Thursday, September 22, 2011

PASCA-TRIAL SPM

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Peperiksaan percubaan SPM (trial) menuju ke hari terakhirnya. Guru-guru sedang bertungkus lumus menanda skrip jawapan. Ada yang sudah siap, ada juga yang belum, bergantung kepada cara mereka melaksanakan tugas dan amanah yang diberikan. Yang penting, apabila tiba masanya, semua markah sudah dimasukkan ke lembaran atas talian SAPS.

Pelajar yang bakal mewarisi kepimpinan negara masa hadapan.

Suasana di dewan peperiksaan. Skrip jawapan akan mewakili diri pelajar.

Alhamdulillah, saya sudah pun menyelesaikan penandaan. Keputusannya sederhana, tidaklah begitu baik. Masih jauh daripada sasaran, tetapi ia tidak membimbangkan sebab masih ada ruang untuk dibaiki. Perlu ada penambahbaikan pada subtopik tertentu. Ini akan saya kongsikan dengan pelajar saya, calon SPM 2011 dalam perbincangan pascatrial nanti.
Saya tertarik dengan luahan seorang pelajar saya, Azhar Ahmad. Pelajar ini agak bijak dan suka bertanya. Susuk tubuhnya tegap, sesuai dengan pencapaiannya sebagai atlet peringkat negeri dan kebangsaan. Pada zaman kemuncaknya dalam sukan, beliau pernah mewakili negara di Singapura. Pelajar ini, pada hemat saya sukar dicari ganti.Ciri-ciri peribadinya menarik perhatian saya.

"Cikgu, saya rasa trial ni untuk mengenal pasti kelemahan kami, kan?" Dia bertanya.

"Begitulah,.. Trial ini juga untuk melihat persediaan kamu menghadapi SPM. Mengapa kamu tanya?"

"Begini, cikgu. Saya tak puas hati dengan Cikgu XXX yang marah-marah kami. Prestasi trial untuk subjek XXX kelas saya memang tak baik, kami agak lemah untuk topik tertentu." Katanya meluahkan rasa yang terbuku.

"Habis tu?"

"Cikgu XXX kata kami macam-macam. Saya rasa cikgu XXX tak patut kutuk kami melampau. Kami boleh terima kelemahan tapi, kenalah diajar." Dia bercakap dengan tenang. Nampak jujur kata-katanya.

Saya diam. Tapi jika saya di tempat cikgu XXX, mungkin saya tidak gunakan kata-kata kutukan melampau seperti yang dinyatakan pelajar saya. Hakikatnya, bukan pelajar sahaja yang inginkan markah cemerlang, tetapi guru juga menaruh harapan yang tinggi. Harapan yang tinggi inilah yang menyebabkan guru kecewa jika tidak dapat dicapai oleh pelajar. Kekecewaan itu akan diluahkan melalui kata-kata dan perbuatan. Jika tiada rasa sabar, pelbagai istilah akan dihamburkan oleh guru berkenaan.

Berdepan dengan pelajar, sesuatu yang sukar dilaksanakan oleh semua guru. Ada guru yang cepat hilang pertimbangan apabila pelajar tidak mengikut apa yang diajar. Saya tak nafikan, pengalaman selama belasan tahun sebagai pendidik, mengajar saya menjadi seorang yang tenang menghadapi karenah pelajar. 

Pelajar hari ini tidak sama dengan dahulu. Generasi hari ini kenal telefon bimbit berbanding surat kiriman. Mereka lebih tertarik kepada mainan video berbanding galah panjang atau jengket-jengket. Mereka terdedah kepada gajet ICT seperti pendrive, portable harddisk, bluetooth, wireless dan entah apa istilah lagi yang begitu asing sebelumnya.

Generasi hari ini adalah 'screen generation', iaitu generasi yang hidupnya terdedah kepada skrin: televisyen, video, telefon bimbit, Ipad dan seumpamanya.

Wednesday, September 14, 2011

Syarat Lulus Bahasa Inggeris SPM Bukan Penyelesaian

Terima kasih kerana sudi membaca di blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Keputusan Kementerian Pelajaran mewajibkan syarat lulus Bahasa Inggeris dalam peperiksaan SPM akan datang wajar diperhalusi. Menterinya, Tan Seri Datuk Seri Muhyiddin Mohd Yassin, yang juga Timbalan Perdana Menteri, mengulas ketika ditanya tentang jumlah guru Bahasa Inggeris. Beliau disebut sebagai berkata, KPM akan memastikan dahulu jumlah guru Bahasa Inggeris sudah mencukupi sebelum pelaksanaannya dikuatkuasakan.

                    Hakikatnya, beberapa perkara perlu difikirkan oleh pihak kementerian sebelum syarat baru SPM tersebut dilaksanakan. Bukanlah satu kejutan bahawa pelajar lepasan PMR tetap meneruskan pelajaran di tingkatan 4 kerana format PMR tidak sama dengan SRP yang dilaksanakan sebelum 90-an. Menurut syarat SRP, pelajar tingkatan 3 mesti lulus subjek Bahasa Melayu, Matematik dan Bahasa Inggeris sebelum meneruskan pelajaran di tingkatan 4. Natijahnya, pelajar tingkatan 4 merupakan pelajar yang berkualiti dan mampu bersaing dalam SPM semasa di tingkatan 5.

                    Hari ini, PMR yang diperkenalkan bagi menggantikan SRP mempunyai format yang sangat longgar. Pelajar masih boleh meneruskan pelajaran di tingkatan 4, walaupun gagal mata pelajaran berkenaan. Malah, ia diburukkan dengan tiadanya sekatan kepada pelajar untuk ke tingkatan 4, kerana KPM ingin mengelakkan keciciran pelajaran.

                  Hal ini menambahkan masalah disiplin dan akademik di sekolah, khususnya di peringkat menengah atas. Kumpulan pelajar yang lemah dan tidak mampu bersaing mempunyai mentaliti negatif terhadap guru, kelas dan menimbulkan masalah disiplin. Kegagalan guru memanipulasikan teknik yang menarik dalam Pengajaran dan pembelajaran (P&P) menambahkan lagi situasi ini, sehingga akhirnya menyebabkan  tiada kawalan kelas yang mampu 'memikat' pelajar berkenaan untuk fokus kepada   tajuk yang diajar oleh guru. 

                         Penubuhan kolej vokasional dengan menukarkan status sekolah teknik sedia ada, diharapkan dapat menampung jumlah pelajar yang gagal bersaing di peringkat lepasan PMR. Sehubungan itu, KPM harus memastikan tujuan penubuhan kolej vokasional tersebut mengutamakan pelajar lulusan PMR berkenaan .

Seorang dokor, jika gagal dalam memahami deskripsi ubat, mungkin hanya menjejaskan seorang pesakit, tetapi jika guru gagal melaksanakan tugasnya dalam mendidik, ia menjejaskan satu generasi. Oleh hal yang demikian, kementerian harus bijak menangani setiap isu dalam pendidikan, supaya usaha merekayasa generasi masa hadapan yang menjamin kemajuan negara dapat dilaksanakan. 
                         

Monday, September 5, 2011

Terima kasih kerana sudi membaca di blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Suasana meriah di rumah Pakcik di Cangkat Cermin.
Berdiri dari kiri: Fariz, saya dan Taufik. Duduk: Khairani, Puteri, Pn. Che dan Ustazah Wan Akmal

Hari raya, bukan sekadar menjadi simbol kemenangan melawan nafsu pada bulan Ramadhan. Malah, ia lebih daripada itu. Melalui suasana lebaran, kita dapat menjalinkan  ukhuwah yang renggang. Selain itu, tradisi kunjung-mengunjung antara rakan taulan, saudara dan kenalan, menjadikan aidilfitri satu detik yang sangat didambakan.

Pertemuan saya sekeluarga bersama adik tersayang, Oun yang tinggal di Johor, begitu bermakna. Kami dapat bersama-sama ke rumah saudara mara seperti Pak Ngah Hassan, Mak Ngah Itam, Mak Ngah Jemah dan Pakcik Endan. 

Saya juga berkesempatan mengunjungi guru saya dahulu, Pn. Hajah Che Saliha di Sitiawan. Kedatangan kami disambut mesra. Kali ini, bekas pelajar saya yang juga murid Pn. Che semasa beliau bertugas sebagai pengetua di SMKBS dahulu, turut memeriahkan suasana. 

Kita tak boleh menjangka apa yang bakal terjadi pada masa hadapan, tetapi wajar kita menghargai detik-detik yang indah ini. Amalan kunjung-mengunjung wajar diteruskan. Jika berpeluang, berbuallah sepuas-puasnya dan elakkan menonton rancangan TV, sebab ia mematikan semangat ukhuwah yang ingin dibina. Selain itu, elakkan juga melayan mesej di telefon bimbit kerana ia mengehadkan perbualan dengan tuan rumah dan tetamu lain.

Salam lebaran. Moga kita dapat lagi bertemu dengan Ramadhan dan Syawal tahun-tahun akan datang. 


MENJADI TUA ADALAH FITRAH, BUKAN SEMUA INSAN MENIKMATINYA

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini. Pagi Rabu 11 .12.2024, menjadi tarik...