Monday, December 21, 2015

(MASUK GUA) ..sambungan

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.
(Nasihat: Anda dinasihatkan membaca entri sebelumnya bagi memudahkan pemahaman jalan cerita di bawah.)

Tiba-tiba lampu suluh Tongkhai terpadam.
Suasana menjadi senyap dan sedikit menyeramkan. 
"Kau ada pemetik api?" Adi bertanya Tongkhai dengan suara bergetar.
Bunyi kelawar tiba-tiba berdecit-decit bagai diganggu sesuatu. 
Tongkhai yang mula berpeluh jantan mengunjukkan pemetik api kepada Adi.
"Susahlah kalau selalu begini.." Adi memecahkan kebuntuan. Ada riak takut pada suaranya.
"Kalau Liverfool kalah lagi, nampaknya lamalah kita di gua ni," katanya sambil tersenyum kelat ke arah Tongkhai yang terangguk-angguk mengiyakan kata-katanya. 
Dia menyalakan api dan membakar kayu serta daun kering yang ada di lantai gua.  Suasana gua menjadi sedikit cerah. Mereka terus berbual santai ditemani bunyi cengkerik dan decit kelawar di gua itu. 
Sedang mereka berbual, kedengaran sayup-sayup suara dari arah pintu gua.
"Hoiiiiiiii,... ada orang tak?"
"Kalau ada orang, kami nak masuk..." Laung suara itu lagi.
Adi dan Tongkhai saling berpandangan. Suara itu, macam biasa mereka dengar.
"Kau dengar apa yang aku dengar?" Tanya Tongkhai.
Adi mengambil lampu suluh Tongkhai. Di ketuk-ketuknya lampu suluh itu dan secara tiba-tiba, ia menyala semula, biarpun tidak begitu terang.Dia menyuluh ke arah suara tersebut.
Dari kejauhan yang samar-samar, kelihatan susuk tubuh dua orang lelaki tegap menuju ke arah mereka.
"Woih, hangpa merajuk ka masuk gua ni?" Tanya suara itu. Semakin lama, wajah lelaki itu jelas kelihatan.
Sudah sah. Adi dan Tongkhai tersenyum melihat kelibat lelaki tersebut. Mereka kenal benar dengannya.
"Tak aih... saja dok melengung, tunggu game minggu depan," Tongkhai menjawab dengan suara yang agak nyaring.
Tepat telahan mereka, dua lelaki tersebut ialah Pak Din Hensem dan Pak Alim KIPS. Kedua-duanya penyokong kelab Mancistu United.
"Pak Din Hensem buat apa kat sini?" Tanya Adi.
" Ada bawak makan kaa?" Tongkhai pula bertanya.
"Huhh... makan apa, kami nak temankan hangpa laa..." Pak Din Hensem bersuara.
Riak wajahnya tetap hensem walaupun keletihan berjalan.
"Nak temankan kami?" Adi tercengang sambil memandang Tongkhai.
"Tak payahlah Pak Din... Kami kot lama lagi kat sini. Pak Kulop janji kebangkitan, tapi kelmarin dah kena 3 bijik,... malulah kami nak keluaq," Adi berhujah menggunakan dialek Kedahnya.
"Betoi tu,... kami relah dok lama kat dalam gua ni," Tongkhai menyampuk.
"Kome tak tengok ASTRO ker?" Pak Alim KIPS yang dari tadi diam, bertanya.
"Mana ada ASTRO dalam gua ni?" Adi menjawab sambil menguis-nguis unggun api yang hampir padam.
"Kelab Mancistu United pun kena baham gak. Tu sebab kami nak lepak sini temankan hangpa." Kata Pak Din Hensem perlahan-lahan sambil menunduk.
Keempat-empat mereka duduklah di gua itu buat seminggu lagi...

(Cerita ini tiada kaitan dengan sesiapa, melainkan untuk hiburan hati yang lara juga adanya..)

Tuesday, December 8, 2015

MASUK GUA (Untuk Peminat Kelab Bola Sepak BPL Sahaja)

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan persinggahan anda di sini.

Foto hiasan
Susuk tubuh dua pemuda kelihatan merangkak-kangkak di lantai gua.
"Gelapnya gua ni," bisik Tongkhai yang berada di barisan hadapan.
"Jalan terus. Jangan berhenti. " Kata Adi sambil merenung siling gua yang dipenuhi kelawar bergayutan.
Tidak lama merangkak bagaikan itik berjalan, mereka berhenti seketika, menghilangkan penat.
Suasana agak sepi. Sesekali ada bunyi cengkerik dan kelawar berebut tempat bergantung. Ada bunyi titisan air dari staktait yang membentuk permukaan gua batu kapur itu. 
"Ada yang tahu tak kita di sini?" Tongkhai bersuara, memecahkan hening suasana. Lampu suluhnya dihalakan ke muka Adi seketika.
"Adi mendiamkan diri.
"Tak ada." Katanya pendek.Kemudian dia menghela nafasnya perlahan-lahan, bagaikan merintih.
"Kau pasti?" Tongkhai meminta kepastian.
"Adi mengangguk perlahan bagaikan Juergen Klopp di tepi padang bola.
Mereka diam seketika.
"Aku tak sangka, dah menang bergaya sebelum ni, baru je nak selebret, dah kalah balik." Tongkhai meluahkan perasan yang terbuku di hatinya.
"Rilek la,... ada lagi game yang akan datang, mana tau boleh menang?" Adi memujuknya. Sebenarnya Adi sendiri tak pasti akan keyakinannya kepada kelab bola sepak mereka, iaitu Liverfool.
Gua itu adalah saksi kepada sokongan mereka terhadap pasukan Liverfool selama ini. Di situlah mereka akan melepak sehingga ke minggu perlawanan berikutnya. Jika kelab bola mereka menang atau seri, mereka akan keluar semula dan bersembang penuh gaya dengan penyokong pasukan lain.
Jika ada kesempatan, mereka boleh mengutuk kelab bola sepak Mancistu United, iaitu kelab bola sepak yang disokong oleh Pak Din Hensem. Tetapi, akhir-akhir ini kelab tersebut sering menang, atau paling kurang seri dengan lawannya.
"Berapa lama kita nak lepak sini?" Tongkhai merenung Adi, sambil jarinya memutar-mutar ranting kecil.
"Tengoklah, hujung minggu ni mungkin boleh keluar. Pak Kulop janji buat kebangkitan." Kata Adi, yang begitu mengagumi Pak Kulop, pengurus kelab Liverfool yang baharu dilantik. 

Cerita ini tiada kena mengena dengan sesiapa, melainkan untuk hiburan semata-mata


Thursday, December 3, 2015

SATIRA POLITIK: HIKAYAT BENDAHARA BEBAL

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan persinggahan anda di sini.

Sahibul hikayat, maka diceriterakan orang, ada sebuah negeri antah berantah, jauhnya sepurnama berjalan ke arah matahari terbit, maka negeri itu pun diperintah oleh seorang bendahara, terlalu baik parasnya, ibarat bagai pauh dilayang, bagai bulan di pagar bintang. Hatta, diperisterikannya seorang puteri yang tidak kalah rupanya, sekonyong-konyong dikatakan orang mirip pelakon Saadiah juga adanya.

Adapun bendahara itu, tidaklah sepintar almarhum ayahandanya, yang juga memerintah negeri antah berantah itu. Hatta, setelah kemangkatan ayahandanya, lalu dinobatkan ia sebagai ganti, kerana rakyat negeri itu sudah terhutang budi dengan jasa ayahandanya dahulu.Sudah menjadi adat negeri antah berantah, pemerintah akan digantikan dengan keturunannya, kerana barang dipercaya oleh kebanyakan orang, rakyat negeri itu tidak ada yang layak memerintah, melainkan keturunan bendahara juga adanya.

Maka bendahara yang muda itu pun memerintah negeri antah berantah, mengikut kebijaksanaannya.Setelah lama ia memerintah, maka bendahara mulalah lupa akan dirinya. Maka, selalulah ia berfoya-foya, mabuk dengan harta dunia sehingga ia lupa akan rakyat jelata yang setia kepadanya.
Lalu, dibandingkan orang dengan pemerintahan ayahandanya, maka kata seorang daripadanya, "tidaklah hamba melihat bendahara itu lebih baik daripada ayahandanya," Lalu dikhabarkan orang kata-kata itu kepada dia, Maka bendahara itu pun murka seraya berkata," Siapakah yang telah menghina beta, membandingkan beta dengan ayahanda beta yang sudah tiada? Hadapkan ia ke istana, biar beta ajarkan dia, bersopan dengan bendahara ternama."

Maka sejak daripada itu, rakyat mulalah rasa gundah gulana, barangsiapa tidak sependapat dengan bendahara, hukuman sudah pasti ada. Hatta, bendahara pula semakin alpa, tidak terkira harta negara, diambil digunakan setiap masa. Cukai yang ada dinaikkan hinga terkejutlah rakyat jelata, menghimpit kehidupan marhaen jadi papa kedana. Kepada rakyat, bendahara menunjukkan muka selamba, berjalan ke sana ke mari bagaikan tidak berdosa, diberikan sekupang dua, supaya rakyat senyap tak berkata apa-apa.

Maka sampailah perkhabaran kepada rakyat, entah mana datangnya berita, kononnya bendahara ada menerima derma, yang jumlahnya banyaklah juga. Ketika rakyatnya hidup sederhana, bendahara itu berbelanja sakan lagaknya, seolah negeri antah berantah itu, miliknya sahaja. Cukai kepala dan tambang pengangkutan awam dinaikkan berganda, maka diciptakannya alasan yang berjela-jela.

Barangsiapa yang menongkah, pasti hukuman pancunglah jawapannya. Rakyat menjadi susah dan amarah mula bernyala. Sampailah berita kepada Datuk Temenggung, timbalannya, lalu berbisiklah temenggung mengkhabarkan rakyat sudah tidak suka akan perilaku bendahara yang suka berfoya-foya. 
" Wahai Datuk Bendahara, sudah cukuplah berfoya-foya, rakyat kita semakin celik akalnya, jangan pula kita dihinakan bila tiba masanya," pujuk datuk temenggung kepada bendahara.
Maka, murkalah datuk bendahara, kerana temenggung yang selama ini menyokongnya, sudah berpaling arah mengkritik kepimpinannya. Maka kata datuk temenggung lagi, rakyat bertanya apakah derma yang banyak kepada bendahara, siapakah yang memberinya?
Lalu bertambah murkalah bendahara, kerana dihina sedemikian rupa. Tidaklah dapat dijawab siapa pemberi derma kepadanya, melainkan kononnya daripada jutawan Arab kaya yang tidak diketahui namanya.
Diceritakan orang, datuk temenggung yang selama itu menjadi penasihatnya, tidak lagi diumpamakan bagai bangsawan ternama, di mana dia berada, datuk temenggung diludah dinista oleh juak-juak bendahara, kononnya ingin merampas kuasa, lalu dituduhlah datuk temenggung bermukah hingga hilanglah maruah dan harga diri datuk temenggung itu.
Lalu, ke mana sahaja pergi datuk temenggung itu, tidaklah lagi diberi hormat oleh rakyat jelata, jika ada pun sedikit sahaja yang tahu akan cerita di sebalik tuduhan nista itu.
"Barulah puas hati beta, datuk temenggung ingin menunjukkan bijaksananya, tak padan dengan rupa, sudahlah hodoh, hitamlah pula," kata bendahara bersama permaisuri yang menjadi penasihatnya sekian lama.  
Hatta, setelah beberapa lama, rakyat antah berantah semakin meluat bertambah bencilah kepada bendahara. Barang apa dikatanya, sudah tidak lagi dipercaya, maka gundahlah hati bendahara, hendak diletak jawatan, penggantinya bodoh-bodoh belaka. 
Apakah kelak nasibnya tatkala banyak lagi khazanah negeri antah berantah tidak dibelanjakannya.
Lalu diciptakannya skim pemberian subsidi kepada rakyat, kononnya hendak dikongsikan khazanah negara, diberikan beberapa keping syiling perak kepada rakyat jelata, tetapi selebihnya, wang emas berkoyan-koyan masuk ke poket bendahara. 
Lalu makin beranilah bendahara mengutip hasil masyghul negeri antah berantah itu. 
Sekonyong-konyong, datanglah seorang lelaki, elok parasnya, menyapanya pagi hari, ketika datuk bendahara sedang mengira wang emas dalam tempayan di bilik tidurnya. Entah daripada mana datangnya lelaki itu, lalu terkejutlah bendahara lalu bertanya, "siapakah gerangan tuan hamba, datang tidak memberi salam, muncul secara tiba-tiba?"
Lalu dijawab oleh lelaki itu, "akulah malaikat maut, yang ditugaskan mencabut nyawamu." 
Menangislah bendahara, maka berjurailah air matanya, merayu diberikan sedikit masa, untuk dia menyimpan khazanah negeri antah berantah supaya dapat digunakan keluarganya. 
" Barang diberikan masa untuk hamba membuat wasiat kepada anak cucu hamba supaya tidaklah mereka berebut harta hamba sesudah hamba .....," katanya seraya berlakon mengesat-ngesat air matanya. 
Tidak sempat dia menghabiskan ayatnya, maka tercabutlah nyawa daripada badannya. 
Maka terkangkanglah bendahara, mati di mahligai miliknya, tanpa sempat meninggalkan wasiat kepada anak cucunya. 

CERITA INI TIADA KENA MENGENA DENGAN MANA-MANA PIHAK JUGA ADANYA...

Sunday, November 22, 2015

SELAMAT BERSARA CIKGU NORIZAN MOHAMED RAZI

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Akhirnya, selepas menabur budi lebih 10 tahun di Seri Samudera, cikgu Norizan Mohamed Razi atau lebih mesra saya panggil Kak Zan, akan bersara mulai 1hb Januari 2016. 
Persaraan ini adalah pilihan beliau, biarpun masih ada baki perkhidmatan selama 4 tahun lagi. Kak Zan saya kenali sejak saya ke sini pada awal 2015. Dia seorang guru yang lembut tutur bicara, bersifat keibuan dan jarang sekali mempamerkan wajah mencuka. Senyumannya sentiasa di bibir, malah adil untuk saya katakan, saya tidak pernah mendengar dia memarahi pelajar dengan suara yang tinggi. Jika marah, dia hanya diam. Karektornya yang sebegini menyebabkan pelajar menyayanginya. 

Majlis dimulakan dengan perarakan kompang dan bunga manggar yang dipimpin oleh Cikgu Foong Wan Ting, dari pejabat sekolah hingga ke dataran perhimpunan. Beliau diiringi pengetua, Pn. Sabarina bt Jamaluddin, semua Penolong Kanan dan Ketua Bidang, termasuk Yang Dipertua PIBG, Lt Kdr (B) Mohamad Matahab bin Ismail. 
Sebaik tiba di pentas utama, pasukan silat di bawah bimbingan Cikgu Jusnizan Ramli mempersembahkan 'silat sambut dan silat tempur'. 
Selesai bacaan doa oleh Kaunselor, Hj Abdul Razak bin Ahmad, majlis diteruskan dengan siri ucapan wakil pelajar, pengetua dan beliau sendiri. 
Beberapa orang guru, menyampaikan persembahan penghargaan kepada Kak Zan. Antaranya adalah Seloka cikgu Abdul Halim Abdul Rahman, Luahan Hati Cikgu Zarina Hassan dan Nyanyian Gurindam Jiwa oleh paduan suara Cikgu Rosiah Mohamed Arif dan Cikgu Jusnizan.
Pelajar sesi pagi yang hadir ke majlis persaraan Kak Zan

Cikgu Halim berseloka


Pelajar mengaminkan doa yang dibacakan

Pn. Sabarina menyampaikan ucapan mewakili pentadbir sekolah

Ucapan terakhir Kak Zan di pentas sekolah

BERKUNJUNG KE SANTUARI PENYU SEGARI BERSAMA ROOMATE KOLEJ KELIMA UPM (DEDIKASI UNTUK DR KHAIRI)

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Awal cuti persekolahan ini, saya menerima mesej bekas teman sebilik semasa di Kolej Kediaman Kelima UPM pada 1991-1995, Dr Khairi Hussain, yang akan ke daerah saya mengunjungi iparnya.
Dia mengambil kesempatan untuk bertemu saya. Sebenarnya, Dr. Khairi, anak kelahiran Negeri Sembilan memang rapat dengan saya semasa kami belajar di Serdang. Biarpun jurusan kami berbeza, kami ada keserasian. Sesetengah orang yang kurang mengenalinya mungkin menganggapnya pendiam, tetapi dia sebenarnya mudah mesra.

Alhamdulillah, Allah izinkan kami bertemu di Manjung. Dia membawa bersama anak lelakinya Thoyib dan Soleh, manakala saya juga membawa Afif Wajdiy dan Aqil Najmi sebagai teman.

Selepas bersarapan, kami ke Pusat Santuari Penyu di Segari. Perjalanan lebih kurang 30 minit akhirnya terhenti di pesisir pantai Pasir Panjang yang menghadap Selat Melaka. Angin sepoi-sepoi bahasa, dengan cuaca cerah menyambut kedatangan kami. 


Kami bertemu di Warung Selera Ummi

Melihat santuari penyu di Segari
Anak-anak kami teruja melihat aksi penyu belaan di dalam kolam. Ada anak penyu yang berusia seawal 3 minggu hingga 5 tahun di kolam ini. Penyu yang mendarat untuk bertelur di pantai ini adalah penyu karah dan penyu agar. Lazimnya, petugas akan meronda di pantai dan melihat jejak penyu bertelur. Kemudian telur-telur tersebut dipindahkan ke pusat eraman sehingga menetas. Anak penyu yang bharu menetas berisiko untuk menjadi mangsa burung dan ikan besar. Ia akan dipindahkan ke kolam sehingga tempoh tertentu dan boleh dilepaskan ke laut. Hakikatnya, hanya 1-2 ekor penyu sahaja yang akan hidup hingga dewasa , manakala 90% lagi menjadi makanan kepada pemangsa.

Anak penyu baru berusia 3 minggu

Saya dan Dr. Khairi, pernah sebilik di Blok Baung

Penyu juvenil yang bebas berenang di kolam khas

Dari kiri, Thoyib, Aqil dan Afif

Kenangan akhir sebelum berpisah buat waktu ini.

 

Sunday, October 18, 2015

TEMUDUGA NPQEL

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Sudah lama saya tidak menghadiri temuduga. Seingat saya, saya pernah ditemuduga semasa pelantikan sebagai guru siswazah, kemudian beberapa kali dalam perkhidmatan, itupun tidaklah memerlukan saya berada dalam keadaan tidak selesa, kerana telah bersedia.

Kali ini, saya mendapat khabar temuduga tersebut dalam jangka waktu yang singkat. Temuduga tersebut dijadualkan pukul 8 pagi 15 Oktober 2015. Beberapa dokumen yang sepatutnya dibawa bersama perlu disediakan lebih awal. Antaranya adalah laporan buku perkhidmatan dan markah LNPT untuk tiga tahun terkini. Mujurlah staf pejabat baik di sekolah mahupun PPD Manjung ringan tulang membantu persediaan kami. 

Kami berenam dalam satu kumpulan, iaitu saya, Cikgu Kamarul Baharin, dari SMK Batu Sepuluh, Lekir, Cikgu Nasri Senik(SMK Cangkat Beruas), Cikgu Roslina Othman, (SMK Seri Manjung), Cikgu Noriha Yaacob (SMK Methodist ACS) dan Cikgu Husaini dari SMKTLDM Lumut.

Kami dikumpulkan bersama 249 orang calon seluruh negeri Perak di Kolej Latihan Sains Jururawat Tanjung Rambutan. Saya sampai  lewat sedikit ke tempat temuduga kerana kesesakan jalan raya. Sebaik tiba di sana, rakan lain sudah menunggu giliran. Selepas melapor diri kepada urus setia, kami menunggu giliran sesi temuduga.

Ada dua sesi penilaian, iaitu bahagian kumpulan dan individu. Untuk bahagian kumpulan, kami mendapat cabutan tajuk PISA dan usaha meningkatkan pencapaian pelajar. Dalam masa 30 minit, kami diberi peluang menyampaikan pandangan dan idea dalam bentuk forum. Cikgu Husaini bertindak sebagai pengerusi manakala kami menjadi ahli. Pihak panel penemuduga seramai 3 orang terdiri daripada seorang pengetua DG52, Ketua Sektor JPN dan Pegawai SIP+ PPD Kinta Utara. 

Tamat sesi berkumpulan, kami dibenarkan rehat dan masuk semula untuk penilaian individu oleh panel yang sama. Bahagian ini, pada hemat saya, lebih mencabar kerana beberapa soalan ditanyakan oleh tiga orang penilai secara bergilir. Giliran pertama oleh Cikgu Kamarul Baharin, diikuti oleh Cikgu Nasri dan saya sendiri. Selepas itu Cikgu Roslina, Cikgu Noriha dan diakhiri oleh Cikgu Husaini. 

Pelbagai soalan ditanya oleh panel kepada saya, termasuklah usaha meningkatkan pencapaian pelajar, pengalaman mengajar, latar belakang diri dan diakhiri soalan 'wajib' jawab iaitu, "sekiranya anda menjadi pengetua, apakah perubahan yang anda lakukan untuk sekolah anda?"

Kesimpulannya, saya telah berusaha sebaik mungkin. Begitu juga dengan rakan lain. Saya pasti calon kursus NPQEL  yang lain juga telah memberikan komitmen yang tinggi dalam temuduga masing-masing. Selebihnya, saya serahkan kepada Allah. Jika ada rezeki, dapatlah tempat untuk menimba ilmu pengurusan dan pentadbiran bagi tahun 2016. 


Tuesday, October 6, 2015

Jerebu: Apakah yang kita harapkan daripada Indonesia?

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Malaysia dilanda jerebu yang teruk dalam tempoh yang berlarutan hampir sebulan, sehingga memaksa sekolah-sekolah ditutup di beberapa buah negeri. Puncanya, sama seperti tahun-tahun sebelumnya, iaitu pembakaran terbuka oleh syarikat-syarikat perladangan di Indonesia, terutama di kepulauan Riau, Jambi, Kalimantan dan Sumatera.

Pergerakan angin membawa debu dan asap pembakaran tersebut ke ruang udara negara kita dan Singapura. Ruang udara negara dipenuhi asap dan debu pembakaran yang merengsakan tekak dan menyukarkan pernafasan. 

Dalam hal ini, Singapura bertindak tegas mengikut peruntukan undang-undang yang baharu digubal tahun lalu, dengan menyaman syarikat yang terlibat. Manakala pemimpin negara kita bersikap tunggu dan lihat termasuk mengadakan beberapa pertemuan dengan kepemimpinan tertinggi Indonesia, dalam erti kata cuba mencari penyelesaian secara rundingan.  Seorang Menteri dilaporkan berkata Malaysia juga akan (belum lagi bertindak sebenarnya) menggubal undang-undang rentas sempadan seperti yang dilakukan oleh Singapura supaya ia tidak berulang pada masa akan datang.Ironinya, ia bukanlah perkara baharu dan telah berlaku bertahun-tahun lalu.
Keadaan jerebu menjejaskan ekonomi dan kesihatan

Sekolah di Malaysia terpaksa ditutup setelah bacaan IPU meningkat

Indonesia adalah sebuah negara pulau, dengan kadar korupsi yang tinggi dalam kalangan pegawai penguatkuasanya. Mengharapkan Joko Widodo melakukan tindakan susulan, umpama berharap keajaiban yang datang secara tiba-tiba. Jokowi (nama panggilan mesra Presiden Indonesia) sendiri mengakui sukar untuknya menghentikan tindakan pembakaran yang mengakibatkan jerebu di negara jiran, sebaliknya meminta masa 3 tahun untuk mengatasi masalah yang sudah membarah ini.

Lalu, apakah sebenarnya yang kita harapkan daripada Indonesia. Rakyat Indonesia di beberapa kawasan yang terjejas teruk seperti di Riau sendiri, sudah tidak mampu merayu pemimpin negara mereka menyelesaikan masalah bencana jerebu. Mereka sendiri dilayan dengan buruk akibat tindakan rakus syarikat ladang dan individu yang merosakkan alam sekitar di Indonesia.

Saya masih di Shah Alam ketika mencoretkan luahan ini, dan keadaan agak baik selepas hujan lebat petang tadi di sini. Bagaimanapun, mengharapkan hujan semata-mata, untuk mengembalikan keadaan pulih tanpa jerebu, adalah harapan yang tidak boleh disandarkan sepenuhnya kepada takdir. 

Kita layak dan mampu berdoa, tetapi satu penyelesaian tuntas perlu dibuat supaya keadaan ini tidak berulang saban tahun.

Indonesia, dengarlah luahan hati rakyatmu dan negara jiran. Kami sudah letih dengan menyedut udara jerebu yang panas, berdebu dan menjejaskan kesihatan apabila tiba musim pembakaran ladang secara besar-besaran.  

PILIHAN RAYA NEGERI SABAH 2025

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini. Sabah akan melaksanakan pembuangan u...