Monday, September 16, 2013

PSKPP 2013: Berbasikal di Laluan Hutan Berbukit Yang Licin di Kuala Kangsar

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Pertama kali menyertai kayuhan MTB( mountain bike) anjuran PSKPP Negeri Perak di Kuala Kangsar, amat mengujakan. Hanya saya dan Cikgu Dilmi Zulkifli (SMKSS) yang mewakili daerah Manjung. Pada awalnya, kami menjangka trek tersebut tidak mencabar, kerana jarak awalnya dalam mesyuarat penyelarasan lebih kurang 30 km dengan 10 km offroad. Bagaimanapun, realitinya agak berbeza. Seramai 242 orang pelumba diuji ke tahap maksimum dalam trek berjarak 43 km!

Bergambar sebelum memerah tenaga

Suasana awal di tapak permulaan
 


Cikgu Dilmi dan saya bergambar kenangan sebelum memulakan kayuhan

Menanti detik permulaan untuk berkayuh sejauh 43 km
 Untuk menambahkan lagi keterujaan para peserta, hujan malam sebelum perlumbaan di sekitar pekan Kuala Kangsar menjadikan jalan licin terutama di laluan berbukit. Pastilah ia menjadikan kayuhan kami amat mencabar dan melangkaui jangkaan.
Kami memulakan kayuhan sebaik bunyi hon dilepaskan oleh ADUN Manong, berhadapan SMK Clifford kira-kira pukul 7.45 pagi. Kami melewati jalan raya dan pada dua kilometer pertama, terus masuk ke laluan berkerikil. Saya sudah menjangka tenaga kami akan diperah secukupnya dalam perlumbaan ini apabila melihat laluan trek semakin sukar dan sempit.
Sebaik sampai, terus dapat medal. Penat pun tak hilang lagi!

Jarak 43 km direkodkan.

"Wajah' Corratecku sebaik tiba di garisan penamat

Sempat dibasuh ala kadar sebelum balik ke Manjung.
 Memang benar telahan saya. Pada laluan berikutnya, kami hanya disajikan dengan laluan berbukit, melalui hutan sawit dan ladang getah yang adakalanya curam dan landai. Seorang pelumba di hadapan saya  jatuh ke dalam parit tidak berair ketika melalui titi kecil. Mujurlah dia tidak cedera. Basikalnya juga sekadar disalut lumpur.
Pada satu peringkat, saya terjatuh dua kali ketika mendaki laluan curam. Hampir semua kami terpaksa menolak basikal masing-masing pada laluan curam yang licin. Ketika itu Corratec saya sudah tidak serupa basikal. Penuh dengan lumpur di sana sini. Lumpur menyaluti bahagian rantai, tayar dan pedal, tetapi ia tetap tidak memberikan masalah kepada kayuhan. Cuma tenaga sudah diperah menyebabkan kayuhan diperlahankan, apatah lagi tanda-tanda kekejangan otot memaksa saya tidak memberi tekanan kepada bahagian kaki secara berlebihan.
Ketika memasuki 28 km, saya mengalami kekejangan otot (cramp) dan berhenti seketika di tengah laluan. Selepas berehat sebentar, barulah kekejangan otot dapat dikendurkan. Terima kasih kepada teman yang memberikan krim Yokoyoko ketika saya berdepan masalah tersebut. Kami hanya melalui jalan bertar tidak lebih 10 km. Selebihnya, laluan licin dan sangat ekstrim.  Bunyi nafas pun seakan-akan semput dan tidak ramai yang bercakap, kerana keletihan barangkali.
Pada 5 km terakhir, selepas melepasi jalan berbukit, kami melalui jalan tar di Chandan Puteri merentasi SMK Raja Perempuan Kelsom hingga melepasi bulatan pekan Kuala Kangsar, terus ke garisan penamat di tempat permulaan tadi. 
Alhamdulillah, saya sudah buktikan kemampuan diri untuk melalui trek berliku yang mencabar fizikal dan mental sejauh 43 km. Syukurlah Corratec tidak menimbulkan masalah. Kesihatan juga baik, dan saya bersyukur dengan nikmat yang Allah berikan ini.
Terima kasih kepada semua pihak yang terlibat menganjurkan pertandingan ini, dan sekalung penghargaan ditujukan kepada rakan-rakan guru di SK Talang yang menjadi tulang belakang acara MTB, khususnya cikgu Amiruddin.

No comments:

Post a Comment

Jejak yang ditinggalkan

MENJADI TUA ADALAH FITRAH, BUKAN SEMUA INSAN MENIKMATINYA

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini. Pagi Rabu 11 .12.2024, menjadi tarik...