick TH KLIA sudah beroperasi dan mengambil alih peranan TH Kelana Jaya).

Kami dapat berada 28 hari di Masjidil Haram bersama kumpulan jemaah maktab 86, di hotel Fajr Bade'4. Saya dapat beberapa kali menunaikan ibadah umrah, selain menikmati solat fardhu, solat Jumaat berjemaah di MasjidilHaram serta khatam membaca Al-Quran sepanjang berada di sana. 
 
Mengenangkan apa yang berlaku pada 2020, sudah pasti tiada kalimah lain yang sesuai untuk menyatakan betapa beruntungnya peluang menunaikan haji yang Allah kurniakan pada tahun 2017.
Alhamdulillah syukur..
Alhamdulillah syukur..
Alhamdulillah syukur..

MENJALA TALAPIA

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini. Agak lama juga saya tidak menjala ik...