Saturday, February 29, 2020

LIGAMEN KOYAK

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Tidak saya duga, kejadian terseliuh semasa menyertai acara sukaneka sempena hari Sukan SMKBS ke-26 pada Khamis lalu, mengubah rutin kehidupan saya. 


   Saya akui, nikmat Allah  sangat banyak. Tidak terhitung banyaknya nikmat yang Allah berikan kepada  hamba-Nya, termasuk saya. Kecederaan yang dialami rupanya serius, sehingga memaksa saya bertongkat dan MC selama dua minggu. 

Allah uji kecederaan  kaki akibat ligamen koyak di buku lali kaki kiri, dan saya redha dengan ketentuan-Nya. Allah memberi saya masa  berehat. 

Terima kasih atas sokongan dan doa  semua. Sakit menjadi kaffarah untuk Allah mengampunkan dosa hamba-Nya. 

Sakit juga memberi peluang kita bermuhasabah.

Jangan bimbang, saya tak letak jawatan 😁😁😁😁😁😁

Monday, February 24, 2020

PERCATURAN TERBAHARU POLITIK NEGARA?

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Pada petang Ahad 23 Februari 2020, berita kemungkinan pengaturan semula teraju politik telah menggemparkan negara. Beberapa pertemuan pemimpin kanan politik daripada parti kerajaan dan pembangkang telah diadakan di beberapa tempat. Isu ini belum berakhir dan dijangka berterusan sehinggalah keputusan  berkenaan dibuat.
Tentunya rakyat melihat dan menunggu kesudahan drama politik ini yang kelihatan tidak stabil. Hari ini, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, dan suaminya yang juga Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dijangka menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, di Istana Negara pada jam 2 petang. Ini pasti ada kaitan dengan usaha menghalang Tun Dr Mahathir, selaku Perdana Menteri yang dikhabarkan akan membentuk blok baharu bersama parti lain tanpa penyertaan parti DAP, PAN dan sebahagian daripada PKR.
Lebih menarik lagi, DAP iaitu parti komponen dalam gabungan Pakatan Harapan (PH), dilapor akan mengadakan mesyuarat tergempar susulan perkembangan politik terbaru itu di ibu pejabatnya di ibu negara.
Ahli ahli politik yang terlibat telah mengunci mulut mengenai inti pati perbincangan pada mesyuarat tertutup di ibu negara dan Petaling Jaya yang menarik perhatian media tempatan.
Terdahulu, UMNO mengadakan mesyuarat majlis tertinggi khas selama dua jam bermula jam 4 petang semalam di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).
Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) turut mengadakan mesyuarat khas di ibu pejabat parti di Menara Yayasan Selangor, Petaling Jaya, dipengerusikan oleh Pengerusinya, Tun Dr Mahathir Mohamad yang enggan mengulas apabila Perdana Menteri berusia 94 tahun itu diserbu ketika meninggalkan premis itu.
Beberapa Ahli Parlimen dari parti politik di Sabah dan Sarawak juga mengadakan mesyuarat di ibu negara.
Selain itu, suasana di Istana Negara sibuk dengan banyak kenderaan dilihat memasuki istana sejak jam 5.30 petang, sesetengahnya bersama polis pengiring. Kenderaan berkenaan dilihat meninggalkan istana kira-kira dua jam kemudian.
Anwar Ibrahim, calon Perdana Menteri yang disebut sebut bakal menggantikan Tun, berkata pihaknya sedang menunggu maklumat mengenai apa yang beliau anggap sebagai satu percubaan menubuhkan sebuah kerajaan baharu.

Apa juga situasi yang berlaku, saya sangat berharap suasana kekal aman dan tidak menimbulkan keadaan panik dan anarki. 

Monday, February 10, 2020

TEMBAKAN RAMBANG DI THAILAND

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

    Igauan seorang anggota tentera diraja Thailand bertindak nekad menembak senjata api secara rambang di pusat membeli belah, suatu tindakan gila yang mengejutkan negara gajah putih tersebut. Namun itulah yang berlaku pada Sabtu 8 Februari 2020. 
  
   Sekurang-kurangnya 27 orang terkorban dan 31 cedera susulan insiden tembakan rambang ke arah orang ramai yang dilakukan oleh seorang anggota tentera yang mengamuk di Nakhon Ratchasima, di timur laut Thailand.


  Memetik laporan Aljazeera, dalam tragedi di pusat beli-belah Terminal 21 yang merupakan lokasi suspek, Sarjan Mejar Jakraphanth Thomma menembak orang ramai dengan senjata api yang dicuri di sebuah kem tentera. Jakraphanth difahamkan bersembunyi di tingkat bawah tanah pusat beli-belah tersebut dan tidak mempunyai sebarang motif yang jelas melakukan tindakan gila tersebut. 

Moga Allah menjauhkan tragedi seperti ini tidak berlaku di negara kita.


Monday, February 3, 2020

BEKAM

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Berbekam merupakan kaedah rawatan mengeluarkan bahan kotor daripada badan seseorang dengan cara mencucuk atau menoreh sedikit pada tubuh seseorang.
Cara tradisi ini dipercayai dapat mengeluarkan bahan kotor daripada badan menggunakan cawan khas yang ditelungkupkan pada tempat yang telah dibedah atau ditoreh itu.
Ia adalah sejenis rawatan alternatif yang telah digunakan oleh Nabi s.a.w.
Perubatan Tradisional Cina percaya bekam dapat mengawal aliran chi dan keseimbangan yin dan yang. dan mempunyai persamaan dengan akupunktur.
Dari perspektif perubatan barat, bekam dipercayai memberi tekanan fizikal yang merangsang refleks neural dan tindak balas endokrin.
Bekam dilakukan dalam dua kaedah – kering dan basah
Dalam kedua-dua kaedah, sejenis cawan akan dilekapkan di atas kulit dan tekanan negatif di dalam cawan akan diwujudkan sama ada menggunakan teknik pembakaran (lama) atau penyedut (moden).
Cawan tersebut kebiasaannya dibiarkan selama 3 minit.
Dalam kaedah basah, cawan akan diangkat dan bahagian kulit yang terbabit akan dicucuk atau dipotong dengan potongan kecil menggunakan jarum atau pisau.
Kemudian, cawan diletakkan semula untuk menyedut sejumlah kecil darah di kawasan berkenaan.
Beberapa cawan mungkin digunakan dalam satu masa.
Selepas bekam selesai, anda mungkin diberikan krim antibiotik dan pembalut untuk mengelakkan jangkitan.Kulit akan kembali kelihatan seperti asal dalam 10 hari. 
Saya mencuba kaedah bekam kali pertama dalam hidup pada Ahad 2 Februari 2020, di Ina Seri Impian, milik sahabat yang sama ke Mekah pada 2017, iaitu Haji Roslan. Anaknya Azrin yang mengendalikan rawatan untuk saya. Dengan bayaran RM60, 15 cawan dilekatkan di tubuh saya untuk mengeluarkan darah yang tidak perlu. 
Pada peringkat awal, saya bimbang juga dengan rawatan bekam ini, tetapi Azrin sangat profesional dan berjaya meyakinkan saya kaedah ini tidak menyakitkan. 
Cawan ditekapkan di kulit badan untuk tempoh tertentu
Melihat ketulan darah berbentuk jeli yang terkumpul di cawan, cukup membuktikan bahawa kaedah ini memberikan pilihan yang baik kepada manusia untuk kekal sihat. 

Darah beku yang terkumpul pada cawan bekam 


Tuesday, January 28, 2020

KORONAVIRUS: WABAK YANG MENAKUTKAN

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Sehingga tarikh 28 Januari 2020, sekurang-kurangnya 106 orang telah meninggal dunia akibat wabak coronavirus di China yang bermula di pusat bandar Wuhan. Ia memaksa kerajaan China mengenakan perintah berkurung di hampir 20 bandaraya yang berkuat kuasa serta merta.

Lebih 4,520 kes telah dilaporkan di seluruh dunia, kebanyakannya di China, terutama di Wuhan dan bandar-bandar berdekatan di wilayah Hubei.

Apakah coronavirus? Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), coronavirus adalah keluarga virus yang menyebabkan penyakit dari selesema biasa kepada penyakit yang lebih teruk seperti Sindrom Pernafasan Timur Tengah (MERS) dan Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS). Namun tidak seperti SARS, virus baharu ini belum ada penawarnya, dan lebih membimbangkan, ia boleh bermutasi dan menyesuaikan diri dengan persekitaran.

Virus-virus ini pada mulanya wujud pada haiwan liar kepada manusia. Sebagai contoh, SARS dipercayai telah dihantar dari kucing civet kepada manusia manakala MERS mengembara dari sejenis unta kepada manusia.

Beberapa kes coronavirus pada awalnya beredar dalam tubuh haiwan sebelum menjangkiti manusia.

Nama coronavirus berasal dari perkataan Latin corona, yang bermaksud mahkota atau halo. Di bawah mikroskop elektron, imej virus ini kelihatan seperti corona solar.

Coronavirus novel, yang dikenalpasti oleh pihak berkuasa China pada 7 Januari dan dinamakan 2019-nCoV, menjadi konflik kesihatan sejagat baharu yang belum pernah menjangkiti manusia.

Menurut WHO, tanda-tanda jangkitan termasuk demam, batuk, sesak nafas dan kesukaran bernafas.

Dalam kes yang lebih teruk, ia boleh menyebabkan pneumonia, sindrom pernafasan akut yang teruk, kegagalan buah pinggang dan juga kematian.

Tempoh inkubasi coronavirus masih belum dapat dipastikan. Sesetengah sumber menyatakan bahawa ia mungkin antara 10 hingga 14 hari.

Kerajaan Malaysia mengambil langkah drastik menggantung sementara kedatangan pelancong China daripada wilayah yang terjejas. Biarpun awalnya Perdana Menteri tidak berbuat begitu, desakan rakyat mengubah segala-galanya.

Marilah kita berdoa, agar wabak ini segera dapat diatasi dan dikawal. Kepada Allah kita meminta, kerana hanya Dia sahaja yang mampu dan berkuasa ke atas segalanya. Usaha KKM dan kerajaan mengawal wabak ini daripada menjadi semakin buruk, wajar dipuji.  

Monday, January 20, 2020

KIMANIS: AMARAH RAKYAT SEMAKIN MENANAH?

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Keputusan Pilihanraya Kecil di P176 Kimanis mengejutkan negara. Biarpun awalnya ada yang beranggapan keputusan Tanjung Piai boleh berjangkit ke Kimanis, tidak ramai yang berani mengesahkannya.  
Namun begitu, pada malam 18 Januari 2020, ia memihak kepada Barisan Nasional (BN) yang diwakili oleh UMNO. Kegagalan parti pemerintah, Warisan  pada Pilihanraya Kecil (PRK) Kimanis membuktikan parti tempatan yang mempunyai sokongan kuat kerajaan persekutuan juga boleh ditolak sekiranya gabungan di peringkat nasional bermasalah.
Pada hemat saya, kemenangan BN juga boleh berlaku dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak akan datang, sekiranya momentum amarah rakyat tidak ditangani dengan baik oleh kerajaan. Banyak isu yang menjadikan PH tidak popular akhir akhir ini.
Walapun ada pihak mendakwa, Pakatan Harapan (PH) sudah terbukti ditolak rakyat, tidak mustahil untuk mereka mengembalikan keyakinan tersebut, jika isu-isu yang dibangkitkan dapat diselesaikan dengan wajar.
Pihak pembangkang khususnya BN  tidak boleh terlalu yakin sehingga mereka lupa lambang mereka pernah ditolak oleh rakyat dalam PRU pada 2018.
Pada akhirnya, saya berharap baik PRU mahupun PRK, ia memberikan manfaat besar kepada rakyat yang sepatutnya dihargai undi mereka. Kemenangan BN di Kimanis  adalah manifestasi calon yang boleh dipercayai untuk berkhidmat kepada rakyat.
Kekuatan Muafakat Nasional BN dengan Pas sebagai tunjangnya sudah pasti dapat mengubah lanskap politik negara ini pada PRU akan datang.

Wednesday, January 8, 2020

BAHANA ISTIDRAJ

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.


Ini adalah petikan yang saya sesuaikan daripada buku tulisan Ustaz Jafri Abu Bakar Mahmoodi (Amalan Yang Mengundang Rahmat Allah)

Adakalanya kekayaan dan nikmat yang Allah kurniakan kepada manusia bukanlah atas dasar rahmat dan kasih sayang Allah, sebaliknya adalah istidraj. Apabila apa yang kita hajati menjadi kenyataan, kita berasa Allah sayang. Namun hakikatnya ia adalah ujian dan kebiasaannya manusia tidak sedar ia menjauhkan dirinya dengan Allah. 

Apakah istidraj? Istidraj adalah kesenangan dan nikmat dunia yang Allah berikan kepada hamba yang semakin melupakanNya. Ia bakal menjadi azab jika ia tidak bertaubat. Secara mudahnya, jika seseorang itu buruk kualiti ibadahnya kepada Allah, namun dalam masa yang sama rezeki melimpah ruah, kesenangan hidup dan kesihatannya bertambah, maka berhati-hatilah. Ia menjadi istidraj dalam keadaan dia alpa dan leka, Allah menariknya dalam kebinasaan. 

Sebaliknya, jika kesenangan dan rezeki yang diperoleh, menjadikan kita semakin dekat dan redha dengan Allah, semakin bertambah iman dan ibadah kepadaNya, ia adalah rahmat. 

  

PILIHAN RAYA NEGERI SABAH 2025

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini. Sabah akan melaksanakan pembuangan u...