Thursday, June 9, 2016

DEMAM SEBELUM KE IAB MINGGU TERAKHIR KURSUS NPQEL

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Setelah melalui 2 fasa sebelum ini, perjuangan menempuhi kursus NPQEL (Kelayakan Profesional Pemimpin Pendidikan Kebangsaan) sudah sampai ke penghujung. Hanya satu minggu sahaja lagi kami perlu berada di Institut Aminuddin Baki, Genting Highlands. Ini juga bermakna, saat perpisahan keluarga SMG3 juga makin dekat. Bagaimanapun minggu terakhir ini penuh dengan cabaran. Pertamanya, ia betul-betul bermula pada 1 Ramadhan. Saat orang lain sibuk bertarawikh dengan keluarga pada awal Ramadhan, saya terpaksa berjauhan dengan anak isteri. 

Keduanya, untuk membuat perjalanan ke IAB Genting pada Ahad, 5 Jun 2016, cukup mencabar, Saya demam teruk dan tidak bermaya untuk memandu ke sana, yang jaraknya melebihi 200km. Buntu memikirkan Kakyong juga perlu kembali ke UiTM Dengkil selepas tamat tempoh cuti. Dia pula baharu mendaftar dan tidak betah untuk menaiki ETS atau bas. Isteri pula memang tidak biasa memandu jarak jauh tanpa saya di sisi. Semua kebimbangan itu menambahkan kekusutan. Syukurlah semua tugasan NPQEL dapat disiapkan lebih awal. 

Saat itu pertolongan Allah tiba seperti yang dirancangNya. Adik kesayangan yang bertugas jauh di IPG Tawau Sabah balik bercuti, bersedia menghantar saya ke IAB dan anak saudaranya ke Dengkil. Alhamdulillah, perjalanan kami selamat dan segalanya dipermudahkan oleh Allah. Menjelang maghrib kami tiba di IAB. Terima kasih Sani!

Isteri tersayang turut mengiringi saya memberikan semangat. Sebelum pulang masih sempat dia memberikan kata perangsang, dan pelukan kasihnya sebelum mereka bertolak ke Dengkil menyebabkan saya terharu. Terima kasih Ma!

Walaupun saya agak lesu dan tidak bertenaga hingga pada awalnya saya sudah bertekad tidak hadir ke IAB, akhirnya saya meneruskan minggu terakhir yang mempunyai dua agenda penting dalam melengkapkan kursus NPQEL. Pertama, kami menduduki peperiksan akhir dan kedua, pembentangan laporan sandaran dalam kolokium yang dinilai oleh pensyarah.   Pada Isnin, demam saya tidak menampakkan tanda surut, dengan bantuan rakan seperjuangan, dia menghantar saya ke klinik dan doktor mengesahkan saya saya demam akibat jangkitan tonsil yang membengkak di dalam tekak, bukannya denggi. Terima kasih Encik Mohamad Saad, rakan yang selalu susah senang bersama sepanjang kursus ini.

Saya telah pulih daripada demam itu pada hari kedua Ramadhan, dan dapat menduduki peperiksaan tanpa masalah besar. Syukur Allah. Kau Maha Mendengar segala keluh resah hambaMu yang banyak dosa ini. 


No comments:

Post a Comment

Jejak yang ditinggalkan

MENJADI TUA ADALAH FITRAH, BUKAN SEMUA INSAN MENIKMATINYA

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini. Pagi Rabu 11 .12.2024, menjadi tarik...