Thursday, December 23, 2010

Kenangan Bersunat Dulu-dulu

Terima kasih kerana sudi membaca di blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Apabila membawa anak ke-4 untuk khatan di sebuah klinik swasta, saya mengimbau kenangan dikhatankan dahulu. Jauh benar perbezaannya. Arwah ayah membawa saya membonceng motor miliknya ke klinik untuk proses 'cuci'. Saya mengalami pendarahan akibat 'bentan' dek tidur yang agak lasak.

Aqil sedang menanti detik dikhatan

Anak zaman ini sudah mempunyai pelbagai teknik yang mudah dan cepat sembuh. Saya mencuba teknik 'clamp' dan ia amat ringkas, tanpa memerlukan penjagaan yang rumit.

Itulah perbezaan dunia mengikut zaman. Anak zaman ini lebih bertuah. Begitupun, saya menyanjungi jasa bakti arwah mak dan ayah, yang telah menguruskan saya berkhatan dulu.

Thursday, December 9, 2010

Zina Semakin Membudaya..

Terima kasih kerana sudi membaca di blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

1. Sumber Berita Harian Online : 

“Seramai 17,303 anak luar nikah Melayu atau tidak sah taraf didaftarkan di seluruh negara sepanjang tahun lalu. Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Datuk Alwi Ibrahim, berkata bilangan itu meningkat 762 kes berbanding tahun sebelumnya. Pada 2008 seramai 16,541 anak luar nikah didaftarkan di JPN manakala pada 2007 seramai 16,100 orang.”
17,303 setahun anak luar nikah Melayu (Islam) dilahirkan di Malaysia pada tahun 2009. Ini bermakna 17,303/365 iaitu  47 kelahiran anak luar nikah Melayu (Islam) dilahirkan setiap hari di Malaysia pada tahun 2009 bersamaan 2 kelahiran anak luar nikah Melayu (Islam) dilahirkan setiap jam di Malaysia pada tahun 2009. Ini juga bermakna 47 kes zina yang menghasilkan kehamilan berlaku setiap hari di kalangan Melayu (Islam) pada tahun 2009.

Kita hanya bersikap 'tidak apa..'. Bak cerita Luncai yang terjun dengan labu-labunya, biarkan...

Tuesday, November 30, 2010

Kejamnya Lelaki Ini..

Terima kasih kerana sudi membaca di blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Saya petik berita daripada Mstaronline, kisah seorang suami yang sanggup membunuh isterinya, kemudian berzina dengan kekasihnya di bilik tempat mayat isterinya disembunyikan.

SHAH ALAM: Pengurus sebuah syarikat katering, Mohafri Mohamed tergamak melakukan hubungan seks dengan kekasihnya di bilik utama yang sama di mana mayat isterinya disumbat ke dalam almari selepas dibunuh.
Teman wanita tertuduh, Nazratul Anis Zainal Abidin, 23, memberitahu Mahkamah Tinggi di sini pada Isnin, selepas masuk dan meletakkan beg pakaian di ruang tamu dia kemudiannya naik ke bilik utama untuk menggunakan tandas. Selepas itu, katanya, Mohafri mengajaknya melakukan hubungan seks.
“Pada mulanya saya tidak mahu, tetapi tertuduh kata sekejap sahaja,” katanya yang mengenali tertuduh sebagai berstatus duda semasa mereka bekerja di Tropicana Medical Centre pada 2009.
Ketika ditanya mengenai kedudukan almari pakaian berkenaan, saksi pendakwaan kelima itu memberitahu, pandangannya tidak jelas kerana tidak memakai cermin mata yang diletakkan di atas kabinet.
Tambah Nazratul Anis, tertuduh juga berkelakuan seolah-olah mahu menghalang pandangannya di bahagian kiri kerana sering berdiri di sebelah kiri dan juga menunggunya keluar daripada tandas.
Saksi menambah, dia tidak melihat perkara luar biasa ataupun mendengar bunyi orang mengerang semasa berada di bilik itu.
Mohafri, 37, yang sebelum ini bekerja sebagai pengurus syarikat katering dibicarakan atas tuduhan membunuh Fazlina, 38, antara pukul 5 dan 10.30 pagi, 30 Disember 2009 di rumah nombor 70, Jalan Pinggiran 2, Taman Pinggiran Ukay, Ampang.
Dia yang diwakili peguam Hisyam Teh Poh Teik dibicarakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.
Mayat Fazlina, ibu kepada dua orang anak itu ditemui dibaluti kain selimut tebal dan diletakkan di bahagian bawah almari pakaian manakala hidung dan mulutnya ditekup dengan menggunakan pita pelekat.
Mangsa juga merupakan seorang penghidap asma kronik.
Terdahulu, saksi berkenaan memberitahu, dia bertolak pada pukul 1 petang dari Parit Buntar, Perak dan tiba di Perhentian Bas Jalan Duta, Kuala Lumpur (dekat sini) pada pukul 5 petang.
Katanya, tertuduh datang menjemputnya dan membawa dia ke sebuah rumah teres dua tingkat di Ampang.
Katanya lagi, selepas mengadakan hubungan seks dia mendengar bunyi loceng dan tertuduh telah mengarahkan saksi untuk mendiamkan diri manakala tertuduh menuju ke arah tingkap.
“Saya ada menyuruh tertuduh membuka pintu kerana mungkin ada sesiapa di luar, mungkin ada pegawai dari Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) tetapi tertuduh beritahu ada seorang perempuan memakai seragam polis di luar rumah,” katanya.
Tertuduh semasa itu tidak mahu membuka pintu dan memberi alasan polis itu mencari pembantu rumahnya yang tidak mempunyai dokumen perjalanan diri.
Mengenai hubungan sulit mereka, Nazratul Anis berkata, mereka telah merancang untuk ke sempadan Thailand bagi urusan pernikahan pada hari kejadian pembunuhan itu berlaku.
Katanya, rancangan untuk bernikah di sempadan Thailand dibuat ekoran hubungan mereka tidak direstui oleh bapanya dan tertuduh telah menguruskan segala urusan berkaitan pernikahan.


Sunday, November 28, 2010

Rosli Churalia.. Alfatihah Untuknya.

Terima kasih kerana sudi membaca di blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Semasa di tingkatan 5, saya tinggal di asrama untuk menyediakan diri dengan SPM. Di situlah saya mengenali Rosli Mat Johan, seorang yang agak kelakar. Susuk tubuhnya kurus tinggi, berambut kerinting dan kulitnya agak cerah. Dia suka berlawak, dan kerap menyebabkan kami ketawa. Apabila dia berada di sisi kami, pasti ada lawaknya yang menceriakan suasana.


Kami menggelarnya 'Li Churalia' sebab dia suka sangat menyanyikan lagu Hindustan dan menghafal sebahagian daripada liriknya. Kalau dia salah menyebutnya, siapa yang tahu lirik lagu itu. Itulah sebabnya dia tidak kisah akan sebutannya, betul atau salah.

Tiga minggu sebelum kematiannya, dia mengadu sakit kepala. Saban hari dia makan Panadol dengan jumlah yang agak banyak juga. Kami pelik dengan sikapnya, tapi dia menjelaskan kepalanya sangat sakit. Ketika itu, dia sudah kurang berlawak. Kami sendiri simpati dengan kesakitannya. Adakalanya, dia tidur lebih awal daripada orang lain.

                                                       Berposing ketika di kelas prep

Sangkaan kami sakit kepala itu bersifat sementara, rupanya tidak. Makan Panadol pun, masih tak hilangkan sakitnya. Dia mohon untuk balik kampung. Pada mulanya setiap Sabtu dan Ahad, tetapi akhirnya hampir dua minggu dia tidak kembali ke asrama. Khabarnya, dia berubat cara kampung dan berselang dengan janji temu bersama doktor pakar di Hospital Taiping.

Ketika berada di kelas, kami mendapat perkhabaran yang sahabat kami, Li Churalia meninggal dunia akibat ketumbuhan dalam kepala. Patutlah dia asyik mengadu sakit kepala. Pihak warden menyediakan sebuah bas untuk kami menziarahinya buat kali terakhir di Kampung Baru 3, Segari. Saya dan rakan lain sempat bertemu dengan Li ketika di perkuburan, tanpa nyanyian sumbang dan gelak ketawanya. Ketika itu jasadnya sudah dibaluti kafan.

Sudah hampir 22 tahun peristiwa itu berlaku, tapi ingatan kami terhadap arwah Li Churalia masih segar.
Moga Allah merahmati rohnya.

Sunday, November 21, 2010

Majlis Kurban Disempurnakan

Terima kasih kerana sudi membaca di blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Bertempat di masjid Al-Khairiah, Batu Sepuluh, Lekir, saya menyertai ahli kariah untuk menyempurnakan ibadah kurban yang diadakan sempena Aidil Adha baru-baru ini. Sejumlah 6 ekor lembu telah disembeih dan dagingnya diagihkan kepada masyarakat setempat serta golongan fakir miskin.



Selain menyempurnakan ibadah, ia turut merapatkan silaturahim dalam kalangan ahli masyarakat. Saya bersyukur dapat menyertai rakan-rakan kariah di sini untuk sama-sama menyempurnakan ibadah tersebut.

Friday, November 12, 2010

Memantapkan Komponen Sastera Dalam P&P Bahasa Malaysia

Terima kasih kerana sudi membaca di blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Selama 4 hari 3 malam, seramai 70 orang guru berkampung di Hotel Impiana Ipoh, sejak 9 November menghadiri Kursus Pendedahan Teks Baharu Komponen Sastera Dalam Mata Pelajaran Bahasa Malaysia Tingkatan 2 dan Tingkatan 5 Bagi Jurulatih Utama Semenanjung Malaysia. Ia dianjurkan oleh Kementerian pelajaran Malaysia melalui Pusat Perkembangan Kurikulum.

Saya teruja kerana kursus ini mempertemukan saya dengan guru-guru berpengalaman dalam KOMSAS. Antaranya Puan Hajah Rohaya dari Melaka dan Hj Zainuddin dari Johor. Mereka antara orang lama yang telah mengembalikan semangat kepada para peserta untuk berkhidmat kepada anak bangsa.

Terima kasih kepada semua. Jasa anda tidak dilupakan.

Thursday, October 21, 2010

KASIHAN..

Terima kasih kerana sudi membaca di blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Seorang rakan yang sudah lama tidak berhubung dengan saya, menceritakan perihal seorang rakan kami yang masih solo, tidak berkahwin pada usia menjengah 40-an. Lebih malang lagi, dia masih berharap ehsan ibu bapa yang telah tua. Mujur bapanya bekas askar pencen.

Menurut rakan saya, kawan kami itu malu dengan kegagalannya dalam peperiksaan hampir 22 tahun lalu.. sesuatu yang saya tak jangka, sebab dia asalnya pelajar yang boleh tahan bijaknya.. Apa yang boleh dibuat? Sejarah tak boleh dipinda...

PILIHAN RAYA NEGERI SABAH 2025

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini. Sabah akan melaksanakan pembuangan u...