Saturday, February 28, 2009

HARGAILAH HIDUP INI..

Terima kasih kerana sudi singgah di blog saya. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di blog ini.
Pada sesi Perkembangan Staf bertajuk Mengubah Minda untuk staf akademik SMKBS, Puan Marhaini (kalau tak salah aku) menyampaikannya dengan baik dan menarikPuan Marhaini sedang memberi ceramah

Ada dua tugasan untuk kami selesaikan.

Pertama, senaraikan 100 sebab untuk kita bersyukur. Banyak sebenarnya, tapi setakat yang aku senaraikan, baru ada 45 sebab.

Kedua, jadikan prinsip "For the next 7 days, I'll never ever ever complaint" . Katanya, Ketua Jabatan dan orang bawahannya mesti selalu berfikir positif, dan membentuk team building yang kuat tetapi hakikatnya, orang bawahan selalu 'mencebek' dan memprotes arahan yang tidak mereka gemari.Dari kiri, Cikgu Hayati, Cikgu Haizan dan Cikgu Normah.. khusyuk dan tawadduk

Akhirnya, beliau mengajak kami berfikir: Selalunya, apabila bangun pagi, kita selalu memikirkan apa yang nak dibuat untuk hari itu. Jarang sekali kita mensyukuri nikmat kerana Allah masih panjangkan usia kita. Ada orang mati dalam tidur, dan seumpamanya.

Secara peribadi, banyak perkara menarik yang menyebabkan aku suka sesi Perkembangan Staf kali ini.

Friday, February 27, 2009

Keputusan SPM 2008 Mac Ini..

Terima kasih kerana sudi singgah di blog saya. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di blog ini.

Keputusan SPM diketahui 2 minggu lagi

KUALA LUMPUR:Keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) akan diumumkan pada minggu kedua bulan Mac ini.

"Pelajar boleh mendapatkan keputusan mereka di sekolah masing-masing pada hari terakhir hujung minggu tersebut," kata Ketua Pengarah Pelajran, Datuk Alimuddin Mohd Dom.

Keputusan rasmi mengenainya telah pun diedarkan ke sekolah-sekolah di seluruh negara sejak beberapa hari yang lalu.

Seramai 442, 936 pelajar telah menduduki peperiksaan tersebut tahun lalu.

Buat semua pelajar dan calon SPM 2008, dup dap dup dup dap dup dap.. bunyi jantunglah tu...


Kadar Tol Baru Ditunda?

Terima kasih kerana sudi singgah di blog saya. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di blog ini.

Saya mendapat sumber berita yang telah belum disahkan, tetapi mungkin benar. Tol di lima lebuh raya yang dinaikkan mulai Mac 2009 akan ditangguhkan ke satu masa yang akan dinyatakan, dan tidak akan dilaksanakan seperti yang dimaklumkan oleh Menteri Kerja Raya.

Kenaikan Kadar Tol Membebankan Rakyat


Terima kasih kerana sudi singgah di blog saya. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di blog ini.

Dalam keadaan ekonomi yang semakin meleset, kehidupan rakyat telah terjejas. Semakin ramai yang diberi cuti tanpa gaji, dan lebih malang lagi apabila ada yang dibuang kerja. Majikan yang ingin mengurangkan kos, akan mengecilkan saiz pekerja bagi 'survival' syarikat dalam suasana yang tidak menentu ini.

Ibarat "sudah jatuh ditimpa tangga", pengumuman Kementerian Kerja Raya tentang kenaikan kadar tol di lima laluan lebuh raya pasti mengundang masalah tambahan kepada rakyat. Ia juga menimbulkan reaksi kurang senang Perdana Menteri, beberapa orang menteri dan pihak pembangkang. Rasanya, itu jugalah yang dirasakan rakyat sekarang.

Dalam reaksi segera, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, Perdana Menteri yang sedang berada di Pattaya, Thailand berkata, beliau akan meminta Kabinet memperhalusi kewajaran menaikkan kadar tol dalam keadaan ekonomi sekarang.

Pondok tol PLUS yang menangguk di air keruh

Seorang rakan yang kebetulan pengguna tetap lebuh raya berkenaan menghubungiku, dengan rasa geram melahirkan rasa kurang senang dengan tindakan membuta tuli kerajaan ketika rakyat dihimpit kemelesetan.

"Syarikat tol lebuh raya tiada hati perut, kementerian (Kerja Raya) hanya pak turut." Katanya sambil mengharapkan rakyat memberi amaran kepada kerajaan melalui pilihan raya kecil yang bakal berlangsung April nanti.

Aku faham perasaannya, tetapi ramai menteri dan pembuat keputusan di 'atas sana' tidak memahami apa yang sedang dilalui rakyat sekarang.

Tidak hairanlah, mengapa parti pemerintah sekarang semakin tidak mendapat sokongan rakyat.



Wednesday, February 25, 2009

Proses Penuaan

Terima kasih kerana sudi singgah di blog saya. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di blog ini.

Apa Itu Penuaan

Manusia dalam hidupnya akan melalui empat tempoh masa iaitu masa kecil atau kanak-kanak, masa remaja, masa dewasa, dan yang terakhir masa tua. Setiap makhluk Allah akan melewati empat tempoh masa ini.

Pada masa kanak-kanak dan remaja, hidup manusia rata-rata mengalami kesihatan yang sempurna. Kalau ada pun mereka sakit, proses penyembuhan mereka secara relatif sangat cepat.

Bagaimanapun, ketika mulai menginjak ke alam dewasa dan masa tua, hidup manusia akan mengalami masalah-masalah pada kesihatan tubuh badannya seperti misalnya kencing manis, darah tinggi, lemah jantung, dan pelbagai lagi penyakit yang biasanya disebut penyakit tua.

Sudah nyatalah ketika seseorang menginjak masa dewasa, mereka mengalami proses yang dikenal dengan proses penuaan. Jadi proses penuaan ini adalah proses menurunnya kualiti organ yang ada di dalam tubuh manusia.

Menurut hasil penelitian Dr. Daniel Rudman yang diterbitkan di New England Journal of Medicine, merumuskan penuaan dikategorikan sebagai suatu penyakit, dan penyakit penuaan disebabkan kerana kekurangan salah satu hormon. Hormon tersebut adalah hormon pertumbuhan manusia.


Gambar 1 Dr Daniel Rudman


Kesan kekurangan hormon pertumbuhan manusia ini ternyata mempengaruhi ukuran dan fungsi dari organ-organ yang terdapat di dalam tubuh. Sebagai contoh adalah pada otak dan ginjal.


Gambar 2 Otak Mengecil

Pada gambar 2 terlihat terjadi pengecutan otak sebanyak 30% pada otak seseorang yang berumur 70 tahun. Tidak hairanlah jika manusia pada umur 70 akan mengalami simptom-simptom dan penyakit-penyakit yang berhubungan dengan otak seperti Parkinson.


Gambar 3 Ginjal Mengecil

Pada gambar 3, gambar organ ginjal pada manusia berumur 70 tahun yang mengalami pengecutan dan warnanya yang kehitam-hitaman.

Akibat pengecutan menyebabkan menurunnya fungsi ginjal dan pada tingkat terendah, seseorang akan kehilangan fungsi ginjalnya yang biasa dikenal dengan nama kegagalan ginjal.

Selain otak dan ginjal, hakikatnya seluruh organ yang ada di tubuh manusia seperti kulit, jantung, paru-paru, dan organ yang lain juga turut sama menurun fungsinya.

Bukanlah sesuatu yang menghairankan pada seseorang yang berumur 70 tahun, mereka akan mengalami komplikasi berkaitan kesihatan mereka.


Persoalannya, mengapa seseorang mengalami penuaan? Ada tiga faktor yang sangat mempengaruhi penuaan tersebut. Mengikut jurnal perubatan, tiga sebab utama penyebab proses penuaan ialah:

  1. Cara hidup
  2. kekurangan hormon
  3. Persekitaran

Dua faktor penyebab penuaan datangnya dari luar diri manusia yaitu cara hidup dan persekitaran. Cara hidup yang tidak sihat seperti jarang atau tidak pernah bersukan, makan makanan yang berlemak, kurang makan serat, kurang istirahat, Stress yang tinggi, dan merokok yang diamalkan oleh masyarakat moden hari ini.

Persekitaran yang negatif seperti asap rokok, asap kenderaan bermotor, zat-zat pengawet, dan bahan-bahan kimia yang ada di sekeliling kita. Kedua-dua penyebab inilah yang datang dari luar tubuh manusia.

Penyebab kedua yang tidak kita sedari iaitu kekurangan hormon.


Gambar 5 8 Hormon Utama Manusia

Pada gambar 5 ada lapan hormon utama pada manusia. Testosteron, progesteron, dan estrogen adalah hormon yang bertanggung jawab atas reproduksi manusia.

Kekurangan hormon ini akan mengakibatkan menopause pada wanita dan andropause pada lelaki. Hormon DHEA adalah hormon yang bertanggungjawab menurunkan risiko seseorang menghidap kanser. Seseorang yang kekurangan hormon ini, amat berisiko menghidap kanser berbanding mereka yang kadar hormon DHEA-nya normal. Hormon insulin adalah hormon yang bertanggung jawab dalam metabolisme glukosa (gula) di dalam darah. Kekurangan hormon ini akan menyebabkan seseorang berisiko menderita penyakit diabetes mellitus (kencing Manis).

(disesuaikan daripada jurnal perubatan Jakarta)

Ironinya, kita selalu minta berdoa agar panjang umur, tetapi 'takut' melalui proses penuaan. Tidakkah kalau panjang umur menjadikan kita semakin tua?



Tuesday, February 24, 2009

Dialek Perak (siri 1)

Terima kasih kerana sudi singgah di blog saya. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di blog ini.

Sebagai sebuah negeri yang bersempadan dengan negeri lain, Perak juga tidak 'lari' daripada menerima pengaruh dialek lain. Misalnya, penduduk Perak di bahagian Utara, seperti Bagan Serai, Taiping dan Parit Buntar, lebih terpengaruh dengan dialek Kedah.

Di bahagian Perak Tengah seperti di Bota, dialeknya agak berbeza, dengan hujung perkataan diubah kepada bunyi 'e pepet'; contohnya perkataan "tiga" disebut "tige".

Dialek Perak yang dikatakan asli ialah dialek Kuala Kangsar dan Sayong hingga ke kawasan sekitarnya. Bagaimanapun, dialek lain juga masih digunakan.

Perak sahaja yang sinonim dengan ayat prosa lama, iaitu "ate" (hatta);

Contoh ayat: Ate, ngape kamu idak ke sane? (Hatta, mengapa kamu tidak ke sana?)

Kata ganti nama pertama adalah seperti berikut:

Saya/Aku disebut teman/keme

Awak/Kamu disebut mike/ kome

Contoh ayat:

1. Teman maghah beno dengan mike ni! (Saya marah sangat terhadap awak ini!)

2. Kome udah makan? (Awak/ Kamu sudah makan?)

Ada beberapa frasa yang kerap digunakan dalam dialek Perak (yang saya tahu). Antaranya:

a. Apa dihajapnya
Maksud: Apa dibuatnya (frasa sinonim-buat peghojang ape)
Contoh ayat: Apa dihajapnya MB Peghak pegi ke London tu?
(Apa dibuatnya MB Perak ke London itu?)

b. Tengin bebeno
Maksud: terlalu bodoh
Contoh ayat: Tengin bebeno deme yang nak meraghampeh kuase di Somalia tu.
(Terlalu bodoh mereka yang cuba merampas kuasa di Somalia itu)

c. Joghennye
Maksud: gedik/ miang (perangai gatal)
Contoh ayat: Bebudak pompuan la ni, nampak beno joghennye.
(Remaja perempuan hari ini, ramai yang berperangai gatal)

d. Bior dilantaknye
Maksud: biarkan apa yang berlaku
Contoh ayat: Bior dilantaknye budak tu, degey bebeno.
(Biarkan apa yang berlaku terhadap budak itu, dia degil sangat)

Tulisan ini bukanlah dikupas secara ilmiah, sebaliknya ia merupakan pengalaman saya sebagai anak Perak yang ingin berkongsi dengan rakan lain. Mungkin Bro Jinggo, Kak Tirana, Shifu67, atau Miss Jaz, dan blogger anak Perak lain, boleh menambah perkataan dan frasa lain yang terlepas pandang daripada apa yang dinyatakan ini.





Saturday, February 21, 2009

Kenangan Lucu Bersama Arwah Mak..

Terima kasih kerana sudi singgah di blog saya. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di blog ini.

Senario 1 (Satu hari dalam tahun 80-an)

Trettttt..tet..tet....... Bunyi motor ayah memecah suasana petang itu. Mak yang tunggang Honda lampu bulat keluaran 1977 itu. Mak baru belajar sebenarnya. Sebelum itu, ke mana-mana pun mak hanya berbasikal. Ke kelas mengaji, ke kedai, hanya basikallah kenderaan yang mak guna.

Tapi dua tiga hari sebelum ini, mak tercabar apabila jiran-jirannya sudah pandai bermotor. Mak pun belajar tunggang motor. Itupun jika ayah tak gunakan. Sebenarnya, hanya itulah kenderaan keluargaku pada waktu itu.

Ketika itu, Oun, adik lelakiku berada di laman rumah sambil membersih laman. Mak sempat melambai tangannya ke arah Oun, dan berlalu. Oun terus menyambung kerjanya membersih laman rumah.

Dalam tempoh sedetik, bunyi motor tidak lagi kedengaran. Oun mendongak lalu memerhati sekeliling.

"Oh, mak dah pusing seluruh kampung nampaknya," getus hatinya.

Tidak lama kemudian, Oun terdengar bunyi merintih memanggil-manggil namanya.

"Oun...... Oun..." suara mak kedengaran sayup dan lemah.

Oun bingkas cepat-cepat ke arah suara itu. Dia pasti suara mak memanggilnya.

Rupanya, mak 'ter'pulas trotel minyak Honda sehingga motor tersebut mencanak masuk ke belukar lalang di tepi jalan. Mak dan Honda lampu bulat terus terbabas masuk ke hutan lalang yang setinggi pinggang orang dewasa.

Yang kelakarnya, mak bimbang kalau-kalau ada jiran yang nampak dia terbabas masuk ke hutan lalang.

Dalam keadaan kami risaukan kecederaan yang mungkin dialaminya, mak bertanya dengan suara perlahan, " Ada orang nampak mak terbabas ke?" tanyanya sambil tersenyum sumbing.

Syukur, mak tak apa-apa.

Senario 2 (Tahun 90-an)

Ketika belajar di Serdang, Selangor pada tahun 90-an, aku sering menghubungi mak dan ayah dengan surat dan telefon awam. Zaman itu, mana ada telefon bimbit. Kalau ada pun, hanya mampu digunakan oleh orang kaya.

Memang aku ada sedikit kelebihan mengajuk suara lelaki India.

Satu hari, aku telefon mak, seperti biasa untuk bertanya khabar. Entah mengapa, tiba-tiba, rasa nak 'menyakat' mak, lalu aku ajuk suara seperti India mabuk todi.

Aku : Incik Ali (ayahku) ada ka?
Mak : Sapa ni?
Aku : Saya mau kasi tau, itu Incik Ali ada hutang sama saya. (nada marah)
Mak : Hutang? Iya..iya ke? (nada suara mak ketakutan). Tak tau... Tak tau. PAP!!

Mak letak telefon, tanpa sempat aku menjelaskan keadaan sebenar.

Aku telefon semula mak, dengan rasa bersalah. Aku harap mak akan sambut panggilan itu. Mak sambut sambil menangis, memberitahu aku yang ayah ada berhutang dengan seorang lelaki India. Mak bimbang ayah akan 'diapa-apakan'.

Aku rasa bersalah sangat, kerana 'berlakon' dengan niat menyakat mak. Aku jelaskan keadaan sebenar dan memohon maaf daripada mak. Hakikatnya, ayah bukan seperti itu. Kami ketawa sama-sama selepas semuanya jelas. Apabila hal itu diceritakan kepada adik beradik lain, ia menjadi modal untuk kami gelak sampai tak kering gusi.

Sebenarnya, aku rindu pada mak. Biarpun mak dah tiada di dunia ini, aku masih rindukan senyuman mak, masakan mak (aku rasa, masakan mak paling sedap di dunia) dan kenangan bersama mak tetap kekal dalam hati. Tiada ganti untuk mak.

Moga mak dan ayah ditempatkan dalam kumpulan orang beriman. Al-Fatihah...


PILIHAN RAYA NEGERI SABAH 2025

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini. Sabah akan melaksanakan pembuangan u...