Saturday, November 16, 2024

TUN DAIM YANG DERMAWAN

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Tun Daim Zainuddin, mantan menteri kewangan Malaysia pada zaman pentadbiran Perdana Menteri Dr Mahathir, kembali ke rahmatullah pada 8 pagi Rabu 13 November 2024 pada usianya 86 tahun. 

Tun Daim adalah individu yang hartawan dan dermawan sebelum berkecimpung dalam dunia politik. Namun pada pengakhiran hidup beliau, Tun Daim didakwa oleh pentadbiran PMX sebagai hartawan yang mendapat kekayaan daripada sumber tidak sah, dan lari daripada membayar cukai. Beliau dibicarakan dalam keadaan dirinya uzur, dan dituduh melewatkan perbicaraan untuk mengelakkan hukuman.

Tun Daim kini sudah tiada, namun pemergiannya ditangisi oleh rakyat yang pernah menerima sumbangan beliau, di dalam negara termasuk di luar negara, hingga di sebuah masjid di Gold Coast Australia, imamnya menceritakan tentang kebaikan sifat dermawannya sehingga membolehkan sebuah masjid dibina.

Daim yang diam, memang seorang yang sangat tinggi adabnya dalam bicara, banyak jasanya tidak dihebahkan semasa hidup, hanya diketahui selepas jasadnya bersemadi.

Semoga Allah merahmati roh beliau.

Monday, November 4, 2024

LAWATAN SANTAI KAMPUNG TERSUSUN BATU 11 LEKIR KE PANTAI TIMUR

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Pada 31 Oktober 2024, jam 11 malam, seramai 28 orang peserta yang kebanyakannya daripada kampung tersusun Batu 11 Lekir telah menyertai lawatan ke negeri Kelantan dan Terengganu. Lawatan ini bertujuan meluaskan pandangan di samping mengukuhkan hubungan sesama manusia. 

Perjalanan kami sampai di Masjid Andalusia di Melor pada Jumaat 1/11/2024 untuk solat subuh, dan kami bersarapan di sebuah kedai makan sebelum ke Masjid Kampung Laut yang merupakan antara masjid tertua di Malaysia. 

Kami juga melihat industri pembuatan serunding atau lebih dikenali oleh orang tempatan sebagai sambal daging. Serunding merupakan produk utama Kampung Laut dan ramai pengusahanya mempunyai kilang dan mengedarkan ke serata Malaysia. 

Kami juga berkesempatan ke Pasar Siti Khadijah untuk membeli cenderahati. Kemudian kami solat Jumaat di masjid kota, sebelum menziarahi pusara ulama dan mantan menteri besar Kelantan, Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat di Pulau Melaka. 

Menjelang petang kami singgah di Penarek untuk menikmati ikan celup tepung dan bermalam di inap desa Batu Rakit bagi merehatkan badan. 

Pada pagi Sabtu 2/11/2024, peserta dibawa ke Jambatan Angkat yang menjadi ikon pelancongan negeri Terengganu. Kami juga berpeluang membeli-belah di Pasar Payang yang kini sudah maju dan bangunannya dibaikpulih bagi keselesaan pengunjung. 

Singgah di Nur Arfa Batek, saya tidak melepaskan peluang mewarna batik dengan harga hanya RM15/satu lukisan. Masjid terapung pertama di Malaysia, iaitu Masjid Tengku Tengah Zaharah dibina pada 1990 menjadi persinggahan kami seterusnya. Persinggahan maghrib di Masjid Hadhari Jertih memberi peluang saya melihat senibina istana Alhambra yang diterapkan di masjid tersebut. 

Perjalanan pulang kami terserempak dengan kawanan gajah liar di laluan Jeli- Gerik. Namun pemandu en. Shah dan Alias menggunakan pengalaman mereka memastikan gajah tersebut tidak mengganggu perjalanan. Kami selamat sampai di Lekir kira kira 3.30 pagi Ahad 3/11/2024. 

Perjalanan ini walaupun memenatkan namun memberi pengalaman kepada semua peserta yang terlibat. Terima kasih kepada semua yang menjayakan program ini.















Monday, October 28, 2024

KERETA EV: FIKIR SEBELUM BELI

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Lambakan kereta EV di Malaysia menjadikan pilihan kepada pengguna lebih luas. Kebanyakan model EV adalah daripada negara China yang menawarkan harga kompetitif dan lebih rendah berbanding AS. 

Namun begitu, penggunaan kereta dengan teknologi EV di Malaysia masih baharu. Tidak dinafikan ia menawarkan banyak manfaat, tetapi ia juga mempunyai beberapa keburukan yang perlu dipertimbangkan oleh rakyat Malaysia:

1. Jarak Pemanduan Terhad: Bateri EV biasanya mempunyai jarak pemanduan yang lebih pendek berbanding kenderaan berasaskan petrol atau diesel. Ini boleh menjadi cabaran, terutama untuk perjalanan jauh di kawasan yang kurang kemudahan pengecasan. Biasanya stesen pengecasan di pantai barat dan bandar utama di semenanjung lebih banyak dan mudah untuk dicari. Namun di pantai timur serta di Sabah dan Sarawak, ia agak terhad. 


2. Masa Pengecasan yang Lama: Berbanding dengan mengisi minyak yang hanya mengambil masa beberapa minit, pengecasan EV boleh memakan masa dari beberapa jam hingga semalaman, bergantung pada jenis pengecas yang digunakan. Sebagai perbandingan, mengisi minyak konvensional hanyalah mengambil masa sekitar 5 - 7 minit, berbanding pengecasan semula kereta EV antara 2 jam hingga 5 jam untuk mendapatkan jarak perjalanan 90% ke atas.


3. Ketersediaan Stesen Pengecasan yang Terhad: Di sesetengah kawasan, terutamanya di kawasan luar bandar, stesen pengecasan mungkin sukar didapati. Ini boleh menyukarkan pengguna EV untuk melakukan perjalanan jarak jauh dengan yakin. Kebanyakan stesen minyak Petronas menyediakan perkhidmatan pengecasan semula kereta EV berbanding dengan stesen minyak lain. 


4. Kos Bateri yang Mahal: Walaupun kos penyelenggaraan EV lebih rendah, bateri EV yang rosak atau perlu diganti adalah mahal. Hayat bateri biasanya antara 8-15 tahun, dan kos penggantian bateri boleh menjadi beban kewangan.
Sebagai contoh, harga bateri kereta EV jenama BYD dianggarkan RM20k manakala jenama Tesla lebih tinggi, sekitar RM30k hingga RM35k.

5. Isu Alam Sekitar dengan Pembuatan Bateri: Pembuatan bateri EV melibatkan perlombongan bahan seperti litium, kobalt, dan nikel, yang boleh memberi kesan buruk kepada alam sekitar. Perlombongan ini juga memberi kesan sampingan kepada alam sekitar. 

Kesimpulannya, banyak perkara perlu difikirkan dengan teliti sebelum kita memilih kereta EV. Dengan keadaan cuaca di Malaysia dan banjir kilat yang sering berlaku, ia juga alasan yang memungkinkan penggunaan kereta EV menjadi tidak popular di negara ini. 



Monday, September 2, 2024

SELAMAT HARI KEBANGSAAN KE -67 (SAJAK KHAS UNTUK NEGARAKU)

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

TANAH MERDEKA INI

 

Tanah merdeka ini

Bumi bertuah 

Dibina dengan air mata

Sedih pilu, keringat

Mengalir  darah  

Nyawa pejuang bangsa

Menjadi galang ganti

Demi satu kemerdekaan

Demi kedaulatan

Dan  harga diri

 

Tanah merdeka ini

Semarak api perjuangan

Adat budaya bercambah aneka

Bersatu di bawah nama Malaysia

Kita jana makmur dan sejahtera

Tidak usah berbalah

Merosakkan isinya

Kita merencana dan membina

Bukan meruntuhkan

apa yang sudah ada

 

Tanah merdeka ini

Milik kita selamanya

Kita pewaris

Kita bangsa merdeka

Pertahankan bumi berdaulat

Malaysia tercinta

Usah gadaikan maruahnya

Jangan diinjak-injak namanya

Kerana merdeka ini

Mahal harganya.

 

SIPartners+ PPD Manjung


Thursday, April 25, 2024

DAMAILAH IJAN, WIRA NEGARA

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.
Keranda jenazah Ijan dibawa ke masjid Al Khairiah


Tarikh 23 April 2024, adalah tarikh hitam sejarah KD Rajawali, TLDM. Dua buah helikopter TLDM yang sedang mengadakan latihan sempena Hari Terbuka Armada yang dijadualkan berlangsung pada 3-5 Mei 2024, telah berlanggar dan mengorbankan 10 orang wira negara. 

Pada pagi hari kejadian, saya menghantar ucapan selamat hari lahir kepada anak sulung, Qatrunnada yang genap usianya 26 tahun. Awal pagi lagi, saya meninggalkan rumah untuk  mengikuti bengkel anjuran INTAN Wilayah Utara di Taiping sepanjang hari tersebut. 

Kira kira jam 10 pagi, saya menerima beberapa mesej video memaparkan tragedi helikopter berlanggar ketika latihan, dan 10 anggota tentera telah terkorban. Kejadian berlaku pada 9.45 pagi dan cerita sudah tersebar di media sosial. 

Saya kaget. Benarkah perkara ini? Tidak lama kemudian, ia disahkan benar oleh markas tentera laut dan senarai nama mangsa dipaparkan di media sosial. Alangkah terkejutnya saya, apabila mengamati beberapa orang yang saya kenal adalah mangsa helikopter malang tersebut. 

Antaranya ialah Lt Sivasuthan, juruterbang Fennec yang pernah saya temui semasa sesi lawatan ke Markas Udara tahun 2023 bersama Guru Kaunseling Negeri Selangor. Tujuh orang mangsa adalah lelaki dan 3  lagi anggota wanita.

Lebih mengejutkan, seorang mantan murid saya, Mohd Shahrizan Mohd Termizi, atau Ijan yang merupakan Pegawai Waran 2 yang bertugas dengan Helikopter Fennec turut meninggal dunia dalam kejadian tersebut. Ijan adalah ketua komandan KRS semasa bersekolah di SMK Batu Sepuluh Lekir, dari 1996 hingga 2000. Arwah juga anak sulung pengerusi surau Nur Al-Hidayah Taman Mohd Wazir, iaitu Abang Hassan atau nama sebenarnya Mohd Termizi Abdul Ghani. 

Al-Fatihah buat wira negara yang terkorban dalam tragedi tersebut. 


Monday, December 18, 2023

MENJALA TALAPIA

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.


Agak lama juga saya tidak menjala ikan. Kemahiran menjala dipelajari daripada Ustaz Ahmad Junaidi, sahabat saya yang kini Penolong Kanan Hal Ehwal Murid di SABK Maahad Islahiah Addiniah Batu 10 Lekir beberapa tahun lalu ketika kami bertugas bersama. 

Jala yang saya miliki pun sudah agak lama dan usang, namun masih boleh berbakti. Ada beberapa koyakan tapi sudah dijahit (asal boleh jahit sahaja). Bukan tidak ada yang baharu, tapi jala 8 kaki ini sedap digunakan. Saya rasa selesa menggunakannya, dan jarang ia menghampakan. 

Musim talapia kembali lagi, dan ia naik sekali dengan udang laut. Saya ke lubuk talapia di anak sungai berdekatan kunci air Sungai Tiram. Banyak juga ikan talapia dan udang yang saya dapat pada petang berkenaan. 

Monday, October 23, 2023

MAK ANJANG KHALIJAH GURU MENGAJI YANG HEBAT

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.
Bersama Mak Anjang dan anak anaknya
Mak Anjang Khalijah Abu Bakar, adalah guru mengaji legenda yang banyak jasanya kepada anak-anak Kampung Dato' Seri Kamaruddin (DSK) pada tahun 70-an dan 80-an.

Petang Ahad 22 Oktober 2023, saya mengunjungi mak anjang Khalijah di DSK, kampung asal tempat saya membesar dahulu. 

Mak anjang diberitakan jatuh selepas keluar bilik air dan mendapat rawatan lanjut di hospital Seri Manjung dua minggu lalu. Mak anjang tinggal bersama anak sulungnya, Arif. Anak bongsunya Wani, tinggal tidak jauh dari situ. Suami mak anjang sudah meninggal dunia hampir 10 tahun lalu. 

Selepas menerima rawatan di hospital Seri Manjung, keadaannya stabil dan mak anjang kembali ke rumah. 

Saya masih ingat, ketika berusia 7 tahun, mak anjanglah yang mengajar mukadam (kami panggil jehama) sehingga khatam Al-Quran dengan mengenali tajwidnya. Yong Nor Azaliah Ali Hassan , Yong Zabidah Yahaya ,  arwah Sani, Khairul Anuar Ali Hassan dan Noor Aishah Ali Hassan juga pernah menerima didikan mak anjang. 

Mak anjang tegas ketika mengajar kami. Saa takut denganna dahulu. Dia masih ingat betapa saya mudah menangis apabila ditegur sebab tak pandai mengaji ketika itu... 😁😁😁😁

Namun saya cepat belajar dan berjaya khatam Quran sebelum darjah 6. Dahulu,  rumah Tok Anjang Bakar dijadikan pusat mengaji, kemudian berpindah ke surau (tapak Sekolah Agama Rakyat) yang terletak bersebelahan Masjid Sultan Alang Iskandar. 

Hasil didikan Mak Anjang, saya mengenali huruf-huruf tajwid dan bacaannya; idgham, ikhfak, huruf mat, dan seumpamanya. Mak anjang membunyikan bacaan dengan betul dan kami akan mengikuti bacaannya. Di mana perlu didengungkan atau dipanjangkan bacaan, mak anjanglah pakar rujuk kami ketika itu. 

Ramai kawan sekampung belajar mengaji bergurukan mak anjang. Ada yang berjalan kaki dan berbasikal. Balik dari surau, saya melalui kebun ubi kayu untuk pulang ke rumah yang jaraknya tak sampai 400 meter. 

Masa berlalu,  kini usianya 73 tahun, mak anjang masih menabur bakti mengajar Al-Quran kepada anak-anak di DSK. Jika dihitung tempohnya, mungkin murid mak anjang sudah mencapai ribuan orang.

Terima kasih mak anjang, mengajar kami huruf Al-Quran dan tajwid.

TUN DAIM YANG DERMAWAN

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini. Tun Daim Zainuddin, mantan menteri k...