Monday, May 9, 2022

RAYA TIBA TIBA YANG MEMBAWA RAHMAT

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Pulang ke pantai timur pada musim perayaan adalah igauan para pemandu, kerana bimbang terperangkap dalam kesesakan yang kronik. Perjalanan pulang berhari raya di Terengganu tahun ini, kami memilih laluan Simpang Pulai- Gua Musang -Aring - Kenyir, dan bukannya jalan raya Timur Barat (Gerik - Jeli). Ini kerana saya yakin laluan Gerik -Jeli - Pasir Puteh adalah laluan yang pasti mengalami kesesakan parah musim perayaan ini. Saban tahun, itulah yang berlaku. Apatah lagi, sudah lebih dua tahun sejak PKP mulai dilaksanakan pada 1 Mac 2020, inilah kali pertama rakyat diberikan kebenaran rentas negeri untuk pulang berhari raya. Dikhabarkan lebih dua juta kenderaan dijangka menggunakan laluan ke pantai timur pada musim perayaan kali ini.  
Anak perantau mengambil peluang pulang ke kampung masing masing kerana sudah lama tidak dapat beraya bersama sanak saudara. Pastilah jalan raya penuh sesak dengan kenderaan. Andaian saya tepat. Berita di media sosial mengesahkan kesesakan di LPT, PLUS, tol Gombak, Jeli- Bukit Bunga. Syukurlah kami mengambil laluan yang kurang risiko. Dari Lekir, kami bertolak kira kira jam 8 pagi menuju ke Batu Gajah, masuk ke Simpang Pulai dan terus ke Gua Musang. Perjalanan agak santai dan akhirnya kami sampai ke bandar Gua Musang yang sesak di pusat bandar menuju ke Kuala Krai, kerana pertembungan dengan kenderaan dari arah KL melalui Kuala Lipis Pahang. Kami berasa lega setelah memasuki laluan Felda Aring dan dapat solat Zohor di Masjid Kilang Sungai Tong, sebelum meneruskan perjalanan dan tiba kira -kira 4 petang. 

PENGUMUMAN RAYA TIBA-TIBA

Usai berbuka puasa dengan keluarga mentua, kami bersiap untuk solat maghrib. Ketika sedang mandi, anak anak menjerit memberitahu, raya jatuh pada hari Isnin 2 Mei 2022. Pengumuman tersebut dibuat oleh penyimpan mohor besar raja-raja, dan disahkan melalui pelbagai reaksi dalam media sosial. Rata-rata menjangkakan raya pada Selasa. Rupanya tarawih terakhir Ramadhan tahun ini tak sempat dibuat di Terengganu. Malam itu kami bertakbir raya selepas solat Isyak. 

PERNIKAHAN ADIK BONGSU PADA HARI RAYA KE-4

Adik ipar saya, Wan Amirah Afifah bertemu jodohnya dengan pemuda kampung Maras, iaitu Mohammad Asyraf Che Wahid. Majlis akad nikah pada Khamis 5 Mei berjalan lancar dan kami bersyukur ramai saudara terdekat termasuk Poksan, Pokwa dan Ayohcik dapat meluangkan masa hadir meraikannya.   

Kami bersama Bak dan Cek, tanpa Aqil Najmi yang beraya di Sabah

MASJID RAZALEIGH GUA MUSANG

Perjalanan pulang ke Perak lancar, sehinggalah kami memasuki laluan Kuala Krai-Gua Musang. Kami menempuh kesesakan jalan raya yang agak teruk. Kenderaan berbaris panjang namun syukurlah kerana selamat tiba di RR Gua Musang. Selesai solat jamak zohor asar, kami masih perlu melalui kesesakan yang panjang sehingga ke bandar GM. Akhirnya saya buat keputusan berehar sebentar di masjid baharu yang dibina ala-ala Masjidilharam, dengan kos lebih RM28 juta. Kami bertemu ramai pengunjung yang terpegun dengan seni bina masjid ini. Saya jumpa Haji Sajihan dan Kak Nor, warga Manjung yang pulang berhari raya di Dungun. Anak anaknya Norita dan Norina adalah bekas pelajar saya. Kini kedua-duanya sudah menjadi mak orang. Begitulah hukum dunia, (Saya semakin tua sebenarnya)

Perjalanan pulang kami lancar sebaik melepasi simpang ke Kuala Betis. Kami selamat tiba di Lekir kira kira 10.40 malam. Syukurlah perjalanan lebih 12 jam bernoktah tanpa sebarang masalah besar. Saya mendapat berita laluan di Jeli dan LPT mengalami kesesakan teruk sehingga stesen minyak pun keputusan bekalan minyak. 

Syawal kali ini betul betul 'raya'....


MENJADI TUA ADALAH FITRAH, BUKAN SEMUA INSAN MENIKMATINYA

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini. Pagi Rabu 11 .12.2024, menjadi tarik...