Tuesday, January 8, 2013

Kemalangan Jalan Raya-Karya Pelajar

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.


Dasawarsa ini, kita sering membaca berita mengenai kamalangan jalan raya. Hal ini sebenarnya sudah lali dan seolah-olah tidak boleh dielakkan. Tambahan pula, setiap kali musim cuti perayaan, bilangan kes kemalangan pasti bertambah. Kadar kematian juga sangat membimbangkan. Apakah puncanya? Bagaimana pula langkah mengatasinya? Wajarlah kita membincangkan cabaran ini sebagai satu agenda penting dalam memastikan kadar kemalangan dapat dikurangkan.
Punca utama adalah kerana sikap pemandu dan pengguna jalan raya yang mementingkan diri. Mereka tidak memikirkan hak orang lain dan mengambil mudah peraturan lalu lintas yang sepatutnya dipatuhi. Memotong kenderaan di kawasan garisan berkembar, membelok tanpa memberikan isyarat, memandu melebihi had laju dan memandu dalam keadaan letih, merupakan sikap pemandu yang tidak berhemah. Sesetengah pemandu kurang bertoleransi semasa menggunakan jalan raya, menyebabkan berlakunya kemalangan yang akhirnya meragut nyawa. Sikap negative seperti ini harus dikikis bagi mengelakkan tragedi kemalangan daripada berlaku.
Sikap cuai pemandu terhadap penjagaan kenderaan juga menjadi faktor berlakunya kemalangan. Kerajaan telah menyediakan agensi pemantauan kenderaan seperti Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) dan penambahbaikan sistem pendaftaran Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), menunjukkan kerajaan telah berusaha memastikan kenderaan yang bakal digunakan di jalan raya mempunyai kualiti yang memuaskan.  Bagaimanapun, sesetengah pemandu tidak mengikut jadual pemeriksaan dengan pelbagai alasan yang tidak munasabah. Ada yang bersikap lepas tangan kerana ingin keuntungan berganda. Sikap pemandu seperti ini merupakan virus yang sukar dibuang. Biarpun saman dikenakan, sikap seperti ini sukar dihapuskan kecuali jika kita melatih generasi muda untuk bersikap positif ketika di jalan raya.
Sesetengah ibu bapa acuh tidak acuh terhadap anak-anak bawah umur yang menunggang motosikal tanpa lesen. Malah, penunggang ‘cilik’ dibenarkan menunggang motor ke sekolah atau ke kedai tanpa sebarang perlindungan seperti topi keledar dan lesen yang sah. Dalam hal ini, pihak sekolah boleh memainkan peranan dengan melarang pelajar tanpa lesen membawa masuk kenderaan ke sekolah. Polis trafik dan JPJ   harus mengambil tindakan tegas terhadap remaja yang melanggar peraturan jalan raya. Usaha berterusan seperti rondaan dan menyita motosikal yang tidak lengkap, hendaklah dibuat secara berterusan.  Dengan cara ini, ia boleh mengajar sikap remaja agar menghormati undang-undang jalan raya.

Peranan ibu bapa, masyarakat dan sekolah penting dalam mendidik generasi muda hari ini agar patuh kepada undang-undang. Seringkali anak-anak perlu diingatkan tatacara menggunakan jalan raya secara berhemah kerana ia adalah milik rakyat, bukannya hak individu. Bak kata pepatah, melentur buluh, biarlah dari rebungnya kerana pendidikan sejak kecil akan melahirkan rakyat yang menghormati undang-undang jalan raya.
Usaha kerajaan melalui Kementerian Pelajaran Malaysia dan Kementerian Pengangkutan  adalah untuk memberi pendedahan undang-undang lalu lintas kepada pelajar sekolah dalam sukatan pelajaran yang baru. Hal ini amat dialu-alukan kerana ia dapat mencapai matlamat mengurangkan kadar kemalangan jalan raya. Kempen-kempen kesedaran di media massa dan penguatkuasaan undang-undang yang berterusan perlu dilaksanakan oleh pihak berkuasa, agar kemalangan jalan raya dapat dikurangkan. Sekiranya semua pihak bekerjasama memainkan peranan,matlamat ini pasti dapat dicapai.

NUR ASHA AFIEKA BT ARBANI


No comments:

Post a Comment

Jejak yang ditinggalkan

MENJADI TUA ADALAH FITRAH, BUKAN SEMUA INSAN MENIKMATINYA

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini. Pagi Rabu 11 .12.2024, menjadi tarik...