Monday, December 10, 2012

Pemergian Hasnidar Buat Selama-lamanya.

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini
Kenangan manis Fauzi 'Ak' dan Hasnidar

Hari Rabu, 5 Disember 2012, ketika sedang membeli belah di sebuah pasar raya, saya tiba-tiba terbaca berita mengejutkan daripada 'wall' FB Ahmad Fauzi Zamhuri, sepupu saya yang bertugas di Jakarta Indonesia. Isterinya Hasnidar, atau lebih mesra dengan panggilan Shida, mengalami pendarahan akibat komplikasi hamil kandungan berusia 8 bulan. Keadaannya parah dan masih dirawat di sebuah hospital di Jakarta.

Saya menelefon bapa saudara, Pak Anjang Juri, untuk mendapatkan maklumat lanjut. Maklum sahajalah, Fauzi dan keluarganya berkelana di Indonesia demi tugasnya sebagai eksekutif Petronas, tentulah berita sebegini memeranjatkan kami yang berada di tanah air.

"Berdoalah.. Shida masih dirawat. Bayi dalam perutnya dah meninggal." Pak Anjang seakan berbisik dalam suara yang sebak. 

Saya terkesima mendengar kata-kata Pak Anjang.

Saya juga dimaklumkan, Shida mengalami pendarahan tanpa henti akibat tali pusat bayinya putus. Ginjalnya gagal berfungsi dan hanya keajaiban sahaja mampu mengubah nasibnya. Berkali-kali Pak Anjang meminta kami berdoa keselamatan Shida.

Selepas solat maghrib, saya mengajak anak-anak solat hajat, bagi memohon agar Allah memberi kekuatan kepada Shida. Pak Anjang menelefon lagi, memberitahu harapan Shida sangat tipis. Dia akan berangkat ke Jakarta esok untuk memberi sokongan yang perlu.

Khamis 6 Disember, 2012, saya mendapat mesej SMS daripada adik beradik memaklumkan Shida tidak dapat diselamatkan. Jenazahnya akan dibawa pulang malam nanti dan dikebumikan di Kampung Sungai Pusu, Gombak pada pagi Jumaat.
Jenazah Shida dibawa ke tanah perkuburan Kg. Sungai Pusu
Awal pagi Jumaat, saya sekeluarga bertolak ke Sungai Pusu. saudara-mara dari Kg. Bharu Lumut sudah pun menziarahi arwah pada malam tadi sebaik jenazahnya tiba di tanah air. Jenazahnya siap dikafan dari Jakarta dan tiba di KLIA pada pukul 11 malam. Menjelang 1 pagi, jenazahnya selamat tiba di rumah ibu dan ayahnya di Sungai Pusu, Gombak, iaitu belakang kampus UIA. Dua tiga kali ibunya pengsan sehingga terpaksa dipapah melihat anaknya buat kali 'terakhir'.

Arwah dikenali sebagai seorang yang mesra. Meskipun mempunyai ijazah dari UUM, arwah memilih untuk menjadi suri rumah sepenuh masa bagi menjaga anak-anak. Pemergiannya satu kehilangan besar kepada adik sepupu saya, Fauzi dan lima orang anak yang ditinggalkan-Ain, Aishah, Amar, Amirul dan Asraf. 

Peristiwa Asraf menangis ketika jenazah ibunya dikebumikan, amat meruntun hati kami yang melihatnya. Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Hidup perlu diteruskan. Yang pergi takkan kembali semula. Segalanya menjadi kenangan yang abadi dalam hati.

Fauzi (berkaca mata) meriba Asraf yang baru berhenti menangis, manakala Aishah masih kebingungan
ALFATIHAH UNTUK HASNIDAR BT ROSLI
Moga syurgalah untukmu, adikku

No comments:

Post a Comment

Jejak yang ditinggalkan

MENJADI TUA ADALAH FITRAH, BUKAN SEMUA INSAN MENIKMATINYA

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini. Pagi Rabu 11 .12.2024, menjadi tarik...