Monday, May 6, 2013

NASIB ISLAM SELEPAS PRU13 (Kredit untuk Ustaz Redhuan Tee Abdullah)

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Saya tertarik dengan luahan pandangan ustaz Redhuan Tee Abdullah, yang dimuatkan di blognya. Kebimbangan beliau berasas, dan kerajaan pimpinan DS Najib harus memperkasakan kembali agenda untuk Melayu-Islam, bukannya melayan tuntutan puak chauvinist yang tidak tahu berterima kasih.


(Buka Minda Sinar Harian 6 Apr 2013)
Ketika artikel ini ditulis dan dihantar kepada Sinar Harian (Jumaat), kempen PRU13 masih rancak berjalan. Bermakna, apabila artikel ini diterbitkan (Buka Minda - Isnin), keputusan PRU13 telahpun diketahui malam tadi. Tahniah! Kepada yang menang. Kepada yang kalah, cuba lagi. Menang atau kalah, buatlah  muhasabah diri (parti) atau analisa SWOT perlu dilakukan bagi menilai kekuatan, kelemahan, peluang dan ancaman.
Analisis awal yang dapat saya lakukan adalah, siapapun yang menang, tidak banyak manfaat untuk agama Islam dan umatnya. Meskipun agama suci ini termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Ketika kempen, kita asyik meraikan orang lain. Agenda memperkasakan Islam jarang kedengaran.
Kita lebih obses dengan tuntutan ultra kiasu. Apa yang mereka mahu semua kita beri. Nasib baik kita tidak menjanjikan bulan dan bintang. Jika tidak, itupun kita akan beri. Lebih menyedihkan, sehingga perkara yang sudah dilupakan dan tidak dituntut lagi pun kita beri. Malah, ada projek pembangunan yang sedang berjalan terpaksa dibatalkan, gara-gara mahukan undi. Apakah kita berada di landasan yang betul?
Lebih ekstrim lagi, mereka meminta supaya surat jaminan segera dikeluarkan sebelum hari pengundian. Jenis manusia apakah ini? Tidak pernah bersyukur. Ini bukan lagi ultra kiasu, tetapi sudah ultra paisi (jahat).
Pilihan raya adalah medan untuk rakyat memilih yang siapa yang terbaik, bukan memberikan bulan dan bintang kepada mereka. Negarawan sepatutnya mempertahan dan memperkasakan kepentingan semua, terutama perkara-perkara asas bernegara. Negarawan harus tegas dalam membuat keputusan, berani menghadapi risiko, selagi mana keputusan dibuat untuk kepentingan agama, bangsa dan negara.
PRU13 hanya alat, menang atau kalah, itu perkara biasa. 5 tahun lagi, kita bersua kembali. Apa yang penting agenda agama, bangsa dan negara mesti berjalan dan dihormati. Apa guna menang PRU13, jika agama dan umat Islam masih merempat menagih simpati di buminya sendiri.
Saya tidak dengar ketika kempen, sekolah agama diberikan keutamaan, berbanding sekolah lain (vernacular). Saya bukanlah orang agama (ustaz), tetapi saya sangat sayangkan agama, kerana itulah darah daging kita. Hidup mati untuk agama. Agama terdaulat, bangsa terdarjat, negara berdaulat. Namun, jika agama merempat, bangsa dilaknat, negara tidak berkat.
Saya teramat sedih membaca kempen MCA dalam iklan akhbar the Star sepanjang hari berkempen. Terang-terang menghina agama Islam. Walaupun ditujukan kepada PAS (PR), tetapi perkara tersebut merupakan perkara asas Islam seperti cuti pada hari Jumaat, larangan arak dan judi, pengasingan lelaki perempuan dalam kolam renang dan saloon, panduan berpakaian dan sebagainya.
Pada saya, jika Kelantan dan Kedah ingin melaksanakan perkara asas tersebut, itulah adalah hak dan wajar. Lagipun majoriti umat Islam berada di sana. Bilangan bukan Islam amat sedikit. Hak majoriti mesti dipertahankan jika itu yang mereka mahu dan disyariatkan. Bandingkan dengan minoriti Cina Islam di negeri China, adakah mereka dapat hak-hak Islam mereka dilaksanakan? Saya harap MCA sedar diri.
MCA ternyata semakin kurang ajar, mempermainkan isu ini. Mereka sepatutnya tahu membezakan antara menyindir PAS dengan menyindir Islam. Perlu dibuat berhati-hati. Jangan sampai mahu menyindir PAS, sehingga menghina Islam.
Saya harap UMNO dapat menegur rakan parti komponen ini. Sedarkan mereka, jangan sentuh kesucian Islam. MCA boleh mengkritik PAS. Tetapi, perlu diingat, jika ada perkara yang dibawa PAS merupakan perkara asas dalam kehidupan beragama, jangan sama sekali berani mempermainkan agama wahyu ini.
Begitu juga dengan PAS, agenda hudud PAS ditolak mentah-mentah oleh DAP. Malangnya, PAS sanggup berkompromi dengan mengatakan hudud hanya agenda PAS bukan agenda PR. Jika begitu, bagaimana PAS mahu melaksanakan hudud jika PR berjaya memerintah. Adakah hudud untuk orang PAS sahaja, manakala demokrasi untuk DAP dan PKR. Bolehkah negara diperintah oleh dua sistem? Sekalipun PAS berjaya dengan agenda hududnya bagaimana orang Islam yang ada dalam PRK dan DAP. Apakah mereka akan terkecuali dari hudud?
DAP dan semua bukan Islam sudah tahu, bahawa hudud bukan untuk mereka. Hudud hanya untuk orang Islam sahaja. Persoalannya, keranapa mereka masih menentang? Saya simpulkan, mereka tidak mahu apa jua perkara dikaitkan dengan Islam. Mereka mahukan negara ini menjadi sekular dan beridentitikan mereka.
Mereka sengaja memejamkan mata bahawa negara ini asalnya bertuankan ketuanan Islam dan Melayu. Melalui pemahaman agama Islam jugalah yang menyebabkan orang Melayu menerima mereka di sini dan hak-hak mereka terjamin. Jika orang Melayu tidak beragama Islam, saya tidak fikir, orang Melayu mahu menerima orang bukan Islam berada di sini. Nasib mereka mungkin sama seperti minoriti umat Islam di China dan India.
Saya ingin menasihat umat Islam, apabila berpolitik, ingat Tuhan. Umat Islam mesti tahu hak-hak mereka di bumi mereka sendiri. Apatah lagi untuk memartabatkan agama dan bangsanya. Peliknya, orang lain bergaduh juga. Namun, hak mereka terjamin dan terjaga. Kita pula, bergaduh setiap masa dan sepanjang masa, malangnya hak semakin hilang dan terhakis. 
 

No comments:

Post a Comment

Jejak yang ditinggalkan

LAWATAN SANTAI KAMPUNG TERSUSUN BATU 11 LEKIR KE PANTAI TIMUR

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini. Pada 31 Oktober 2024, jam 11 malam, ...