Terima kasih kerana sudi membaca di blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.
Peristiwa seorang pelajar cemerlang dalam UPSR di Kedah lari dari rumah untuk berkahwin dengan teman lelakinya baru-baru ini, amat mengecewakan kita. Lebih malang lagi, apabila pelajar berusia 15 tahun tersebut membuat keputusan terburu-buru sehingga sanggup mengetepikan pandangan ibu yang mengasuhnya sejak kecil lagi.
Hakikatnya, ibu bapa memainkan peranan penting dalam membentuk kesejahteraan institusi keluarga. Tanpa ibu bapa, kita tidak lahir ke dunia ini. Lantaran itu, setiap anak remaja, sepatutnya menghargai jasa dan pengorbanan ibu bapa. Ibu bapa adalah orang yang patut disanjung kerana mereka banyak berkorban untuk membesarkan dan mengasuh anak-anak menjadi manusia. Oleh yang demikian, setiap anak remaja, berperanan untuk membalas pengorbanan ibu bapa mereka.
Al-Quran menganjurkan umat Islam melakukan kebaikan dan menghormati ibu bapa, termasuklah merendah diri ketika bertutur di hadapan mereka. Dari sudut penghormatan, ibu mendapat pengiktirafan yang lebih tinggi kerana mengandung dan melahirkan anak. Jasa ayah pula adalah menyediakan perlindungan dan mencari sumber rezeki untuk menyara keluarga.
Antara perkara yang boleh dilakukan remaja untuk membalas jasa ibu bapa adalah dengan menjaga kebajikan dan prihatin terhadap keperluan mereka. Anak yang telah berjaya misalnya, hendaklah memastikan ibu bapa sebagai orang pertama dalam apa juga urusan. Kejayaan yang dikongsi bersama ibu bapa akan lebih manis dan lebih berkat. Inilah tatacara yang sepatutnya menjadi pegangan anak-anak yang tahu membalas budi orang tua mereka.
Bagi mengenang jasa dan pengorbanan ibu bapa, remaja tidak sepatutnya mengengkari nasihat dan teguran ibu bapa. Barangkali, kisah dongeng tragis Si Tanggang, wajar dijadikan panduan hidup. Tanggang menjadi batu setelah terkena sumpahan ibu yang terlalu hiba dek perbuatan derhakanya. Kisah ini harus menjadi teladan kepada remaja dalam mengharungi kehidupan yang penuh pancaroba kini.
Segala tunjuk ajar daripada ibu bapa, harus dipatuhi kerana mereka lebih dahulu makan garam daripada kita yang bergelar anak. Berdasarkan pelbagai peristiwa yang berlaku kini, sewajarnya kita mengangkat kembali martabat ibu bapa ke tempat yang sepatutnya.
Remaja yang masih belajar, haruslah menggunakan peluang untuk mencapai kejayaan dalam pelajaran dan peperiksaan. Keputusan yang cemerlang sudah tentu menjadi satu cara membalas jasa ibu bapa. Selagi berkesempatan, kita harus memberi penghargaan agar mereka berbangga melihat anak-anak menjadi insan yang berguna untuk bangsa dan negara.
Oleh itu, remaja harus mengenang dan menghargai jasa ibu bapa selama mereka hidup atau selepas mereka tiada di dunia ini. Sesungguhnya, nilai diri ibu bapa tidak dapat ditukar ganti biarpun dengan segunung intan. Pepatah syurga di bawah telapak kaki ibu harus disemat di dalam jiwa agar kita kekal tidak dianggap anak derhaka.
Blog ini adalah pandangan peribadi saya, dan jika pendapat kita berbeza, tidak sepatutnya menyebabkan kita bermusuh. Kita boleh berkongsi cerita dan pandangan, asalkan menjaga adab sopan berbicara. Terima kasih kerana singgah di sini. Saya amat menghargai kunjungan anda.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
MENJADI TUA ADALAH FITRAH, BUKAN SEMUA INSAN MENIKMATINYA
Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini. Pagi Rabu 11 .12.2024, menjadi tarik...
-
Terima kasih kerana sudi membaca di blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini. Hari ini, Rabu 23 Mac 2011, keputusa...
-
Terima kasih kerana sudi singgah di blog ini. Saya amat menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini. Kisah pembunuhan seorang pensy...
-
Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini. Sudah lama saya tidak menghadiri ...
No comments:
Post a Comment
Jejak yang ditinggalkan