Mak Anjang Kholijah guru ngaji DSK
Sekitar usia saya 7 tahun, mak dah hantar ke rumah tok anjang Bakar, selang 6 buah rumah dari rumah kami. Anaknya Hazizah, atau lebih mesra dipanggil Mak Anjang Kholijah, adalah guru Quran yang mengajar anak-anak Kampung Dato' Seri Kamaruddin ilmu tajwid dan bacaan Quran. Daripada mak anjanglah saya mengenal huruf-huruf Mat Asli, hukum Idgham, Ikhfak dan seumpamanya.
Besar jasa mak anjang kepada anak-anak kampung yang akhirnya dapat mengenal huruf quran dan membacanya dengan sebutan yang betul. Saya dapat membaca Qur'an dengan lancar, dan khatam 30 juzuk sebelum tamat darjah 6. Ia satu pencapaian yang baik bagi budak lelaki yang agak 'nakal' ketika itu.
Yong Nor Azaliah Ali Hassan khatam 30 juzuk semasa darjah 3, dan mak anjanglah guru yang membimbingnya.
Pada usianya 74 tahun,mak anjang masih menabur bakti mengajar bacaan Quran. Mak anjang tidak lagi sihat, selalu sakit-sakit dan cepat letih kerana semakin dipanjat usia.
Pada Rabu 18 Disember 2024, mak anjang dijemput kembali kepada penciptanya. Saya bergegas ke bilik forensik hospital Seri Manjung sebaik mendapat perkhabaran tersebut. Melihat jasadnya kaku, hati saya menjadi sebak tiba-tiba. Kenangan zaman mengaji Quran di rumahnya dan di surau lama (kini tapaknya jadi sekolah agama rakyat DSK) mengimbau kembali.
Sesungguhnya saya bersaksi bahawa mak anjang adalah insan yang baik, menabur bakti mendidik kami anak-anak kampung DSK mengenal huruf-huruf dan bacaan Quran.
Saya doakan mak anjang diberikan ganjaran pahala yang besar di sisi Allah, ditempatkan bersama orang-orang soleh dan mendapat syurga Allah.
Terima kasih mak anjang.
No comments:
Post a Comment
Jejak yang ditinggalkan