Thursday, August 18, 2011

Moreh Dahulu dan Sekarang

Terima kasih kerana sudi membaca di blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Amalan makan di masjid ketika bulan Ramadhan atau lebih mesra dengan istilah 'moreh' adalah budaya unik yang semakin dipinggirkan oleh masyarakat kita. Moreh mendekatkan hubungan sesama ahli masyarakat. Di samping itu, moreh juga tidak membebankan kerana juadah yang dihidangkan adalah hasil sumbangan sesiapa yang berkemampuan. 

Semasa saya kecil dahulu, moreh biasanya dibuat selepas solat tarawih. Ketika itu, imam sekadar membaca ayat lazim sehingga ke rakaat 20 tarawih. Tiga rakaat seterusnya adalah solat witir. Kebiasaannya, kanak-kanak hanya bertahan 8 rakaat, manakala orang dewasa akan menamatkan sehingga 23 rakaat keseluruhan.

Paling kami suka apabila menyahut takbir daripada bilal. Bilal akan melaungkan takbir "Allahum Massalli 'ala saidinaaaa Muhammadddd", dan kami yang tak tau apa-apa, akan menyahut, "Salahdah, Pak Sallehhhhhh". 
Sebutan sebenarnya ialah 'Sallallah wasalam 'alaih..' Memang menyeronokkan. Ada juga rakan yang suka mengganggu kawan solat. Biasanya mereka ditegur oleh Tok Siak.

Tok Siak paling saya takut dahulu, namanya Pak Ketang. Saya tak tahu nama sebenarnya, tapi jika dia menegur kanak-kanak yang bermain-main di dalam masjid, biasanya terkedulah kanak-kanak tersebut. Lagaknya garang, sesuai dengan tugasnya menjaga masjid. 

Biasanya, imam yang mempimpin solat ialah Imam Mokhtar, atau Imam Taharim. Bilalnya silih berganti antara Pak Busu atau Pak Brahim Bas. 

Waktu moreh itulah masa untuk 'mengintai' remaja perempuan yang turut sama mengikut ibu mereka bertarawih. Maklumlah, duduk di kampung, peluang menyapa atau berbual dengan budak perempuan sangat terhad. Biasanya, bagi remaja lelaki yang agak berani, mereka akan menunjukkan sikap rajin dengan menghantar makanan moreh ke bahagian perempuan. Ketika itulah sempat menjeling atau menatap wajah gadis yang 'rajin solat tarawih'.

Rutin di masjid ketika itu ringkas tetapi menyeronokkan. Usai menikmati juadah moreh, masing-masing akan terus pulang ke rumah. esok, rutin yang sama berulang lagi, sehinggalah Ramadhan menghampiri penghujungnya. Ketika itu, bilangan saf solat sudah menyusut. Para ibu dan anak gadis sudah mula mempersiapkan diri membuat kuih raya dan seumpamanya. Bunyi mercun dan meriam tanah semakin kerapm kedengaran. 

Kanak-kanak paling gembira ketika malam 7 likur

Menjelang malam 7 likur, kawasan kampung kami disinari lampu pelita panjut buatan sendiri. Ada yang dibuat daripada buluh dan tin susu pekat manis. Detik itu, kanak-kanaklah yang paling seronok menikmati suasana tersebut. Jika dibandingkan dengan sekarang, nyatalah kegembiraan menyambut Ramadhan dahulu lebih memberi erti dan kepuasan.


No comments:

Post a Comment

Jejak yang ditinggalkan

MENJADI TUA ADALAH FITRAH, BUKAN SEMUA INSAN MENIKMATINYA

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini. Pagi Rabu 11 .12.2024, menjadi tarik...