Saturday, January 9, 2010

Nostalgia Menunggang Basikal..

Terima kasih kerana sudi membaca di blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.


Foto ehsan Blog Mazidul
 
Kenderaan beroda dua ini dibawa masuk secara besar-besaran oleh Jepun semasa menjajah Tanah Melayu 1941. Sebelum istilah basikal popular, kenderaan ini disebut kereta lereng. Masyarakat sebelah utara mengistilahkannya 'geghek'.

Basikal menjadi kenderaan yang elitis pada waktu itu. Sebelum motosikal digunakan secara meluas, basikal menjadi kenderaan untuk perjalanan dekat dan sederhana. Mungkin dengan keadaan jalan dan sistem perhubungan yang belum sempurna, menyebabkan basikal lebih popular dan digunakan di segenap pelusuk kawasan. Ia menjimatkan, mudah diselenggara dan pantas dibawa ke mana sekalipun!  

Ingatkah anda, bilakah anda mula belajar menunggang basikal? Saya mula belajar menunggang basikal ketika 5 atau 6 tahun. Ketika itu, saya meminjam basikal arwah atuk yang sangat besar. Basikal itu digelar "Basikal Tua", dan saiz pelantar belakang membolehkan penumpangnya duduk 'terkangkang'.


Basikal tua yang popular tahun 50-an

Apabila belajar, saya menyendengkan badan di celah palang, kerana saiz badan yang agak kecil menghalang saya duduk di pelana seperti orang dewasa. Kata orang, naik basikal, kalau tak jatuh, takkan lengkap sesi pembelajaran tersebut. Saya pasti, mereka yang sezaman dengan saya, boleh membayangkan kaedah tunggangan basikal yang amat memeritkan itu. Dengan badan yang kecil disengetkan, dua tangan memegang hendal basikal, kayuhan dibuat berhati-hati supaya imbangan badan kekal stabil.

Pernah satu ketika, saya nak menunjuk kepandaian menunggang basikal tua atuk. Lalu saya tunggang dan bawa adik bersama. Malangnya, ketika mendaki bahu jalan yang agak tinggi dan curam, saya gagal mengawal basikal. Kami jatuh dan adik lelaki saya itu cedera, luka di lututnya. Parutnya ada sehingga kini.

Kini, basikal tua sudah tidak kelihatan di jalan-jalan raya. Kebanyakannya digantikan dengan basikal buatan Jepun dan China yang mempunyai bentuk yang lebih menarik dengan pelbagai saiz dan sesuai mengikut golongan penunggangnya. Berbasikal juga menjadi aktiviti riadah yang semakin diterima dalam masyarakat. Malah, kebanjiran pekerja asing di negara ini turut merancakkan penjualan basikal, kerana mereka tak perlukan lesen untuk menunggangnya.

Friday, January 8, 2010

Apa Yang Dibimbangkan Dah Terjadi!

Terima kasih kerana sudi membaca di blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Saya sudah menjangka, malah yakin kontroversi isu kalimah Allah  akan menimbulkan suasana tidak tenteram dalam negara yang kita cintai ini. Buktinya, awal pagi tadi, Jumaat 8 Januari, tiga buah gereja diberitakan dibakar. Meskipun tiada kemalangan jiwa, ia pasti menyebabkan penganut Kristian tidak berpuas hati.

Dalam ruangan facebook, forum-forum yang terhasil daripada pemikiran yang pelbagai  telah 'tumbuh bagai cendawan selepas hujan'. Ada baiknya, sebab melalui cara ini, perbandingan antara agama dapat dibuat. Malah ada sesetengah pandangan dibuat dalam bentuk wacana ilmu bersandarkan buku dan sumber yang 'sangat berani'. Tidak kurang juga pandangan yang menyokong keputusan mahkamah, dan menghina agama Islam.

Dalam fikiran saya, Ketua Paderi, Tan Sri Murphy Pakiam, tentu tidak mahu ini berlaku. Malah ajaran Kristian yang asal juga tidak mengajak masyarakat bermusuhan. Pakiam mungkin beranggapan, demi memenuhi kehendak segelintir ahli missionary, permohonan untuk menggunakan kalimah Allah perlu dibuat. Nyatalah dia tersilap langkah. Perbuatannya itu, telah mendorong rasa tidak puas hati masyarakat Islam, dan pelbagai pihak termasuk NGO telah menyuarakan kebimbangan dan ketidakpuasan hati terhadap tindakan Ketua Paderi ini.

Kebetulan Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Datuk Lau Bee Lan membuat keputusan yang berpihak kepada Murhy Pakiam, telah menghiris hati masyarakat Islam. Manakala, kerajaan pula agak lambat mengambil tindakan susulan. 

Benarlah kata orang, sarang tebuan jangan dijolok, kalau dijolok, buruk padahnya. Perbuatan membakar gereja milik penganut Kristian, adalah sesuatu yang amat menyedihkan. Islam tidak mengajar umatnya memusnahkan rumah ibadat penganut lain. Saya teringat peristiwa di Ambon, Indonesia, yang berlaku akibat perbalahan antara penganut agama. Ia bukan merugikan harta dan nyawa, malah menakutkan. Sukar dibayangkan jika ini berlaku di Malaysia. Hakikatnya, ketenteraman dalam negara kini terancam.

Persoalannya, apakah akan berlaku selepas ini? Jika penganut Kristian bertindak balas,  mungkin selepas ini kita mendengar berita masjid atau surau tertentu dibakar oleh pihak-pihak tertentu. Selepas itu, orang Islam tidak berdiam diri, lalu membalas dengan cara yang lebih radikal.

Apa kesudahannya? Mahukah kita ketegangan ini berterusan? Saya memohon kepada kerajaan, kembalikan keyakinan rakyat. Tindakan tegas harus diambil terhadap mereka yang menimbulkan kekacauan. Pakiam harus bertanggungjawab. Anda telah membayar dengan harga yang mahal untuk mendapatkan kalimah Allah.

Thursday, January 7, 2010

Muzium Kota Ngah Ibrahim Di Matang

Terima kasih kerana sudi membaca di blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Pernah ke Taiping? Mungkin destinasi anda hanyalah Zoo, Taman Tasik yang mendamaikan atau Bukit Larut yang persis suasana tanah tinggi luar negara. Bagaimanapun, 12 km dari bandar Taiping, iaitu di Matang, terdapat satu destinasi yang tidak patut kita pinggirkan, apatah lagi jika  ingin mengetahui sejarah perkembangan politik Perak zaman penjajahan British.

Kota Ngah Ibrahim atau kini dijadikan Muzium Matang terletak bersebelahan Sekolah Menengah Matang, adalah bangunan rumah Melayu lama yang masih teguh berdiri. Ia menyimpan 1001 peristiwa.
 
 Inilah Kota Ngah Ibrahim
Selepas mewarisi kuasa pemerintahan daerah Larut daripada ayahnya Long Jaafar, Ngah Ibrahim telah membina kota ini. Ia diperbuat berdasarkan ciri-ciri moden ketika itu, dengan menggunakan kayu jati, cengal dan meranti. Kedudukannya berhampiran Sungai Matang, yang merupakan laluan keluar masuk kapal perdagangan ke Selat Melaka.

Selepas peristiwa pembunuhan JWW Birch, beberapa orang pembesar dan pejuang Melayu Perak termasuk Ngah Ibrahim, Dato' Sagor, Dato' Maharajalela dan Sultan Abdullah sendiri telah ditangkap dan dipenjarakan di kota ini. Bangunan ini juga menjadi tempat perbicaraan kepada mereka. pada 14 Disember hingga 22 Disember 1876.  Ia juga menjadi saksi kepada keputusan British menghukum Sultan Abdullah ke Kepulauan Seycelles. Dato' Maharajalela dan Dato' Sagor akhirnya dihukum gantung.
Semasa pemerintahan tentera Jepun di Tanah Melayu, bangunan ini menjadi pusat pentadbiran tentera Jepun bagi Kompeni Taiping.
Selepas negara merdeka, kerajaan Negeri Perak dengan kerjasama Jabatan Antikuiti dan Muzium telah memulihara bangunan ini dan dijadikan sebahagian daripada warisan sejarah negeri Perak


Jika ke Taiping, singgahlah ke sini. Masuk adalah percuma, tiada bayaran dikenakan.
Bagaimanapun, kurangnya promosi dan publisiti menyebabkan kedatangan para pelancong dalam dan luar negara terhad. Malah, persekitarannya juga lesu, seolah-olah hidup segan mati tak mahu. Ia mengingatkan saya kepada Kompleks Sejarah Pasir Salak yang juga sedang menelusuri zaman suramnya.

Tuesday, January 5, 2010

Banyak Nama Tuhan Dalam Bible, Tapi "Allah" Juga Yang Dipilih

Terima kasih kerana sudi membaca di blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Sebenarnya, umat Kristian telah lama kehilangan hak untuk menggunakan perkataan Allah kerana pihak gereja sendiri telah menggugurkan perkataan tersebut dari sebarang urusan gereja dan upacara keagamaan. Pada tahun 325 Masihi satu pengistiharan dalam Muktamar Nicea menyatakan bahawa Trinity adalah akidah utama orang Kristian yang terdiri daripada Bapa, Anak dan Roh Kudus. Ini diikuti oleh Muktamar Constantinople 1 pada tahun 381 Masihi yang mengukuhkan peristiharan terdahulu bahawa semua orang Kristian menggunakan istilah Bapa, Anak dan Roh Kudus. Pada Muktamar Ephesus 1 pada tahun 431 Masihi, pihak gereja melarang orang2 Kristian menggunakan nama Tuhan yang terdapat dalam Kitab Injil untuk percakapan harian dan hanya menggunakan perkataan Bapa sahaja. Nama-nama Tuhan hanya boleh digunakan dalam upacara keagamaan oleh pihak gereja sahaja.
Ketika berlakunya perpecahan aliran dalam agama Kristian di Eropah, aliran Protestant telah muncul untuk keluar dari pengaruh kekuasaan Gereja Katolik yang berpusat di Rome. Akibat daripada perpecahan tersebut juga memberi kesan kepada kitab Bible. Gereja Katolik menerbitkan Bible edisi Geneva pada tahun 1560 dan pihak Protestant menentang penerbitan Bible edisi in dan hasilnya pada tahun 1611 mereka menerbitkan Bible edisi King James. Pada tahun 1769, Bible edisi King James telah diterima pakai oleh dunia Kristian dan digunakan sehingga ke hari ini. Saya ingin menjelaskan disini sebelum tahun 1769, edisi King James mengandungi 4 perkataan kalimat ‘Alah’. Kalimat ‘Alah’ ini telah dibuang dari edisi King James selepas tahun 1769. Edisi King James yang digunakan sekarang tidak mengandungi kalimat tersebut. Oleh itu. Saya berpendapat, agama Kristian sudah tidak mempunyai hak untuk menggunakan kalimat atau perkataan ‘Allah’ untuk apa tujuan sekalipun. Pihak penerbit Herald-The Catholic Weekly seharusnya mengkaji sejarah agama Kristian sendiri sebelum bercita-cita menggunakan perkataan ‘Allah’ dalam penerbitannya. Jika didalam kitab suci agama Kristian tidak ada perkataan ‘Allah’ bagi merujuk nama Tuhan, maka tidak wajar bagi pihak penerbit Herald-Catholic Weekly menggunakannya.
Dari segi linguistik pula, perkataan atau kalimat ‘Allah’ adalah berasal dari bahasa Arab iaitu ‘Al-Ilah’. Dalam bahasa Arab, kata dasar ‘Ilah’ bermaksud “Tuhan yang mempunyai sifat yang tunggal”. Sifat kata dasar ‘Ilah’ juga tidak mempunyai kata ganda yang menunjukkan bilangan (plural) seperti god (singular) dan gods (plural) atau tuhan (bilangan satu) dan tuhan-tuhan (bilangan lebih dari satu). Selain itu, kata dasar ‘Ilah’ juga tidak menunjukkan jantina (gender) seperti god (male) dan goddess (female) atau dewa dan dewi seperti tuhan-tuhan Mesir Purba iaitu Osiris (lelaki) dan Isis (Perempuan). Kata dasar ‘Ilah’ itu sendiri adalah bersifat satu atau tunggal yang bertentangan dengan doktrin Kristian iaitu Trinity. ‘Ilah’ bersifat Uno yakni satu manakala doktrin Trinity pula tuhan itu terdiri daripada 3 oknum iaitu Bapa, Anak dan Roh Kudus yang bertindak secara berasingan. Jika diteliti dengan sepenuhnya terdapat pebezaan yang ketara antara sifat ‘Ilah’ dengan doktrin Trinity tersebut.
Terdapat banyak nama-nama Tuhan di dalam kitab Taurat, Zabur dan Injil. Agama Kristian yang berasal daripada Judeo-Christian, menggabungkan kitab Taurat, Zabur dan Injil dan dikenali sebagai Holy Bible. Bagi saya secara rasionalnya Paderi Murphy Pakiam selaku penerbit Herald-Catholic Weekly sudah tentu lebih mengetahui nama-nama Tuhan yang terdapat dalam kitab Bible. Antaranya ialah Jehovah, Yahweh, Eloh, Eli atau El. Secara rasionalnya juga penerbit Herald-Catholic Weekly boleh menggunakan nama-nama ini dalam penebitan mereka kerana orang-orang Kristian lebih terdedah kepada nama-nama Tuhan yang terdapat dalam Kitab Bible. Persoalannya sekarang, kenapa Paderi Murphy Pakiam tidak menggunakan nama-nama Tuhan yang terdapat dalam kitab Bible tersebut? Sebagai contoh, Jesus pernah bersuara dengan nada yang kuat menyebut salah satu nama Tuhan seperti yang dirakamkan oleh Injil. Jesus menyebut “Eli, Eli lama sabachtani” sebagai kata-kata terakhir beliau. Maksud Eli ialah Tuhanku. Bahasa ibunda Jesus ialah bahasa Aramaic iaitu salah satu dialek bahasa Ibrani (Hebrew). Saya berpendapat adalah lebih realistik bagi penerbit Herald-Catholic Weekly menggunakan nama Tuhan seperti yang keluar dari lidah Jesus sendiri. 1.3 billion orang Islam seluruh dunia yang terdiri daripada pelbagai bangsa dan bertutur dalam pelbagai bahasa menggunakan kalimat Allah yang berasal daripada bahasa asalnya iaitu bahasa Arab. Bahasa Arab adalah bahasa pertuturan Baginda Rasululllah kerana baginda berbangsa Arab. Orang-orang Islam tidak menterjemahkan Allah kepada bahasa ibunda masing-masing. Ini adalah kerana kalimat Allah tidak sesuai diterjemahkan ke dalam bahasa-bahasa lain. Begitu juga dengan orang-orang Kristian, mereka sepatutnya mengikuti Jesus dengan menyebut nama Tuhan dalam bahasa asal iaitu bahasa Aramaic yakni bahasa ibunda Jesus.
Dari segi perundangan, sudah terang dan nyata menunjukkan bahawa perkataan Allah adalah hak eksklusif untuk orang-orang Islam. Saya menyarankan kepada KDN, Jakim dan Persatuan Peguam Islam menggunakan sumber Al-Quran di mahkamah nanti. Secara logik dan rasional minda saya ialah, Perlembagaan Persekutuan Malaysia menyatakan bahawa agama Islam adalah agama rasmi Persekutuan. Oleh kerana itu, semua orang tahu bahawa sumber agama Islam adalah Al-Quran. Kewajaran Al-Quran sebagai dokumen yang telah didokumentasikan oleh para sahabat Rasullullah sebagai sumber yang authentik untuk dijadikan hujah di mahkamah nanti. Surah Al-Ikhlas dengan jelas menyatakan bahawa Allah adalah hak eksklusif bagi orang-orang Islam. Maksud Surah Al-Ikhlas-“Katakanlah Allah Itu Esa(1). Allah tempat bergantung sekelian makhluk(2). Tidak beranak dan tidak pula diperanakkan(3). Dan tiada satu pun yang setara denganNya(4)”. Perhatikan ayat pertama dengan jelas menunjukkan Allah adalah Esa. Secara eksklusifnya hanya untuk orang-orang Islam kerana orang-orang Islam berima kepada Allah yang Esa. Ayat yang kedua pula dengan jelas bertentangan dengan doktrin Trinity. Soalnya sekarang, adakah keputusan mahkamah yang lalu boleh mengatasi Perlembagaan Persekutuan?

Terima kasih kepada sdr. Faizal rakan fb yang berkonsi pandangan melalui forum di fb..

Monday, January 4, 2010

Nak Tunggu Gereja Dibakar?

Terima kasih kerana sudi membaca di blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Perbalahan ummah berkenaan penggunaan kalimah Allah oleh akhbar Kristian di Malaysia bagai tiada kesudahannya. Di pihak kerajaan, PM meminta umat Islam bertenang dan menyerahkan kepada kerajaan untuk menanganinya mengikut saluran undang-undang.


Dalam hal berkaitan, seorang ahli parlimen yang juga peguam yang pernah mengendalikan kes murtad, Zulkefli Noordin telah menempelak rakannya dalam Pakatan Rakyat, iaitu Khalid Samad. Ini susulan sikap Khalid yang menyokong keputusan mahkamah baru-baru ini.

Jangan Permainkan Pengundi Islam, Melayu - Zulkifli
Oleh AU YEONG HOW
PETALING JAYA: Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Noordin hari ini membidas rakan sejawatannya dari Shah Alam, Khalid Samad yang membelakangkan majoriti penduduk dan pengundi Melayu beragama Islam kerana menyokong keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan akhbar mingguan Herald-The Catholic Weekly menggunakan kalimah Allah.
Beliau menegur Yang Dipertua Pas Shah Alam itu yang mempermainkan perasaan dan sentimen umat Islam secara terbuka.
Malah wakil rakyat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu mengingatkan Khalid agar tidak memperkotak-katikkan orang Melayu walaupun mereka dilihat bertolak ansur, sabar, tidak bising dan tidak riuh rendah dalam soal tersebut.
"Kelak mereka akan menghukum Pakatan Rakyat (PR) sekiranya spesis seperti Khalid ini terus dibenarkan bermaharajalela. Teguran saya terhadap beliau adalah secara ikhlas dan terbuka serta berdasarkan hujah bernas dan berdalil.
"Ia juga menunjukkan kepada umat Islam bangsa Melayu di Malaysia bahawa dalam PR nasib dan maruah umat Islam masih dibela dan dipertahankan, agar mereka terus yakin dan menyokong pakatan ini," katanya dalam blog beliau zul4kulim.blogspot.com di sini.
Sebelum ini, Zulkifli mendesak Khalid keluar dan menyertai parti lain termasuk DAP berhubung kenyataannya yang menyokong keputusan mahkamah itu.
Ekoran itu, wakil rakyat dari PAS melabel rakannya dalam pakatan pembangkang itu sebagai jahil .
Malah beliau menasihatkan Zulkifli supaya merujuk kepada kitab dan buku agama sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan yang mencerminkannya sebagai seorang yang tidak berilmu mengenai Islam.
Sebagai wakil rakyat PR, Zulkifli memberitahu, beliau berhak menegur Khalid supaya pakatan pembangkang tersebut tidak kehilangan sokongan dan undi umat Islam khasnya orang Melayu.
"Saya berani menegur beliau agar rakyat terutamanya umat Islam bangsa Melayu meletak keyakinan dan kepercayaan bahawa PR bukan sahaja akan membela kaum dan penganut agama lain, malahan PR juga komited untuk mempertahan dan membela umat Islam termasuk bangsa Melayu.
"Kalau saya dimaklumkan oleh kepimpinan PR bahawa agenda Islam dan Melayu tidak ada dalam PR, maka saya tidak akan teragak-agak keluar daripada PR," tegas beliau.
Malah beliau menegaskan lebih gemar mengambil pendekatan yang mudah iaitu sesiapa yang menghina Islam, maka mereka adalah musuhnya walaupun berada dalam satu parti dengannya.
"Sesiapa yang membela dan mempertahankan Islam adalah sahabat saya walaupun berlainan parti. Dan saya sedikit pun tidak gentar atau takut dengan celaan mereka.
"Saya tetap akan berkata yang hak walaupun pahit untuk ditelan. Yang penting Islam mesti dipertahankan, maruah umat Islam mesti dibela at all cost," tegasnya.

ULASAN SAYA:

Saya ingin mengingatkan Pakatan Rakyat, khususnya PAS dalam menjaga kepentingan agama. Janganlah kerana sikap toleransi yang keterlaluan menyebabkan PAS bagai dicucuk hidung. PAS harus dominan dalam Pakatan Rakyat. Pandangan juga harus sekata. Rujuklah pandangan ulama seperti Dr. Harun Din.



Pilihanraya 1999, rakyat khususnya orang Melayu menghukum Barisan Nasional, dan ia berulang pada tahun 2008. Tetapi jangan lupa, perubahan boleh berlaku seperti dalam 2004, apabila Terengganu dapat kembali kepada BN kerana pentadbiran lemah sepanjang kerajaan PAS memerintah Terengganu. Tak usah berdalih, sebab itulah hakikatnya.

Keadaan beginilah yang akan melahirkan kumpulan radikal agama yang kemudiannya membentuk satu fahaman melampau. Akhirnya, gereja dibakar, paderi dibunuh dan ketenteraman yang kita kecapi akan sampai ke penghujung. Adakah kita menunggu kedaan begini? 



Sunday, January 3, 2010

"Allah" Dari Sudut Pandangan UZAR

Terima kasih kerana sudi membaca di blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Petikan rencana di bawah disalin semula daripada Ustaz Zaharuddin Abdul Rahman, seorang tokoh iluwan muda yang berani. Saya tidak mengubah walaupun satu huruf.

Larangan Kristian Guna
Nama Allah : Ulasan Ringkas
Oleh
Zaharuddin Abd Rahman
 
allahname.jpg
 
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini memutuskan bahawa larangan Kementerian Dalam Negeri (KDN) terhadap penggunaan perkataan 'Allah' adalah tidak sah. Berikutan itu, mahkamah membenarkan permohonan Gereja Katholik untuk mengetepikan larangan tersebut. Hakim Lau Bee Lan berkata arahan oleh menteri dalam negeri itu adalah 'tidak sah dan batal".

Menurutnya, akhbar mingguan The Herald boleh menggunakan perkataan 'Allah' dan menegaskan bahawa perkataan tersebut bukan hanya ekslusif untuk Islam sahaja. Keputusan mahkamah mengetepikan larangan KDN itu, akan memboleh The Herald dan penerbitan bukan Islam yang lain, menggunakan perkataan 'Allah' sebagai terjemahan bagi perkataan 'Tuhan' dalam versi bahasa Melayu mereka.

Hakim Lau berkata semua rakyat Malaysia mempunyai hak perlembagaan untuk menggunakan perkataan 'Allah'. Bagaimanapun, memandangkan implikasi kes ini, KDN dijangka memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi hari ini

SUDUT HUKUM
Berikut di atas tadi adalah petikan berita Malaysiakini bertarikh 31 Disember 2009.
Isu ini turut menjadi hangat khususnya apabila terdapat beberapa pandangan diberikan oleh kumpulan ilmuan. Kumpulan pertama yang tidak membenarkan dengan pelbagai hujjah dan nas, demikian juga kumpulan kedua. Secara asasnya, ini adalah isu cabang dalam bab aqidah yang tidak sama sekali menjatuhkan seseorang dalam kekafiran, perbezaaan pendapat dan ijtihad adalah dibenarkan dalam hal ini.
Dalil-dalil yang diutarakan oleh kedua-dua kumpulan, masih terdiri dari dalalah yang zhonniah, hasil takwilan dan tafsiran. Hanya yang tidak memahami ilmu Usul Fiqh sahaja akan merasakan ia tergolong dalam hal usul yang jatuh kufur bagi yang berbeza. Juga tiada wajar bagi menuduh secara rambang bahawa sesiapa yang membenarkan tergolong dalam kategori Islam liberal, mungkin sebahagiannya benar ingin menyamaratakan semua agama, namun tidak semuanya membenarkan dengan niat sedemikian.
Setelah melakukan penilaian terhadap pelbagai hujjah dan pandangan silam dan kontemporari. Secara asasnya, saya lebih cenderung kepada pendapat yang MENGHARUSKAN penganut Kristian untuk menggunakan nama Allah swt. Antara nas yang paling jelas adalah :
Dan sesungguhnya, jika kamu (Wahai Muhammad) bertanya kepada mereka: "Siapakah yang menciptakan mereka?" sudah tentu mereka akan menjawab: "Allah!". (jika demikian) maka bagaimana mereka rela dipesongkan? Dan (Dia lah Tuhan Yang mengetahui rayuan Nabi Muhammad) yang berkata: Wahai Tuhanku! Sesungguhnya mereka ini adalah satu kaum yang tidak mahu beriman!" (al-Zukhruf : 87-88).
Ini hanya satu dalil sahaja, memang boleh diperdebatkan dengan pelbagai sisi pandang SEPERTI mentafsirkan Allah dalam ayat itu bukan sebagai ‘ALLAH' dalam konteks yang dikhususkan oleh Islam yang terkandung di dalam surah al-Ikhlas, tetapi adalah tuhan pencipta secara umum.
Namun di dalam kaedah dalam fiqh, memerlukan kepada dalil lain jika takwilan sedemikian ingin dilakukan. Khususnya masyarakat Jahiliyyah sudah sedia maklum berkenaan agama yang dibawa oleh Nabi Ibrahim a.s, dan Allah telah difahami merujuk kepada siapa.
Cukuplah, saya tidak ingin menghurai panjang dan berbahas dalam hal ini, hakikatnya banyak lagi nas dan dalil lain yang menyokong kepada keadaan membolehkan tersebut. Menurut penilaian dan pengamatan saya, pandangan membolehkan adalah terlebih kuat daripada hujjah kumpulan yang menolak.
Saya juga kurang bersetuju untuk dipisahkan nama Allah kepada pengertian lughah (dari sudut bahasa secara literal kononnya merujuk kepada tuhan umum), dan Allah secara istilah yang merujuk kepada Allah yang disebut di dalam surah al-Ikhlas.
Satu lagi, perlu diingat, sama ada nama Allah digunakan di dalam Bible atau tidak, itu tidak sama sekali  penting untuk kita, kerana Bible bukan rujukan kita tetapi Al-Quran. Oleh itu, merujuk  kepada bible dalam mencari pendirian dalam hal ini adalah salah sama ada secara sedar atau tidak sedar. Umat Islam hanya merujuk Al-Quran dan Hadis dalam menentukan sikap dan pendirian, bukan Bible. Apatah lagi menurut keyakinan Islam, bible yang wujud hari ini bukanlah sama sepenuhnya dengan injil yang diturunkan kepada Nabi Isa as beribu tahun dahulu.
TETAPI ..
Namun demikian, itu adalah dalam konteks penelitian dalil dan nas, atau konteks ilmiah. Dalam konteks kesesuaian dan Siyasah Syari'yyah khususnya bagi mengelakkan salah guna dan kekeliruan khususnya di Malaysia, saya cenderung untuk BERSETUJU LARANGAN PATUT DIBUAT oleh pihak kerajaan atau Kementerian Dalam Negeri (KDN)
Selain itu, saya juga tidak setuju istilah lain seperti solat, kaabah, masjid digunakan oleh pihak selain Islam untuk ibadat dalam agama mereka.
Memang benar, mudarat dan maslahat mungkin sahaja berbeza mengikut penilaian masing-masing, dan tentunya ia bakal memberikan kecenderungan berbeza-beza. Namun pada hemat dan penilaian saya, unsur kemudaratan lebih wajar dielakkan dalam hal ini.
Justeru itu, penggunaan nama Allah oleh pihak Kristian khususnya dalam penulisan mereka, amat wajar dilarang oleh pihak kerajaan. Di dalam hukum Islam, kerajaan berhak memutuskan hukuman di dalam konteks menghalang mudarat yang dijangkakan.
Dalam konteks Malaysia menurut perkiraan saya, penggunaan kalimah Allah bagi penganut agama Kristian amat dibimbangi boleh mencetuskan ketegangan antara penganut agama seterusnya boleh membawa pergaduhan yang serius jika gagal dikawal.
Lebih lagi, apabila mengenang keadaan umat Islam yang ada hari ini terlalu amat lemah. Keadaan missionary bukan Islam yang amat galak untuk menggunakannya dengan tujuan-tujuan tertentu serta  kemunculan beberapa kumpulan bukan Islam yang diyakini akan menyalahgunakan nama Allah dalam tulisan mereka secara berleluasa sehingga membawa kekeliruan bagi penganut Islam.  Jika dilakukan kajian teliti terhadap hal mudarat ini, elok benar tindakan KDN untuk melarang.
Sekali lagi perlu diingatkan, perlu diperbezakan keputusan hukum dan siyasah syar'iyyah.  Sekuat manapun hujjah untuk membenarkan kristian menggunakan nama Allah, namun hujjah dari sudut mudarat dan kesesuaian konteks di Malaysia, larangan amat patut dilakukan, sama ada untuk tempoh tertentu atau berterusan atau mungkin boleh dibenarkan tetapi dengan syarat-syarat tertentu seperti semua bahan cetak yang ingin diedarkan itu perlu mendapat kelulusan KDN bagi setaip keluarannya dan juga dilaksanakan sekatan pengedaran secara terbuka (hanya terhad kepada penganut Kristian). Ini penting bagi menghindarkan mudarat yang boleh menimpa orang awam Islam yang sedang lemah, dan ruang konflik antara agama yang amat mudah ternyala api pergaduhan.
Kesimpulannya, secara peribadi saya berharap agar rayuan keputusan yang akan dilakukan oleh KDN Berjaya mencapai keputusan sebaiknya.
Sekian
 
Zaharuddin Abd Rahman

Friday, January 1, 2010

Syukur... Gula Naik 20 sen

Terima kasih kerana sudi membaca di blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Alhamdulillah, akhirnya gula dinaikkan juga harganya sebanyak 20 sen, dan ia sudah dijangka akan berlaku.

Alhamdulillah, dalam suasana ekonomi yang tidak stabil, harga gula naik, tetapi dalam masa yang sama, masyarakat boleh kurangkan gula. Lebihkan senyuman, ye bang...

Alhamdulillah, dalam tempoh seminggu dua ni, peniaga dan pemborong berlumba-lumba menaikkan harga barang dan perkhidmatan.

Insya-Allah, khabarnya tarif elektrik pun akan naik sedikit masa lagi.

Bersedialah...

PILIHAN RAYA NEGERI SABAH 2025

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini. Sabah akan melaksanakan pembuangan u...