Thursday, May 26, 2011

Semangat Berkobar, Hajat Menderma Darah Tak Sampai..

Terima kasih kerana sudi membaca di blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Sempena sambutan hari guru, sudah menjadi kelaziman PPD Manjung menganjurkan program Derma Darah  yang disertai oleh guru-guru di daerah ini. Awal pagi lagi saya sudah bersedia. Selepas memberi kerja kepada pelajar, saya bertekad untuk menderma darah di PPD Manjung secepat mungkin. Tujuannya mudah. Saya boleh kembali ke sekolah dan mengajar seperti biasa. Perancangannya begitu, tapi  saya tidak mampu melawan perancangan Allah.

Segalanya bagai sudah dalam jadual. Tiba awal di Dewan Bestari, PPD Manjung. Ketika itu, unit Derma Darah Hospital Seri Manjung pun belum tiba. Dewan masih kosong. Petugas pun baru mula membelek-belek borang pendaftaran. Wah, semangat sungguh saya.

Selepas beberapa ketika, van HSM dan pasukan petugas derma darah pun tiba. Seorang pegawai perubatan yang kacak begitu mesra melayani karenah guru-guru yang agak 'cuak' dengan darah. Bermula dengan pemeriksaan jenis darah dan kepekatan, kami berbaris menunggu giliran. En. Suhaimi Ramli, Timbalan Pegawai Pelajaran Daerah Manjung turut memberi sokongan.
"Saya dah tak boleh menderma,.. Banyak sangat sakitnya." katanya sambil disambut ketawa para guru. 

Menurut seorang pembantu perubatan, kepekatan darah yang sesuai untuk menderma adalah pada ukuran 12.5 hingga 18. Bacaan kepekatan darah saya 15.5, manakala kandungan gula hanya 7.7. 

"Darah cikgu jenis O," katanya sambil mengarahkan saya ke kaunter berikutnya. 

Di kaunter tersebut, saya dilayani seorang doktor Cina yang petah berbicara. Dia mengukur tahap tekanan darah. Malang sekali, tekanan darah saya hari ini tidak memenuhi syarat pendermaan darah. Bacaan tekanan darah saya 119/112. Ia agak tinggi dan membahayakan jika saya teruskan niat menderma darah.

Saya diminta rehat seketika.

"Tenang, fikirkan yang indah-indah.." Katanya sambil tersenyum.

Hati saya sudah berkata-kata, nampaknya saya masih gagal menderma, seperti tahun lalu. 

Lebih nyata lagi, saya mungkin sudah mendapat pusaka daripada arwah ayah, iaitu tekanan darah tinggi. 
Saya masih berharap ia tidak menjadi kenyataan.

1 comment:

  1. setiap penyakit ada ubat..tapi mencegah adalah lebih baik dari mengubati.Saya pun kalau di beri pilihan nak sihat sentiasa tapi bila usia melangkau ke angka 50an..wait n see aje lah.

    ReplyDelete

Jejak yang ditinggalkan

MENJADI TUA ADALAH FITRAH, BUKAN SEMUA INSAN MENIKMATINYA

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini. Pagi Rabu 11 .12.2024, menjadi tarik...