Saturday, July 28, 2012

Semoga Puasa Ramadhan Menjadikan Kita Lebih Baik Daripada Sebelumnya

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.
 
Kita sudah tiba ke hari ke-8 dalam Bulan Ramadhan. Ramadhan, seindah namanya adalah bulan penuh rahmat, penuh keberkatan dan juga peluang meningkatkan prestasi ibadah.
Mengapa tidak kita jadikan Ramadhan sebagai satu titik perubahan untuk kita, daripada buruk kepada baik, dan daripada baik kepada lebih baik. Satu isu yang menonjol dalam dunia tarbiyah setiap kali menjelang Ramadan, adalah kefahaman dan kecintaan terhadap bulan puasa itu sendiri.
Konsep menyambut Ramadan sebagai bulan puasa adalah tidak adil. Ramadan bukan bulan untuk berpuasa semata-mata. Kita sepatutnya menyambut Ramadan sebagai satu medan pertarungan satu-dengan-satu (one-on-one) dengan nafsu kita. Jika tiada syaitan pada bulan Ramadan, kenapa masih ada orang yang buat jahat? Kenapa masih ada yang mencuri, menipu, apatah lagi ponteng puasa?Ia disebabkan nafsu dalam diri masih tidak dapat dikawal dan meliar. Kita berperang dan bertarung dengan nafsu saban hari - bermula dari saat bangun daripada tidur, sampailah waktu kita pejam mata untuk tidur. Berpuasa adalah untuk menahan nafsu, bukan untuk menahan lapar dan dahaga semata-mata. Berpuasa adalah untuk menjaga hati, lidah dan perbuatan. Berpuasa adalah untuk mengenal erti penat lelah, memahami dan mensyukuri nikmat yang melimpah ruah daripada Allah SWT. Berpuasa adalah untuk syurga yang hakiki.
Betulkan semula niat kita. Bukan cuma sekadar menyatakan lafaz, dan menahan diri daripada makan dan minum, tetapi fahami erti sebenar berpuasa. Barulah ibadah itu akan terkesan, lalu membawa kepada istiqamah selepas Ramadan. Bercakap tentang istiqamah, apabila mendengar orang menyebut 'Ramadan Kareem', kita digalakkan menjawab dengan 'Allahu Akram'. Maksudnya, 'Ramadan yang mulia, Allah lebih mulia'.
Ingatlah pesanan Imam Hassan Al-Basri: "Jadilah kamu hamba Allah (yang beribadah sepanjang masa, tempat dan suasana) jangan menjadi hamba Ramadan (yang hanya tekun beribadah di bulan Ramadan)"
Ingatlah juga pesanan dari Rasulullah SAW - daripada Umar bin Khathab RA berkata: "Aku telah mendengar Rasulullah SAW bersabda: "Sesungguhnya segala amalan itu tergantung pada NIATnya. Dan sesungguhnya bagi setiap orang apa yang ia niatkan. Maka barang siapa yang hijrahnya kerana Allah dan rasulNya, ia akan sampai pada Allah dan RasulNya. dan barang siapa hijrahnya menuju dunia yang akan diperolehnya atau menuju wanita yang akan dinikahinya, ia akan mendapatkan apa yang dituju." (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)
Daripada Abu Hurairah RA katanya bahawa Nabi SAW bersabda: "Sesiapa yang tidak meninggalkan percakapan bohong dan berkelakuan buruk sedangkan ia berpuasa, baginya tidak ada kelebihan (pahala) di sisi Allah selain dari lapar dan dahaga sahaja yang didapatinya." (Hadis Riwayat Bukhari)
Kita makin tua, hidup makin singkat. Entah-entah esok lusa kita mati. Insya-Allah, makin kurang usia di dunia, makin kurang dosa kita.
Jadi, sebelum tidur malam ini, kita baca niat puasa dulu. Tak, bukan sekadar baca, tapi cuba kita rasa. Rasa niat puasa. Rasa suasana Ramadan. Rasa indahnya keberkatan. Rasa kepuasan melawan nafsu. Menang dengan diri sendiri.
Akhirnya, renungilah hadis daripada Abu Said al-Khudri RA katanya, Rasulullah SAW bersabda: "Tidak seorang pun daripada hamba Allah yang berpuasa sehari dengan niat kerana Allah, melainkan Allah akan jauhkan mukanya daripada kepanasan api neraka sejauh perjalanan tujuh puluh tahun lamanya." (Riwayat Hadis Bukhari dan Muslim)
SELAMAT MENJALANI IBADAH PUASA!

Monday, July 23, 2012

Perpaduan Melayu Hanya Utopia

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Perpecahan orang Melayu dalam politik kepartian tidak boleh dipandang ringan. Hari ini, perpaduan orang Melayu umpama utopia. Mana tidaknya, daripada pemimpin hinggalah ke akar umbi, bibit perpecahan didedahkan di dada akhbar, laman sembang dan media cetak.

Sudah terang lagi bersuluh, jika anda orang Melayu yang menyokong UMNO, bersedialah menghadapi kecaman daripada Melayu PAS. Jika ada teguran berkaitan dua parti politik ini, maka ia boleh disusuli dengan maki hamun dan kata nista yang merendahkan akhlak sesama bangsa. Baik UMNO mahupun PAS, kedua-duanya mempunyai khalayak penyokong yang bukan sedikit. UMNO, dengan sejarah perjuangan yang panjang, tentulah mempunyai golongan akar umbi yang kuat dan menyeluruh. PAS, yang bertunjangkan kemasukan beramai-ramai golongan muda dan profesional, mempunyai pengaruh yang bukan sedikit.

Amatlah malang, apabila persoalan survival bangsa kita diketepikan hanya kerana politik sempit yang beridealisme kepada dendam kesumat dan pandangan semberono. Saya tidak terkecuali menghadapi konflik ini, apabila  usaha menyatukan dan menyeragamkan pandangan politik antara dua puak ini dianggap tidak lebih daripada usaha 'kafir'. Berderau darah saya apabila dituduh sebegitu. Cukup menyakitkan, malah amat memedihkan hati dan jiwa saya. Pertama, ketika bertemu seorang rakan dalam satu majlis rasmi. Dia lantas menyapa saya seperti biasa, sebelum menempelak saya di khalayak.
"Aku dengar, hang dah ubah hala.." Dia memandang sinis ke arah saya.
"Ubah hala apa, bang?"
"Dalam facebook, hang hentam belah sini. Hang jaga-jaga sikit.." Dia seolah-olah mengugut.
"Yang betul, saya sokong, yang salah saya tetap tak terima, walaupun malaikat yang bercakap.." Kata saya.
"Hang toksah cakap yang bukan-bukan,.. Nanti aku nak 'basuh' otak hang bagi paham pasai perjuangan negara Islam.." Dia membebel. Saya bersyukur kerana selepas itu tidak lagi bertemu dengannya sepanjang majlis tersebut berlangsung.
Dalam kejadian kedua, saya bertemu seorang anak muda yang gagal dalam temuduga PTD. Kesan daripada kegagalan itu barangkali, dia bersikap lebih terbuka dalam mempertahankan pandangan politiknya. Apabila saya mempertikaikan beberapa perkara berkaitan hal agama, dia terus mencelah.
"Cikgu tak pergi masjid, tak dengar kuliah, itu sebab cikgu tak tahu tentang politik.." Katanya. Dia bingkas memberi buah tuju yang pedih untuk saya terima, apabila saya mempertikaikan hala tuju parti dokongannya. Hakikat yang dia lupa adalah, saya pernah memberi undi dan menyokong parti tersebut, kerana keyakinan saya ketika itu.
Hari ini, parti dokongannya saya nilaikan tak lebih daripada Pandir yang dipermain-mainkan. Parti yang disokongnya akhir-akhir ini tampak bagai hilang arah dan tujuan dalam perjuangan.
"Kamu tengoklah apa yang berlaku (apa)bila bangsa kita berbalah. MCA, DAP dan GERAKAN, perjuangan untuk memartabatkan bangsa tetap diutamakan." Kata saya cuba berhujah lembut.
"Sekarang ni, orang nak hapuskan rasuah. Cikgu tau, rasuah dah berakar umbi di negara kita? Sebabnya kerajaan kita sendiri amalkan rasuah. Cikgu nak sokong kerajaan rasuah?" Dia meninggikan suara. Matanya seakan terjegil memandang saya. Perbincangan yang mulanya terkawal kelihatan seakan bakal berakhir dengan tragedi. Begitulah tampaknya.

Saya sendiri terperangkap dengan suasana panas itu, tanpa saya sedari mungkin boleh membahayakan saya. Anak muda itu kelihatannya sudah tidak sabar untuk mengajak saya 'berbincang' dengan cara lain.

Akhirnya saya hanya membiarkan dia menuduh saya kafir. Entah apa lagi tuduhannya kepada saya. Begitulah mudahnya dia membuat tuduhan. Saya tidaklah terkejut dengan tuduhan itu sebab mungkin pimpinan atasannya sudah biasa begitu. Cuma yang saya sedih, dia tidak menghormati saya sebagai seorang yang lebih tua daripadanya. Pendekatannya itu pada saya tidak lebih daripada provokasi, sama seperti yang dibuat oleh penyokong dan perusuh BERSIH pada APRIL lalu.

Apa yang tidak disedarinya adalah, saya semakin yakin dengan pendirian saya kini.


Monday, July 9, 2012

Pandangan Tun Dr Mahathir Tentang Survival Melayu

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Tun Br Mahathir, seorang negarawan yang banyak berjasa membina kemajuan Malaysia hari ini. Setiap pemimpin ada kelebihan atau kekurangannya. Itu sudah lumrah. Malah, tak semua pemimpin disukai oleh semua rakyat dalam satu masa. Tun tampak bimbang dengan sikap orang Melayu hari ini yang 'malu' bercakap soal survival bangsa, bahasa dan agama Islam.
  Saya petik rencana daripada blog http://malaydelima.blogspot.com/2012/07/delema-melayu-hari-ini-as-memang.html


Kita sekarang sudah sampai ke satu tahap di mana nak sebut Melayu pun sudah menjadi kesalahan. Kalau kita sebut Melayu akan ada pihak mengatakan kita perkauman. Jadi kita tidak boleh pertahan diri kita. Inilah dilema yang paling besar dihadapi oleh orang Melayu ketika ini.

Kalau dahulu kita boleh bercakap mengenai masalah orang Melayu dan bagaimana nak mengatasinya dan saya boleh tulis mengenai perkara ini. Orang pun tidak akan kata saya rasis. Tetapi sekarang ini jika saya cakap Melayu sahaja orang akan kata saya rasis. Sebaliknya jika mereka bercakap mengenai kaum mereka, itu tidak pula dianggap perkauman. Saya berpendapat bahawa kita sudah kaku dan tidak boleh menjawab balik kerana takut dituduh rasis. Sampaikan tuntutan dibuat yang melanggar perjanjian kita dahulu tetapi kita tidak jawab. Bila tak jawab maka mereka akan membuat lebih banyak lagi tuntutan. Jika dahulu untuk masuk kerja kerajaan diploma hanya melibatkan universiti awam tetapi sekarang ini diploma daripada Kolej Tunku Abdul Rahman, kita kena terima. Ini semua kerana kita mahu undi. Semua perkara yang berlaku ini adalah kerana kebodohan orang Melayu kerana kita tentukan perkara ini semasa kemerdekaan supaya orang Melayu boleh menjadi majoriti. Bila majoriti dalam sebuah negara maka mereka akan berkuasa. Namun kini sebaliknya mereka sendiri yang menghancurkan majoriti mereka dengan berpecah belah. Kini berpecah lebih daripada tiga kelompok dan dengan itu untuk menang maka mereka memerlukan sokongan kaum lain.

Sekarang ini dalam keadaan berpecah belah maka apa yang orang lain minta kena bagilah kerana nakkan undi. Parti lawan juga ikut sama berjanji macam-macam. Maka semua orang berlumba-lumba nak berjanji. Sebenarnya mereka (pembangkang) nak bagi negara ini dan akhirnya akan menjadi seperti Singapura. Kalau di Singapura tak apalah sebab orang Melayu adalah minoriti tetapi di negara ini orang Melayu adalah majoriti tetapi berpecah belah kerana apa? Sebabnya ada orang nak jadi Perdana Menteri. Ini adalah tabiat orang Melayu lama yang mana bila ada orang tawar duit, dia akan jual negerinya seperti di Pulau Pinang, Singapura dan beberapa lagi. Maka jadilah apa yang dikata orang ‘sejarah berulang dengan sendirinya’. Orang Melayu bukan tidak tahu sejarah ini dan tahu perkara ini salah tetapi kerana tamak nak jadi Perdana Menteri, maka dia sanggup membiarkan orang Melayu lingkup malah menghapuskan orang Melayu pun tidak mengapa. Asalkan dia dapat menjadi Perdana Menteri. Kita tengok sendiri Anwar bagaimana dia mahu menghapuskan DEB dan sebagainya. Ini dilakukan kerana nak dapatkan undi orang Cina.

Saya bukan menentang orang Cina tetapi kita perlu adil berdasarkan negara ini. Dalam perlembagaan kita ada disebut dua perkara iaitu pertama Bahasa Kebangsaan adalah bahasa Melayu tetapi bahasa-bahasa lain boleh digunakan. Islam pula adalah agama rasmi negara tetapi agama-agama lain bolehlah diamalkan. Selain itu, kedudukan orang Melayu istimewa dan dilindungi oleh Perlembagaan dan orang bukan Melayu juga dilindung dalam Perlembagaan. Maka mereka boleh menggunakan bahasa, sekolah dan budaya mereka dan dengan ini mereka juga tidak perlu menguasai bahasa kita pun. Tetapi jika kita pergi ke AS, bahasa kebangsaan adalah bahasa Inggeris tetapi di negara ini kita pula kena cakap beberapa patah bahasa ibunda kaum lain dalam ceramah dan perjumpaan. Jadi di mana kedudukan bahasa kebangsaan kita?

Bila saya bercakap mengenai perkara ini mereka kata saya rasis, tetapi kenyataannya inilah yang telah dipersetujui dalam Perlembagaan. Jika mereka nak lebih, mereka perlu juga bagi lebih kepada kita, jadi barulah ia seimbang. Katalah jika mereka hendak hapuskan hak keistimewaan orang Melayu maka mereka juga perlulah hapuskan keistimewaan seperti tidak boleh menggunakan bahasa mereka atau sekolah jenis kebangsaan. Malangnya orang Melayu sekarang ini tidak boleh bercakap mengenai hal ini dan kalau dihentam orang Melayu hanya sekadar pertahan. Bila kita pertahan maka orang lain akan nampak segala ‘bintik-bintik hitam’ yang ada di muka kita.

Semasa Tun menjadi Perdana Menteri kedudukan UMNO dan BN adalah kuat dan Tun juga pernah menyatakan kita perlukan pembangkang. Bagaimana Tun melihat situasi ini sekarang?

DR. MAHATHIR: Saya katakan kita perlu kepada pembangkang sebagai satu cermin supaya kita nampak muka kita. Jika tidak ada pembangkang, kita akan ingat muka kita ini sentiasa cantik, tapi sebenarnya hodoh. Pembangkang ini umpama cermin kerana mereka nampak segala yang hodoh dan bintik-bintik pada wajah kita. Kita tidak nampak bintik-bintik di muka kita dan kita perasan cantik sangatlah. Maka dengan adanya pembangkang ada baiknya tetapi jika tidak ada maka rosaklah negara ini.

Kita akan jadi seperti Singapura yang tidak ada pembangkang malah sampai ke tahap dia buat pembangkangnya sendiri. Kita memang ada pembangkang sejak dahulu lagi dan dalam Parlimen tidak pernah tidak ada. Malah mereka bebas mengkritik dan menyuarakan apa sahaja di Parlimen dan tidak menyalahi undang-undang. Jadi apa lagi kebebasan yang mereka mahukan namun malangnya apa yang mereka mahukan adalah sudahlah mereka kalah tetapi mereka mahu juga menang, tak bolehlah macam tu. Ini cara demokrasi dan parti yang memerintah adalah pilihan rakyat.

Apakah mungkin kita boleh tetapkan satu tarikh khas untuk melangsungkan pilihan raya tidak seperti sekarang?

DR. MAHATHIR: Boleh juga, dan ia sama seperti pilihan raya yang berlaku di AS yang mana ia tetap. Malah hari pertabalan presidennya juga tetap pada satu tarikh walaupun hujan, salji ke ia akan tetap berlangsung pada hari yang sama dan ia dibuat di tengah padang. Namun sistem kita mengikut British, iaitu first past the post. Namun kadang-kadang ia bukan majoriti pun hanyalah minoriti dan kalau ada tiga buah parti mungkin tidak ada sesiapa yang mendapat majoriti. Namun kalau salah satu parti mendapat undi yang lebih maka parti itu yang akan menjadi kerajaan. Kita terima sistem British dan sehingga kini ia telah berjaya mendirikan kerajaan yang prihatin terhadap nasib rakyat.

Kalau nak kata nasib rakyat teruk di bawah BN maka tunjukkan bukti jika benar. Dahulu Datuk Seri Anwar Ibrahim pernah mengatakan terdapat rakyat yang mati kebuluran namun hakikatnya ia adalah satu pembohongan dan ia tidak berlaku. Hakikatnya anak orang kampung yang bekerja sebagai penoreh getah, nelayan dan sebagainya kini telah menjadi doktor, peguam dan sebagainya. Dahulu kita tak pernah beranggapan orang Melayu mampu menjadi eksekutif di sebuah syarikat asing namun kini ramai orang Melayu yang berjaya. Ini kerana kita bagi ilmu dan peluang kepada mereka. Sila tunjukkan di mana kerajaan tidak membantu atau berlaku zalim kepada rakyat?

Sebelum ini desas-desus mengatakan pilihan raya akan berlangsung pada awal tahun ini, namun sekarang sudah pun bulan Julai. Apakah pilihan raya ini ditangguhkan kerana kerajaan memilih mengikut pandangan Tun supaya pilihan raya diadakan lebih lewat lagi?

DR. MAHATHIR: Saya ada menyatakan supaya pilihan raya diadakan selepas hari raya. Ini kerana masa sudah suntuk dan kebanyakan orang Islam mahu berpuasa dan beribadah dan sudah tentu ia tidak sesuai. Tapi saya tidak tahulah berapa bulan pula selepas raya atau sebaik sahaja habis raya, baru pilihan raya. Jadi saya lihat Perdana Menteri pun masih tidak mahu pilihan raya diadakan sebelum raya.

Tapi mungkinkah pembangkang yang berkuasa di beberapa negeri ini akan melakukan pilihan raya berasingan?

DR. MAHATHIR: Itu ada kemungkinan kerana mereka hendak tumpu segala tenaga untuk berlawan dengan BN. Namun pada masa sama, kita juga tidak perlu berkempen di kawasan yang tidak berlangsung pilihan raya dan kita juga boleh gunakan segala tenaga parti untuk melawan mereka. Kalau mereka tidak mahu pilihan raya sama dengan Pusat tidak mengapalah kerana kita juga ada kelebihan. Esok bila mereka nak pergi berkempen di kawasan yang BN menang, tidak ada pilihan raya di kawasan yang BN kalah. Jadi tempat yang mana BN menang kemungkinan besar akan dimenangi oleh BN semula. Jadi mereka jangan fikir bahawa mereka sahaja yang ada kelebihan jika pilihan raya diadakan berasingan kerana BN juga ada kelebihan.

Tun percaya adakah pihak luar yang mengambil berat tentang perjalanan pilihan raya negara ini?

DR. MAHATHIR: Saya berpendapat bahawa AS memang mahukan Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri negara ini. Ini mereka kata secara terang-terangan. Jadi walaupun mungkin Datuk Seri Najib Tun Razak mempunyai hubungan yang lebih rapat dengan AS berbanding saya namun ia tidak bermakna AS tidak menyokong Anwar. Sistem AS juga mempunyai satu dana yang diberikan kepada NGO mereka dan NGO-NGO inilah yang memainkan peranan. Dalam sebuah buku yang ditulis oleh Blum (William Blum), dia menceritakan bagaimana AS mencampuri kesemua pilihan raya yang diadakan di seluruh dunia. Walaupun negara kita ini kecil sahaja tetapi ia dilakukan supaya yang menjadi kerajaan adalah mereka yang memihak kepada AS. Mereka mahu satu dunia memihak kepada mereka. AS akan mengumumkan supaya di negara-negara yang bermasalah diadakan regime change, tetapi kenapa tidak lakukan di negaranya sendiri. Mereka akan campur tangan malah memberi duit supaya pihak yang menyokong AS diangkat menjadi pemimpin.

Apa kepentingan Malaysia bagi AS kerana negara ini bukanlah besar atau mempunyai kepentingan strategik untuknya?

DR. MAHATHIR: Malaysia bukanlah negara yang menyokong AS sangat memandangkan kita menyokong Palestin, mempunyai hubungan rapat dengan Iran dan China. Mereka nak kita menentang China dan Iran. Kita tidak pernah menyertai gerakan ketenteraan mereka. Walaupun Presiden AS bertukar ganti namun dasarnya tetap sama. Pekerja yang utama tidak bertukar dan yang menentukan dasar-dasar ini bukanlah Presiden tetapi kakitangannya. Walaupun Presiden Barack Obama kata nak tutup Penjara Guantanamo namun kakitangannya menasihatkan jangan tutup. Walaupun Obama telah berjanji mengenai perkara ini pada pilihan raya lepas namun kerana nasihat kakitangannya beliau tetap tidak boleh lakukan. Perkara ini umpama pihak pembangkanglah janji macam-macam tapi tak boleh nak tunai.

Apa yang kita boleh pelajari daripada krisis ekonomi Eropah dan kaitannya dengan agenda Barat dalam menguasai dunia?

DR. MAHATHIR: Pelajaran yang kita boleh dapat adalah yang biasa kita lakukan, jangan berbelanja lebih daripada kemampuan kita. Kemampuan bermakna kita boleh pinjam tetapi kita pinjam setakat yang mampu sahaja kerana jika terlalu banyak akan jadi masalah kemudiannya. Ini yang berlaku di negara Greece yang mana mereka meminjam di luar kemampuan dan kemudian berbelanja. Kita boleh meminjam kalau melabur untuk mendapat pinjaman dan kemudian kita belanja. Namun Greece meminjam kemudian belanja, kemudian pinjam lagi dan belanja. Kalau berbuat begitu sudah tentu akan rugi dan itu yang kita pelajari.

Masalah yang berlaku di negara Barat ini, mereka bukan lagi berniaga dalam erti kata sebenar. Maksudnya kita buat barang kemudian dan dapat keuntungan atau kita memberi khidmat dan kemudian dibayar untuk khidmat itu. Namun mereka kini hanya bermain dengan duit, contohnya kita beli saham. Kita beli dan kemudian naik berkali ganda, contohnya saham yang dibeli pada awalnya berharga seringgit kemudian naik RM2.

Namun sebenarnya ia bukan hasil perniagaan kerana saham tersebut yang dimiliki syarikat tertentu yang mungkin membuat untung sedikit sahaja, mungkin dalam 10 peratus tetapi kerana kita beli saham kita mungkin untung dalam 100 peratus. Namun saham itu tidak berguna kerana kalau kita nak tunggu keuntungan daripada saham itu, kita tidak dapat banyak. Nilainya rendah namun dalam perniagaan sebenar, syarikat buat barangan dan jual baru untung. Keuntungan tersebut adalah hak pemegang saham. Namun sebenarnya ia bukan dilihat untung atau rugi, ia dikira melalui pembelian saham dan kemudian naik. Bila ramai yang beli harga saham pun naik dan bila naik tinggi mereka jual dan kemudian untunglah kononnya.

Namun apabila saham tersebut jatuh semua rugi. Katakanlah syarikat bankrap dan kemudian tutup maka saham mereka tidak ada nilai. Ini bukan realiti berniaga sebenar tetapi main saham. Macam itu juga urusniaga duit (forex), mereka beli pada harga murah dan apabila naik mereka jual. Ini bukan perniagaan, hanyalah naik turun akibat daripada terdapat mereka yang membeli dan menjual. Kalau banyak yang menjual maka akan jatuh nilai dan begitu juga sebaliknya. Kalau ada banyak permintaan untuk dolar Amerika, nilainya akan naik. Ia naik dan turun bukan kerana ada nilai intrinsik tetapi kerana ia dengan sendiri tidak ada nilai tetapi hanya akibat daripada terdapat permintaan. Hanya wujud permintaan dan penawaran. Mereka hanya bermain sekitar itu sahaja dan bukannya melibatkan perniagaan pun. Bila nilai itu jatuh maka ia rugi. Lagi satu perkara adalah sistem pinjaman wang. Kalau kita nak pinjam duit daripada bank, mereka tidak akan beri kalau tidak ada deposit. Bila ada deposit baru mereka bagi pinjam.

Paling banyak mereka boleh beri adalah berdasarkan kemampuan kita membayar balik. Kalau ada peniagaan yang baik boleh pinjam jika tidak sukarlah.

Namun Barat ada sistem yang dipanggil hedge fund (dana lindung nilai). Kalau kita melabur satu juta dalam sistem ini mereka boleh pula pinjam daripada bank 30 kali ganda. Kalau kita melabur satu juta bank bagi pinjam kepada hedge fund ini 30 juta. Kalau mereka melabur wang 30 juta sudah tentu keuntungan adalah 30 kali ganda. Jadi sudah tentu hedge fund ini boleh bayar untung yang tinggi.

Namun apabila mereka ini rugi, ia akan rugi berkali ganda juga akhirnya mengakibatkan bank pun bankrap serta pelabur juga bankrap. Mereka ini bukan berniaga tetapi bermain dengan naik turun harga. Mereka membuat keuntungan dengan membuat pelaburan melalui duit yang mereka pinjam yang diperoleh 30 kali ganda. Inilah masalah yang dihadapi mereka kerana ia berpunca daripada sistem yang diamalkan.

Sama juga dalam krisis pinjaman sub prima. Ia berlaku kerana kita memberi pinjaman kepada orang yang kurang mampu atau tidak mampu membayar balik. Contohnya bank beri pinjaman kepada mereka yang nak buat rumah. Katalah mereka dapat duit tetapi tidak buat rumah atau rumah tidak siap. Esok apabila tidak mampu bayar bank nak tarik rumah tetapi rumah pun tidak ada. Kalau sebuah rumah mungkin tidak memberi kesan tetapi ini melibatkan berjuta-juta rumah sudah tentu bank akan rugi teruk. Namun bank nak elak daripada rugi mereka gadai pinjaman tersebut kepada pihak syarikat gadaian dan insurans. Kononnya bila jadi sesuatu ia tidaklah merugikan mereka. Namun apabila melibatkan banyak rumah, syarikat insurans dan gadaian pun jatuh bankrap. Ia bukan melibatkan soal satu atau dua juta tetapi berbilion malah trilion dolar. Mana nak cari duit hendak bayar.

Bagi saya perniagaan yang berbentuk begini bukanlah satu perniagaan tetapi perjudian. Mereka berjudi dengan harapan harga saham akan naik tinggi berbanding perniagaan yang tidak mendapat keuntungan yang begitu tinggi. Sebab itu apabila krisis sub prima berlaku ia mengheret bank, syarikat insurans dan syarikat gadaian serta hedge fund dalam krisis kewangan. Inilah punca sebenar yang berlaku dalam krisis kewangan di Eropah dan Amerika Syarikat (AS). Apabila sudah runtuh sistem mereka dan kini cuba untuk kembali kepada model perniagaan sebenar, mereka tidak boleh lakukan. Malah kebolehan pun mereka tidak ada lagi. Ini kerana mereka kalah kepada orang Jepun, Korea dan China. Kita tidak lagi beli barangan elektrik dari negara AS dan Eropah.

Mereka sudah ketinggalan jauh dalam hal teknologi berbanding negara itu selain kos yang sangat tinggi. Ini kerana mereka membayar gaji yang sangat tinggi tetapi tahap produktiviti sangat rendah. Kalau mereka mahu kembali kepada model perniagaan sebenar yang melibatkan pengeluaran produk syarikat terpaksa membayar gaji tinggi manakala untuk menghasilkan produk pula sangat mahal, ia akan tetap rugi kerana ketidakmampuan untuk bersaing dengan negara-negara seperti Jepun dan Korea. Oleh itu untuk kembali kepada perniagaan sebenar pun sudah tidak mungkin.

Dalam contoh Greece, apabila mereka menyertai Kesatuan Eropah, ia adalah negara yang miskin tetapi berkawan dengan negara-negara kaya dan kemudian berlagak seperti negara kaya. Apabila duit tidak ada, dia pinjam dan bayar gaji serta faedah lain dengan tinggi. Apabila hendak bayar hutang duit tidak ada jadi akhirnya negara itu pun bankraplah.

Sistem sebenarnya betul kalau kita ikut peraturan namun mereka longgarkan peraturan. Ini kerana pada zaman Presiden Ronald Reagan, beliau longgarkan peraturan kerana mahu membiarkan pasaran yang tentukan dan kerajaan perlu kurangkan campur tangan dalam pasaran. Namun hakikatnya pasaran mencari keuntungan dan jika nampak peluang buat duit dia peduli apa, kalau boleh jalan pintas mereka akan gunakan. Malaysia bernasib baik kerana kerajaan tidak membenarkan pasaran yang mengawal dan masih dikawal. Malah harga barang pun kita kawal. Namun di Barat mereka bebas dan hanya pasaran yang akan mengawal (regulate) dengan sendirinya.

Bagaimana Tun melihat keadaan politik di Syria dan Turki?

DR. MAHATHIR: Saya sedar mungkin ada yang tidak bersetuju dengan Presiden Bashar Al Assad. Mereka boleh bertindak tetapi apabila orang asing campur tangan terutama AS dan NATO yang memang bertujuan mahu menjatuhkan kerajaan Bashar sebagai satu regime change. Ini kerana Syria tidak mengikut telunjuk Barat dan Barat mengambil kesempatan dengan membekal senjata kepada pihak pemberontak. Inilah yang mengakibatkan peperangan di sana dan keadaan sudah menjadi semakin tidak jelas. Apakah betul ia dilakukan oleh mereka yang tidak bersetuju dengan Bashar. Sepatutnya kedua-dua pihak melarang penggunaan senjata dan paksa mereka berunding. Jika tidak ada penyelesaian maka adakan satu pilihan raya yang diselenggara oleh mereka yang neutral.

Mereka ini pula apabila sudah geram akan bertindak membunuh Bashar seperti yang berlaku terhadap Muammar Gaddafi. Pihak Barat mempunyai kepentingan sendiri tetapi bagi pihak kita kasihan kerana rakyat Syria saling berbunuhan sesama sendiri namun pihak yang untung adalah Barat. Lainlah di Mesir kerana bekas Presiden Hosni Mubarak meletakkan jawatan dan tentera tidak memihak kepada Mubarak. Namun keadaan berbeza di Syria yang mana ramai lagi pihak yang menyokong Bashar dan ada juga yang menentang. Yang sengsara adalah rakyat tetapi kita sendiri pun tidak tahu siapa sebenarnya yang menembak dan melakukan serangan. Satu pihak kata kerajaan dan satu pihak lagi kata pemberontak.

Bagaimana Tun melihat pihak yang mengaitkan kemenangan Ikhwanul Muslimin di Mesir dengan suasana politik tanah air?

DR. MAHATHIR: Mesir sebelum ini tidak pernah terlibat dalam demokrasi. Pemerintahannya sebelum ini adalah sama ada monarki atau diktator. Kini tiba-tiba menjadi sebuah negara yang mengamalkan demokrasi. Demokrasi memberi kuasa kepada rakyat untuk pilih kerajaan. Rakyat bukanlah terdiri daripada satu suara tetapi banyak suara. Sewaktu nak menjatuhkan Mubarak dahulu semua orang setuju, tetapi bila memilih pengganti beliau sudah jadi cerita lain. Masa saya berada di Mesir saya nyatakan kepada mereka bahawa kamu kena terima kalau andai kata kamu kalah. Namun bila kalah masing-masing tidak mahu terima dan kata macam-macam. Demokrasi sebenarnya bukanlah satu bentuk kerajaan yang mudah dan sebenarnya ia adalah satu bentuk kerajaan yang sangat susah yang memerlukan kedewasaan rakyat yang mengundi.

Kalau rakyat tidak faham kuasa undi mereka dan akhirnya bergaduh, maka susahlah keadaannya. Namun saya berharap keadaan akan menjadi lebih baik dan bagi mereka yang kalah perlulah menunggu giliran. Bila sampai masa pilihan raya nanti, mereka bolehlah bertanding dan jika mereka diterima rakyat adalah peluang mereka. Begitu juga bagi pihak Presiden Mohamad Mursi, jika mereka kalah dalam pilihan raya akan datang, mereka kena terima kenyataan. Itulah cara demokrasi yang sebenar dan kalau dah kalah kemudian nak memberontak itu tak bolehlah.

Kiranya keadaan yang berlaku di Mesir adalah jauh berbeza dengan di sini?

DR. MAHATHIR: Memang keadaan jauh berbeza. Keadaan di sana juga tidak sama dengan di negara ini. Di Malaysia kita ada pilihan raya yang telus dan setiap kali pilihan raya parti lawan memang boleh menang. Tidaklah seperti di Singapura yang mana parti lawan langsung tidak ada peluang. Tapi di Malaysia kita kalah di lima buah negeri, satu wilayah malah di peringkat Parlimen pun kita menang dengan majoriti yang kecil. Ini adalah pilihan rakyat dan kita kena terima. Namun masalah dengan parti lawan, selama ini mereka tidak pernah menang dan mereka kecewa dan mahu lakukan dengan perkara lain. Mereka anggap dalam setiap pilihan raya tetap berlaku penipuan. Kalau mereka kalah mereka kata ada penipuan tapi bila menang mereka kata tidak ada penipuan. Macam mereka menang di Kelantan, kita pecah kepala fikir bagaimana nak dapat balik.

Namun tetap tak boleh kerana itu adalah pilihan yang telah dibuat orang Kelantan dan kita tidak boleh buat apa. Kalau kita nak tipu, kita dah ambil balik Kelantan lama dah. Mereka tuduh pula kononnya sistem pilihan raya kita selama ini tidak betul, kalau begitu sudah tentu mereka langsung tidak boleh menang. Mungkinlah ada sedikit sebanyak kesilapan di sana sini tetapi saya berpendapat sistem pilihan raya kita memang lurus dan tidak ada penipuan. Kalau tidak pihak pembangkang ini langsung tidak berpeluang. Kita kalah di lima buah negeri dan pernah kalah di Sabah, Pulau Pinang dan Kelantan. Mereka perlulah menerima hakikat bahawa sistem kita terbuka dan ia adalah pilihan rakyat. Saya lihat tujuan mereka menuduh kerajaan menipu jadi apabila mereka kalah pada pilihan raya akan datang mereka akan lakukan demonstrasi jalanan untuk menumbangkan kerajaan dengan mengatakan sistem kita tidak betul dan sebagainya.

Cara ini bukanlah demokrasi tetapi inilah cara mereka, tuduh kerajaan menipu dan apabila kalah nanti mereka akan kata kerajaan menipu dan sistem tidak betul dan kemudian buat demonstrasi jalanan. Cara mereka ini akan mengganggu kehidupan dan negara tidak stabil, ekonomi tidak boleh tumbuh dan kemudian mereka akan kata kerajaan tidak pandai mengurus dan sebagainya. Inilah cara mereka dan ia tidak ada kena-mengena dengan apa yang berlaku di Mesir. Ikhwanul Muslimin adalah sebuah pertubuhan politik yang popular di sana. Di sini tidak semua rakyat menyokong Pas. Rakyat tidak menyokong mereka bukan kerana mereka tolak Islam tetapi kerana mereka ragu-ragu dengan pendirian Islam Pas yang boleh menyatakan undi Pas masuk syurga, dapat pahala dan ini adalah satu pembohongan. Pas bukanlah satu parti Islam tetapi parti yang menggunakan Islam untuk mendapat sokongan di dunia.

Saturday, July 7, 2012

FAM Ibarat Harimau Yang Hilang Kuku

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Kita berasa kecewa dengan kegagalan skuad B-22 Harimau Malaya apabila tewas 1-2 di tangan Myanmar untuk ke pusingan akhir Olimpik London. Apa yang lebih menyedihkan adalah pelanggaran syarat oleh skuad bola sepak Myanmar tidak dibantah oleh FAM. 
Ramai peminat bolasepak mempersoalkan tindakan Datuk Azzuddin Ahmad, Setiausaha Agung FAM kerana tidak membantah pelanggaran secara terang-terangan Myanmar sejurus perlawanan tersebut. Kemandulan pengurusan FAM dalam mempertahankan imej bolasepak negara tampak jelas apabila Myanmar dikatakan menggunakan khidmat pemain yang telah melangkau had umur tahun. Walaupun bukti kukuh masih samar-samar, sekurang-kurangnya FAM harus meneliti laporan media tentang perkara tersebut. 
Tertubuhnya FAM adalah untuk menguruskan mutu bola sepak kita akan lebih baik. Sudahlah 'ranking' bola sepak negara merudum ke  kedudukan 157, itupun masih belum menyedarkan FAM untuk bertindak lebih tegas dan berintegriti. Sekiranya FAM tidak dapat menggunakan hak untuk bantah dengan seadanya , maka pengurusan FAM telah gagal untuk menjaga kepentingan bolasepak di negara ini. dan mereka perlu letak jawatan secara en masse dengan kapasiti sebagai orang yang gagal memikul tanggungkjawab
Datuk Azzuddin Ahmad dilaporkan berkata, beliau tidak menghantar bantahan rasmi kepada AFC kerana tempoh bantahan tamat 48 jam selepas tamat perlawanan berkenaan. 
Ini sebenarnya satu alasan individu yang gagal memikul amanah dan tiada integriti. Sewajarnya beliau meneliti laporan media dan mendapatkan maklumat daripada sumber yang berkenaan demi mempertahankan maruah negara.

Saya petik kata-katanya dalam berita bahasa Bernama, untuk kita nilaikan kegagalan organisasi se'hebat' FAM yang boleh diibaratkan bagai harimau tua yang hilang kuku, kuat mengaum tapi kudratnya tiada.

Our team while in Yangon (Myanmar) on July 3 had complained to the match commisioner that Myanmar had fielded overaged players for the tournament.” Azzuddin said the AFC sent a letter yesterday replying to the Malaysian team’s protest and provided guidelines for the FAM. “The FAM had conducted an investigation based on data and sources including those available at the AFC.” He added the FAM could not merely lodge protest based on articles published by the media. “Having checked Myanmar citizenship documents, we found that two players having the same name are different individuals,” he added. Among the players said to be overaged are skipper Kyaw Zayar Win, Kaung Si Thu (jersey 9) and Kyi Lin (jersey 8). Local press reports claimed that Kaung Si Thu is 25 years-old as stated in the official website of his club, Yangon United while Kyaw Zayar Win is 24 years-old as appeared on the official website of the International Football Federation (FIFA). — Bernama

Wednesday, July 4, 2012

Amanat Raja Melayu Wajar Direnungi Dan Dihayati.

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Satu daripada prinsip Rukun Negara adalah Kesetiaan Kepada Raja dan Negara. Setiap rakyat negara ini, tidak kira kaum mana sekalipun wajar menghormati dan akur kepada institusi raja-raja Melayu yang bertapak kukuh sejak zaman Kesultanan Melayu Melaka.

Dengan senario politik yang tampak mula menggoyahkan negara melalui tindakan yang tidak rasional dan menjejaskan keselamatan negara, Raja-raja Melayu dalam mesyuarat Majlis Raja-raja pada 13 dan 14 Oktober 2010 telah menzahirkan kebimbangan terhadap perpecahan yang berlaku khususnya terhadap orang Melayu.

Rata-rata kita hari ini, mungkin tidak menyedari kepentingan institusi raja dalam masyarakat pelbagai kaum di negara ini. Sebagai golongan majoriti di negara yang berdaulat, orang Melayu dengan jumlah lebih 14 juta daripada 28 juta (mengikut perangkaan tahun 2010) adalah bangsa yang dikenali sebagai bangsa beradab sopan. Tonggak perpaduan orang Melayu adalah raja-raja. Malah, melalui raja Melayu, bangsa kita mendapat penghormatan dan kedaulatan daripada pihak British. Sejarah mencatatkan antara sebab penentangan Malayan Union pada 1946 adalah kerana tipu daya Harold MacMichael ketika mendapatkan tanda tangan Raja-raja Melayu. Ketika itu, rasa hormat terhadap institusi raja Melayu amat tinggi.

Antara amanat Raja-raja Melayu yang terkandung dalam pengisytiharan selepas mesyuarat tersebut adalah:
  1. Menyeru rakyat negara ini memahami dan menghayati sejarah pembentukan negara yang diasaskan daripada kontrak sosial dan permuafakatan antara kaum di negara ini.
  2. Perpegang kepada kontrak sosial secara tolan ansur yang menunjukkan kematangan rakyat pelbagai kaum di negara ini.
  3. Menyeru orang Melayu bersatu padu dan tidak bertelingkah sesama sendiri berlandaskan semangat persaudaraan Islam agar tidak terpinggir dalam arus pembangunan negara.
  4. Para pemimpin Melayu wajib mencari persamaan dan muafakat secara bijaksana untuk melindungi dan membela nasib orang Melayu.
  5. Keutuhan bangsa Melayu tidak akan terpelihara jika pemimpin pertubuhan Melayu cenderung untuk bertelagah dan berselisih faham.

Demi kedaulatan dan keharmonian negara yang kita sayangi ini, kita harus menghayati amanat Raja-raja Melayu.  Mengadu domba dan berselisih faham dalam isu politik bakal menghancurkan nasib bangsa kita. Akhirnya, kita juga yang rugi dan bernasib malang seperti Pak Kadok, yang menang sorak tapi kampung tergadai.
Fikir-fikirkan..

MENJADI TUA ADALAH FITRAH, BUKAN SEMUA INSAN MENIKMATINYA

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini. Pagi Rabu 11 .12.2024, menjadi tarik...