Wednesday, November 12, 2025

PERANG DAGANG CHINA DAN AMERIKA SYARIKAT

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Dunia mengetahui perang dagang yang semakin hangat antara dua kuasa besar dunia, iaitu Amaerika Syarikat dan China. Pergeseran yang berlaku beberapa tahun lalu antara kedua dua negara diburukkan lagi dengan tindakan Donald Trump, Presiden AS yang membuat beberapa keputusan berkaitan tarif dagang yang menjejaskan hubungan dagangan hampir semua negara di dunia, termasuk Malaysia. 

China dan Amerika Syarikat merupakan dua ekonomi terbesar dunia dan saling bergantung dalam perdagangan antarabangsa. Pada 2024, China memotong kedudukan Jerman sebagai peneraju ekonomi kedua di dunia, selepas AS. 

Konflik antara dua negara ini bermula sejak zaman pentadbiran pertama Donald Trump (2018), kemudian agak perlahan semasa zaman pentadbiran Joe Biden, namun  memanas dan berubah bentuk menjelang 2025 ketika AS diterajui semula oleh Trump.

Faktor utama termasuklah pertikaian akses pasaran dan struktur tarif yang diperkenalkan oleh pentadbiran Trump. Kawalan eksport, khususnya bahan penting seperti REE dan teknologi tinggi oleh China yang menguasai 80%  pasaran dunia cuba dipecahkan oleh AS dan sekutu baratnya. Sehingga kini ia nampak tidak berjaya, malahan China bertindak balas yang merencatkan ekonomi beberapa buah negara di Eropah dan Amerika.

AS memberikan alasan keselamatan, teknologi, rantai bekalan global serta geopolitik untuk mengenakan pelbagai tarif terhadap barangan China — termasuk tarif asas, tarif tambahan, dan sekatan eksport.

China pula menentang dengan tarif balas ke atas barangan Amerika serta kawalan eksport strategik seperti rare-earths (REE). Antaranya adalah memperluas kawalan eksport bahan kritikal seperti logam REE sebagai tindakbalas kepada tindakan AS.

Kedua-dua pihak kadangkala membuat rundingan dan gencatan sementara tetapi ketegangan tetap tinggi dan tidak jelas bila penyelesaian jangka panjang akan tercapai. Dalam ASEAN Summit di Putrajaya yang dipengerusikan oleh Malaysia, Trump hadir dan mengadakan beberapa perjajian yang dilihat oleh pemerhati sebagai usaha menarik ASEAN kekal memberi sokongan kepada AS dan menjauhi China.  

Rantaian bekalan barang pengeluaran global terjejas akibat perang dagang ini. Banyak syarikat di Asia Tenggara dan seluruh dunia mencari alternatif kepada China apabila AS mengenakan tarif yang tinggi terhadap barang yang dieksport ke negara tersebut. Ironinya, AS mahu barangannya ke pasaran negara lain tidak dikenakan tarif. Keadaan ini secara jelas sangat berat sebelah dan tidak adil kepada negara yang berdagang dengan Amerika. 

China dengan berani menghentikan import minyak kacang soya daripada AS dan menggantikannya dengan minyak soya dari Brazil. Keadaan ini menimbulkan panik dalam pasaran kacang soya AS sehingga para petani negara tersebut mengalami keruagian yang besar. 

Industri teknologi tinggi (seperti bateri EV, semikonduktor) berebut sumber REE yang dikawal China — menimbulkan risiko kepada pengeluar di negara lain. Belanda misalnya, berdepan situasi sukar apabila perusahaan Nexperia milik China menghentikan bekalan untuk alatan penting bagi syarikat pengeluar kereta di Eropah. 

Perang dagang juga menyebabkan pengguna dan perusahaan Amerika menghadapi kos lebih tinggi akibat tarif; sebahagian juga menghadapi kekangan bekalan.

Walaupun ada gencatan perang dagang sementara hasil pertemuan presiden AS dan China baru baru ini, pengurangan penuh ketegangan bergantung kepada rundingan yang lebih dalam dan perubahan dasar besar dari kedua pihak, dengan mengambil masa yang panjang.


Bagi Malaysia dan negara-ASEAN, wujud keadaan timbal balik, sama ada peluang menarik pelaburan asing, kerana syarikat mungkin mencari alternatif kepada China. Namun kita juga berisiko jika  “terperangkap” dalam geostrategik dua kuasa besar ini. Selama ini, Malaysia dan negara ASEAN dilihat boleh bersahabat dengan mana mana blok dan mengamalkan dasar berkecuali. Ibarat kata pepatah, bagai menarik rambut dalam tepung, pemimpin Malaysia harus memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat diutamakan, dan ekonomi negara terus dipacu dengan berhemah. 

Ini adalah pandangan peribadi saya.

No comments:

Post a Comment

Jejak yang ditinggalkan

PERANG DAGANG CHINA DAN AMERIKA SYARIKAT

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini. Dunia mengetahui perang dagang yang ...