Sunday, March 4, 2012

SATIRA POLITIK

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Dari kejauhan, sawah padi terbentang luas ke arah selatan Masjid Kg. Kuala. Lebai Kudus mendepakan kedua-dua tangannya di jenang tingkap masjid yang sudah berusia hampir 30 tahun itu. 
Matanya kemudian melirik ke arah muka beberapa orang di dewan masjid tua itu. Dia benar-benar tidak menyangka, perebutan kuasa di kawasan kariahnya sampai ke tahap itu. Sebelum ini, Lebai Kudus bangga dengan sikap anak buahnya yang konon tampak bersopan dan mendahulukan apa yang dikatakannya. Tapi, akhir-akhir ini perdebatan siapa yang perlu memimpin masjid Kg. Kuala sudah tidak dapat disorok lagi.
"Kalau begini, apa pandangan masyarakat kepada kita?" Dia menyoal anak buahnya, tanpa mengharapkan jawapan.
Dua tiga orang anak buahnya, termasuk Leman Gagap, Mail Murai dan Seman Tukang, berbisik sesama sendiri.
Perbalahan antara dia dan Haji Manap, bukanlah perkara baru. Sejak masjid Kg. Kuala ditadbir oleh kumpulan Lebai Kudus, pentadbirannya sering dijadikan sasaran, bukan sahaja oleh pengurusan lama masjid yang dipimpin oleh Haji Manap, tetapi oleh anak buahnya sendiri. Orang kepercayaannya, Lebai Maulud dan Lebai Rodhi, kini sudah tidak sehaluan dengannya.
"Aku tak kisah sangat tentang puak haji Manap tu. Lantaklah depa nak kata apa, yang penting, pihak kita." Lebai Kudus mula bersuara.
"Aku sedih dengan Maulud dan Rodhi.." Kata Lebai Kudus seolah-olah merintih minta simpati.
"Depa orang kepercayaan aku, sanggup tikam aku dari belakang." Katanya sambil memandang semula ke arah sawah padi yang terbentang. 
"Maulud memang tak setuju dengan Lebai," Kata Mail Murai. Seman Tukang menganggukkan kepala tanda setuju. Manakala Leman Gagap sekadar diam, bimbang kata-katanya tak difahami lantaran gagapnya yang semakin menjadi-jadi.
"Tak setuju hapa? Hangpa bagi tau aku, mana silapnya aku tadbir masjid ni?" Tiba-tiba Lebai Kudus melepaskan amarahnya yang ditahan-tahan sejak beberapa hari lalu.
Leman Gagap hampir melatah dek terkejut.
"Kutipan Jumaat, aku pantau. Duitnya aku masukkan ke bank dengan Haris. bendahari masjid. Kuliah Fardhu Ain, bukan aku sebat kat tembolok aku. Jadual dah ada. Kuliah tu berjalan ikut jadual. Guru agama kampung sebelah pun kita jemput. Macam-macam kuliah kita susun. Feqah, Aqidah, semua ada. Masjid ni pun dah meriah dengan sambutan Maulid Nabi, Israk Mikraj.. Dulu, jangan kata majlis, kuliah pun takdak." Kata Lebai Kudus mempertahankan dirinya.
"Lebai Maulud dan Lebai Rodhi khabarnya tak suka cara lebai ikut kepala sendiri, tak ikut panduan dalam buku kuning, seperti yang dipersetujui sebelum ni," kata Seman Tukang perlahan dan tertib. 
"Buku Kuning tu?"
"Ya...Ya, Buku.. Buku Kuning," Leman Gagap menyampuk pendek. Dia bimbang kalau-kalau gagapnya menyebabkan kata-katanya tak difahami.
"Buku Kuning tu, bukan Quran. Awatnya depa tak tanya aku. Depa bukan tak tau sikap aku. Aku ni, jenis boleh berunding," Lebai Kudus mula memperlahankan tempo marahnya.
"Khabarnya, depa juga  tak suka bila lebai tolak pandangan Tauke Too Toh Kuat, sebab selama ni, tauke itulah yang 'support' kita masa nak ambik pengurusan masjid ni, dulu." Mail Murai menjelaskan, sambil menelan air liurnya.
"Tauke Too Toh Kuat? Apa kena mengena dia dengan pengurusan masjid ni? Dia bukan orang Islam. Dia bukan tau pasai masjid kita, pasai agama kita!" 
"Tu lah, lebai. Tauke Toh Kuat tak suka lebai kuatkan azan waktu masuk waktu solat. Lebai selalu tegur anak muda yang keluar masuk kedai judi tauke tu. Lebai kata judi tu haram. Lebai nasihat orang kampung jangan pi joli di sempadan, jangan main betina Siam. Tu dah menjejaskan pendapatan tauke Toh Kuat." Mail Murai bercerita panjang lebar.
"Habis, hangpa tak setuju apa aku kata?"
"Kami setuju. Kami takdak apa-apa." Kata Seman Tukang. Mail Murai dan Leman gagap mengangguk-angguk setuju.
"Habis?"
Semua senyap. Mail Murai tunduk. Leman Gagap tunduk. Seman Tukang tak kata apa-apa.
"Yang aku buat tu, bukan saja-saja. Itu yang Nabi kita buat dulu.  Aku tak bagi anak bangsa kita rosak main judi, main pompuan Siam, buat maksiat sana sini." Lebai Kudus memandang ke arah anak buahnya yang masih bersila.
"Aku rasa, hanya satu je penjelasan yang sesuai." Kata Lebai Kudus.
"Depa ni, gila kuasa. Depa nak jawatan ni." Katanya perlahan.
"Hangpa bagi tau kat dua ekoq tu, aku tak mau jawatan Pengerusi Masjid ni. Depa nak, mai habaq kat aku. Aku rela jadi ahli kariah biasa." Kata Lebai Kudus dengan air mata bergenang.

Satira ini tiada kaitan dengan mana-mana pihak.
Dia sungguh kecewa hari itu.   

1 comment:

Jejak yang ditinggalkan

MENJADI TUA ADALAH FITRAH, BUKAN SEMUA INSAN MENIKMATINYA

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini. Pagi Rabu 11 .12.2024, menjadi tarik...