Wednesday, August 25, 2010

APAKAH UKURAN KEJAYAAN ANDA?

Terima kasih kerana sudi membaca di blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

"Lama tak jumpa. Tengok kau pakai Mercedes Compressor, hebat."
"Kau pun apa kurangnya. Rumah besar, dah jadi eksekutif, tentu lebih berjaya daripada aku." Balas rakan yang disapa.

Kita biasa mendengar ucapan begini. Hakikatnya, itulah kayu ukur kejayaan dalam hidup manusia sekarang. Tidak dinafikan, dalam dunia yang bergerak di atas landasan kapitalisme, kebendaan menjadi ukuran penting menentukan kejayaan individu.

Kita jarang sekali menceritakan hal-hal yang sebaliknya. Pernahkah anda bertanya rakan yang sudah lama tak ditemui dengan pertanyaan begini:

"Lamanya tak jumpa. Anak-anak kau semua dah khatam Quran?"

"Syukurlah kita dapat hidup lagi. Kau dah ke Mekah? Insya-Allah, aku dah mendaftar untuk tahun depan."

Mungkin itu adalah sebahagian daripada persoalan yang mungkin kurang ditanya apabila kita bertemu rakan lama.

Hakikatnya, kita menilai manusia dengan apa yang dilihat. Jika besar rumah atau kereta, besar pangkatnya, maka kita simpulkan dia berjaya. Kita tidak betah untuk melihat adakah dia berjaya mentarbiyah anak-anaknya menjadi manusia yang mengenal tuhan dan dunia. Kita jarang sekali mempersoalkan bagaimana dia gagal mendidik isterinya untuk bertudung, kerana mata kita ditutup dengan penilaian sempit si polan sudah berjaya kerana dia memiliki apa yang orang lain tidak ada.

Tidak dinafikan, kekayaan material pada zaman sekarang sudah menguasai pemikiran sebahagian besar daripada kita. Asal sahaja dapat memiliki apa yang diingini, cara halal atau haram diketepikan. Itulah sebabnya rasuah menjadi-jadi dan jenayah kolar putih seakan-akan diterima oleh masyarakat. Sebabnya, matlamat untuk kaya menghalalkan cara yang salah untuk mendapatkannya.

Kita lupa janji Allah, bahawa keberkatan hidup berasaskan rezeki yang halal. Adakah kita termasuk dalam golongan ini?

2 comments:

  1. ukuran kekayann hanya berdasarkan keduniaan... jarang seklai kita mengira berapa banyak pencapaiaan untuk perkara-perkara akhirat

    ReplyDelete
  2. "Tidak dinafikan, kekayaan material pada zaman sekarang sudah menguasai pemikiran sebahagian besar daripada kita."


    Kerana material, harta dan pangkat, ramai juga telah terpesong dari landasan yang benar.... tetapi sekiranya kekayaan dapat digunakan pada jalan yang benar..... dengan niat hanya kepada Allah.... insha'Allah... harta dan kekayaan itu diberkati..... Ilmu agama perlu diperkuatkan.....

    ReplyDelete

Jejak yang ditinggalkan

MENJADI TUA ADALAH FITRAH, BUKAN SEMUA INSAN MENIKMATINYA

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini. Pagi Rabu 11 .12.2024, menjadi tarik...