Wednesday, December 11, 2013

Pantai Timur Sabah Penuh Keterujaan

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Pada 16 November 2013, kami sekeluarga berangkat ke Tawau Sabah menziarahi adik di sana. Penerbangan Air Asia dari LCCT selama dua jam 50 minit itu agak membosankan kerana hanya kegelapan malam yang bertamu di jendela pesawat. Kami selamat tiba kira-kira pukul 9.10 malam dan disambut oleh adik saya, Abdullah Sani yang memang tinggal di sana.
Singgah di rumah Munir di Putrajaya sebelum ke LCCT

Anak-anak teruja menaiki pesawat buat kali pertama


Kami disambut oleh adik dan keluarganya sebaik mendarat di Tawau

Perkampungan Indrasabah pada pukul 6 pagi.

berlatarbelakang pos kawalan tentera di pesisir pantai Tawau

Pasar Tawau yang menjual pelbagai barangan

Daging rusa atau payau memang popular di sini

Laut Celebes memisahkan Malaysia dan Indonesia

Perkampungan air di Kampung Tanjung Batu Laut

Menghilangkan tekanan di Jeram Balung

Kami di bagan Kunak, tempat pemunggahan ikan

Haji Basri, bapa mertua adik saya amat ramah orangnya

Air Terjun Madai segar dan penuh misteri

Detik sebelum meninggalkan bumi Tawau

Selamat tinggal Tawau

Wednesday, November 13, 2013

MSN Mencari Bakat di SMK Batu Sepuluh, Lekir

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Pelatih judo putera

Pelatih judo puteri

Latihan regangan

Jurulatih MSN mengajar cara jatuhan yang betul

Latihan asas angkat berat
Pelatih tinju mendapat bimbingan asas

En. Farabi wakil MSN diberikan cendera hati

Majlis Sukan Negeri Perak (MSNP) telah mengadakan usaha sama dengan sekolah untuk mencari bakat baru dalam sukan tinju, judo dan angkat berat pada 13 hb November 2013, Rabu pada 8.30 pagi hingga 4.30 petang.

Program ini berjaya mendapat sambutan daripada hampir 60 orang peserta yang berminat untuk mendalami kemahiran asas tinju, judo dan angkat berat. 

Program begini dapat mencungkil bakat pelajar dalam kalangan sekolah luar bandar. Diharapkan pada tahun hadapan, program ini dapat disusun mengikut jadual dan dijalankan dengan lebih terancang.

Wednesday, November 6, 2013

Konvoi Berbasikal SMK Segambut Singgah di Lekir!

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Sebaik diberikan tugas Penolong Kanan Hal Ehwal Murid, saya menerima tugasan menyambut kedatangan konvoi berbasikal dari SMK Segambut Jaya, Kuala Lumpur pada Sabtu 2 November 2013. 

Konvoi Istana Ke Istana tersebut dipimpin pengetua, Haji Ahmad Kailani bin Abdul Jalil, yang juga merupakan Yang Dipertua Majlis Pengetua Sekolah-sekolah Malaysia (MPSM). Saya teruja melihat kedatangan mereka dengan diiringi pasukan polis trafik, JPAM dan lori Dewan Bandar Raya Kuala Lumpur (DBKL). 

Haji Ahmad Kailani seorang yang ramah dan mudah berbicara. Orangnya sederhana dan meminati riadah berbasikal seperti saya juga. Haji Kailani menghargai sokongan kami menyediakan tempat persinggahan untuk mereka makan tengah hari dan solat Zohor. Saya diberikan cendera hati berupa buku pengalamannya berbasikal ke seluruh dunia termasuk ke China. 


Saya menyambut kedatangan Haji Kailani




Bertukar cendera hati

peserta makan tengah hari sebelum berkayuh lagi

Tuesday, October 22, 2013

Akhirnya Cikgu Hakim Tinggalkan SMKBS

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.


Tajuk entri kali ini bukanlah pelik. Cikgu Abdul Hakim bin Mohd Isa, Penolong Kanan Hal Ehwal Murid berpindah tempat bertugas ke SMK Tok Perdana mulai Oktober 2013. Itulah lumrah bagi seorang penjawat awam, yang 'bersedia menurut perintah'.  
Beliau mula berkhidmat di SMKBS sejak Januari 1994, iaitu awal setahun daripada saya. Kami melalui pahit getir bersama sekolah ini yang ketika itu baru berusia setahun jagung. Antara guru lain ketika itu ialah Cikgu Roslina, Cikgu Samsuddin (arwah), Cikgu Amri, Ustaz Amin, Cikgu Basirah, Cikgu Zaidi, Cikgu Tan, Cikgu Suzanna, Cikgu Mustapa, dan beberapa orang lagi yang tak dapat ditulis di sini. Bermula dengan suasana sekolah yang dikelilingi hutan pokok gelam, kini sekolah sudah bertukar wajah, mempunyai asrama dengan kapasiti 300 orang dan dikelilingi kawasan perumahan. 
Pengalaman menarik pastilah ketika asrama mula-mula dibuka pada 2001. Saya menjadi Ketua Warden dan Cikgu Hakim sebaga Guru Kanan HEM. Kami mengalami masalah bekalan air yang tidak mencukupi, sehingga memaksa kami mendapatkan bantuan lori Lembaga Air Perak untuk membawa air. Seribu satu kisah yang dilalui untuk menjadikan SMKBS seperti hari ini. Tidak dapat dinafikan, Cikgu Hakim bersama-sama guru lain telah berjaya membawa sekolah ini ke tahap yang boleh dibanggakan. Tanpa kerjasama, kita tidak akan berjaya. 
Di bawah 8 orang pengetua, tentulah banyak pengalaman yang boleh digunakan beliau di tempat baru. Patah tumbuh, hilang berganti, kami harus menerima kehilangan cikgu Hakim dengan hati yang terbuka.
Selamat maju jaya, Kassim Asri!

Wednesday, September 18, 2013

Pelbagai Jenis Gaya Bahasa Kita (siri 2)

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.
(sambungan daripada siri 1)

c       Gaya Bahasa Penegasan
Gaya bahasa penegasan merupakan satu gaya yang cuba memberi penegasan atau penekanan kepada sesuatu yang hendak disampaikan. Gaya bahasa ini terbahagi kepada beberapa jenis seperti berikut:

c.1   Pleonasma:
Merupakan satu gaya yang cuba memberi penegasan kepada kata-kata sebelumnya dengan berasaskan kepada sifat-sifat kata itu sendiri, meskipun kata-kata tersebut tidak perlu diulang sebut lagi. Gaya ini juga disebut sebagai gaya bahasa berlebihan. Misalnya:
a. “ Ia turun ke bawah” (dalam ayat ini, perkataan turun sudah menggambarkan ke bawah. Takkanlah turun ke atas. Di sinilah yang dapat dilihat bahawa perkataan turun itulah yang hendak ditegaskan, iaitu turun ke bawah), 
b. “ Pak Mat sudah naik ke atas”.
            c.2   Repitisi:
Iaitu mengulang sepatah perkataan beberapa kali dalam satu-satu ayat. 
Contohnya: 
a. “selama nafas masih ada, selama nadi masih berdenyut, selama darah masih mengalir, selama itulah aku terus berjuang”, 

b. “apa yang diharapkan, apa yang diimpikan, apa yang dicita-citakan oleh ayahnya ialah kebahagiaan anaknya di hari depan”, 

c. “saat  yang paling romantis, saat yang tak dapat dilupakan dan saat dikejar seribu ranjau-ranjau, ialah ketika atau saat dilamun cinta”.

c.3 Paralelisma:
Pengulangan sesetengah perkataan beberapa kali pada tempat yang sama. Sekiranya pengulangan dibuat di awal kalimat, disebut sebagai anafora, dan sekiranya di sebut di akhir kalimat dikenal sebagi epifora. Contohnya seperti berikut:

(i)            Anafora                                                        
apatah kekal                                                                        
apatah tetap                                                     
apatah tidak                                                 

(ii)          Epifora                                  
Ia datang
Selalu datang
Tidak datang

c.4   Tautologi:
Mengulang secara berturut-turut satu-satu perkataan dalam kalimat, sedangkan pengulangannya tidak perlu, kerana sudah jelas maknanya dengan satu perkataan sahaja. Mislanya, 
a. “Ia datang, datang dari serata ceruk ceruk rantau, datang dari serata daerah dan datang dari pelbagai ragam latar belakang hidup”.
b. "Miskin sungguh dia. Miskin harta, miskin maruah, miskin anak, miskin ilmu.

c.5   Klimaks/Bahasa Naik:
Satu gaya yang cuba menerangkan atau mengemukakan sesuatu benda atau perkara secara berturut-turut dengan cara kronologi. Misalnya: 
a. “Sejak dari kecil, besar, dewasa, sampailah ke tuanya, dia tidak pernah merasai kesenangan
b. “Upacara yang membazir itu berlangsung dari pagi, petang hinggalah ke malam, masih tak habis-habis”.

c.6   Anti Klimaks/ Bahasa Turun:
Iaitu satu gaya bahasa yang berlawanan dengan gaya klimaks, kerana penerangannya  bermula dari yang tinggi kepada yang rendah, dari yang besar kepada yang kecil. Misalnya: 
a. “Dalam majlis persandingan Diraja tersebut, Perdana Menteri, Menteri-Menteri,
Timbalan Menteri, Exco-Exco, Wakil-Wakil Rakyat, Penghulu, Ketua-Ketua Kampung, dan rakyat jelata turut hadir sama”. 
b. “Kebiasaan itu telah diamalkan sejak dari turun temurun lagi, dari datuk, nenek, bapa, anak hinggalah ke cucu cicit ciatnya” dan seumpamanya.
c.7   Inversi/Songsang:
Ia merupakan gaya bahasa pembalikan penyusunan kata dalam satu-satu kalimat. Bahagian yang penting (predikat) mendahului cerita. Dalam istilah lama (istilah Zaaba), ia dikenali sebagai “ayat kena buat” atau ayat pasif. Misalnya:
a. “Air itu saya minum”, 
b. “Buku tadi dibeli oleh ibuku”, 
c. "Bergerak laju bas itu".

c.8   Ellipsi:
Satu gaya yang menghilangkan sebahagian dari kalimat, sama ada kalimat utama ataupun sebutannya. Contohnya: 
a. “Pokok itu dibunuh” (ini bermaksud: pokok-pokok yang tak berguna itu telah dibunuh dengan racun), 
b. “Habis dimakannya” (bermaksud: nasi yang terhidang di atas meja itu habis semua sekali dimakan olehnya).

c.9   Retorik:
Ialah gaya bahasa berupa pertanyaan yang tidak memerlukan jawapan, kerana di dalam pertanyaan itu sendiri secara tidak langsung, sudah ada jawapannya. Misalnya:
a. “Miskinkah dia dengan rumah besar dan harta benda yang banyak?”, 
b. “Laparkah mereka dengan jawatan dan kedudukan yang diberi?”,
c. “Penakutlah dia berdepan dengan musuh yang sedikit itu?.

c.10 Koreksio:
Iaitu satu gaya bahasa yang pada mulanya tersalah sebut atau sengaja disebut kurang tepat dan tidak betul, lalu dalam masa juga ianya tidak betul, lalu dalam masa yang sama juga ianya diperbetulkan. Contohnya: 
a. “Kerajaan zalim, oh maaf, sebenarnya kerajaan adil”, 
b. “Dalam kelam kabut itu, dia terkena kemalangan, maksud saya, ia terkena jerangkap samar dan cedera parah”.
c.11 Asindenton
Merupakan kata-kata dalam ayat atau ayat-ayat yang sepatutnya menggunakan kata-kata penyambung, tetapi tidak atau sengaja tidak digunakan, sebagai satu cara dan menjimatkan penggunaan kata. Misalnya: 
a. “Di dalam bilik itu terdapat meja, kerusi, almari dan bangku yang rosak”, 
b. “Kereta, bas, motosikal, lori, van dan ambulans telah memiruk-pikukkan lagi suasana di jalan yang sesak itu”.

c.12 Polisindeton:
Merupakan gaya bahasa lama, iaitu penggunaan perkataan-perkataan yang kadangkala tidak memberi erti yang tepat, seperti perkataan maka, alkian, alkisah, adapun, shahdan dan lain-lain lagi. Ayat-ayatnya pula, jika sepatutnya ada menggunakan kata-kata penyambung, akan digunakan sepenuhnya (Ini adalah berlawanan dengan asindenton). Contohnya: 
a. “Sungguhpun Terengganu itu daripada bahagian atau jumlah negeri yang terlebih muda sekali termasuk ke bawah naungan negeri yang terlebih muda sekali  termasuk ke bawah naungan Kerajaan Ingeris, tetapi adalah harapan kita pada masa kini jika kita tidak mengambil penngenalan dan pengetahuan daripada gerak-geri orang-orang besarnya yang bersungguh-sungguh menjaga dan memelihara pintu-pintu bahagia dan anak-anak jenisnya sendiri, dan berikhtiar bagi menutup lubang kecil dan besarnya, dan berdahulu-huluan tiap-tiap daripada mereka itu memasukkan dan menambahkan kepada negerinya cohtoh tauladan yang baik-baik dari luar”.

c.13 Interupsi:
Merupakan gaya bahasa yang menggunakan kata atau sebahagian kalimat yang disisip, ditambah sesudah kalimat asal (pokok) dengan tujuan untuk menjelaskan erti asal atau pokok tadi dengan lebih luas lagi. Penjelasan itu dibuat dengan menggunakan tanda-tanda “koma”, “sengkang” atau pun “kurungan”. Misalnya, “nama pokok itu (iaitu pokok Melaka) telah dijadikan sebagai nama negeri Melaka”, “Ayahnya (yang bernama Daud, iaitu adik kepada emak saudaranya) telah pergi ke seberang laut pada tahun lepas lagi) dan lain-lain lagi.
c.14  Eksklamasi:
Merupakan gaya bahasa yang memakai kata-kata seru, untuk menegaskan maksud ataupun untuk disesuaikan dengan nada erti yang dikatakan. Contohnya: “Aduh!pedihnya luka ini”. (tidak boleh dikata, aduh sedapnya makanan ini), “Wah!cantiknya baju awak” dan lain-lain lagi.

c.15   Enumerasia:
Iaitu satu corak gaya bahasa yang bersifat penghuraian sesuatu peristiwa yang sengaja dipisah-pisahkan. Ianya digambarkan satu persatu agar lebih hidup dan lebih nyata. Umpamanya: “Malam gelap. Langit tak berbintang. Lorong-lorong sudah sepi. Lampu jalan sudah dimatikan. Sayup-sayup kedengaran anjing menyalak”.

c.16 Praetorito:
Merupakan satu gaya yang seolah-olah atau seakan-akan pengarang mahu menyembunyikan sesuatu perkara yang dilukiskan, atau penulis membuat andaian bahawa apa yang hendak atau tak hendak diberitahu olehnya sudahpun diketahui oleh orang lain (orang ramai). Contohnya: “Siapakah orangnya, tak perlulah saya sebutkan, sebab saya rasa anda sendiri sudah pun mengetahuinya” dan lain-lain lagi.

d       Gaya Bahasa Pertentangan
Gaya bahasa pertentangan adalah merupakan satu gaya yang memperlihatkan kebertentangan erti atau makna dalam satu-satu ayat. Mahu bertentangan dengan tak mahu, ya bertentangan dengan tidak dan sebagainya. Gaya bahasa pertentangan ini terdiri dari beberapa jenis, iaitu:

d.1   Pradoks:
Ialah satu corak gaya yang mempertentangkan kata-kata atau erti dalam satu kalimat, misalnya, “Senyum dalam tangisan” (biasanya atatu sepatutnya orang yang senyum tak boleh menangis atau pun orang yang menangis tak boleh senyum), “Dia kaya, tetapi hidupnya melarat”, “Bangkai bernyawa”, “Marah dalam sayang”, “Benci tapi rindu”, “Tidur dalam jaga”, dan lain-lain lagi.

d.2   Antithese:
Merupakan gaya yang mempertentangkan paduan dua patah perkataan yang berlawanan ertinya, contohnya, “tua muda”, “kecil besar”, “kaya miskin”, “cantik hodoh”, “hitam putih”, “lelaki perempuan” dan lain-lain lagi.

d.3   Occupasi:
Ialah gaya bahasa yang mengandungi suatu bantahan, yang tak dipersetujui, tetapi dicuba membentangkannya juga sebagai untuk pengetahuan umum. Walaupun boleh jadi semua orang suda tahu. Ini ditimbulkan semata-mata untuk menimbulkan kepuasan. Contohnya: “Merokok membahayakan kesihatan. Amaran oleh Kerajaan Malaysia. Pun begitu ada orang yang tak boleh bekerja kalau tak merokok”, “Berjudi adalah haram tetapi ada orang yang terus berjudi sebagai salah satu dara untuk menjadi kaya dengan cepat” dan lain-lain lagi.

d.4   Kontradiksio:
Ialah satu gaya yang memperlihatkan pertentangan dengan apa yang sudah dikata atau ditegaskan terlebih dahulu. Misalnya, “Dia nampak alim tetapi sebenarnya jahil”, “Kamar itu sunyi sepi, hanya detikan jam yang berbunyi”, “Matanya pejam,tetapi masih kelihatan berkelip-kelip” dan lain-lain lagi.

Begitulah sedikit perkongsian untuk kita kongsikan bersama. Moga perkongsian ini memberi manfaat kepada kita.

Monday, September 16, 2013

PSKPP 2013: Berbasikal di Laluan Hutan Berbukit Yang Licin di Kuala Kangsar

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Pertama kali menyertai kayuhan MTB( mountain bike) anjuran PSKPP Negeri Perak di Kuala Kangsar, amat mengujakan. Hanya saya dan Cikgu Dilmi Zulkifli (SMKSS) yang mewakili daerah Manjung. Pada awalnya, kami menjangka trek tersebut tidak mencabar, kerana jarak awalnya dalam mesyuarat penyelarasan lebih kurang 30 km dengan 10 km offroad. Bagaimanapun, realitinya agak berbeza. Seramai 242 orang pelumba diuji ke tahap maksimum dalam trek berjarak 43 km!

Bergambar sebelum memerah tenaga

Suasana awal di tapak permulaan
 


Cikgu Dilmi dan saya bergambar kenangan sebelum memulakan kayuhan

Menanti detik permulaan untuk berkayuh sejauh 43 km
 Untuk menambahkan lagi keterujaan para peserta, hujan malam sebelum perlumbaan di sekitar pekan Kuala Kangsar menjadikan jalan licin terutama di laluan berbukit. Pastilah ia menjadikan kayuhan kami amat mencabar dan melangkaui jangkaan.
Kami memulakan kayuhan sebaik bunyi hon dilepaskan oleh ADUN Manong, berhadapan SMK Clifford kira-kira pukul 7.45 pagi. Kami melewati jalan raya dan pada dua kilometer pertama, terus masuk ke laluan berkerikil. Saya sudah menjangka tenaga kami akan diperah secukupnya dalam perlumbaan ini apabila melihat laluan trek semakin sukar dan sempit.
Sebaik sampai, terus dapat medal. Penat pun tak hilang lagi!

Jarak 43 km direkodkan.

"Wajah' Corratecku sebaik tiba di garisan penamat

Sempat dibasuh ala kadar sebelum balik ke Manjung.
 Memang benar telahan saya. Pada laluan berikutnya, kami hanya disajikan dengan laluan berbukit, melalui hutan sawit dan ladang getah yang adakalanya curam dan landai. Seorang pelumba di hadapan saya  jatuh ke dalam parit tidak berair ketika melalui titi kecil. Mujurlah dia tidak cedera. Basikalnya juga sekadar disalut lumpur.
Pada satu peringkat, saya terjatuh dua kali ketika mendaki laluan curam. Hampir semua kami terpaksa menolak basikal masing-masing pada laluan curam yang licin. Ketika itu Corratec saya sudah tidak serupa basikal. Penuh dengan lumpur di sana sini. Lumpur menyaluti bahagian rantai, tayar dan pedal, tetapi ia tetap tidak memberikan masalah kepada kayuhan. Cuma tenaga sudah diperah menyebabkan kayuhan diperlahankan, apatah lagi tanda-tanda kekejangan otot memaksa saya tidak memberi tekanan kepada bahagian kaki secara berlebihan.
Ketika memasuki 28 km, saya mengalami kekejangan otot (cramp) dan berhenti seketika di tengah laluan. Selepas berehat sebentar, barulah kekejangan otot dapat dikendurkan. Terima kasih kepada teman yang memberikan krim Yokoyoko ketika saya berdepan masalah tersebut. Kami hanya melalui jalan bertar tidak lebih 10 km. Selebihnya, laluan licin dan sangat ekstrim.  Bunyi nafas pun seakan-akan semput dan tidak ramai yang bercakap, kerana keletihan barangkali.
Pada 5 km terakhir, selepas melepasi jalan berbukit, kami melalui jalan tar di Chandan Puteri merentasi SMK Raja Perempuan Kelsom hingga melepasi bulatan pekan Kuala Kangsar, terus ke garisan penamat di tempat permulaan tadi. 
Alhamdulillah, saya sudah buktikan kemampuan diri untuk melalui trek berliku yang mencabar fizikal dan mental sejauh 43 km. Syukurlah Corratec tidak menimbulkan masalah. Kesihatan juga baik, dan saya bersyukur dengan nikmat yang Allah berikan ini.
Terima kasih kepada semua pihak yang terlibat menganjurkan pertandingan ini, dan sekalung penghargaan ditujukan kepada rakan-rakan guru di SK Talang yang menjadi tulang belakang acara MTB, khususnya cikgu Amiruddin.

Wednesday, September 11, 2013

Pelbagai Jenis Gaya dalam Bahasa Kita (Siri 1)

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Apabila kita membaca status rakan dalam laman sosial, tentu kita dapat melihat pelbagai bentuk gaya bahasa yang ditulis. Gaya bahasa ada kaitan dengan emosi penulisnya. Mari kita fahami gaya bahasa dalam bahasa kita. (kredit kepada bloger retibahasa)


JENIS-JENIS GAYA BAHASA
Secara umunya, gaya bahasa terbahagi kepada empat jenis, iaitu (a) Gaya bahasa perbandingan; (b) Gaya bahasa sindiran; (c) Gaya bahasa penegasan; dan (d) Gaya bahasa pertentangan. Bagi keempat-empat jenis gaya bahasa itu akan melibatkan, membentuk dan memilih kata-kata yang tepat untuk melukiskan sesuatu. Ia disebut sebagai plastika bahasa. Kita bincangkan dua bahagian dahulu iaitu (a) dan (b).

a.1    Gaya bahasa perbandingan
a.1.1   Metafora
Perbandingan secara langsung di antara satu benda dengan benda yang lain   yang ada sifat kesamaannya. Misalnya:
a. Matahari adalah raja siang.
b. Bulan adalah dewi malam.

a.1.2   Personifikasi:
Memberi watak manusia kepada yang bukan manusia. Misalnya, daun kelapa yang disifatkan sebagai manusia yang boleh melambai, menggamit, bersiul dan sebagainya. Lalu ditulis seperti berikut:
a. Daun nyiur melambai-lambai.
b. Pepohon kelapa menggamit manja langkah kakiku.

a.1.3 Asosiasi
Merupakan penyamaan satu benda dengan benda yang lain. Asosiasi benda yang kedua, ada hubungan dengan benda yang pertama (yang disebut terlebih dahulu). Misalnya:
a. Badannya langsing seperti pohon pinang, mukanya pucat bagai bulan kesiangan, matanya merah seperti biji saga.

a.1.4  Allegori:
Satu gaya yang menggunakan perbandingan yang sempurna dan lengkap. Mislanya: laut di bandingkan dengan kehidupan, suami isteri diumpamakan sebagai nakhoda dan jurumudi, tujuan hidup diumpamakan sebagai tanah tepi, kumbang sebgai pemuda, bunga diibaratkan sebagai anak dara dan sebaginya.

a.1.5   Parabel/Kiasan:
Perkataan ini berasal dari perkataan Latin. Ia bermaksud sebagai kiasan yang  terdapat di dalam sesebuah cerita atau hasil karya puisi. Ia dapat menyimpulkan rahsia atau falsafah hidup. Misalnya dalam sebuah ceitta mengisahkan “si tikus mengalahkan si singa”. Parabel dalam kalimat ini ialah adakalanya orang yang kecil, lemah atau miskin dapat mengalah atau mengatasi orang yang besar, kuat atau kaya.

a.1.6   Simbolik:
Simbolik ialah gaya bahasa yang memindahkan sifat seseorang atau sesuatu kepada yang lain atau melukiskan sesutau dengan menggunakan benda-benda atatu perkara lain seperti lambang atau simbolnya. Misalnya: lintah darat ( orang yang menindas, memeras, mementingkan diri sendiri dan menganiaya orang lain), kambing hitam (orang yang dijadikan sasaran atau dituju), alu pencungkil duri (orang yang tidak boleh mengeluarkan buah fikiran), kucing pekak (perangkap tikus)

a.1.7   Tropen
Gaya bahasa yang menggunakan kata-kata yang tepat dan sejajar dengan erti yang dimaksudkan. Misalnya: “Dia terbang ke Jepun” (orang yang diibaratkan boloeh terbang seperti burung atau seperti kapal terbang), “sehari-hari ia berkubur sahaja dalam bilik” (diibaratkan diam dan tak bergerak-gerak seperti orang mati dalam kubur), “sudah lebih dua bulan dia mengukur jalan” (orang yang tidak mempunyai apa-apa pekerjaan melainkan mundar-mandir sepanjang jalan) dan lain-lain lagi.

a.1.8   Mitonimia
Suatu nama baru yang pada mulanya  berupa nama lain bagi sesuatu benda atau perkara, ia digunakan sebagi atau seolah-olah nama khas yang lebih senang disebut atau lebih mudah dikenali, kerana ada kaitan dengan nama asalnya. Misalnya: “Ia meluncur dengan MAS” (MAS ini berasal dari kata Malaysian Airline System, tapi lebih dikenali dengan nama MAS,seakan-akan berharga seperti emas), “Ia berparti PAS” (PAS ialah singkatan dari perkataan awal bagi Pati Islam Se-Malaysia), “Ia belajar di IPKB” (IPKB bermaksud Maktab Perguruan Kota Bharu) dan sebagainya.

a.1.9   Litotes:
Merupakan satu gaya merendah, memperkecil atau penyederhanaan. Kata-kata yang digunakan sebenarnya adalah berlawanan dengan kenyataan yang  sebenar. Misalnya:
a. “Gubukku di tepi sawah” (gubuk di dalam konteks ini bukan bererti bangsal, rumah kecil pondok atau lain-lain, tetapi sebenarnya merupakan sebuah rumah yang besar dan cantik), b. “Jemputlah makan nasi dengan garam sahaja” (ini bukanlah bererti dia makan nasi dengan garam sahaja kerana terlalu miskin,tetapi nasi yang penuh dengan lauk-pauk yang banyak).
Gaya bahasa begini biasanya dituturkan oleh orang yang suka merendah diri, tidak suka bermuka-muka atau menunjuk-nunjuk sesuatu kelebihan atatu keistimewaan yang ada padanya.

a.1.10 Hiperbola / Bahasa melampau-lampau / Bahasa besar:
Perkataan ini juga berasal dari perkataan Latin “ballein” (yang bermaksud melemparkan), iaitu satu gaya bahasa yang cuba menunjukkan atau membesar-besarkan ataupun melebih-lebihkan sesuatu perkara  atau benda. Contohnya:
a. Darah mengalir menganak sungai” (yang hendak diibaratkan ialah darah yang mengalir terlalu banyak sehingga penuh anak-anak sungai),.
b. Mayat bertimbun dihurung jutaan lalat.        

a.1.11 Sinekdot
Sinedot (synecdoche) terbahagi kepada dua jenis iaitu: 
(i) Pars pro toto: iaitu penyebutan sebahagian dari kata, tetapi boleh memberikan sepenuh erti kata tersebut, misalnya, 
a. Sudah lama tak nampak batang hidung. (Lama tidak bersua)
 
(ii) Totem pro parte: iaitu penyebutan seluruhnya untuk menyatakan hanya sebahagiannya sahaja. Contohnya,
a. Pertandingan itu berakhir dengan kemenangan Pasukan Rumah Putih. (ini bererti tidak diterangkan bahawa ada satu lagi pasukan yang telah dikalahkan oleh Pasukan Rumah Putih)
b. Sekolah kami telah kalah dalam peraduan tersebut (yang disebut ialah sekolahnya yang telah kalah, di mana sepatutnya ada sekolah lain yang telah menang, tapi tidak disebut).
 
a.1.12 Euphimisma:
Satu gaya yang memperhalus kata-kata atau ucapan, kadangkala kata-kata itu lucah, tetapi oleh kerana ia digunakan dengan begitu halus dan “sopan”, sifat kelucahannya tidaklah begitu ketara. Misalnya: 
a. “Saya minta diri sebentar” (bermaksud mahu pergi dari tempat itu sebentar), 
b. “Dipersilakan duduk” (bermaksud disuruh duduk),  
c.  “Pergi buang air kecil” (kencing)

a.1.13 Allusio/ Unsur-unsur peribahasa atau falsafah:
Iaitu satu gaya bahasa yang banyak menggunakan peribahasa, simpulan bahasa, perumpamaan dan yang seumpamanya. Misalnya:
a. “Hidupnya amat menyedihkan, seperti ayam, kais pagi makan pagi, kais petang makan petang”, 
b. “Nasihat yang diberi langsung tak berguna, seperti mencurahkan air di daun keladi sahaja”.

a.1.14 Antonomasia/ bahasa kiasan berdasarkan fizikal:
Penggunaan nama lain bagi seseorang dengan menggunakan sifat-sifat orang itu sendiri. Mislanya:
a. “Si Jangkung” (orang yang kurus dan tinggi), 
b. “Si Gendut” (orang yang rendah dan pendek)
 
a.1.15 Parafrasa:
Merupakan gaya bahasa penghuraian. Satu kata yang ditukar dengan kata-kata lain yang lebih panjang tapi masih dapat memberi makna atau erti yang sama dan sesuai dengan kata yang hendak digantikan itu. Misalnya: 
a. Pagi-pagi lagi, ketika Sang Suria telah keluar dari peraduannya.
b. Lewat petang, ketika burung sudah pulang ke sarang barulah dia pulang.
.
b.    Gaya Bahasa Sindiran
Gaya bahasa sindiran ini merupakan satu gaya perli kepada sesuatu yang tidak digemari atau yang tidak sesuai dan tidak berkenan dengan hatinya. Gaya bahasa ini terbahagi kepada tiga jenis, iaitu:

b.1.   Ironi:
Ia merupakan seolah-olah kata terbalik dari maksud asal atau kata-kata lain dari kata-kata yang sebenarnya yang patut digunakan dengan tujuan untuk menyindir. Misalnya: 
a. “Cepat betul kau datang” (diwujudkan kata-kata ini kepada orang yang lewat datang), 
b. “Wah, cantik betul bajumu!” (bermaksud baju yang tidak cantik)
c. "Kita kaya, tapi masih ada orang miskin."
 
b.2   Sinis/ Sinikal/Mengejek:
Berupa kata-kata ejekan yang kasar, melebih-lebihkan, melampau-lampau dengan tujuan menyatakan perasaan benci atau ejekan yang ketara. Misalnya: 
a. “Muntah aku melihatmu”  (bermaksud: oleh kerana terlalu benci dan meluat atau jejek, sehingga boleh muntah), 
b. “Pengsan aku bila terbau minyak wangi kau” (bermaksud: bau minyak wangi itu amat tidak berbau sedap, sehingga boleh jadi pengsan bila terciumnya), 
c. “Rebah aku melihat mukanya” (bermaksud: dia akan jadi atau boleh rebah kalau melihat muka yang dimaksudkan, boleh jadi muka tersebut terlalu hodoh, terlalu dibenci atau sebagainya).

b.3   Sarkastik:
Iaitu gaya bahasa yang lebih kasar daripada sinis. Ianya digunakan bagi menggambarkan sikap marah, benci, meluat yang amat sangat. Ia boleh jadi digunakan dalam waktu marah atau tidak disedarinya. Misalnya:
a. “Polis anjing kerajaan” (pengutuk menyamakan polis yang dimarahinya disifatkan sebagai anjing) 
b. “Perangai macam babi” (menyamakan sesuatu pihak dengan haiwan yang paling hina), “bangsat”, “mampus”, “haram jadah”, “ anak haram”, “”syaitan”, “kurang ajar”, dan lain-lain lagi. (Ini sering terdapat dalam status laman sosial yang berkaitan dengan politik)

MENJADI TUA ADALAH FITRAH, BUKAN SEMUA INSAN MENIKMATINYA

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini. Pagi Rabu 11 .12.2024, menjadi tarik...