Tuesday, November 6, 2012

Corat-Coret Menjelang SPM 2012

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Saya ingin coretkan beberapa kisah menjelang SPM. Ada pelajar saya, Thoyyib namanya. Dia pelajar yang baik. Dalam kelas, dia kurang bercakap tapi itu bukan masalah kepada saya. Dia pemalu sebenarnya, tapi dia hebat bermain hoki. Dua minggu sebelum SPM, dia kemalangan. Kakinya parah. Tumitnya terkoyak. kini dia menjawab peperiksaan di wad Hospital Angkatan Tentera,TLDM Lumut. Moga-moga kakinya pulih semula.

Hari pertama SPM, kami dikejutkan dengan 'kehadiran' seorang bekas pelajar yang tak pernah saya lihat wajahnya. Jujurnya, saya tidak cam dia sebagai pelajar kami. Dia pun sudah diberhentikan sekolah kerana tidak hadir begitu lama. Lagaknya macam orang yang bersungguh-sungguh mahu ambil SPM.

Saya geram dengan pelajar begini. Sudah beberapa bulan tidak hadir, kemudian datang dengan muka selamba untuk menduduki SPM, dan ia sebenarnya satu cabaran kepada pihak sekolah. Jika dihalau, tindakan itu bertentangan dengan arahan kementerian. Tapi sekiranya dia mengambil kertas peperiksaan, apa yang boleh dijawabnya? Pasti keputusannya "GAGAL" kerana menjawab soalan peperiksaan perlukan ilmu. Dia harus ada ilmu untuk menjawabnya. Jika begitu keadaannya, saya tertanya-tanya, mengapa dia datang juga? Sedangkan hakikatnya jika gagal Bahasa Malaysia (Melayu), dia tidak layak mendapat sijil SPM.

Dalam suasana SPM, ada yang masih tertinggal kad pengenalan walaupun sudah diperingatkan berulang kali. Mujurnya masih ada kad 001 untuk menggantikan KP. Secara teori, calon SPM boleh keluar dari dewan peperiksaan selepas 30 minit peperiksaan berjalan. Tetapi secara praktikalnya, kami tak benarkan pelajar keluar sebab mahu calon menjawab sebaik mungkin. Tidur, adalah jawapan terbaik bagi pelajar yang sudah 'tiada akal' untuk menjawab soalan. Bagaimanapun, ada juga yang berani keluar dan melepak di luar pagar sekolah sambil merokok! Alahai..

Pelajar datang dan pergi. Guru tetap guru. Tanpa pelajar, siapalah guru. Tanpa guru, pelajar tidak berilmu. Cuti persekolahan sebenarnya untuk pelajar, bukannya guru yang bercuti. Tapi guru boleh bercuti sebab pelajar diberi cuti. Logiknya takkanlah guru hendak mengajar kerusi meja. 

No comments:

Post a Comment

Jejak yang ditinggalkan

MENJADI TUA ADALAH FITRAH, BUKAN SEMUA INSAN MENIKMATINYA

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini. Pagi Rabu 11 .12.2024, menjadi tarik...