Thursday, April 25, 2024

DAMAILAH IJAN, WIRA NEGARA

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.
Keranda jenazah Ijan dibawa ke masjid Al Khairiah


Tarikh 23 April 2024, adalah tarikh hitam sejarah KD Rajawali, TLDM. Dua buah helikopter TLDM yang sedang mengadakan latihan sempena Hari Terbuka Armada yang dijadualkan berlangsung pada 3-5 Mei 2024, telah berlanggar dan mengorbankan 10 orang wira negara. 

Pada pagi hari kejadian, saya menghantar ucapan selamat hari lahir kepada anak sulung, Qatrunnada yang genap usianya 26 tahun. Awal pagi lagi, saya meninggalkan rumah untuk  mengikuti bengkel anjuran INTAN Wilayah Utara di Taiping sepanjang hari tersebut. 

Kira kira jam 10 pagi, saya menerima beberapa mesej video memaparkan tragedi helikopter berlanggar ketika latihan, dan 10 anggota tentera telah terkorban. Kejadian berlaku pada 9.45 pagi dan cerita sudah tersebar di media sosial. 

Saya kaget. Benarkah perkara ini? Tidak lama kemudian, ia disahkan benar oleh markas tentera laut dan senarai nama mangsa dipaparkan di media sosial. Alangkah terkejutnya saya, apabila mengamati beberapa orang yang saya kenal adalah mangsa helikopter malang tersebut. 

Antaranya ialah Lt Sivasuthan, juruterbang Fennec yang pernah saya temui semasa sesi lawatan ke Markas Udara tahun 2023 bersama Guru Kaunseling Negeri Selangor. Tujuh orang mangsa adalah lelaki dan 3  lagi anggota wanita.

Lebih mengejutkan, seorang mantan murid saya, Mohd Shahrizan Mohd Termizi, atau Ijan yang merupakan Pegawai Waran 2 yang bertugas dengan Helikopter Fennec turut meninggal dunia dalam kejadian tersebut. Ijan adalah ketua komandan KRS semasa bersekolah di SMK Batu Sepuluh Lekir, dari 1996 hingga 2000. Arwah juga anak sulung pengerusi surau Nur Al-Hidayah Taman Mohd Wazir, iaitu Abang Hassan atau nama sebenarnya Mohd Termizi Abdul Ghani. 

Al-Fatihah buat wira negara yang terkorban dalam tragedi tersebut. 


No comments:

Post a Comment

Jejak yang ditinggalkan

MENJADI TUA ADALAH FITRAH, BUKAN SEMUA INSAN MENIKMATINYA

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini. Pagi Rabu 11 .12.2024, menjadi tarik...