Monday, August 13, 2012

Perak Negeriku Kaya Budaya

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Disesuaikan daripada artikel Mberlia (Halaqah.net)

Ada berbagai-bagai pendapat mengenai asal usul nama Negeri Perak. Setengah pendapat mengatakan bahawa nama itu diambil bersempena dengan Bendahara Tun Perak dari Melaka dan setengahnya pula mengatakan ia diambil dari ‘kilatan ikan dalam air’ yang berkilau seperti perak. Justeru dari pengenalan nama negeri ini sendiri telah membayangkan tentang khazanah yang terkandung di buminya.

Negeri Perak sebenarnya telah wujud pada zaman pra sejarah lagi. Kota Tampan di Lenggong merupakan satu-satunya kawasan yang terbukti wujudnya Zaman Batu Lama di Tanah Melayu. Bertolak dari tarikh antara 400,000 hingga 8,000 tahun sebelum masihi, Negeri Perak telah mengalami evolusi dari masa ke masa. Kesan peninggalan sejarah zaman batu ini terbukti dengan jumpaan alat-alat batu dan fosif-fosil manusia dikenali dengan nama Perak Man oleh Prof. Datuk Zurina Majid (USM)

ZAMAN PRA SEJARAH
 
Negeri Perak mengalami zaman pra sejarahnya yang terbahagi kepada empat bahagian pada keseluruhannya iaitu Zaman Batu Lama (Palaeolithic), Zaman Hoabinhian, Zaman batu Baru (Neolithic) dan Zaman Logam (Metal Age).

Zaman Batu Lama (Paleolitik)

Zaman ini dianggarkan berlaku antara 400,000 hingga 8,000 tahun sebelum masihi. Satu-satunya kesan peninggalan ini di Tanah Melayu ialah tapak yang dijumpai di Kota Tampan, Lenggong. Peninggalan zaman ini juga dikenali dengan kebudayaan Tampan di mana peninggalannya merupakan alat-alat batu yang belum sempurna buatannya.

Zaman Hoabinhian

Zaman ini dianggarkan berlaku antara 8,000 hingga 2,000 tahun sebelum masihi. Kesan peninggalannya dijumpai di Gua Badak, Lenggong, Gunung Pondok, Padang Rengas dan beberapa buah gua lagi di Negeri Perak; berupa alat-alat batu yang lebih elok buatannya termasuk lesung batu untuk membuat pencelup merah (haematite).

Zaman Batu Baru (Neolitik)

Zaman ini wujud antara 2,000 hingga 300 tahun sebelum masihi. Kesan-kesan daripada alat-alat peninggalan yang dijumpai di Gua badak, Lenggong dan persekitarannya, Gua Tambun, Ipoh dan lain-lain lagi berkeadaan lebih sempurna dan licin serta dapat dikenali jenisnya. Mereka juga telah pandai menggunakan tembikar untuk memasak makanan dan membuat pondok tempat tinggal. Disamping itu mereka juga telah pandai bercucuk tanam.

Zaman Logam (Metal Age)

Zaman ini wujud antara 500 hingga 200 tahun sebelum masihi. Tempat-tempat yang pernah dijumpai seperti di Changkat Menteri, Sungkai dan Slim River menunjukkan bahawa masyarakatnya telah menggunakan logam seperti gangsa dan besi untuk membuat mata lembing, mata kail dan mata anak panah. Terdapat juga sejenis alat besi yang anih bentuknya yang dikenali sebagai ‘Tulang Mawas’ yang dijumpai tertanam di dalam kubur Batu Ubin.

Zaman Hindu/Buddha

Jumpaan di Kuala Selensing, Perak dianggap sebagai zaman peralihan sebelum Hindu/Buddha, manakala zaman Hindu/Buddha pula merupakan zaman pembukaan lembaran Sejarah Negeri Perak Pengaruh kebudayaan orang-orang India dan kepercayaan Hindu di rantau ini sejak awal kurun masihi lagi telah mengubah sama sekali sistem nilai masyarakat di Tanah Melayu. Jumpaan patung-patung Hindu/Buddha dan beberapa alat pemujaan seperti di Bidor, Jalong dan Pengkalan Pegoh membuktikan wujudnya pengaruh ini. Zaman Kedatangan Islam dan sebelum kesultanan
Kerajaan Manjung di Beruas dianggap sebagai Kerajaan tertua di Perak. Selepas lenyapnya Manjung, kira-kira pada awal kurun ke l5 telah wujud Kerajaan Melayu Beruas. Dari bukti-bukti yang terpahat di batu nisan yang ada menunjukkan bahawa sebuah Kerajaan Islam. Adalah dipercayai bahawa Islam datang ke Perak melalui negeri seperti Melaka dan negeri-negeri di Pantai Timur.

Di samping itu Islam telah berkembang hingga ke pendalaman Negeri Perak melalui jalan Sungai Perak. Selain Kerajaan Beruas terdapat kuasa-kuasa pembesar tempatan di Ulu Perak seperti Kerajaan Roman, Tun Saban, To’ Temong dan lain-lain kerajaan yang belum dapat dikesan.
Negeri Perak merentasi Zaman Hoabinhian seterusnya Zaman Batu Baru dan Zaman Logam, yang dapat dibuktikan dengan jumpaan-jumpaan tertentu.Ini disusuli pula dengan zaman Hindu/Buddha yang dijangkakan berlaku serentak dengan lain-lain kawasan di Tanah Melayu. Alam persejarahan Negeri Perak telah maju setapak lagi dengan wujudnya kerajaan-kerajaan tempatan seperti Manjung di Daerah Dinding dan Beruas (wujud setelah Manjung luput). Begitu juga beberapa kerajaan lagi di Perak Tengah dan Ulu seperti Tun Saban dan Raja Roman. Serentak dengan itu Islam mula bertapak kukuh di negeri ini bermula dengan penabalan Sultan Muzaffar Syah l yang berketurunan dari Sultan Mahmud Syah Melaka pada tahun l528. Walaupun zaman Kesultanan Negeri Perak telah muncul tetapi kuasa-kuasa tempatan masih diakui berkuasa. Corak pemerintahan yang dijalankan adalah urutan dari sistem feudal di Melaka yang berdemokrasi.

ZAMAN KESULTANAN

Titik kegemilangan sejarah Negeri Perak ialah setelah wujudkan sistem kesultanan yang merangkumi kawasan seluas 8,ll0 batu persegi. Pertabalan Sultan Mudzaffar Shah l pada tahun l528 telah membuka lembaran baru ke arah pemodenan.

Negeri Perak lebih dikenali setelah kekayaan buminya diketahui iaitu ekoran dari penemuan bijih timah di Larut pada tahun l848 oleh Cik Long Jaafar. Dengan kejumpaan ini ekonomi Negeri Perak berkembang dengan pesat dan lebih banyak kawasan perlombongan dibuka. Selain bijih timah, getah juga memainkan peranan yang penting dan ditanam setelah 34 orang Sultan memerintah turun temurun.

Implikasi dari perkembangan ekonomi ini telah mewujudkan masyarakat majmuk terutama kaum Cina yang bekerja di lombong-lombong ketika zaman penjajahan British di Tanah Melayu. Itulah sebabnya kita dapati majoriti penduduk Tionghua menduduki kawasan di Kinta, Taiping dan sekitar kawasan bekas lombong bijih timah yang lain.

Perbalahan kuasa antara pembesar di Perak telah mengundang Inggeris campur tangan melalui Perjanjian Pangkor l874 setelah wujudnya kacau bilau di Larut. Dari campur tangan ini sistem pentadbiran Residen telah diperkenalkan dengan J.W.W.Birch sebagai Residen pertamanya.
Melalui campur tangan ini Inggeris memperkenalkan sistem Residen yang dianggap dapat membaiki sistem pemerintahan tradisional. TEKS PERJANJIAN PANGKOR PADA 20 JANUARI l874 Raja Abdullah diakui sebagai Sultan yang sah menggantikan Sultan Ismail yang akan diberi gelaran serta pencen sebanyak $l,000/- sebulan.

Sultan akan menerima seorang Residen Inggeris yang nasihatnya mesti diminta dan diikuti dalam segala hal kecuali yang menyentuh agama dan adat istiadat orang-orang Melayu.
Semua pungutan dan kawalan cukai serta pentadbiran negeri mestilah dijalankan atas nama sultan tetapi disusun menurut nasihat Residen.

Menteri Larut akan terus berkuasa, tetapi tidak lagi diakui sebagai pemerintah yang merdeka. Sebaliknya seorang Pegawai Inggeris akan dilantik di Larut yang mempunyai bidang kuasa yang luas untuk mentadbirkan daerah tersebut.

Gaji Residen akan dibayar oleh Sultan, bukan dibayar oleh Kerajaan Inggeris. Penentangan terhadap sistem Pentadbiran Inggeris

Pada mulanya sistem Residen dijangkakan mendatangkan implikasi yang baik, tetapi kerana pelaksanaannya yang menyeleweng dan ditambah dengan sikap masyarakat pribumi yang tidak mahu dijajah, telah berlaku penentangan yang diketuai oleh Datuk Maharaja Lela. Akibatnya J.W.W.Birch dibunuh pada tahun 1875.

Babak penjajahan Inggeris selepas Jepun menyerah diri belum berakhir, malah diteruskan sehingga darurat berlaku pada tahun 1948. Keganasan banyak berlaku di Negeri Perak yang mana Parti Komunis Malaya bertanggung jawab mengenainya.

Selepas pendudukan Jepun di Tanah Melayu kedudukan Negeri-negeri Melayu adalah tidak stabil. Ditambah dengan kemunculan semangat kebangsaan untuk menuntut kemerdekaan dalam kalangan rakyat jelata. Inggeris sedaya upaya mengekalkan kedudukannya dengan memperkenalkan beberapa sistem pentadbiran seperti Malayan Union pada tahun l946. Pelbagai onak duri dilalui oleh rakyat Perak semasa peristiwa Darurat menentang pengganas komunis. Barangkali, tidak ramai menyedari Kampung Baru yang ditaja untuk menarik komunis supaya meletak senjata sebenarnya banyak terdapat di negeri Perak. Sehinggalah Inggeris mengisytiharkan kemerdekaan ke atas Tanah Melayu pada tahun l957, kewujudan masyarakat pelbagai kaum di Perak sebenarnya hasil kebergantungan kepada perusahaan ladang getah dan bijih timah.

TEMPAT MENARIK SEKITAR NEGERI PERAK : -

Daerah Manjung telah menjadi destinasi utama pelancong ke Negeri Perak di mana Pulau Pangkor dan Teluk Batik telah menjadi tumpuan utama pelancong-pelancong dari dalam dan luar negeri. Visi pembangunan sektor pelancongan ialah menjadikan sektor pelancongan sebagai penyumbang utama kepada pembangunan Daerah Manjung.

Daerah Manjung memang terkenal dengan tempat rekreasinya disebabkan lokasinya yang terdapat di kawasan peranginan umpamanya Teluk Batik, Teluk Rubiah, Pulau Pangkor dan lain-lain lagi. Terdapat tiga padang golf utama di Daerah Manjung iaitu Kelab Golf Samudera (9 lubang) dan Damai Laut Golf & Country Club, Lumut (18 lubang). Pulau Sembilan adalah satu destinasi pelancongan bagi tujuan memancing.

Sukan air atau "water sport" merupakan rekreasi yang utama di kawasan laut. Terdapat dua Yacht Club yang sedang beroperasi di Daerah Manjung iaitu di Lumut. Kelab-kelab tersebut adalah Perak Yacht Club dan Samudera Yacht Club.

Pantai, laut, pulau, hasil laut, tempat bersejarah, hutan bakau, hutan bukit dan kemudahan- kemudahan rekreasi adalah merupakan produk-produk pelancongan yang menjadi daya tarikan utama pelancong-pelancong tempatan mahupun luar negeri untuk datang ke Daerah Manjung yang indah ini. Diantara tempat-tempat menarik di daerah Manjung adalah seperti berikut:-

Teluk Batik (pantai)
Taman Esplaned, Lumut (rekreasi)
Pasir Panjang, Segari (pantai, pusat pembiakan penyu, memancing)
Teluk Senangin (pantai)
Pasir Bogak (pantai)
Teluk Nipah (pantai)
Pantai Puteri Dewi (pantai, resort)
Pangkor village (pantai)
Kota Belanda Pangkor (sejarah)
Batu Bersurat (sejarah)
Pangkor Laut (resort)
Pulau Sembilan (pulau, memancing, menyelam)
Teluk Segadas Pangkor
Jambatan Gantung (rekreasi)
Damai Laut Resort
Restoran Terapong Teluk Gedong (makanan laut)
Kg.Bharu (sukan air)
Kg. Teluk (pertanian)
Lata Ulu Licin Beruas (air terjun)
Muzium Beruas (bahan sejarah)

Bukit yang tertinggi di Daerah Manjung ialah Bukit Engku Busu di Lumut dan Bukit Pangkor di Pulau Pangkor. Kedua-dua bukit ini adalah merupakan kawasan rekreasi yang popular kepada pelawat atau pelancong yang berjiwa "adventurous" disamping aktiviti "jungle-tracking". Beberapa kawasan untuk beritirahat juga telah dibangunkan.

Jika berminat melancong ke negeri Perak, anda dialu-alukan.

1 comment:

Jejak yang ditinggalkan

MENJADI TUA ADALAH FITRAH, BUKAN SEMUA INSAN MENIKMATINYA

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini. Pagi Rabu 11 .12.2024, menjadi tarik...