Sunday, July 28, 2013

Mercun dan Bunga Api Menjelang Raya, Ibarat Irama dan Lagu

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Mercun yang berjaya dirampas oleh pihak berkuasa
Bunga api dan mercun, sudah sinonim dengan masyarakat Melayu. Entah mengapa, budaya masyarakat Tionghua yang kononnya untuk menghalau roh jahat semasa sambutan Tahun Baharu Cina, kini menjadi kelaziman masyarakat kita. 

Agak sukar menentukan bila budaya bermain mercun dan bunga api dipraktikkan oleh masyarakat Melayu. Apa yang pasti, ketika tahun 80-an, sewaktu saya membesar, bunga api sudah pun ada. Kami bermain bunga api besi yang tidak berbahaya pada malam aidilfitri. Selain itu, ada mercun lidi, yang boleh memecut dan meletup di udara. Ada juga yang agak berani bermain meriam buluh, dengan menggunakan karbaid. Itulah kenangan saya semasa zaman kanak-kanak dahulu.

Hari ini, mercun mengalami transformasi yang lebih menggila. Dua hari lalu, tajuk Harian Metro memaparkan berita Mercun Bom dengan foto mercun seakan-akan bom tangan mengejutkan pembaca, termasuk saya. Mercun tersebut didakwa boleh menyebabkan bunyi letupan yang kuat daripada mana-mana mercun yang ada sekarang. Mercun bola pun sudah ada yang lebih besar dan boleh meletup dengan bunyi yang kuat. Keadaan ini tentunya menimbulkan persoalan keselamatan, kerana letupan besar pasti boleh mengakibatkan kecederaan yang besar juga.

Tindakan pihak berkuasa membuat pemantauan di sempadan, masih belum menampakkan hasil yang positif, malahan tangkapan demi tangkapan membuktikan pihak penyeludup tidak berputus asa membawa masuk bekalan bahan terlarang ini ke pasaran gelap dalam negara kerana ia perniagaan bermusim yang menguntungkan. Anak-anak remaja kita agak 'kreatif' apabila bermain mercun. Hasilnya, kita dikejutkan dengan berita kecederaan akibat bermain mercun, seperti kehilangan jari akibat kesilapan memuatkan belerang mercun dalam bekas silinder besi umpamanya. Kita pernah dikejutkan dengan kisah tragis seorang anak kecil yang mayatnya tersangkut di pokok akibat letupan mercun di stor berhampiran rumahnya di Terengganu beberapa tahun yang lalu.

Hakikatnya, menjelang Ramadhan dan Syawal, tragedi akibat bermain mercun bagaikan tidak berkesudahan, selagi masyarakat menerima mercun sebagai satu budaya dalam sambutan perayaan. Sudah tiba masanya, kerajaan bertindak lebih tegas tanpa ada retorik dan alasan berjela-jela dalam menguatkuasakan tindakan terhadap mereka yang menjual dan memiliki mercun.  Masyarakat juga harus membantu usaha ini dengan tidak membeli mercun terutama yang berbahaya dan boleh meragut nyawa. 

Sekadar bunga api, cukuplah untuk kita memberi kegembiraan pada malam hari raya kepada anak-anak. Itu pun dengan pengawasan ibu bapa. Jika tida, pelbagai kemungkinan boleh berlaku.


No comments:

Post a Comment

Jejak yang ditinggalkan

MENJADI TUA ADALAH FITRAH, BUKAN SEMUA INSAN MENIKMATINYA

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini. Pagi Rabu 11 .12.2024, menjadi tarik...