Friday, November 25, 2022

TAHNIAH ANWAR IBRAHIM PM MALAYSIA KE-10

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.


Setelah melalui kemelut berpanjangan pasca PRU 15 sejak Sabtu 19 November 2022, Malaysia akhirnya mendapat Perdana Menteri ke-10, iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim. Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan melantik Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri ke-10 pada 24 November 2022 di Istana Negara. 

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Seri Ahmad Fadli Shamsuddin berkata, pelantikan itu dibuat Al-Sultan Abdullah selepas memperhalusi titah pandangan Raja-Raja Melayu yang mengadakan musyawarah bersama baginda. 

"Pada sesi perbincangan khas berlangsung bermula 11 pagi tadi, baginda berkenan mewasalkan kepada Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu proses perlantikan Perdana Menteri baharu susulan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) pada 19 November lalu."Perbincangan khas itu adalah juga bertujuan bagi baginda mendapatkan pandangan Raja-Raja Melayu untuk membolehkan baginda membuat keputusan terbaik demi kepentingan dan kesejahteraan negara serta rakyat.

"Proses itu adalah bagi membolehkan baginda membuat keputusan melantik seorang ahli Dewan Rakyat yang pada hemat baginda mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahli-ahli Dewan Rakyat sebagai Perdana Menteri selaras dengan Perkara 40(1)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan," katanya dalam satu kenyataan.

Istiadat Pengurniaan Suratcara Perlantikan dan Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia sebagai Perdana Menteri yang dijadualkan berlangsung 5 petang Khamis 24 November, di Istana Negara.

Yang Dipertuan Agong mengingatkan kepada semua pihak bahawa yang menang tidak menang semua dan yang kalah tidak kalah semua. Justeru, bagaikan biduk lalu, kiambang bertaut, hulurkan tangan antara satu dengan yang lain bagi merapatkan semula saf antara semua ahli-ahli Dewan Rakyat demi masa depan negara tercinta.

YDPA juga menegaskan bahawa negara ini umpama harta pusaka dengan pemimpin adalah pemegang amanahnya yang perlu dijaga kerana bakal diwarisi generasi muda yang akan membawa negara terus ke mercu kejayaan.

Tahniah DSAI semoga Malaysia terus makmur dan aman sentosa.

Thursday, November 24, 2022

DEMAM PIALA DUNIA QATAR 2022 MENCIPTA KEJUTAN

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Qatar menjadi tuan rumah Piala Dunia 2022 yang mengumpulkan 32 pasukan terbaik dunia untuk merebut piala tersebut bermula 21 November hingga 24 Disember 2022. Selain daripada upacara pembukaan kejohanan yang memukau Qatar juga mempamerkan nilai budaya masyarakat dan agama Islam kepada para penyokong bola sepak daripada seluruh dunia. 

Kejutan permainan peringkat awal kumpulan menyaksikan Argentina tewas kepada Arab Saudi. Dua gol memukau pada awal separuh masa kedua hasil jaringan Arab Saudi memberi kejutan besar kepada pasukan Argentina yang terpaksa menelan pahit kecundang dengan kedudukan 2-1 pada perlawanan tersebut.

Gol- gol hasil rembatan Saleh Al-Shehri dan Salem Al-Dawsari dalam perlawanan yang disaksikan kira-kira 88,000 penyokong, di Stadium Lusail, di Doha telah mendiamkan penyokong Argentina, manakala seluruh Arab Saudi berpesta meraikan kemenangan skuad mereka ke atas pasukan ketiga terbaik dunia.  

Arab Saudi adalah pasukan bukan pilihan dalam perlawanan tersebut. Sebaik Messi selesai menyempurnakan sepakan penaltinya, ramai seolah-olah sudah menjangka Argentina bakal menguasai perlawanan. Namun sebaliknya berlaku pada separuh masa kedua apabila ia bangkit dan cemerlang menamatkan rekod 36 perlawanan tanpa kalah Argentina. 

Satu lagi pasukan Asia, iaitu Jepun memulakan aksi Kumpulan E dengan mengejutkan Jerman pada Rabu 23 November 2022. Gol daripada pemain gantian Ritsu Doan dan Takuma Asano pada 15 minit terakhir memberikan Jepun kemenangan menakjubkan 2-1 ke atas juara dunia empat kali, Jerman, di Stadium Antarabangsa Khalifa.  Jerman bagaimanapun mendahului dengan sepakan penalti minit ke-33 daripada Ilkay Guendogan selepas penjaga gol Jepun Shuichi Gonda yang mengasari sayap David Raum.

Kedudukan 1 - 0 tidak bertahan lama apabila Jepun terus melakukan asakan bertubi-tubi sehingga ke separuh masa kedua ke arah pintu gol Jerman.

Kemuncaknya, Doan mengambil kesempatan mengikat kedudukan 1-1 pada minit ke-75, sebelum Asano melakukan kejutan lapan minit sebelum perlawanan tamat. 

Selama ini pasukan Eropah menganggap corak permainan pasukan Asia kurang berkualiti, namun ia dibuktikan sebaliknya. Tahniah Jepun dan Arab Saudi. Kita tunggu penampilan Korea Selatan pula selepas ini. 

Tuesday, November 22, 2022

KEPUTUSAN PRU 15: BENCANA ATAU LABA BUAT RAKYAT?

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Pada 19 November 2022, seluruh negara berpesta menghadapi PRU ke-15. Tiga parti politik terbesar yang merupakan gabungan parti utama menyusun strategi memikat hati pengundi dengan pelbagai kaedah dan  cara. Barisan Nasional ditunjangi UMNO, MIC dan MCA; Pakatan Harapan membariskan PKR, DAP dan Amanah, manakala Perikatan Nasional disertai oleh PAS, Bersatu dan Gerakan. 

Sebanyak 222 kerusi parlimen seluruh negara dipertandingkan, manakala negeri Perlis, Perak dan Pahang turut mengadakan pemilihan anggota Dewan Undangan Negeri serentak pada tarikh 19 November. 

Saya dan isteri mengundi di SKKDSK dan kami pergi pada sebelah petang bagi mengelakkan berbaris panjang. Anak-anak juga berpeluang mengundi kerana mulai PRU 15 mereka yang berusia 18 tahun ke atas layak mengundi secara automatik. Mereka juga teruja untuk mengundi kali pertama.

Saya tidak menjangkakan mana mana parti gabungan ini mendapat majoriti kerana banyak pihak meramalkan tiada yang mendapat majoriti mudah. Jauh di sudut hati saya mengharapkan parti yang dapat membentuk kerajaan, dapat memastikan ekonomi dan kesejahteraan rakyat terpelihara. Inilah matlamat dan perjuangan yang selari dengan pendirian saya. Namun kita perlu redha dan akur dengan ketentuan Allah. Saya juga redha dengan apa juga keputusan yang rakyat buat dalam PRU kali ini. 

Keputusan PRU sudah kita ketahui seperti yang dikeluarkan oleh SPR. Pakatan Harapan yang kononnya dapat majoriti mudah (mengikut ramalan Rafizi Ramli) hanya mendapat 83 kerusi, diikuti rapat oleh Perikatan Nasional yang mendapat 73 kerusi dan BN mendapat 30 kerusi. Pencapaian BN adalah yang terburuk sejak PRU 1955. Ia tidak lagi menjadi pilihan rakyat terutama orang Melayu. 

Keadaan menjadi tidak menentu kerana keputusan PRU kali ini tidak memberikan isyarat penubuhan kerajaan majoriti. Begitu juga dengan DUN Perak yang mencatat PH mendapat 24, BN 9 kerusi dan PN mendapat 26 kerusi. Akhirnya Saarani Mohamed membuat keputusan mengejutkan dengan menyertai gabungan bersama PH kerana dijanjikan jawatan MB. Keputusan ini mengecewakan rakyat negeri Perak yang pernah melalui mimpi ngeri pemerintahan 11 bulan pada 2008 yang penuh kacau bilau. Namun ADUN Kota Tampan tersebut tentu mempunyai naratif dan justifikasi yang menyebabkannya berbuat demikian. 

Sehingga posting ini ditulis, kita masih belum mendapat keputusan siapakah perdana menteri dan manakah gabungan kerajaan yang memerintah Malaysia.  Apa pun yang berlaku, rakyat harus berlapang dada dengan situasi yang berlaku. Jangan hendaknya ada yang menangguk di air keruh dan melakukan anarki sehingga menjejaskan keamanan negara.  

KEPADA ALLAH KITA MOHON PETUNJUK DAN PERLINDUNGAN

 

Wednesday, November 9, 2022

SELAMAT TINGGAL SMKPTLDM

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Saya mendapat panggilan daripada pihak PPD Manjung meminta saya hadir ke sana pada 25 Oktober 2022. Rupanya saya menerima amanah baharu sebagai pegawai School Improvement Partners (SIP+) di Pejabat Pendidikan Daerah Manjung berkuatkuasa 17 Oktober lalu. Saya mohon penangguhan kerana masih banyak perkara perlu diselesaikan sebelum berpindah tempat bertugas. 

Saya diberi ruang menangguhkan kerja sehingga 3 November dan dikehendaki mula bertugas di PPD Manjung pada 7 November 2022.  Sebagai kakitangan kerajaan, saya akur dengan arahan yang diberikan. Saya mengimbau kenangan semasa mula mula masuk ke SMKPTLDM. Tentunya ia satu memori manis yang saya ingat ke akhir hayat. Ketika masuk pangkalan Lumut sebagai pengetua pada 12 November 2020, negara sedang dilanda pandemik Covid 19 dan kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) melibatkan sekolah dan institusi pengajian tinggi. Suasana ketika itu sangat sunyi dan asing buat saya. 

Saya bersyukur sebab diterima dengan baik di sekolah ini. Memberi khidmat kepada anak anak warga pangkalan Lumut adalah satu penghargaan buat saya. Saya juga mendapat sokongan padu para guru dan staf sekolah yang baik budi. Kita merupakan pekerja dan makan gaji, sama seperti kakitangan awam yang lain. Kita semua sama, sebagai hamba Allah, sebagai penjawat awam yang ada amanah dan tanggungjawab yang perlu dipikul dengan penuh keikhlasan. 

Jika ada pun perbezaan kita hanya jawatan yang dipikul. Yang membezakan kita cuma, nama jawatan. Sebagai pengetua, saya ketua jabatan yang bertanggungjawab memastikan operasi sekolah dilaksanakan seperti ketetapan yang dibuat. 

Hakikatnya, apa pun nama kerjanya, kita akan menghadap Yang Maha Esa dan perlu menjawab atas amanah yang diberikan kepada kita. 

Perkara paling sukar dilakukan apabila kita ingin mengubah sesuatu yang sudah menjadi budaya. Tidak kira sama ada ia baik atau sebaliknya, perubahan yang dibawa selalunya diberikan reaksi yang pelbagai oleh subordinat.  Ada yang menerima, ada yang sebaliknya. 

Saya selalu ungkapkan kepada sahabat sahabat penolong kanan dan guru kanan, sama-sama kita memberi perkhidmatan yang terbaik kepada SMKPTLDM, membentuk pasukan kerja yang sehaluan dan seiringan. 

Terima kasih buat seluruh warga sekolah yang telah bersama-sama saya untuk tempoh 2 tahun yang penuh suka duka. 

Tidak dilupakan, pasukan staf di pejabat yang sentiasa bekerja bersama saya bagi memastikan kelancaran semua urusan pentadbiran. Terima kasih kepada KD Malaya khususnya Mejar Dailami yang bertanggungjawab menjaga sekolah dalam pangkalan. 

Terima kasih atas khidmat bakti semua yang tidak kenal erti lelah bagi tiap tugasan yang dilaksanakan. 

We still have a long journey to go. 
Sepangkalan Boleh!

DAMAILAH IJAN, WIRA NEGARA

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini. Keranda jenazah Ijan dibawa ke masji...