Monday, August 31, 2009

Kemerdekaan, Moga Negaraku Terus Gemilang

Terima kasih kerana sudi singgah di blog ini. Saya amat menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.
Jika manusia, usia 52 tahun dianggap menghampiri 'usia emas'. Bagi sebuah negara berdaulat seperti Malaysia, usia ini masih muda. Asalnya negara ini bernama Tanah Melayu, Malaya  yang  mendapat kemerdekaan melalui rundingan dan kerjasama  antara penduduk pribumi  dan imigran India dan China  serta kaum lain. Akhirnya perpaduan tersebut membawa kepada kebebasan  daripada penjajah British pada tarikh 31 Ogos 1957 yang lalu.
Semenanjung Tanah Melayu kemudiannya bergabung dengan Sabah, Sarawak dan Singapura yang membentuk Malaysia pada 16 September 1963. Ini juga disebabkan tekanan pengaruh komunis ketika itu yang cuba menangguk di air keruh. Parti Komunis Malaya (PKM) melakukan pelbagai taktik jahat dan kejam demi memastikan masyarakat menerima kehadiran mereka.
Pada 1965, Singapura melalui muslihat Lee Kuan Yew, pemimpin Parti Tindakan Rakyat (PAP) telah keluar daripada gabungan Malaysia atas sebab-sebab yang mudah. Paling menyedihkan, Singapura yang menjadi pusat perkembangan ekonomi Malaya ketika itu menjadi sebuah negara bebas setelah mendapat 'izin' Perdana Menteri ketika itu, Tunku Abdul Rahman.
Sesiapapun tidak boleh mengubah sejarah. Ia sudah tertulis begitu dan sehingga bila pun, itulah hakikatnya.
 Hari ini, Malaysia sudah boleh duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan negara lain. Bagaimanapun, masih banyak cabaran yang perlu ditempuhi untuk tempoh-tempoh yang akan datang.
Moga-moga Malaysia kekal aman dan sejahtera. Bagaimanapun, perpaduan kaum harus dipelihara, kerana ia adalah kunci keamanan dan kesejahteraan bersama. Jangan terlalu banyak meminta, sehingga menggadaikan kedaulatan raja Melayu dan agama Islam. Orang Melayu pada dasarnya boleh berkongsi negara dengan kaum lain di negara ini. Hormatilah perlembagaan, bak pepatah orang tua-tua, di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung.
SALAM KEMERDEKAAN BUAT SEMUA SAHABAT BLOGGER DAN PENGUNJUNG. SEMARAKKAN SEMANGAT PATRIOTIK UNTUK NEGARA KITA.

Sunday, August 30, 2009

Tazkirah Ramadhan (1)

Terima kasih kerana sudi singgah di blog ini. Saya amat menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Harta vs Iman (daripada emel rakanku Cikgu Zul)

 


Syukur kepada Allah swt kerana memberi berbagai nikmat yang tidak terhingga kepada kita, dan kini masih memberi peluang untuk kita hidup di bulan Ramadhan yang penuh berkat. Sebagai tanda kesyukuran kepada Nya, kita hendaklah dengan banyak-banyak ingat kepadanya, mematuhi semua ajaran dan menjauhi semua larangan Nya .

Firman Allah swt bermaksud: Dan Dia telah memberikan kepadamu (keperluanmu) dari segala apa yang kamu mohonkan kepadanya. Dan jika kamu hitung nikmat Allah, tidaklah dapat kamu hitungkannya. Sesungguhnya manusia itu sangat zalim dan sangat mengingkari (nikmat Allah).[Ibrahim: 34]

Salah satu cara kita mensyukuri nikmat Allah ialah bersyukur dengan harta yang dianugerahkan Nya kepada kita, dengan tidak lupa untuk menyumbangkan sebahagian harta tersebut kepada orang lain yang memerlukan sama ada dalam bentuk zakat atau derma, terutamanya di bulan Ramadhan yang mulia ini. Dengan ini Allah akan sangat menyukainya dan pasti akan menambahkan lagi rezeki kepada hamba-hambanya yang bersyukur.

Firman Allah swt bermaksud : Katakanlah: Sesuingguhnya Tuhan Ku melapangkan rezeki dan menyempitkan bagi siapa yang dikehendaki- Nya di antara hamba-hamba- Nya. Apa-apa yang kamu nafkahkan di antara sesuatu, maka Allah akan menggantikannya, dan Dialah sebaik-baik Pemberi rezeki. [As-Sabak: 39]

Ingatlah segala harta yang dimiliki oleh seseorang adalah milik Allah, dan ianya tidak ada nilainya di sisi Allah, keculi keimanan dan amal soleh seseorang itu.

Firman Allah swt bermaksud: Hartamu dan anak-anakmu tidak dapat menghampirkan kamu di sisi Kami, kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, maka untuk mereka itu balasan yang berlipat ganda, kerana amalannya, sedang mereka aman sentosa dalam kamar-kamar syurga. [As-Sabak: 37]

Sempena Ramadhan yang mulia ini, sama-samalah kita tingkatkan ibadah, dan amalan soleh untuk mencari keredhaan Allah swt.

“Barangsiapa yang bersungguh-sungguh mencari keredaan Kami, nescaya benar-benar akan ditunjukkan kepada mereka jalan-jalan Kami.[Al-Ankabut: 69]

Tahniah Jagung...

Terima kasih kerana sudi singgah di blog ini. Saya amat menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.
Semalam, seorang rakan lama dari Johor, Balok menghubungi aku.
"Din, tau tak Jagung dapat ke UK, buat Ph.D?"
"Tak tau. Bila?" Aku bertanya semula.
"September ni dia ke sana. Raya pun di sanalah." katanya lagi.
Aku hubungi Jagung, dan dia mengesahkan akan pergi ke UK untuk tempoh dua tahun.
"Doakan.." katanya sebelum mengakhiri perbualan.
Jagung diberitakan akan pergi bersama Peah dan anak-anak mereka. Semuanya ditanggung, dengan elaun dan yuran belajar yang dibiayai sepenuhnya. 
Jagung atau Zulhazmi Sayuti, rakan kolej kelima, UPM dahulu antara rakan yang masih berhubungan, biarpun begitu faktor jarak dan tugas menjadikan hubungan kami tidak seintim dahulu.
Masih teringat lagi, daripada seorang 'budak Dip Tani' (Diploma Pertanian), Jagung meniti kejayaan demi kejayaan. Dia menjadi Pegawai Kanan di MARDI selepas menamatkan Master dan kini akan ke UK untuk segulung Ph.D.
 Belakang: Shakran dan Pit
Depan: Pojie, Jagung dan Aku
Mengapa dia mendapat gelaran Jagung? Sebabnya di kolej kami, budaya menamakan junior dengan istilah yang hampir dengan unsur alam telah bertapak kukuh. Bukan setakat Jagung dan Balok, rakan lain juga ada gelaran tersendiri, seperti Kambing, Kodok, Arnab, Tongkai, Kudut, Selut, dan seumpamanya. Ironinya nama-nama itu lebih bersifat mesra berbanding nama sebenar. 
Ketika kami ke Medan, Sumatera, Jagunglah yang buat persembahan menyanyi lagu Seroja bersama aku, dan yang paling aku tak lupa, dia 'kehabisan suara' ketika menyanyikan 'chorus' yang bernada tinggi. Masa itu, nak gelak pun ada, tapi sebab aku pun di pentas yang sama, aku ikut sajalah rentaknya. Dalam hati, punyalah kelakar, dan selepas itu aku, Balok dan yang lain-lain, gelak berguling-guling mengenangkan kisah lucu itu.
Kami pernah membentuk kumpulan (grup) makan untuk mengurangkan bajet. Lauk dibeli di Kafetaria, manakala nasi sahaja yang kami masak. Ia boleh menjimatkan belanja hidup di universiti yang memerlukan banyak wang. 
Tapi itu dulu, semasa kami masih bujang dan masih bergelar siswa. Kini, masing-masing sudah ada kerjaya dan rezeki yang ditentukan Allah.
Moga Jagung selamat pergi dan pulang, dan beroleh segulung Ph.D. Insya-Allah.

Saturday, August 29, 2009

Permulaan Yang Baik, Atau Buruk?

Terima kasih kerana sudi singgah di blog ini. Saya amat menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Manchester United, juara bertahan Liga Juara-juara 2008-2009, berjaya mengelakkan pasukan elit seperti Real Madrid, Inter Milan, Lyon dan Barcelona di samping kelab-kelab EPL dalam unidan pusingan awal Liga Juara-juara musim ini.

 
Barangkali, yang agak senak dengan pengundian kali ini adalah kelab-kelab dalam Kumpulan A, yang rata-rata merupakan pasukan yang biasa ke suku akhir atau akhir Juara Liga Eropah. Bayern Munich dan  Juventus tidak boleh memandang mudah Macabi Haifa dan Bordeaux.
Ramai yang ingin melihat bagaimana MU selepas ketiadaan Ronaldo dan Tevez. 
Apa-apa pun, sokongan peminat amat penting. Seperti biasa, aku tetap menyokong kelab ini. 
Jangan marah, arrrrrrrr...

Ilmuwan Terbilang Pergi Tiada Pengganti

Terima kasih kerana sudi singgah di blog ini. Saya amat menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Satu-satunya orang cacat penglihatan yang menjadi Senator

Satu-satunya anak Melayu buta yang mempunyai Ph. D (Doktor Falsafah)

Kehebatan ilmu pengetahuannya setanding dengan mereka yang celik, menyebabkan beliau disegani oleh pelbagai pihak. Pakar ekonomi, Senator Prof Datuk Dr Ismail Md Salleh, akhirnya meninggal dunia akibat serangan jantung ketika dalam penerbangan dari China ke Singapura, awal pagi semalam pada usianya 61 tahun.

Menurut isteri beliau, Datin Hasnah Wahab yang turut berada dalam penerbangan itu menemani suaminya, dia mendapati Ismail yang sedang 'tidur' tiba-tiba terlentuk kepalanya ke atas bahunya.
"Saya dapati suami saya sudah tidak bernyawa dan bila saya pegang, tangannya sudah sejuk," 

  Ismail ketika itu selesai menghadiri satu mesyuarat mengenai urusan universitinya, International University College of Technology Twintech di China.
Dr Ismail Md Salleh

Mereka bertolak 25 Ogos dan pulang malam 26 Ogos serta di jadual tiba di Singapura pada 3.45 pagi.

Jenazah kemudian dibawa ke Lapangan Terbang Senai, Johor untuk diterbangkan oleh pesawat ke Lapangan Terbang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Subang di sini.

Moga Allah merahmati roh beliau.

Adakah kita mempunyai pengganti seperti Ismail lagi?

Patah tumbuh, hilang berganti, tapi yang tumbuh biasanya tak sama dengan yang patah.. Yang hilang pun kalau berganti banyak juga bezanya. 

Thursday, August 27, 2009

Terima Kasih Kartika!

Terima kasih kerana sudi singgah di blog ini. Saya amat menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.
Umum sedia maklum dengan kisah seorang model sambilan beragama Islam yang telah dijatuhi hukuman denda, penjara dan sebat oleh mahkamah syariah Pahang setelah mengaku bersalah minum arak di sebuah premis. Hukuman sebat ke atas Kartika Sari Dewi Soekarno yang telah diputuskan oleh Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan yang telah ditangguhkan pelaksanaannya atas beberapa faktor.
Sebenarnya, kita perlu berterima kasih kepada Kartika. Ini kerana dia mengakui kesalahannya dan bertekad untuk menerima hukuman sebat TANPA MERAYU kepada pihak berkenaan. 
Kedua, hakikat sebenar yang dialami oleh mahkamah syariah di negara ini, adalah ia masih dipandang rendah biarpun hukumannya berlandaskan hukum Islam. Jurucakap ABIM, Fadhlina Siddiq, polemik ini  berlaku kerana masyarakat masih tidak faham dengan pelaksanaan undang-undang sebatan di bawah bidang kuasa Mahkamah Syariah.
"Tidak kurang juga yang gerun lalu menentangnya kerana momokan hukuman sebatan ini sangat kejam kerana membawa kepada kecederaan kekal, mengaitkannya dengan gambaran negatif pelaksanaan sebatan di Mahkamah Sivil di bawah Kanun Prosedur Jenayah 1998." ujarnya.
"ABIM ingin mengingatkan bahawa hukuman sebatan ini telah diperuntukkan di bawah kuasa negeri, di mana Raja adalah bertanggungjawab ke atas hal ehwal agama termasuk dalam hal pelaksanaan undang-undang syariah yang diperuntukkan di bawah enakmen ataupun akta di sesebuah negeri," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Di Malaysia, khususnya di bawah peruntukan undang-undang jenayah Islam negeri, pelaksanaan bagi hukuman sebat bagi pelbagai kesalahan di bawah Enakmen Jenayah Syariah telah diperkenalkan dan dilaksanakan.Namun demikian, sehingga kini hanya negeri Kelantan dan Pahang sahaja yang telah melaksanakan hukuman sebatan ini.
Kelmarin, Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan Datuk Abdul Rahman Yunus mengarahkan Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) supaya menangguhkan hukuman sebat ke atas Kartika sempena menghormati kemuliaan Ramadan.
Ironinya, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata hukuman Syariah bukan perkara enteng yang boleh dilaksanakan semudahnya lebih-lebih lagi apabila Jabatan Penjara tidak mempunyai sebarang pengalaman. Malah, Jabatan Penjara juga tidak mempunyai tukang sebat yang berkelayakan. (Rujuk Utusan)

Ulasan Menteri, Datuk Shaharizat Abdul Jalil, biarpun berlapik, menunjukkan betapa ada kalangan Menteri yang masih belum memahami aspirasi di sebalik hukuman sebat ke atas pesalah jenayah syariah.

Sebaliknya, Mufti  Perak dalam kenyataannya menempelak golongan yang mempertikaikan hukuman sebat dengan menjelaskan sebatan yang dikenakan ke atas pesalah jenayah syariah tidak sama dengan sebatan terhadap pesalah jenayah sivil.

Kartika masih dengan pendiriannya untuk menjalani hukuman sebat kerana meminum arak tetapi ditangguhkan pada saat-saat akhir dengan alasan perintah tahanan terhadapnya tidak dapat dilaksanakan ketika ini. Apa pun, isu Kartika menjelaskan banyak perkara tersirat di sebalik hukuman sebatan itu sendiri.

Wednesday, August 26, 2009

Terlepas Sahur..

Terima kasih kerana sudi singgah di blog ini. Saya amat menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.
Peristiwa tidak bersahur atau 'terlajak' bukanlah sesuatu yang luar biasa. Setiap orang mungkin pernah mengalaminya. Setakat 5 hari berpuasa, belum lagilah aku terlajak tidur.
Semasa kecil, jarang sangat terlajak tidur. Mak sentiasa 'kunci' jam untuk mengelakkan terlepas sahur. Sesudah berumah tangga, menjadi kebiasaan mak menelefon anak-anak yang sudah berkeluarga untuk bangun sahur. Kekadang tugas itu diambil alih oleh ayah.
"Ya ayah, baru jaga. Ada apa, ayah?" 
"Bangun dah?, Jangan tidur, nanti tak bersahur." Kata ayah sebelum memutuskan talian.
Begitulah rutin mak dan ayah, kekadang bergilir menelefon kami supaya tidak terlepas sahur.  Yang penting, anak-anak yang berumah tangga tidak terlepas sahur.
Pentingnya sahur, sehingga Nabi dalam satu hadisnya menyatakan maksud bahawa bersahur membezakan puasa umatku daripada umat lain.
Kini, sudah hampir tiga tahun suara-suara itu, mak dan ayah tidak menggerakkan kami lagi. Baik Yong, aku, Sani, Oun dan Wa, masing-masing amat terasa ketiadaan mak dan ayah pada setiap kali Ramadhan. 
Kelmarin, Yong sekeluarga terlepas sahur. 
"Yong teringat arwah mak, rajin 'gerak' kita bersahur." katanya seakan-akan melepas rindu.
Sebenarnya aku pun rindu juga dengan arwah mak dan ayah. Insya-Allah, mereka tenang di sana, tanpa perlu memikirkan masalah kerja dan seumpamanya. 
Ya Allah, masukkanlah arwah mak dan ayahku ke dalam syurga-Mu. Amin.

PILIHAN RAYA NEGERI SABAH 2025

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini. Sabah akan melaksanakan pembuangan u...