Wednesday, November 28, 2012

Riadah Berbasikal Jadi Pilihan

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Sesiapa yang mengikuti blog ini, pasti mengetahui saya pernah terlantar dua malam pada hari raya yang lalu, akibat kepenatan dan kurang gula dalam darah. Hakikatnya, saya juga harus berjaga-jaga kerana berisiko menghidap 3 serangkai yang diwarisi daripada arwah ayah. Saiz badan tidak menggambarkan segalanya. Pada usia 40-an, saya harus lebih berjaga-jaga dengan setiap penyakit yang berisiko.

Selain bersenam ringan, saya juga suka bermain badminton. Tetapi akhir-akhir ini, saya semakin kurang ke gelanggang kerana lutut sering sakit ketika bermain. Saya memikirkan senaman ringan yang lebih sesuai dengan usia.
Seorang rakan baik saya, Adi, adalah peminat tegar basikal bukit (MTB). Daripadanya, saya belajar banyak perkara. Akhirnya, saya 'termakan juga racun'nya untuk memiliki sebuah basikal. Dengan harga yang berpatutan, saya mendapatkan sebuah basikal Corratec buatan Jerman.    Basikal itu, pada fikiran saya sesuai untuk riadah harian. 

Inilah Corratec yang asal, tanpa aksesori
Saya kemudiannya membeli beberapa lagi aksesori tambahan seperti meter, jersi, helmet dan sarung tangan. Semuanya untuk memberi perlindungan tambahan. Berbasikal juga mempunyai risiko.
Saya dan Corratec; bersedia untuk dikayuh
Senaman semakin penting, tetapi jangan kita paksa diri melakukannya jika badan tidak bersedia. Saya bertekad untuk mengayuh selagi terdaya, sekurang-kurangnya 2 kali seminggu.

Tuesday, November 13, 2012

Drama Bersiri 'Syukur Allah' Di TV Alhijrah

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

TV Alhijrah banyak mengambil pendekatan dakwah melalui  rancangan TV yang bersifat keIslaman. Biarpun baru-baru ini disindir oleh seorang pelakon senior tentang etika lakonannya yang 'tidak boleh sentuh-sentuh' antara lelaki dan perempuan, kepelbagaian rancangannya dan penampilan pelakon yang bersesuaian dengan norma masyarakat telah menarik perhatian khalayak umum.

Saya teruja untuk berkongsi kisah drama bersiri yang ditayangkan setiap Selasa hingga Khamis iaitu "Syukur Allah". Drama ini mengisahkan seorang pemuda yang baik, Hayat yang melalui kehidupan susah senang bersama ibunya. Hayat bekerja di firma guaman yang turut sama menempatkan bekas kekasihnya Suha Aina.

Kisah dalam drama ini hakikatnya bukanlah utopia. Orang kaya beriman dan berhati mulia, kisah wanita cantik yang menjaga akhlak, anak muda yang berbudi bahasa, sebenarnya mampu mendidik masyarakat ke arah kematangan perilaku yang sihat.

Saya teruja mengajak anda menonton rancangan ini, kerana ia satu cara dakwah yang sesuai untuk masyarakat.

Tuesday, November 6, 2012

Corat-Coret Menjelang SPM 2012

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Saya ingin coretkan beberapa kisah menjelang SPM. Ada pelajar saya, Thoyyib namanya. Dia pelajar yang baik. Dalam kelas, dia kurang bercakap tapi itu bukan masalah kepada saya. Dia pemalu sebenarnya, tapi dia hebat bermain hoki. Dua minggu sebelum SPM, dia kemalangan. Kakinya parah. Tumitnya terkoyak. kini dia menjawab peperiksaan di wad Hospital Angkatan Tentera,TLDM Lumut. Moga-moga kakinya pulih semula.

Hari pertama SPM, kami dikejutkan dengan 'kehadiran' seorang bekas pelajar yang tak pernah saya lihat wajahnya. Jujurnya, saya tidak cam dia sebagai pelajar kami. Dia pun sudah diberhentikan sekolah kerana tidak hadir begitu lama. Lagaknya macam orang yang bersungguh-sungguh mahu ambil SPM.

Saya geram dengan pelajar begini. Sudah beberapa bulan tidak hadir, kemudian datang dengan muka selamba untuk menduduki SPM, dan ia sebenarnya satu cabaran kepada pihak sekolah. Jika dihalau, tindakan itu bertentangan dengan arahan kementerian. Tapi sekiranya dia mengambil kertas peperiksaan, apa yang boleh dijawabnya? Pasti keputusannya "GAGAL" kerana menjawab soalan peperiksaan perlukan ilmu. Dia harus ada ilmu untuk menjawabnya. Jika begitu keadaannya, saya tertanya-tanya, mengapa dia datang juga? Sedangkan hakikatnya jika gagal Bahasa Malaysia (Melayu), dia tidak layak mendapat sijil SPM.

Dalam suasana SPM, ada yang masih tertinggal kad pengenalan walaupun sudah diperingatkan berulang kali. Mujurnya masih ada kad 001 untuk menggantikan KP. Secara teori, calon SPM boleh keluar dari dewan peperiksaan selepas 30 minit peperiksaan berjalan. Tetapi secara praktikalnya, kami tak benarkan pelajar keluar sebab mahu calon menjawab sebaik mungkin. Tidur, adalah jawapan terbaik bagi pelajar yang sudah 'tiada akal' untuk menjawab soalan. Bagaimanapun, ada juga yang berani keluar dan melepak di luar pagar sekolah sambil merokok! Alahai..

Pelajar datang dan pergi. Guru tetap guru. Tanpa pelajar, siapalah guru. Tanpa guru, pelajar tidak berilmu. Cuti persekolahan sebenarnya untuk pelajar, bukannya guru yang bercuti. Tapi guru boleh bercuti sebab pelajar diberi cuti. Logiknya takkanlah guru hendak mengajar kerusi meja. 

MENJADI TUA ADALAH FITRAH, BUKAN SEMUA INSAN MENIKMATINYA

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini. Pagi Rabu 11 .12.2024, menjadi tarik...