Saturday, July 28, 2012

Semoga Puasa Ramadhan Menjadikan Kita Lebih Baik Daripada Sebelumnya

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.
 
Kita sudah tiba ke hari ke-8 dalam Bulan Ramadhan. Ramadhan, seindah namanya adalah bulan penuh rahmat, penuh keberkatan dan juga peluang meningkatkan prestasi ibadah.
Mengapa tidak kita jadikan Ramadhan sebagai satu titik perubahan untuk kita, daripada buruk kepada baik, dan daripada baik kepada lebih baik. Satu isu yang menonjol dalam dunia tarbiyah setiap kali menjelang Ramadan, adalah kefahaman dan kecintaan terhadap bulan puasa itu sendiri.
Konsep menyambut Ramadan sebagai bulan puasa adalah tidak adil. Ramadan bukan bulan untuk berpuasa semata-mata. Kita sepatutnya menyambut Ramadan sebagai satu medan pertarungan satu-dengan-satu (one-on-one) dengan nafsu kita. Jika tiada syaitan pada bulan Ramadan, kenapa masih ada orang yang buat jahat? Kenapa masih ada yang mencuri, menipu, apatah lagi ponteng puasa?Ia disebabkan nafsu dalam diri masih tidak dapat dikawal dan meliar. Kita berperang dan bertarung dengan nafsu saban hari - bermula dari saat bangun daripada tidur, sampailah waktu kita pejam mata untuk tidur. Berpuasa adalah untuk menahan nafsu, bukan untuk menahan lapar dan dahaga semata-mata. Berpuasa adalah untuk menjaga hati, lidah dan perbuatan. Berpuasa adalah untuk mengenal erti penat lelah, memahami dan mensyukuri nikmat yang melimpah ruah daripada Allah SWT. Berpuasa adalah untuk syurga yang hakiki.
Betulkan semula niat kita. Bukan cuma sekadar menyatakan lafaz, dan menahan diri daripada makan dan minum, tetapi fahami erti sebenar berpuasa. Barulah ibadah itu akan terkesan, lalu membawa kepada istiqamah selepas Ramadan. Bercakap tentang istiqamah, apabila mendengar orang menyebut 'Ramadan Kareem', kita digalakkan menjawab dengan 'Allahu Akram'. Maksudnya, 'Ramadan yang mulia, Allah lebih mulia'.
Ingatlah pesanan Imam Hassan Al-Basri: "Jadilah kamu hamba Allah (yang beribadah sepanjang masa, tempat dan suasana) jangan menjadi hamba Ramadan (yang hanya tekun beribadah di bulan Ramadan)"
Ingatlah juga pesanan dari Rasulullah SAW - daripada Umar bin Khathab RA berkata: "Aku telah mendengar Rasulullah SAW bersabda: "Sesungguhnya segala amalan itu tergantung pada NIATnya. Dan sesungguhnya bagi setiap orang apa yang ia niatkan. Maka barang siapa yang hijrahnya kerana Allah dan rasulNya, ia akan sampai pada Allah dan RasulNya. dan barang siapa hijrahnya menuju dunia yang akan diperolehnya atau menuju wanita yang akan dinikahinya, ia akan mendapatkan apa yang dituju." (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)
Daripada Abu Hurairah RA katanya bahawa Nabi SAW bersabda: "Sesiapa yang tidak meninggalkan percakapan bohong dan berkelakuan buruk sedangkan ia berpuasa, baginya tidak ada kelebihan (pahala) di sisi Allah selain dari lapar dan dahaga sahaja yang didapatinya." (Hadis Riwayat Bukhari)
Kita makin tua, hidup makin singkat. Entah-entah esok lusa kita mati. Insya-Allah, makin kurang usia di dunia, makin kurang dosa kita.
Jadi, sebelum tidur malam ini, kita baca niat puasa dulu. Tak, bukan sekadar baca, tapi cuba kita rasa. Rasa niat puasa. Rasa suasana Ramadan. Rasa indahnya keberkatan. Rasa kepuasan melawan nafsu. Menang dengan diri sendiri.
Akhirnya, renungilah hadis daripada Abu Said al-Khudri RA katanya, Rasulullah SAW bersabda: "Tidak seorang pun daripada hamba Allah yang berpuasa sehari dengan niat kerana Allah, melainkan Allah akan jauhkan mukanya daripada kepanasan api neraka sejauh perjalanan tujuh puluh tahun lamanya." (Riwayat Hadis Bukhari dan Muslim)
SELAMAT MENJALANI IBADAH PUASA!

No comments:

Post a Comment

Jejak yang ditinggalkan

MENJADI TUA ADALAH FITRAH, BUKAN SEMUA INSAN MENIKMATINYA

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini. Pagi Rabu 11 .12.2024, menjadi tarik...