Wednesday, March 20, 2013

Kenangan Akhir Bersama Sahabat Di Asrama 1988

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.



Mendengar cerita-cerita di ruangan ADILA, Radio Klasik pada setiap Isnin hingga Jumaat menyebabkan aku mengimbau kenangan lalu ketika tahun 1988, ketika masih belajar di Sekolah Menengah Ahmad Boestamam, Sitiawan. Pada tahun itulah, aku mula-mula mengenali hidup di asrama. Awal tahun 1988, aku secara rasmi menjadi penghuni asrama bilik B, di bangunan dua tingkat bersebelahan kantin sekolah. Asrama putera itu terletak di belakang kuil Hindu. Setiap subuh dan Maghrib, kami dikejutkan bunyi loceng kuil dari kuil tersebut.

Antara rakan sebilik kami, Rosli Mat Johan, paling suka membuat lawak. Lawak jenakanya bersahaja tetapi kami yang mendengarnya ketawa berdekah-dekah. Usianya setahun lebih tua daripada kami, tetapi dia mengulang di tingkatan 3 kerana gagal SRP kali pertama. Rosli juga suka mengajuk lagu Hindi yang permulaan lagu itu, “Churalia”. Boleh jadi, itu jugalah tajuk lagu itu. Ia sering Rosli nyanyikan ketika di Dewan Makan. Kawanku seperti Roslan pandai bergendang. Nome pandai bermain gitar dan yang lain-lain termasuk aku, lebih gemar menikmati ‘halwa telinga’ yang tak seberapa itu. Biasanya kami gemar duduk di koridor luar bilik pada waktu petang dan bersantai sambil melihat kalau-kalau ada pelajar asrama puteri yang boleh diusik jika mereka ke kantin.

                Rosli sering mengadu sakit kepala, tetapi ia hilang apabila dia makan ubat. Masalah sakit kepalanya tidak selesai sebaliknya berlanjutan hingga ke bulan Mac 1988. Satu  hari, Rosli pulang ke Kampung Batu 3, Segari kerana sakitnya semakin teruk. Malam sebelumnya dia tidak dapat tidur dan  merintih mengadu sakit kepala. Esoknya, keluarganya datang membawanya balik untuk dirawat di Hospital Taiping. Itulah kali terakhir kami melihat Rosli, kerana dia tidak balik selepas cuti hujung minggu berakhir.

Ketika sedang mengikuti pembelajaran dalam kelas selepas tamat cuti penggal, terdengar satu pengumuman meminta pelajar Bilik B Asrama Putera untuk berjumpa warden. Setelah semuanya berkumpul, warden mula bercakap dengan suara yang tenang. Beliau meminta kami menerima berita tentang Rosli, kawan sebilik yang sudah hampir dua minggu tidak ke sekolah. Ketika itulah kami diberitahu, bahawa Rosli sudah meninggal dunia akibat ketumbuhan dalam otak. Kami terkejut mendengar berita itu. Ada yang sebak manakala yang lain terkesima mendengar cerita warden.

Kami dibawa ke kampungnya menaiki sebuah bas. Sesampainya di sana, jenazah Rosli sudah pun dibawa ke perkuburan. Sempat juga urusan itu ditangguhkan semata-mata untuk memberi peluang kami, rakan-rakan sebiliknya menatap wajah Rosli, buat kali terakhir.  Wajahnya pucat tetapi bersih seolah-olah senyum. Selesai talkin, kami kembali menaiki bas pulang ke asrama, dengan seribu persoalan. Rupanya Allah pinjamkan kami seorang sahabat yang baik dan ramah untuk kami mengenali erti persahabatan.

Tiada lagi nyanyian lagu Churalia daripada Rosli. Alfatihah.. 

No comments:

Post a Comment

Jejak yang ditinggalkan

MENJADI TUA ADALAH FITRAH, BUKAN SEMUA INSAN MENIKMATINYA

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini. Pagi Rabu 11 .12.2024, menjadi tarik...