Monday, August 27, 2012

Salam Lebaran 1433 Hijrah

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

SALAM AIDILFITRI DARIPADA SAYA SEKELUARGA
MAAF ZAHIR DAN BATIN

Friday, August 24, 2012

Beraya di Hospital Sultanah Nur Zahirah

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Tidak pernah pun saya terfikir 'menyambut' lebaran di hospital, tetapi inilah yang berlaku pada raya tahun ini. Pemanduan hampir 10 jam dari Perak ke rumah mertua di Terengganu bukanlah perkara luar biasa. Bagaimanapun disebabkan kurang rehat dan berpuasa pada hari terakhir Ramadhan, saya akhirnya pitam pada malam raya.  Saya dihantar ke hospital dan mendapat rawatan di Unit Kecemasan, Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu. Kandungan gula dalam darah rendah menyebabkan saya mengalami 'hypo' dan saya ditahan di wad selama dua malam, bermula malam tersebut. Ketika orang lain sibuk bertakbir dan bertahmid, saya ditemani beberapa orang pesakit, jururawat dan doktor yang bertugas di wad 8A, HSNZ.

Di hadapan saya, ada seorang pesakit lelaki berusia 50-an, Pakcik Mat Nor namanya. Dia mengalami kecederaan pada soket paha. Lebih mengejutkan, keluarganya baru tahu dia juga menghidap barah hati tahap 4. Patutlah matanya berwarna kekuningan, fikir saya. Pakcik Mat Nor ditemani anak-anak perempuannya seramai 3 orang dan isterinya. Mereka bergilir-gilir melayaninya yang semakin merosot kesihatannya sejak dimasukkan seminggu lalu. Saya berbual dengan Pakcik Mat Nor pada siang tersebut. Dulunya beliau seorang guru tetapi kini bertugas di bahagian pentadbiran IPG Kuala Terengganu, Batu Rakit. 
"Saya sakit kaki, tetapi doktor cucuk tangan saya," dia merintih dalam dialek Terengganu yang saya fahami. Menurut anaknya Norida, ayahnya hanya mengadu sakit kaki dan mereka menjangkakan sakitnya tidak serius. Apatah lagi dia sebelum ini sihat dan lasak menjalani kehidupan seharian. Kanser hati tahap 4 yang dihidapinya amat mengejutkan mereka.

Pada hari raya, ramailah saudara-maranya datang menziarahi Pakcik Mat Nor. Disebabkan katil kami bertentangan, mereka juga menyapa saya. Adik beradiknya yang datang memberitahu, Pakcik Mat Nor sudah diberitakan oleh doktor mempunyai peluang yang tipis untuk sembuh. Saya teringat arwah mak, yang juga menghidap sakit sama pada 2005 lalu. Mak diberitakan hanya ada 6 bulan untuk hidup selepas diagnosis kanser ulu hati. Dengan simptom yang sama dengan arwah mak, saya menjangkakan Pakcik Mat Nor juga tidak mampu bertahan lama. 

Menjelang petang, kesihatannya semakin merosot. Dia semakin lemah dan tidak bercakap lagi. Selepas solat Isyak, adik beradiknya dipanggil datang untuk membaca Yasiin. Saya juga turut sama membaca Yasiin, dalam keadaan dia makin nazak. Muntahnya darah, badannya semakin tidak bermaya. Anak-anak perempuan yang menjaganya sudah kering air mata. Saya memahami keadaan itu sebab arwah mak pada penghujung usianya begitu juga. Selepas pukul 11 malam, saya tidur di katil. Saya juga perlu jaga kesihatan diri. Menjelang 5 pagi keesokannya, keadaan di wad 8A tenang. Tiada lagi bunyi bacaan surah Yasiin. Saya menjenguk melihat beberapa orang lelaki sibuk membuat panggilan telefon di sisi jasad berbalut kain putih. Rupanya, Pakcik Mat Nor yang baru saya kenali sebagai' jiran' di wad 8A, sudah pergi menemui Ilahi buat selama-lamanya.

Seorang lagi pesakit yang baik dengan saya, Jefri namanya. Usianya setahun lebih tua daripada saya, tetapi pernah membuat pemindahan buah pinggang. Dia mengalami komplikasi pada buah pinggang setelah cuba berpuasa sepanjang Ramadhan. Anak kelahiran Sarawak yang beristerikan jururawat dari Besut itu memaklumkan kepada saya, dia juga beraya kali pertama di hospital. Menjelang hari raya kedua, dia dibenarkan pulang pada sebelah tengah hari, manakala saya pula dibenarkan keluar pada sebelah petang.
Lega rasanya dapat keluar pada hari raya kedua

Tekanan darah menurun dan gula kembali stabil. Doktor menasihati saya makan ubat dan amalkan senaman. Saya juga harus berwaspada kerana berdasarkan keturunan, saya berpotensi mendapat pusaka arwah ayah, iaitu diabetes.Jadi, saya bertekad untuk kembai bersukan bagi menjaga kesihatan.

Kepada semua rakan blogger, selamat menyambut hari raya, maaf zahir dan batin. Semoga kita dapat bertemu lagi dengan Ramadhan tahun-tahun berikutnya. AMIN..

Wednesday, August 15, 2012

KAD RAYA: BUDAYA YANG DIPINGGIRKAN

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.
 
Syawal bakal menjelang beberapa hari lagi. Ini bermakna, Ramadhan semakin ke penghujung dan ibadah puasa yang kita laksanakan makin berakhir. Para ibu sibuk di dapur menyiapkan kuih raya. Jika tidak pun, hanya menggunakan kemahiran memilih kuih dan bisukt 'tunjuk'. Ayah pula tidak ke hutan menebang buluh untuk membakar lemang sebab lemang kini lebih mudah dibeli di tepi jalan. Mungkin yang belum berubah ialah anak-anak dikerah mengemas rumah termasuk menukar langsir dan sarung kusyen baru. Sedang masing-masing sibuk menjalankan 'tugas', kelibat posmen tidak lagi ditunggu kerana budaya kiriman kad raya sudah dipinggirkan oleh generasi muda.

Dahulu, kelibat abang posmen menjadi penantian. Apabila terdengar sahaja hon motosikal atau loceng basikal dibunyikan, menderulah anak-anak ke pintu dengan harapan ada kenalan yang menghantar kad raya. Antara ahli keluarga pula, siapa yang paling banyak menerima kad raya, tentulah berasa bangga. Rasa seronok bukan kepalang jika ada yang mengirim kad tanda ingatan. Tambahan pula melihat adik-beradik lain ketinggalan dalam mengumpul kad raya paling banyak. Detik itu terlalu manis untuk dikenang. Kemeriahan bersama keluarga yang ada antaranya mungkin tidak lagi bersama kita seakan mustahil untuk diulang.

Hari ini kad raya juga seakan kian dilupakan. Zaman sudah berubah, peranan sebagai pengganti diri yang dimainkan selama ini sudah diambil alih pelbagai gajet canggih menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS), emel serta laman-laman sosial. 

Anda bagaimana? Berapa keping kad raya yang anda dapat, atau yang dikirimkan kepada kenalan?

Monday, August 13, 2012

Perak Negeriku Kaya Budaya

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Disesuaikan daripada artikel Mberlia (Halaqah.net)

Ada berbagai-bagai pendapat mengenai asal usul nama Negeri Perak. Setengah pendapat mengatakan bahawa nama itu diambil bersempena dengan Bendahara Tun Perak dari Melaka dan setengahnya pula mengatakan ia diambil dari ‘kilatan ikan dalam air’ yang berkilau seperti perak. Justeru dari pengenalan nama negeri ini sendiri telah membayangkan tentang khazanah yang terkandung di buminya.

Negeri Perak sebenarnya telah wujud pada zaman pra sejarah lagi. Kota Tampan di Lenggong merupakan satu-satunya kawasan yang terbukti wujudnya Zaman Batu Lama di Tanah Melayu. Bertolak dari tarikh antara 400,000 hingga 8,000 tahun sebelum masihi, Negeri Perak telah mengalami evolusi dari masa ke masa. Kesan peninggalan sejarah zaman batu ini terbukti dengan jumpaan alat-alat batu dan fosif-fosil manusia dikenali dengan nama Perak Man oleh Prof. Datuk Zurina Majid (USM)

ZAMAN PRA SEJARAH
 
Negeri Perak mengalami zaman pra sejarahnya yang terbahagi kepada empat bahagian pada keseluruhannya iaitu Zaman Batu Lama (Palaeolithic), Zaman Hoabinhian, Zaman batu Baru (Neolithic) dan Zaman Logam (Metal Age).

Zaman Batu Lama (Paleolitik)

Zaman ini dianggarkan berlaku antara 400,000 hingga 8,000 tahun sebelum masihi. Satu-satunya kesan peninggalan ini di Tanah Melayu ialah tapak yang dijumpai di Kota Tampan, Lenggong. Peninggalan zaman ini juga dikenali dengan kebudayaan Tampan di mana peninggalannya merupakan alat-alat batu yang belum sempurna buatannya.

Zaman Hoabinhian

Zaman ini dianggarkan berlaku antara 8,000 hingga 2,000 tahun sebelum masihi. Kesan peninggalannya dijumpai di Gua Badak, Lenggong, Gunung Pondok, Padang Rengas dan beberapa buah gua lagi di Negeri Perak; berupa alat-alat batu yang lebih elok buatannya termasuk lesung batu untuk membuat pencelup merah (haematite).

Zaman Batu Baru (Neolitik)

Zaman ini wujud antara 2,000 hingga 300 tahun sebelum masihi. Kesan-kesan daripada alat-alat peninggalan yang dijumpai di Gua badak, Lenggong dan persekitarannya, Gua Tambun, Ipoh dan lain-lain lagi berkeadaan lebih sempurna dan licin serta dapat dikenali jenisnya. Mereka juga telah pandai menggunakan tembikar untuk memasak makanan dan membuat pondok tempat tinggal. Disamping itu mereka juga telah pandai bercucuk tanam.

Zaman Logam (Metal Age)

Zaman ini wujud antara 500 hingga 200 tahun sebelum masihi. Tempat-tempat yang pernah dijumpai seperti di Changkat Menteri, Sungkai dan Slim River menunjukkan bahawa masyarakatnya telah menggunakan logam seperti gangsa dan besi untuk membuat mata lembing, mata kail dan mata anak panah. Terdapat juga sejenis alat besi yang anih bentuknya yang dikenali sebagai ‘Tulang Mawas’ yang dijumpai tertanam di dalam kubur Batu Ubin.

Zaman Hindu/Buddha

Jumpaan di Kuala Selensing, Perak dianggap sebagai zaman peralihan sebelum Hindu/Buddha, manakala zaman Hindu/Buddha pula merupakan zaman pembukaan lembaran Sejarah Negeri Perak Pengaruh kebudayaan orang-orang India dan kepercayaan Hindu di rantau ini sejak awal kurun masihi lagi telah mengubah sama sekali sistem nilai masyarakat di Tanah Melayu. Jumpaan patung-patung Hindu/Buddha dan beberapa alat pemujaan seperti di Bidor, Jalong dan Pengkalan Pegoh membuktikan wujudnya pengaruh ini. Zaman Kedatangan Islam dan sebelum kesultanan
Kerajaan Manjung di Beruas dianggap sebagai Kerajaan tertua di Perak. Selepas lenyapnya Manjung, kira-kira pada awal kurun ke l5 telah wujud Kerajaan Melayu Beruas. Dari bukti-bukti yang terpahat di batu nisan yang ada menunjukkan bahawa sebuah Kerajaan Islam. Adalah dipercayai bahawa Islam datang ke Perak melalui negeri seperti Melaka dan negeri-negeri di Pantai Timur.

Di samping itu Islam telah berkembang hingga ke pendalaman Negeri Perak melalui jalan Sungai Perak. Selain Kerajaan Beruas terdapat kuasa-kuasa pembesar tempatan di Ulu Perak seperti Kerajaan Roman, Tun Saban, To’ Temong dan lain-lain kerajaan yang belum dapat dikesan.
Negeri Perak merentasi Zaman Hoabinhian seterusnya Zaman Batu Baru dan Zaman Logam, yang dapat dibuktikan dengan jumpaan-jumpaan tertentu.Ini disusuli pula dengan zaman Hindu/Buddha yang dijangkakan berlaku serentak dengan lain-lain kawasan di Tanah Melayu. Alam persejarahan Negeri Perak telah maju setapak lagi dengan wujudnya kerajaan-kerajaan tempatan seperti Manjung di Daerah Dinding dan Beruas (wujud setelah Manjung luput). Begitu juga beberapa kerajaan lagi di Perak Tengah dan Ulu seperti Tun Saban dan Raja Roman. Serentak dengan itu Islam mula bertapak kukuh di negeri ini bermula dengan penabalan Sultan Muzaffar Syah l yang berketurunan dari Sultan Mahmud Syah Melaka pada tahun l528. Walaupun zaman Kesultanan Negeri Perak telah muncul tetapi kuasa-kuasa tempatan masih diakui berkuasa. Corak pemerintahan yang dijalankan adalah urutan dari sistem feudal di Melaka yang berdemokrasi.

ZAMAN KESULTANAN

Titik kegemilangan sejarah Negeri Perak ialah setelah wujudkan sistem kesultanan yang merangkumi kawasan seluas 8,ll0 batu persegi. Pertabalan Sultan Mudzaffar Shah l pada tahun l528 telah membuka lembaran baru ke arah pemodenan.

Negeri Perak lebih dikenali setelah kekayaan buminya diketahui iaitu ekoran dari penemuan bijih timah di Larut pada tahun l848 oleh Cik Long Jaafar. Dengan kejumpaan ini ekonomi Negeri Perak berkembang dengan pesat dan lebih banyak kawasan perlombongan dibuka. Selain bijih timah, getah juga memainkan peranan yang penting dan ditanam setelah 34 orang Sultan memerintah turun temurun.

Implikasi dari perkembangan ekonomi ini telah mewujudkan masyarakat majmuk terutama kaum Cina yang bekerja di lombong-lombong ketika zaman penjajahan British di Tanah Melayu. Itulah sebabnya kita dapati majoriti penduduk Tionghua menduduki kawasan di Kinta, Taiping dan sekitar kawasan bekas lombong bijih timah yang lain.

Perbalahan kuasa antara pembesar di Perak telah mengundang Inggeris campur tangan melalui Perjanjian Pangkor l874 setelah wujudnya kacau bilau di Larut. Dari campur tangan ini sistem pentadbiran Residen telah diperkenalkan dengan J.W.W.Birch sebagai Residen pertamanya.
Melalui campur tangan ini Inggeris memperkenalkan sistem Residen yang dianggap dapat membaiki sistem pemerintahan tradisional. TEKS PERJANJIAN PANGKOR PADA 20 JANUARI l874 Raja Abdullah diakui sebagai Sultan yang sah menggantikan Sultan Ismail yang akan diberi gelaran serta pencen sebanyak $l,000/- sebulan.

Sultan akan menerima seorang Residen Inggeris yang nasihatnya mesti diminta dan diikuti dalam segala hal kecuali yang menyentuh agama dan adat istiadat orang-orang Melayu.
Semua pungutan dan kawalan cukai serta pentadbiran negeri mestilah dijalankan atas nama sultan tetapi disusun menurut nasihat Residen.

Menteri Larut akan terus berkuasa, tetapi tidak lagi diakui sebagai pemerintah yang merdeka. Sebaliknya seorang Pegawai Inggeris akan dilantik di Larut yang mempunyai bidang kuasa yang luas untuk mentadbirkan daerah tersebut.

Gaji Residen akan dibayar oleh Sultan, bukan dibayar oleh Kerajaan Inggeris. Penentangan terhadap sistem Pentadbiran Inggeris

Pada mulanya sistem Residen dijangkakan mendatangkan implikasi yang baik, tetapi kerana pelaksanaannya yang menyeleweng dan ditambah dengan sikap masyarakat pribumi yang tidak mahu dijajah, telah berlaku penentangan yang diketuai oleh Datuk Maharaja Lela. Akibatnya J.W.W.Birch dibunuh pada tahun 1875.

Babak penjajahan Inggeris selepas Jepun menyerah diri belum berakhir, malah diteruskan sehingga darurat berlaku pada tahun 1948. Keganasan banyak berlaku di Negeri Perak yang mana Parti Komunis Malaya bertanggung jawab mengenainya.

Selepas pendudukan Jepun di Tanah Melayu kedudukan Negeri-negeri Melayu adalah tidak stabil. Ditambah dengan kemunculan semangat kebangsaan untuk menuntut kemerdekaan dalam kalangan rakyat jelata. Inggeris sedaya upaya mengekalkan kedudukannya dengan memperkenalkan beberapa sistem pentadbiran seperti Malayan Union pada tahun l946. Pelbagai onak duri dilalui oleh rakyat Perak semasa peristiwa Darurat menentang pengganas komunis. Barangkali, tidak ramai menyedari Kampung Baru yang ditaja untuk menarik komunis supaya meletak senjata sebenarnya banyak terdapat di negeri Perak. Sehinggalah Inggeris mengisytiharkan kemerdekaan ke atas Tanah Melayu pada tahun l957, kewujudan masyarakat pelbagai kaum di Perak sebenarnya hasil kebergantungan kepada perusahaan ladang getah dan bijih timah.

TEMPAT MENARIK SEKITAR NEGERI PERAK : -

Daerah Manjung telah menjadi destinasi utama pelancong ke Negeri Perak di mana Pulau Pangkor dan Teluk Batik telah menjadi tumpuan utama pelancong-pelancong dari dalam dan luar negeri. Visi pembangunan sektor pelancongan ialah menjadikan sektor pelancongan sebagai penyumbang utama kepada pembangunan Daerah Manjung.

Daerah Manjung memang terkenal dengan tempat rekreasinya disebabkan lokasinya yang terdapat di kawasan peranginan umpamanya Teluk Batik, Teluk Rubiah, Pulau Pangkor dan lain-lain lagi. Terdapat tiga padang golf utama di Daerah Manjung iaitu Kelab Golf Samudera (9 lubang) dan Damai Laut Golf & Country Club, Lumut (18 lubang). Pulau Sembilan adalah satu destinasi pelancongan bagi tujuan memancing.

Sukan air atau "water sport" merupakan rekreasi yang utama di kawasan laut. Terdapat dua Yacht Club yang sedang beroperasi di Daerah Manjung iaitu di Lumut. Kelab-kelab tersebut adalah Perak Yacht Club dan Samudera Yacht Club.

Pantai, laut, pulau, hasil laut, tempat bersejarah, hutan bakau, hutan bukit dan kemudahan- kemudahan rekreasi adalah merupakan produk-produk pelancongan yang menjadi daya tarikan utama pelancong-pelancong tempatan mahupun luar negeri untuk datang ke Daerah Manjung yang indah ini. Diantara tempat-tempat menarik di daerah Manjung adalah seperti berikut:-

Teluk Batik (pantai)
Taman Esplaned, Lumut (rekreasi)
Pasir Panjang, Segari (pantai, pusat pembiakan penyu, memancing)
Teluk Senangin (pantai)
Pasir Bogak (pantai)
Teluk Nipah (pantai)
Pantai Puteri Dewi (pantai, resort)
Pangkor village (pantai)
Kota Belanda Pangkor (sejarah)
Batu Bersurat (sejarah)
Pangkor Laut (resort)
Pulau Sembilan (pulau, memancing, menyelam)
Teluk Segadas Pangkor
Jambatan Gantung (rekreasi)
Damai Laut Resort
Restoran Terapong Teluk Gedong (makanan laut)
Kg.Bharu (sukan air)
Kg. Teluk (pertanian)
Lata Ulu Licin Beruas (air terjun)
Muzium Beruas (bahan sejarah)

Bukit yang tertinggi di Daerah Manjung ialah Bukit Engku Busu di Lumut dan Bukit Pangkor di Pulau Pangkor. Kedua-dua bukit ini adalah merupakan kawasan rekreasi yang popular kepada pelawat atau pelancong yang berjiwa "adventurous" disamping aktiviti "jungle-tracking". Beberapa kawasan untuk beritirahat juga telah dibangunkan.

Jika berminat melancong ke negeri Perak, anda dialu-alukan.

Saturday, August 11, 2012

Mesrakah Masjid Dengan Kanak-kanak?

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Oleh HAMIZUL ABDUL HAMID

148679_167618396606001_100000735253617_372833_1019186_nRAMADAN adalah bulan rahmat sehinggakan remaja dan anak-anak kecil yang tidak selesa dipasak kakinya bersolat jemaah turut mesra dengan rumah Allah. Mereka rela menghabiskan masa perdana di masjid dan surau, walau tidak dinafikan adakalanya mereka turut menyulam solat dengan tawa dan gurau. Hakikatnya, itulah alam kanak- kanak.

Baru-baru ini, ketika memenuhi jemputan sebuah syarikat multinasional menyampaikan tazkirah Ramadan, saya diajukan dengan soalan yang cukup biasa kedengaran. Namun, minda saya tersentak dengan bunga dan buah yang diberi. Bayangkan, suatu insiden di sebuah masjid, seorang anak kecil dalam lingkungan usia tujuh tahun setia berdiri di sisi ayahnya.

Saat takbir mahu diangkat bagi memisahkan dunia dan akhirat (takbiratulihram), ketika itulah seorang lelaki berperawakan alim menegur. Si ayah dengan sopan menyatakan, dia mahukan anak itu berdiri di sisinya, kerana dengan cara itu hatinya lebih tenteram.

Bayangkanlah, jika si anak solat berjauhan beberapa saf di belakang, hatinya gusar tentang keselamatan anaknya. Rasa bimbang yang boleh membunuh khusyuknya dalam sembahyang.

Dalam suasana yang sepatutnya tenang menuju solat itulah, tiba-tiba lelaki yang berperawakan hebat itu menyerang. Dengan tegas dia menyatakan, saf kanak-kanak adalah di belakang. Dengan tegas juga dia menarik tangan si kecil ke belakang, sedang si ayah terkebil-kebil menyaksikan adegan.

Menurut pemuda yang bertanya kepada saya, dia amat terkejut dengan insiden berkenaan. Masjid yang sepatutnya menyaksikan ukhuwah bertautan, hampir terlerai dengan sebuah pertikaian.

Saya akur, majoriti masjid dan surau di negara ini kebanyakannya meletakkan tiga kategori saf. Saf paling hadapan adalah untuk golongan lelaki dewasa, saf pertengahan dikhaskan kepada anak-anak kecil (dalam jarak usia 5 tahun hingga 10 tahun) dan saf paling belakang adalah untuk wanita. Ada juga sesetengah masjid dan surau yang meletakkan saf wanita di sudut sebelah kiri atau di bahagian atas masjid mereka.

Saya pelik dengan ketetapan ini. Ada sesetengah masjid besar ’kian mengarut’ dalam tindakannya. Mereka meletakkan papan tanda ‘Kanak-kanak di bawah usia enam atau lima tahun dilarang memasuki dewan masjid’. Nampaknya, bukan wanita yang uzur kerana didatangi haid dan nifas sahaja ditegah mengunjungi rumah Allah, bahkan kaum ibu yang suci bersih daripada hadas besar juga dilarang sama. Bagi saya inilah konotasi arahan itu. Bagaimana seorang ibu muda yang mempunyai anak-anak kecil mampu mengunjungi masjid dan surau, jika anak-anak mereka dilarang memasukinya.

Saya menyusuri hadis-hadis nabi. Saya cuba mencari atau hakikatnya tercari-cari, apakah sandaran mereka yakni para jawatankuasa masjid melakukan sedemikian. Malangnya, pencarian saya hampir gagal menemui jawapan. Tiada satu nas yang sahih dan jelas, melarang anak-anak kecil untuk solat bersama kaum lelaki di dalam satu saf yang sama. Tidak ada istilah putus saf atau hilang pahala jemaah kerana mereka berdiri di sebelah kita. Yang ada, saya terjumpa dengan beberapa hadis yang menyatakan sebaliknya. Iaitu, Nabi Muhammad s.a.w meraikan anak-anak kecil di rumah Allah. Mereka adalah tetamu cilik yang sepatutnya diraikan, agar jiwa membugar dengan kesucian masjid, akhlak mereka membunga dengan keindahan masjid.

Dari Anas r.a telah berkata: “Aku pernah bersolat di rumah kami bersama seorang kanak-kanak yatim di belakang Nabi s.a.w dan ibuku Ummu Sulaim di belakang kami.” (Riwayat Bukhari).

Di samping itu, saya tertarik untuk menyatakan bahawa, apakah logiknya kita mengatakan saf terputus atau hilang pahala jamaah kerana kita diselangi oleh seorang kanak-kanak yang belum berkhatan. Mereka berhujah kononnya, di bawah kulup si anak kecil itu ada najis yang boleh membatalkan atau paling tidak merosakkan pahala saf dan jemaah mereka.

Apakah kita boleh mengatakan lelaki dewasa yang sudah tidak berkulup itu juga suci, jika pada badannya ada nanah yang dipekap atau dibebat dengan kain kemudian dia bersolat di sebelah kita.

Sebenarnya, kebanyakan umat Islam hari ini banyak meletakkan ‘taklid’ sebagai neraca di dalam panduan dalam beribadat. Sedari kecil, apabila belajar bab fikah, kita diajar terus kepada aspek hukum. Bagi saya, budaya taklid ini amat berbahaya. Ia ibarat tumor yang membiak dan akan menguasai akal fikir umat Islam yang waras.

* Penulis merupakan seorang pegawai perhubungan awam di salah sebuah institusi zakat di Malaysia.

Friday, August 3, 2012

Warkah Sahabat Lama Pak Samad Dari Kota Singa

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Saya terpaku, terdiam malah menarik nafas dalam-dalam apabila membaca bait-bait ayat rakan lama Pak Samad (Sasterawan Negara). Pada hemat saya, penulis ini tentunya mengenali Pak Samad dengan dekat. Lebih daripada itu, mereka sebenarnya pernah menjadi sahabat rapat. 

Saya sendiri, sebelum Pak Samad menjadi seperti hari ini, adalah antara peminat hasil karyanya. Kita telusuri ayat dalam warkah untuk Pak Samad, dengan harapan beliau kembali menyantuni budaya dan akar diri orang Melayu.

 Assalamualaikum Pak Samad,


Masih Pak Samad ingat puisi yang Pak Samad berikan kepada saya 10 tahun dahulu (10 Jun 2003), Pak Samad Kata "Jika Bukit Menjadi Gunung, Gunung Menyuburi Rimba, Jika Sakit Mendorong Menung, Menung Merangsang Dewasa, Lorong Hidup Banyak Cabarannya".


Pak Samad tentu lupa bagimana peritnya hidup di Kota Singa, sehingga di mata Pak Samad sudah biasa melihat wanita-wanita menjual tuboh raga mereka, untuk sesuap nasi. Apa Pak Samad sudah lupa bagaimana Pak Samad harus menerobos jantung Kota Singa, terutama ketika Zaman Jepang melanggar pusat kota, mengambil segala macam harga diri. Jika tidak Pak Samad sudah tentu tergolong dalam golongan pengemis, lintah darat, nasib baik Pak Samad segera membawa diri ke ibu kota Tanah Melayu, Kuala Lumpur yang indah.


Kini Pak Samad memasuki Lorong terakhir. Lorong yang Pak Samad tidak ada bedanya dengan rencana Pak Samad tahun 50an, ketika orang bersastera karena masyarakat, Pak Samad bersastera karena seni. Akhirnya Pak Samad asyik termenung panjang, sakit kerana terlalu lama termenung. Pak Samad mengapa perlu termenung lagi, Kota Singa sudah 50 tahun kita tinggalkan. Wanita Salina itu sudah lama kerepot, sudah lama mati agaknya, usah Pak Samad bermimpi dia datang lagi.





Dalam puisi itu Pak Samad menyebut lagi, "Jika Rakit Menjadi Kapal, Kapal Meningkat bahtera, Jika Bangkit Melawan Gagal, Gagal membibit Hemah, Landas Hidup Banyak Tuahnya".


Mana mungkin mimpi dan igauan lama Pak Samad boleh membina Kapal sebesar bahtera Nabi Nuh, sedangkan rumah tangga Pak Samad tidak mampu bertahan lama. Kini Pak Samad bersama segala macam petualang negara yang mahu menjual negara ini atas nama kebebasan sebangsa, mengumpulkan segala macam igauan lama Pak Samad menjadi satu jiwa yang bersatu dengan Pak Samad dan orang tua yang Pak Samad lihat-lihat saja di lorong Kota Singa tanpa membuat apa-apa, Inikah jiwa-jiwa yang hendak disejiwakan. Semua ini berontakan jiwa mu yang tidak pernah tenang.


Mana perginya petikan guitar anak mu yang bernama Az itu. Dia hilang membawa dirinya jauh dari kebobrokan ciptaan Pak Samad yang tidak mungkin Pak Samad boleh gapai sama panjang dengan Ambiga dan Nga Ngeh itu. Pak Samad sangat kecil dan pendek untuk berada di atas mereka, mana mungkin sejiwa menjadi sebangsa jika selepas PRU13. Diri Pak Samad, bangsa Pak Samad, saudara Pak Samad yang mengucap La Ilaha Illallah Muhammad Dar Rasulullah dibuang dipinggirkan dihumban di tepi longkang. Sama seperti keadaan rumah sewa Pak Samad di Kota Singa yang ditampal-tampal dengan paku-paku berkarat dan papan-papan lusuh yang kita sama-sama pungut di tepi jalan. Ada Lee Kuan Yew peduli kita? Lee Kuan Yew kata kita Melayu rakyat bodoh dan pemalas? Itulah juga suara Chen Man Hin, LKS dan LGE yang Pak Samad puja itu!


Apakah pemerintah durjana Singapura ada membantu kita, Tidak Pak Samad! Malah kita dihumban di lembah kemiskinan dan wanita-wanita Melayu dibiarkan Melacurkan harga diri dan jiwa-jiwa mereka. Jiwa mereka menangis pun Pak Samad tak mampu tolong melainkan hanya tulisan-tulisan English Nice Pak Samad yang Pak Samad bukukan untuk menjadi Sasterawan Negara. Itulah Pak Samad yang saya kenali, menipu di dalam seni karena segenggam ringgit. Jika tidak mana mungkin hendak mogok seni begitu-begitu saja, melainkan sudah mendapat suapannya menyambung semula.


Pak Samad mahu berdebat dengan saya? Apa tema Pak Samad, Sehati Sejiwa Berdansa? Sebangsa Senegara Sejiwa? kenapa bukan Seni Untuk Seni? Kenapa bukan Seni Untuk Masyarakat? Kenapa tidak Bersihkan Bangsa, Bersihkan Negara, Bersihkan Jiwa?


Bersih 3.0 Pak Samad itu saya 100 persen menolaknya? Karena saya tahu Pak Samad jua tidak sebersih Bersih. Sudah berapa kali negara kita Pilihanraya? Pak Samad Pernah kah Mengundi? Anak Bini Pak Samad pernahkah mengundi? Sila jawab dengan benarnya, Betul atau Tidak? Maka bagaimana Pak Samad bisa bercakap Bersih untuk Pilihanraya sedangkan diri dan keluarga Pak Samad sendiri tidak menunjukkan kepekaan itu! Senang berkata, mudah menulis, sukar melaksanakannya Pak Samad, bukankah Pak Samad dalam puisi di atas menyebut Hidup ini banyak cabarannya.


Saya berhenti di sini dahulu, saya tidak sanggup membongkar segala macam penyelindungan diri yang Pak Samad lakukan demi ringgit-ringgit dari mana pun. Jika Pak Samad mahu berdiskusi dengan saya silakan, jika mahu berdebat dengan saya mari kita bentang tikar bicara, bangsa Malayu tidak perlu tunduk kepada sebangsa pembohong, bangsa Melayu tidak harus tunduk kepada jiwa-jiwa yang berbuih kosong, negara ini negara bertanah, dan tanah itu Tanah Melayu!!!


Salam Hormat,


Aku Yang Kau Kenali
Kota Singa.

Wednesday, August 1, 2012

Kelebihan Ramadhan Yang Perlu Kita Sedari

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

RASULULLAH SAW telah ditaklifkan oleh Allah SWT sebagai Nabi dan Rasul yang terakhir. Taklifan dan bebanan tanggungjawab yang perlu dibawa oleh baginda ini tentunya lebih berat kerana menjadi penyempurna dan pelengkap kepada ajaran syariat-syariat terdahulu.
Sebagai umat kepada Nabi akhir zaman, kita perlu menerima hakikat bahawa umur yang diperuntukkan oleh Allah SWT terlalu singkat berbanding umat-umat terdahulu. Rata-rata umur umat Rasulullah SAW ialah 60 hingga 70 tahun sebagaimana yang diriwayatkan dalam hadis yang bermaksud; "Umur umatku di antara 60 sehingga 70 tahun. Dan sedikit sahaja di kalangan mereka yang melebihi tempoh tersebut." (riwayat al-Hakim Tirmidzi dan Ibnu Majah)
Peruntukan umur ini jelas terlalu singkat berbanding umur umat-umat terdahulu. Sebagai contoh, tempoh Nabi Nuh a.s berdakwah mencecah 950 tahun sebagaimana yang tercatat dalam al-Quran. (rujuk al-Ankabut: 15)
Menurut Imam Ibnu Kathir dalam tafsirnya, Allah SWT menurunkan ayat ini sebagai motivasi kepada Rasulullah SAW agar tidak berdukacita dan berputus asa dengan penentangan kafir Quraisy kerana Nabi Nuh a.s sendiri terpaksa berhadapan dengan penentangan kaumnya walaupun telah melakukan dakwah selama 950 tahun. Namun, hanya segelintir sahaja yang beriman kepada Baginda. Tempoh tersebut hanyalah jangka masa berdakwah, tidak termasuk jangkauan umur baginda yang sebenar, mungkin melebihi 1,000 tahun. Wallahu a'lam.
Jelas di sini bahawa jika dibandingkan dari sudut masa dan tempoh hidup, tentunya umat Nabi SAW mempunyai ruang yang terlalu sedikit. Bukan itu sahaja, apabila berada di penghujung zaman, masa seakan-akan cepat serta pantas berlalu.
Lihat sahaja kepada hadis Nabi SAW yang menggambarkan fenomena ini pasti berlaku di akhir zaman. Sabda Rasulullah SAW: "Tidak akan berlaku kiamat sehingga masa menjadi singkat, maka setahun dirasakan seperti sebulan dan sebulan dirasakan seperti seminggu dan seminggu dirasakan seperti sehari dan sehari dirasakan seperti satu jam dan satu jam dirasakan seperti satu petikan api." (riwayat Tirmidzi)
Dalam kerangka untuk berhadapan dengan kondisi umur pendek dan masa singkat ini, Nabi SAW telah berpesan kepada Ibn Umar r.a: Hiduplah engkau di dunia seolah-olah engkau seorang perantau atau musafir lalu. (riwayat al-Bukhari)
Apabila seseorang itu seimbas berfikir, seiring dengan kedangkalan ilmu, dia akan merasakan kerugian menjadi umat Nabi akhir zaman. Umur yang pendek hanya memberikan ruang yang sedikit kepada umat Nabi SAW untuk melakukan ibadah. Begitu juga masa yang pantas berlalu akan menyebabkan umat Islam tergesa-gesa dalam melakukan ibadah serta kerja-kerja sehariannya.
Namun, sekiranya diamati dengan sebenar-benarnya, rupa-rupanya di sana terdapat hikmah yang terlalu tinggi di sebalik kondisi umat akhir zaman ini. Umur yang singkat dan masa yang pantas sebenarnya akan menjadikan manusia yang benar-benar beriman tidak mempunyai waktu untuk melakukan maksiat dan dosa.
Ini kerana waktu yang ada semuanya dimanfaatkan untuk mengerjakan ketaatan kepada Allah SWT. Tidak pernah amal ibadah yang dilakukannya diselangi dengan maksiat kepada Allah SWT. Umur yang singkat juga dimanfaatkan benar-benar untuk memastikan kehidupannya menuju ke syurga Allah SWT.
Orang yang mempunyai kesedaran sebegini, tidak akan mempersia-siakan masa sebagaimana kebanyakan manusia yang lain. Sabda Rasulullah SAW: Terdapat dua kenikmatan yang kebanyakan manusia mensia-siakannya (terhalang daripada mendapat kebaikan dan pahala) di dalamnya, iaitu kesihatan dan waktu lapang. (riwayat Al-Bukhari)

Disesuaikan daripada rencana akhbar Utusan Malaysia

MENJADI TUA ADALAH FITRAH, BUKAN SEMUA INSAN MENIKMATINYA

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini. Pagi Rabu 11 .12.2024, menjadi tarik...