Wednesday, August 11, 2021

PHIONA MUTESI: GADIS MISKIN YANG MENJADI PUTERI CATUR UGANDA

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.


Phiona Mutesi, tidak asing dalam pertandingan catur antarabangsa. Kisah inspirasi gadis miskin di Uganda ini, akhirnya telah mencipta nama besar dalam sukan catur.

Mutesi dilahirkan dan dibesarkan di daerah miskin di Katwe, di negeri Kampala, Uganda. Ketika kecil, Mutesi kehilangan ayahnya akibat virus AIDS. Kemiskinan keluarga menyebabkan Mutesi berhenti sekolah semasa berusia 9 tahun.

Mutesi membantu keluarga dengan menjual jagung di tepi jalan. Suatu hari ketika mengikut abangnya, dia tertarik dengan sejenis permainan yang tidak pernah dilihatnya. Ia adalah permainan catur, dikendalikan oleh Sports Outreach Institute, sebuah organisasi mubaligh Kristian yang aktif.

Robert Katende, seorang guru dalam organsasi tersebut melihat bakat besar Mutesi dalam permainan catur, lalu membimbing dan mengajarnya teknik permainan catur.

Motivasi untuk Mutesi adalah diberikan makanan percuma, jika belajar bermain catur. Pada permulaannya, Mutesi bermain kerana inginkan makanan. namun semakin hari skil permainannya semakin baik.

Suatu hari, dia berlawan catur dan mengalahkan semua orang di kelab kecuali juara bertahan. Di pentas perlawanan akhir, Mutesi telah mengalahkan peserta lelaki tersebut.

Di Uganda, masyarakat hanya menganggap anak gadis lebih sesuai di dapur dan tidak perlu ke sekolah. Ibu Katwe tidak bersekolah dan berkahwin ketika berusia 16 tahun. Perkara yang sama berlaku kepada kakaknya. Mutesi mempunyai impiannya yang lain daripada kebiasaan wanita di tempatnya.

Apabila berjaya mengalahkan juara catur kelab, Mutesi mempunyai keyakinan diri dan melihat catur sebagai satu jalan untuk dia mencapai impian melihat dunia luar.

Kemudian dia menyertai pertandingan yang lebih besar. Semasa remaja, dia mewakili Uganda di kejohanan antarabangsa.

Hidup Mutesi semakin berubah. Peluang demi peluang dalam sukan catur menghidupkan impiannya untuk melihat negara luar.

Mutesi dapat menaiki pesawat dan melawat Amerika Syarikat. Dengan kecemerlangannya dalam sukan catur, Mutesi ditawarkan biasiswa Universiti Northwest, Washington pada tahun 2017.

Apabila berada di tempat orang, Mutesi mula rindu akan kehidupan bersama keluarganya. Kehidupan di pinggir bandar Seattle sangat membosankan berbanding dengan kehidupan di Kampala.

"Di rumah, di seluruh wilayah, anda mengenali setiap orang, dan semua orang saling bertanggungjawab," kata Mutesi.

"Saya dibesarkan di komuniti yang mana jika saya melakukan sesuatu kesalahan, ibu saya akan tahu. Malah, sebelum dia tahu, saya terlebih dahulu akan dihukum oleh ibu bapa yang lain kerana sifat tanggungjawab menjaga komuniti . Itu tidak apa-apa."

"Di sini, (Amerika Syarikat) semua orang hidup sendiri. Malah tiada yang peduli apa yang anda lakukan.'"

Bagi menampung tambang pesawat untuk pulang bercuti di Uganda, Mutesi mencari wang tambahan dengan menjadi penceramah motivasi.

Menjadi penceramah motivasi, memberi peluang kepadanya mengembara ke pantai barat Amerika. Dia juga menerima wang daripada penaja dan pihak yang berminat mendapatkan perkhidmatannya.

"Saya tidak lagi obses dengan catur seperti dulu. Sekarang, saya rasa ada banyak perkara yang dapat saya lakukan dalam hidup saya. Namun saya tahu, caturlah yang membuka banyak peluang untuk saya." katanya.

Pada tahun 2012, Mutesi adalah pemenang tiga kali Kejuaraan Catur Junior Wanita Uganda. Mutesi dan Ivy Amoko dianugerahkan gelaran Master Wanita setelah mengumpulkan jumlah mata 50% yang diperlukan daripada sembilan perlawanan di Olimpik Catur ke-40 di Istanbul, Turki. Ini menjadikannya pemain catur wanita pertama diberikan anugerah tersebut dalam sejarah catur Uganda.

Pada tahun yang sama Mutesi menjadi pemain wanita pertama yang memenangi kategori terbuka Kejohanan Catur Junior Nasional di Uganda.

Pada tahun 2013, dia sekali lagi bermain di Kejuaraan Catur Junior Nasional di Uganda dan mara ke final menentang Lutaaya Shafiq dari Makerere University, dan memenanginya.

Mutesi mewakili Uganda di Olimpik Catur ke-41 pada 2014 dan Olimpik Catur ke-42 pada 2016.

Dia juga menyertai pasukan catur Universiti Northwest dalam bertanding di Pan American Intercollegiate Team Chess Championship, yang diadakan di Columbus, Ohio, pada bulan Disember 2017. Pasukan tersebut memenangi gelaran "Top Small College" mewakili Northwest University, mengalahkan Oberlin College. Mutesi memenangi tiga perlawanan dan seri satu.

Kisah Mutesi telah difilemkan oleh penerbit filem Disney pada tahun 2016, dengan tajuk Queen of Katwe. Banyak pengajaran daripada kisah Mutesi ini. Yang penting kita mesti ada impian.



2 comments:

Jejak yang ditinggalkan

MENJADI TUA ADALAH FITRAH, BUKAN SEMUA INSAN MENIKMATINYA

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini. Pagi Rabu 11 .12.2024, menjadi tarik...