Friday, August 5, 2011

Kenangan Ramadhan

Terima kasih kerana sudi membaca di blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Di antara kawasan perumahan dan masjid, ada ladang ubi kayu. Pokok ubinya agak tinggi, sekitar 1.5 meter hingga 2 meter. Ia merupakan tempat strategik untuk budak remaja kampung seperti saya menyusup dan membuat 'pangkalan' meriam. Beberapa orang yang mahir dalam menyediakan meriam tanah termasuklah Daud dan abangnya Halim, Kina, Mat Ali, Din Ketang dan beberapa orang lagi.

Biasanya, saluran konkrit sepanjang 2 meter ditanam di dalam tanah. Kedudukan muncungnya dinaikkan tinggi sedikit daripada pangkalnya. Ada lubang kecil di pangkalnya untuk memudahkan api dicucuh. Karbaid menjadi elemen paling penting kerana tanpanya, meriam tidak akan berbunyi. Karbaid dicampurkan dengan sedikit air bagi menghasilkan tindakbalas wap. Wap tersebut akan memenuhi saluran konkrit yang ditutup hujungnya dengan kain buruk.
Karbaid biasanya dibeli menggunakan wang yang dikutip daripada ahli kumpulan. Harganya kalau tak salah saya, RM1.20/kilo. Wap karbaid akan bertindakbalas apabila api dicucuh pada lubang kecil pada silinder konkrit. Keseronokannya apabila meriam berdentum. Kebiasaannya pesta meriam bermula selepas maghrib dan melarat hingga ke lewat malam, bergantung kepada bekalan karbaid yang ada. 

Dalam satu kejadian, seorang kawan kami, panggilan nama kampungnya Katik, telah membuat kesilapan apabila membuat pemeriksaan di muncung meriam setelah ia tidak meletup. Dia cuba memeriksa tanpa mengetahui rupanya meriam tersebut hanya menunggu masa untuk meletup.
"Dboooooooooommmm!" Tiba- tiba hawa panas keluar dari arah muncung meriam tanah bersama bunyi yang kuat. 
Katik terduduk tetapi bingkas bangun semula. Tak silap saya, kejadian itu hanya dua atau tiga hari sebelum raya. Kami yang melihatnya bimbang kejadian tak diingini.

Pagi raya, Katik beraya dengan muka bagai udang dibakar. Lebih melucukan lagi, rambut dan keningnya terbakar. Mukanya bagaikan makhluk asing pada kami. Sangat kelakar. Mujurlah nyawanya masih panjang.

Apabila dikenang kembali kisah itu, kami pasti ingat dan ketawa bersama.

No comments:

Post a Comment

Jejak yang ditinggalkan

MENJADI TUA ADALAH FITRAH, BUKAN SEMUA INSAN MENIKMATINYA

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini. Pagi Rabu 11 .12.2024, menjadi tarik...