Thursday, June 21, 2018

KENANGAN PIALA DUNIA (WC)

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Seingat saya, WC86 yang diadakan di Mexico benar-benar menjadi titik tolak demam bola sepak dalam diri saya. Pada waktu itu, saya berusia 15 tahun. Ketika itu juga, ayah sudah membeli sebuah TV  kecil 14 inci untuk keluarga kami. Sebelum itu, pada WC82, saya tak ambil tahu tentang Piala Dunia. Ini kerana usia yang masih kecil, dan kami tiada TV, manakala ayah pula menumpang rumah jiran untuk menonton kejohanan tersebut.

Dalam WC86, Argentina menjadi johan, dan hero kebanggaan negara itu pastinya Maradona. Perlawanan akhir diadakan pada awal pagi, dan saya tertidur sepanjang perlawanan itu. 

Pada WC90, saya sudah meniti usia remaja. Ketika itu, saya 'berperang' menghadapi STPM. WC90 diadakan di Itali, dan Jerman Barat menjuarai kejohanan tersebut. 

Empat tahun selepas itu, WC94, Amerika Syarikat menjadi tuan rumah. Ketika itu saya di tahun 3 UPM, Serdang. Pasukan Brazil menjadi juara. Ironinya, saya mengharapkan Belanda memenanginya, tapi ia tak jadi kenyataan.

Dalam edisi WC98, Peranchis menjadi tuan rumah, sekaligus memenanginya. Ketika itu, saya sudah berumahtangga dan puteri sulung saya dilahirkan dua bulan sebelum kejohanan bermula. Waktu itu juga gerakan Reformasi di tanah air bersemarak dalam kalangan jiwa anak muda ekoran konflik politik melibatkan Anwar Ibrahim. 

Pada edisi berikutnya, WC02 mencipta sejarah apabila diadakan buat kali pertama di benua Asia, dengan Jepun dan Korea menjadi tuan rumah bersama. Brazil memenanginya buat kali ke-4. Waktu itu, saya sibuk dengan tugas sebagai warden asrama, dan kami mendiami rumah warden. Masih saya ingat lagi TV di bilik tayangan asrama jadi tumpuan pelajar asrama pada malam hujung minggu, penuh sorakan dan kebisingan mereka (walaupun Malaysia tak masuk pun..) 

Pada WC06, Jerman menjadi tuan rumah, tapi pemilik trofi Piala Dunia adalah Itali. Waktu itu, keluarga kami sudah memiliki 5 cahaya mata, iaitu Kakyong, Abangah, Yang, Ude dan Adil (Nuha lahir pada September tahun yang sama). Ketika itu, kami sudah pun menduduki rumah sendiri.

Pada edisi WC10, bumi Afrika Selatan menjadi tuan rumah, menyaksikan Sepanyol menjuarainya buat kali pertama, setelah mengalahkan Belanda. (Saya masih mengharapkan Belanda yang menang, tapi itu tak menjadi kenyataan)

Semasa Brazil menjadi tuan rumah WC14, saya mengharapkan Brazil dapat menjuarainya, tapi sebaliknya, Jerman yang merangkul kejuaraan edisi tersebut. Waktu itu, saya sudah agak tua untuk berjaga malam dan bersengkang mata menonton 22 pemain berebut bola.   

Untuk kejohanan edisi 2018, yang diadakan di bumi Rusia, saya sekadar menonton dalam Youtube, kerana kekangan masa dan beban tugas yang makin besar. Saya juga sudah tidak lagi obses dengan kejohanan ini, cukup sekadar mengambil tahu keputusan selepas perlawanan. 

Kejohanan bola sepak Piala Dunia sebenarnya, ada tarikan dan sejarah bagi setiap individu, seperti saya. 

Monday, June 11, 2018

MERIAM KAMPUNG

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Zaman 80-an, sambutan Ramadan dan Syawal begitu meriah jika dibandingkan dengan masa kini. Satu kenangan yang mekar dalam ingatan saya adalah meriam kampung. Ia disediakan secara kreatif, dan dimainkan oleh anak anak remaja kampung. Di kampung saya dahulu, kebanyakan meriam ini ditempatkan di kebun ubi, atau di belakang rumah. Ia hanya dimainkan sepanjang Ramadhan dan berakhir selepas musim raya.

Silinder meriam, atau batang utama dibuat daripada buluh tebal. Ada juga saluran konkrit digunakan. Pemilihan buluh mesti sesuai dengan kegunaan untuk meriam. Biasanya ia direndam dalam air supaya lebih liat dan sukar pecah ketika digunakan. Bagi remaja kampung yang kreatif, mereka melilitkan getah tiub basikal untuk mengelakkan buluh tersebut pecah ketika beroperasi.

Bahan api utama untuk meriam buluh ialah karbaid atau nama saintifiknya calcium carbide. Karbaid seakan akan batu, tetapi ketulan ini sangat sensitif dengan air. Air boleh menyebabkan ia terpeluwap dan menghasilkan gas hidrogen. Gas ini jika tepu, boleh mengakibatkan letupan. (jika tangan basah, elakkan pegang karbaid sebab ia menyebabkan kulit tangan terhakis).


Air merupakan satu lagi bahan penting dalam memastikan meriam boleh berfungsi. Campuran air dan karbaid menghasilkan wap gas hidrogen yang terbebas.Biasanya air parit pun sudah mencukupi. 

Kain buruk digunakan sebagai penghalang gas hidrogen keluar daripada silinder. Api akan dicucuh pada lubang cucuh dan letupan akan mengarah ke muncung meriam. Serentak dengan itu, bunyi yang kuat akan kedengaran dalam jarak radius 100 meter.

Hari ini, di kawasan kampung saya, meriam kampung hanya tinggal kenangan kami. Ia tidak lagi jadi pilihan anak anak remaja mencari keseronokan menjelang raya. Anak-anak moden hari ini lebih suka membelek skrin di tangan. 

Lakaran meriam mengikut ingatan saya
 



Friday, June 1, 2018

KELEBIHAN BERPUASA YANG PERLU KITA TAHU

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Kita sudah melewati hari ke-15 puasa pada bulan Ramadhan ini. ia merupakan tempoh sebulan yang penuh dengan keberkatan, kelebihan, dan keampunan. Ramadhan juga istimewaa dan munasabah untuk kita memahami dan mengetahui berkenaan kelebihan puasa dan orang yang berpuasa di bulan Ramadan.

Puasa pada bahasa iaitu menahan dan pada istilahnya pula menahan daripada makan, minum dan jimak daripada subuh hingga ke maghrib beserta dengan niat. (Qamus Al-Fiqhi oleh Sa’di Abu Jaib Hal 218).
Dari sudut feqah, puasa dmaksudkan menahan diri daripada sebarang perkara yang membatalkannya, bermula dari terbit fajar sehingga matahari terbenam dengan niat puasa.
Ibadah berpuasa Ramadan mula difardukan pada bulan Syaaban pada tahun kedua Hijrah. Sebelum itu, amalan puasa telah biasa dilakukan biasa di kalangan umat terdahulu dan ahli kitab yang sezaman dengan Nabi Muhammad s.a.w.
Akan tetapi kewajipan puasa pada bulan Ramadan belum disyariatkan lagi ketika itu. Persamaan antara mereka dengan umat terdahulu adalah dari segi pensyariataan puasa itu sahaja. Kemudian umat Nabi Muhammad secara khusus difardukan puasa pada bulan Ramadan.
Ia merupakan satu rukun daripada Islam yang lima dan diketahui oleh umum. Oleh itu sesiapa yang mengingkari kewajipannya ia boleh menjadi kafir dan hendaklah disuruh bertaubat sebagaimana orang murtad. Jika terus ingkar dan enggan bertaubat dia hendaklah dijatuhi hukuman sebagai orang yang murtad.
Hal yang demikian sekiranya dia bukan baru memeluk agama Islam dan tidak tinggal berjauhan daripada ulama. Mereka yang tidak berpuasa tanpa mengingkari wajibnya ibadat tersebut dia hanya jadi fasik. Pemerintah wajib memenjarakannya dan menghalangnya daripada makan dan minum pada waktu siang supaya ia berpuasa sekali pun zahirnya sahaja mengikut apa yang dinyatakan di dalam kitab al-Feqh al-Manhaji.
Berkenaan dengan rukun puasa pula iaitu menahan daripada dua syahwat, perut dan faraj. Atau menahan daripada segala perkara yang membatalkan puasa. Malikiyah dan Syafiiyah menambah dengan satu rukun yang lain iaitu niat pada waktu malam. (Al-Fiqhu Al-Islami Wa Adillatuhu 3/1616).
Seterusnya dibincangkan fadilat dan kelebihan puasa dan orang yang berpuasa:
*Imam Ahmad dan Muhammad bin Nasar al- Baihaqi meriwayatkan daripada Abi Hurairah sabda Nabi s.a.w, “Dikurniakan kepada umatku pada bulan Ramadan lima kelebihan yang tidak dikurniakan mana-mana umat sebelum mereka : bau mulut orang yang berpuasa lebih harum di sisi Allah dari bau kasturi, malaikat mengampunkan mereka sehingga berbuka, Allah hiasi setiap hari syurganya, kemudian berfirman hampir-hampirlah hambaku yang soleh yang merasai kesukaran tetapi terus menuju kepadamu, diikat padanya syaitan dan diampun bagi mereka pada akhir malam”.
*Imam Bukhari, Muslim dan Ahmad meriwayatkan hadis daripada Sahal bin Sa’d. Sabda Rasulullah s.a.w: “Sesunggunya dalam syurga terdapat satu pintu yang dikenali dengan ar-Raiyyan di mana yang berhak memasukinya hanya orang yang berpuasa. Apabila selesai masuk nescaya ditutupnya”.
*Mengikut riwayat an-Nasai sama seperti di atas kecuali ditambah sabda Nabi: Sesiapa yang masuk di dalamnya nescaya dapat meminum siapa yang minum nescaya tidak dahaga selama-lamanya.
*Mengikut riwayat Imam Ahmad dan an-Nasai daripada Abi Hurairah r.a sabda Rasulullah s.a.w: “Puasa merupakan perisai”. Dan daripada Usman bin Abi al-As, “Puasa merupakan perisai daripada neraka seperti perisai seseorang daripada kamu pada masa peperangan selama mana ia tidak mengoyaknya dengan berdusta atau mengumpat”.
*Al-Baihaqi meriwayatkan daripada Usman bin Abi al-As, puasa merupakan perisai daripada azab Allah.
*Imam Ahmad, Muslim dan an-Nasai meriwayatkan daripada Abi Hurairah dan Abi Sa’id Sesungguhnya Allah berfirman: Sesungguhnya puasa bagiku dan Aku yang membalasnya dan sesungguhnya bagi orang berpuasa akan mendapat dua kegembiraan apabila ia berbuka nescaya bergembira dan apabila bertemu Allah nescaya ia gembira. Demi jiwa Muhammad ditangan-Nya bau mulut orang yang berpuasa lebih harum di sisi Allah daripada bau kasturi.
*Ibn Majah dan al-Hakim meriwayatkan daripada Ibn Umar bahawa Nabi s.a.w bersabda: “Sesungguhnya orang yang berpuasa ketika berbuka mempunyai doa yang tidak ditolak”.
*Al-Dailami meriwayatkan daripada Ibn Umar katanya: “Diam orang puasa merupakan tasbih, tidurnya adalah ibadat, doanya mustajab dan amalannya digandakan”.
*Ibn Majah meriwayatkan daripada Ibn Jabir, Ahmad, at-Tabarani dan al- Baihaqi daripada Abi Umamah bahawa Nabi bersabda: “Sesungguhnya bagi Allah ketika berbuka puasa mempunyai mereka yang dibebaskan daripada neraka yang demikian itu pada setiap malam”.
*Al-Baihaqi meriwayatkan daripada Abi Hurairah bahawa Nabi s.a.w bersabda: “Puasa merupakan separuh kesabaran dan atas tiap sesuatu mempunyai zakat dan zakat bagi tubuh badan adalah puasa”.
*Imam Ahmad, al-Tirmidzi dan al-Baihaqi meriwayatkan daripada Ummi Imarah: “Sesungguhnya orang yang berpuasa apabila makan sentiasalah malaikat berselawat keatasnya sehingga selesai makanannya”.
Rumusannya, ambillah peluang menikmati ibadah Ramadhan, kerana kita belum pasti dapat bertemu Ramadhan pada tahun berikutnya. Justeru marilah sama-sama kita mengambil kesempatan dengan kunjungan Ramadan al-Mubarak dengan berpuasa dan beramal sebanyak mungkin sebagai bekalan di 'sana'. 

MENJADI TUA ADALAH FITRAH, BUKAN SEMUA INSAN MENIKMATINYA

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini. Pagi Rabu 11 .12.2024, menjadi tarik...